336,581
Kategori:
Genre:
Bab 176
Terasa perit pipinya ditampar-tampar. Siapa yang tampar, kata hatinya. Suara Adil memanggil-manggilnya berkali-kali. Tapi Aliaa masih tak jawab, rasa berat mahu buka mulut. Mata pun berat mahu buka. Seperti ada gam yang melekat di kelopak mata.

"Adik.. Adik..! Bangun dik..!!" Badan Aliaa pula digoncang-goncang kuat.

"Adil.. kita bawa dia ke hospital, cepat!!" Suara Faliq kedengaran. Alamak...!! Hospital?! Arhh!! Tidak...! Aliaa merasakan badannya terlalu lemah dan tidak lama tubuh badannya diangkat oleh si abang. Kemudian, dibaringkannya di atas sofa. Aliaa mendengar suara mereka tetapi kenapa susah sangat nak bersuara ni. Berat sangat.

"Adik bangunlah dik. Jangan buat abang macam ni. Adikk..!!" Suara Adil mulai serak menahan sebak. Hati abang manalah yang tidak sebak dan sedih melihat keadaan si adik yang longlai begitu. Macam-macam yang bermain difikirannya.

" Cepat Dil.. ! Kita kena bawa dia ke hospital segera. Aliaa ada jantung Dil. Kau nak dia mati ke?!" Kata Faliq tegas. Ha? Mati?? Aliaa tak nak mati. Aliaa belum kahwin lagi. Aliaa kena kuat melawan sakit. Adil tidak bersuara. Aliaa dapat rasakan keadaan abangnya ketika itu. Segala perasaan ada. Abang..!! Maafkan adik. Adik tak boleh nak bersuara. Bisik hatinya lagi.

Setitis air jatuh ditangan Aliaa. Airmata Adil akhirnya gugur. Sedih yang teramat. Sungguh.. Aliaa tidak mahu abangnya mengalir airmata kerananya. Dia tidak mahu airmata itu membazir padanya.

"Bro.. Kau jangan macam ni bro. Kuatkan semangat. Aku pun sayang dia juga. Kita sayang dia.."suara perlahan Faliq. Adil masih menggenggam tangan Aliaa. Mahu memberi kekuatan. Kepala Aliaa diusap lembut dengan harapan Aliaa akan segera sedar. Dahi Aliaa dicium penuh kasih sayang. Kenapa dengan Adil? Kenapa berat sangat mahu bawa Aliaa ke hospital?. Kalau tidak, dialah orang pertama yang akan paksa Aliaa dan bawa Aliaa terus ke hospital bila Aliaa tak sihat. Aliaa cuba bernafas perlahan. Dadanya masih rasa sempit tapi tidak sekuat tadi. Allahuakhbar!! Kenapa dengan aku? Bisik hatinya.

" Aku tak sanggup jauh dari adik aku. Aku nak dia di depan mata aku.." Adil bersuara lagi. Sebaknya dengar.

" Ya Allah..!! Kenapa dengan kau ni Dil. Jadi, kau sanggup jauh dari dia untuk selama-lamanya. Macam tu?! Cepat Dil.. Kita bawa dia sekarang. Please Dil..!" Merayu si Faliq. Dia sendiri jadi buntu melihat sahabatnya itu. Kalau ikutkan hati Faliq, mahu saja dia yang angkat Aliaa dan terus bawa ke hospital. Mereka senyap. Faliq sudah bertambah risau.

" Abang..!" Aliaa bersuara perlahan. Matanya dibuka perlahan-lahan. Dahinya berkerut menahan sakit.

"Adik.. Alhamdulilah..Aliq!!" Adil senyum dan pandang Faliq. Memang risau wajahnya. Melihatkan senyuman si abang, Aliaa cuba untuk kuatkan semangat dengan melawan kesakitan. Perlahan-lahan Aliaa degil cuba untuk duduk pula, padahal dia sendiri tidak tidak kuat. Dia tidak mahu tunjuk kesakitan pada dua insan tersayang. Aduhai Aliaa..!! Berkerut menahan sakit lagi. Adil duduk disebelah Aliaa dan Aliaa sandarkan badan di sofa, sempat menjeling ke wajah Faliq. Sedih teramat sedih wajahnya. Faliq tidak sanggup melihat keadaan Aliaa yang pucat dan lemah itu.

" Adik okey kan?! Jangan buat abang macam ni dik. Abang risau.. Abang hanya ada adik je.." Aliaa merenung mata Adil. Memahami maksud kata-katanya. Hanya senyuman tawar terukir. Pejam mata dan cuba bernafas dengan perlahan-lahan. Seksanya sakit ni. Ya Allah!! Kuatkan aku.. kata hatinya sendiri.

" Abang.. Adik sayang abang, adik sayang Faliq. Adik sayang semua.." Aliaa bersuara dengan perlahan sekali. Membuatkan mereka semakin hiba. Tidak bersuara dan hanya mendengar.

"Tapi ajal maut ditangan tuhan. Andai sesuatu terjadi pada adik, adik tak nak abang nangis, tak nak Faliq nangis juga.." kata Aliaa perlahan. Menambah kesedihan mereka. Faliq menundukkan kepala. Tak sanggup mahu mendengar kata-kata itu dari mulut kesayangan. Begitu juga dengan Adil , terus mencium dahi Aliaa langsung tak berkata apa-apa. Aliaa bukan mahu buat mereka sedih tapi entah kenapa terkeluar ayat-ayat itu.

" Adik.. Tak kan terjadi apa-apa dekat adik. Adik kena kuat sayang, adik kena lawan sakit. Kami semua sayang adik.. !!" Adil memberi semangat.

" Adil dahlah Adil. Bawa dia pergi hospital. Please lah.. !!" Pinta Faliq lagi. Semakin risau apabila melihat Aliaa semakin lemah. Apa masalah dengan Adil ni? Kenapa tiba-tiba dia jadi buntu dan hmm.. Faliq mengeluh sendiri.

" Adik tak larat. Tolong adik.." suara Aliaa semakin lemah. Semakin sakit dan sakit. Melihatkan keadaan Aliaa, Adil terus angkat Aliaa bawa ke kereta. Faliq memandu laju ke hospital. Doa demi doa sepanjang perjalanan ke hospital. Adil memanggil-manggil nama Aliaa sejak tadi. Aliaa kaku tidak bergerak. Tiada suara, tiada tindak balas. Airmata jantannya mengalir lagi.

Keadaan sungguh mencemaskan. Bodohnya aku.. Kenapa aku tak bawa adik ke hospital dari tadi? Kenapa biarkan adik menahan derita kesakitan? Bodoh.. Bodoh..!! Adil memaki dirinya sendiri. Entah apa yang dia fikirkan tadi.

Sampai saja di hospital, Aliaa ditolak masuk ke bilik kecemasan. Adil dan Faliq memandang wajah terakhir Aliaa sebelum ditolak masuk kebilik kecemasan. Jururawat meminta mereka tunggu diluar saja.

" Kalau apa-apa terjadi pada adik. Aku tak kan maafkan diri aku sendiri. Bodohnya aku..!! Kenapa aku tak bawa dia lebih awal ke hospital Liq.. Kenapa?? Ya Allah.. Maafkan aku.!!" Adil mengeluh sendiri. Menekup muka dengan tangan. Faliq bangun dan duduk disebelah Adil. Menyapu bahu sahabatnya itu. Menenangkan hati Adil.

"Dahlah.. Tak guna pun kau salahkan diri kau. Aku faham apa kau rasa Dil. Kita doakan untuk dia.." kata Faliq lembut. Adil menyandarkan badan di kerusi. Memandang kosong ke dinding yang putih bersih itu.

Mengenang nasib si adik. Dugaan demi dugaan untuknya. Paling berat bagi Adil bila Aliaa diberi dugaan pelbagai masalah kesihatan. Itu yang amat merisaukannya. Dugaan kehidupan yang silih berganti tidak sudah dan ditambah lagi dengan dugaan kesihatannya yang silih berganti juga. Dia yang melihat pun rasa sesak nafas, inikan pula Aliaa yang menanggung. Allahuakhbar..!! Bertabahlah wahai adikku..!
Kau adalah insan terpilih.. !

Termenung punya termenung. Adil teringat pada Doktor Raziq. Doktor Raziq yang diamanahkan oleh arwah Haikal untuk merawat  Aliaa. Adil memang lupa sangat pada Doktor Raziq. Doktor Raziq yang pegang laporan kesihatan Aliaa.

"Liq.. Aku lupa. Doktor Raziq.." kata Adil.

" Elok kau call dia. Info dia pasal Aliaa. Dia lebih tahu kut..!" Adil angguk dan terus keluarkan handphone dan menghubungi Doktor Raziq. Faliq hanya mendengar.

Tak pasal-pasal Adil dimarahi oleh Doktor Raziq   kerana melengahkan rawatan ke atas Aliaa. Pedih juga telinganya dengar. Banyak kali sudah dipesan pada Adil tapi tidak juga datang berjumpanya. Adil berkerut memandang Faliq. Bukan dia tak paksa Aliaa tapi adiknya tu terrrrlalu degil. Dicakap, melawan. Dipaksa merajuk pula sampai dia sendiri lupa. Talian dimatikan.

" Apa dia cakap?!" Tanya Faliq.

" Tengok keadaan adik ni nanti. Nak kena bincang dengan doktor. Apa-apa nanti info dia semula. Insha Allah dia akan uruskan semua..!" jawab Adil. Faliq mengangguk perlahan. Tidak lama kemudian ,muncul seorang wanita.

" Adik Encik dah sedar. Tapi keadaan dia tak stabil, badan masih lemah sebab mengalami dehidrasi. Tekanan darah dan jantung dia.. hmm..."

"Iya doktor. Adik saya ada masalah jantung.." Adil terus beritahu pada doktor itu. Perlahan suaranya. Doktor itu menganggukkan kepala.

"Dia akan dimasukkan ke dalam wad hingga keadaannya stabil. Tapi dia minta balik tadi. Hmm.. Mengenai masalah jantung dia tu, jumpa saya sekejab, ada perkara saya nak jelaskan.. " jelas doktor lagi.

"Baik doktor..!" Adil angguk dan senyum kelat.
Doktor terus berlalu.

" Aku jumpa doktor kejab. Kau tengok Aliaa dulu ye..!" Kata Adil sebelum meninggalkan Faliq. Faliq angguk.

Faliq duduk semula dikerusi, sementara menunggu nurse memanggilnya. Sejuk pula rasa badan, dia memeluk tubuh sendiri. Dipandang sekeliling, tidak terlalu sibuk bahagian kecemasan hospital ini jika nak dibandingkan dengan hospital kerajaan yang sentiasa menerima pelbagai kes-kes kecemasan. Faliq menyapu muka dengan tapak tangan. Hanya Allah saja yang tahu hati perasaannya kini. Sedang asyik melayan perasaan sendiri. Seorang jururawat berjumpa dengannya dan memberitahu bahawa Aliaa sudah ditolak ke wad. Faliq mengangguk tanda faham. Tanpa buang masa dia terus mengekori jururawat ke wad.

Pintu dibuka, Aliaa sedang baring dan seorang jururawat memeriksanya lagi. Dilihat pada tangan Aliaa ada tiub yang bersambung ke botol seperti air. Sedih dia sendiri melihat keadaan Aliaa.

" Kalau ada apa-apa Cik tekan button ni ye.." beritahu jururawat tadi dengan senyuman. Aliaa membalas senyuman tawar. Jururawat mengambil alatan rawatan dan terus keluar. Sempat senyum pada Faliq.

Faliq menghampiri Aliaa. Aliaa memandangnya dan senyum. Sayu saja wajah Aliaa. Pucat lesi wajahnya. Faliq duduk di kerusi menghadap Aliaa. Direnung wajah Aliaa.

" Haiii.." tegur Aliaa.

" Haiii..!"

" Abang mana?!"

" Jumpa doktor.." jawab Faliq. Aliaa pandang wajah Faliq. Lemah lagi. Suara perlahan.

"Kenapa ni. Senyumlah sikit. Tawar je muka tu. Tak hensem dah.." Aliaa bergurau. Faliq masih berdiam. Tangan Aliaa dipegang, diteliti jari dan tangannya. Pucat.

" Saya nak awak tahu, saya sayang awak Aliaa.." kata Faliq.

" Hehe.. Iya tahu. Saya tahu sangat. Thank you..!! Dahlah, tak nak sedih macam ni. Saya belum mati lagi pun.." Aliaa gelak kecil.

" Sayang..!! Please lah jangan cakap macam tu. Awak yang tak sayang saya kan..?!" Muka sedih si Faliq.

" Hahahaa.. Okey kalau tak nak saya cakap macam tu, awak jangan sedih-sedih. Saya tak nak tengok muka bakal imam saya ni sedih, sayu macam ni. Saya nak awak happy, tak kisahlah saya sakit, sihat, nak mati atau dah mati ke. Saya tak nak tau. Boleh?!" Kata Aliaa lemah tapi dia cuba kuatkan semangat. Faliq renung ke dalam anak mata Aliaa. Dan senyum hambar.

" Baiklah sayang..! Saya pun nak awak sihat, happy, ceria macam biasa.." jawab Faliq.

" Insha Allah.. Doakan saya ya..!!"

"Awak sentiasa ada didalam doa saya.." sejuk hati Aliaa mendengar.

" Terima kasih! Saya nak tidur sekejab ya. Penat sangat. Pesan dekat abang ya, jangan risau kat saya. Saya okey je. Awak dan abang nanti baliklah ya. Rehat je dekat rumah, tak payah tunggu saya sini. Lagipun nurse dah jaga saya..!" kata Aliaa. Senyum.

" Tak apa sayang. Saya temankan awak. Awak tidurlah. Rehat.." Balas Faliq. Aliaa angguk dan senyum. Mata dipejam. Faliq merenung setiap inci wajah pucat Aliaa.

"Ya Allah..!! Berikanlah kesembuhan dan kesihatan yang baik untuk bakal bidadari aku. Agar dia dapat jalani hari-harinya seperti biasa. Izinkan aku membahagiakan hidupnya dan izinkan aku membawanya ke syurgaMu. Jagakanlah dia untuk aku Ya Allah kerana aku menyayanginya dan mencintainya.." doa Faliq didalam hati.

Semakin hampir di hari pernikahan mereka, macam-macam pula dugaan yang datang. Kena kuat, kena tabah dan kena bersabar disamping berdoa pada yang Maha Berkuasa.  Itulah yang perlu Faliq dan Aliaa lakukan. Betapa hebatnya dugaan mereka, lebih hebat dugaan untuk Aliaa sebenarnya. Tak tertanggung dibahu Faliq jika dugaan itu diberi padanya. Tapi dia yakin, setiap kesedihan pasti akan menggembirakan. Setiap penderitaan pastu akan membahagiakan. Setiap kesusahan pasti akan mendapat kesenangan. Insha Allah.


Previous: Bab 175
Next: Bab 177

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.