336,733
Kategori:
Genre:
Bab 177
Faliq baru saja pulang dari hantar Aliaa balik ke rumah. Adil meminta tolongnya kerana tak sempat ambil Aliaa di hospital tadi. Banyak kerja yang perlu diselesaikan. Dan mujur ada Faliq yang sememangnya tak tenang hati selagi tidak melihat Aliaa. Dapat tengok sekejab pun jadilah. Petang itu ada kerja yang perlu dia diselesaikan, jadi tak boleh lama temani Aliaa. Faliq saja yang terlebih risau. Keadaan Aliaa pun dah stabil. Sebenarnya Aliaa yang merayu pada doktor mahu minta balik rumah. Adil dan Faliq pun tidak tahu. Dua hari duduk di hospital sangat membosankannya. Macam-macam janjinya pada doktor dan akhirnya doktor izinkan juga dia balik.

Aliaa menyandarkan badan dikepala katil. Duduk termenung. Mengenang nasib diri. Entah kenapa hatinya jadi sedih teramat sangat. Jadi sensitif. Emosi jadi tak menentu. Airmata berlinangan.

"Terlalu banyak aku menyusahkan hidup mereka. Buat mereka sedih, buat mereka risau. Aku tak nak menyusahkan mereka lagi, aku tak nak mereka sedih dan risau lagi.." kata Aliaa sendiri.

"Maafkan aku Faliq. Aku tak nak menyusahkan hidup kau. Kau dah terlalu banyak habiskan masa untuk aku. Kau beri kasih sayang yang terbaik untuk aku tapi aku tak mampu untuk membalasnya Faliq. Aku tak nak kau kecewa kelak. Keadaan aku macam ni, hanya akan menyusahkan hidup kau bila kita bersatu nanti. Aku sakit, aku akan lebih bebankan hidup kau. Aku tak nak menyusahkan kau Faliq. Aku taknak. Aku akan mati Faliq. Aku akan tinggalkan kau untuk selamanya. Daripada kau kecewa nanti, biarlah kau kecewa sekarang.. Biarlah aku berundur dari hidup kau. Pergilah kau cari wanita lain yang mampu beri kau bahagia. Aku tak mampu Faliq.. Aku tak mampu..!!" Aliaa berkata sendiri. Airmata semakin deras mengalir. Dia rasa putus asa, semangatnya yang berkobar terus jatuh menjunam ke bumi. Sangat merendah diri.

Malam semalam, dia terdengar perbualan antara Adil dan Faliq mengenai kesihatannya. Dia sengaja buat-buat tidur. Menurut doktor, dia kena jalani rawatan rapi dan tidak boleh berlengah lagi. Penyakit jantung adalah pembunuh senyap. Boleh bawa maut jika dibiarkan. Bila Aliaa dengar saja bawa maut terus dia rasa sangat lemah. Rasa sangat membebankan Adil dan Faliq. Macam mana dia boleh jadi begitu pun tak tahulah. Sejak mendengar perbualan Adil dan Faliq, Aliaa terus jadi pendiam. Banyak termenung, sedih dan murung.

Tersedu-sedu Aliaa menangis sendiri. Ke mana hilang semangatnya? Ke mana pergi kekuatan dirinya? Kenapa mudah sangat dia berputus asa? Hanya Allah saja yang tahu. Aliaa mengesat airmata, dan membaringkan badan.

Tidak lama kemudian, Sis Tuti masuk ke dalam biliknya dengan membawa hidangan tengahari dan ubat yang perlu Aliaa makan. Sebelum Faliq pergi tadi sempat dia pesan pada Sis Tuti. Sis Tuti meletakkan hidangan diatas meja soleknya.

" Cikpuan.. Makan dulu ya. Kemudian, makan ubatnya.."kata Sis Tuti.

" Letak dulu, nanti saya makan.." jawab Aliaa.

"Makan ya Cikpuan ya. Kalau tidak makan nanti saya dimarahi oleh Pak Faliq dan Pak Adil.." sambung Sis Tuti lagi.

" Baiklah. Dhia buat apa?!" Tanya Aliaa.

" Dhia diambil Pak Faliq petang semalam. Nenek Dhia mahu menjaganya sementara Cikpuan tidak sihat.." jelas Sis Tuti.

" Oh ya! Saya lupa pula. Terima kasih ya Ti.." Aliaa memberi senyuman pada Sis Tuti.

" Sama-sama..!" Sis Tuti menutup pintu dan terus keluar. Aliaa bangun perlahan-lahan. Masih lemah badannya. Aliaa duduk dikerusi dan menjamah dua suap saja nasi. Tiada selera mahu makan dan kemudian menelan ubat yang dibekalkan oleh doktor. Aliaa terus bangun dan membawa dulang ke dapur. Terasa melayang pula badannya. Dikuatkan juga.
Dulang diletakkan diatas meja dan meminta Sis Tuti tolong cucikan.

"Sikit saja makannya.."

"Saya tak ada selera nak makan. Ti.. Saya nak rehat. Kalau abang balik, cakap dekat abang. Saya tak nak diganggu.." pesan Aliaa pada Sis Tuti.

" Baik Cikpuan..!" Aliaa senyum tawar dan terus kembali ke biliknya. Pintu dikunci dan dia kembali baring. Lemahnya badan. Mata dipejamkan dan dia terlena.

Kereta Adil memasuki ke perkarangan rumah. Dia keluar dari kereta dengan membawa bungkusan plastik. Buah pisang dan anggur dibelinya tadi. Lalu, menutup pintu pagar. Berjalan perlahan masuk dalam rumah. Mata meliar mencari kelibat Aliaa tapi tiada diruang tamu. Terus menuju ke dapur pula. Sis Tuti di luar dapur, leka mencabut rumput sambil bernyanyi perlahan. Adil meletakkan bungkusan plastik diatas meja dan memanggil Sis Tuti. Berlari anak Sis Tuti masuk ke dapur.

" Iya Pak Adil..!"

" Aliaa ada makan nasi tak? Ubat?" Tanya Adil.

" Ada tapi sedikit, katanya tiada selera. Ubat makan.." jelas Sis Tuti.

" Dia tak keluar bilik ke?!" Sis Tuti menggeleng kepala.

" Tak apalah. Saya tengok dia kejab. Ni ada buah.."kata Adil.

"Tapi Pak Adil. Cikpuan pesan, dia mau rehat tidak mahu diganggu.." Sis Tuti menyampaikan pesanan dari Aliaa tadi.

" Baiklah.. " Adil terus meninggalkan Sis Tuti dan menuju pula ke bilik Aliaa. Tombol pintu dipulas. Aliaa mengunci pintu. Diketuk beberapa kali pintu dan memanggil-manggil Aliaa tapi tiada respon. Mungkin tidur kut, kata hati Adil. Dia kemudian berlalu ke biliknya pula. Mahu bersihkan diri dan menunaikan solat asar.

Selesai solat, tikar sejadah disidai kemas. Lalu berjalan ke ruang tamu. Sunyi sepi saja rumah. Terus ke dapur.

" Aliaa ada keluar tak?" Tanya Adil pada Sis Tuti.

" Ada. Baru masuk bilik.." jawab Sis Tuti sambil membancuh air untuk minum petang. Adil angguk perlahan. Sayu wajahnya. Dia terus berjalan ke bilik Aliaa.

Pintu dibuka, Aliaa duduk bersandar dengan memeluk bantal. Nampak saja Adil masuk, cepat-cepat dia kesat airmata. Tak nak Adil perasan. Adil duduk dihadapan Aliaa. Merenung wajah sayu adiknya. Kesan airmata masih lagi bersisa di kelopak mata. Aliaa pandang ke arah bantal.

"Kenapa sedih ni.." Adil senyum. Aliaa pandang tepat ke anak mata Adil dan menitis airmata.

" Hey kenapa ni.. Apa yang adik fikir ni. Janganlah nangis, nanti abang pun nangis.." pujuk Adil. Dikesat airmata Aliaa.

" Abang.. Adik dah banyak menyusahkan abang dan Faliq kan?!" Tanya Aliaa tiba-tiba.

" Kenapa cakap macam ni. Adik kan dah memang tanggungjawab abang. Nanti adik kahwin, tanggungjawab tu pada Faliq pula.." jawab Adil lembut.

" Adik tak nak kahwin. Adik tak nak menyusahkan Faliq. Adik tak nak!!" Makin deras airmata Aliaa mengalir. Terkejut Adil dengar.

" Adik kenapa ni. Dengar sini, pandang muka abang. Tak ada istilah menyusahkan pun.."

" Tapi adik sakit. Adik akan bebankan Faliq nanti. Adik tak mampu nak bahagiakan dia. Adik hanya akan menyusahkan hidup dia. Abang.. Adik nak mati kan..?! Adik tak nak teruskan pernikahan ni. Adik tak nak.." Aliaa meluah semua yang dia pendam.

"Astaghfirullah Al Azim. Siapa cakap adik nak mati. Adik kan sihat walafiat ni.." Terkedu Adil dengar.

"Adik dengar perbualan abang dan Faliq.." tersedu-sedu Aliaa menangis. Terdiam Adil sebentar. Menarik nafas dalam. Aliaa pandang tepat ke dalam anak mata Adil.

" Betul kan abang?!" Tanya Aliaa.

" Ajal maut ditangan tuhan. Sebab tu abang nak adik teruskan rawatan, minggu depan abang bawa adik jumpa Doktor Raziq. Mulakan rawatan tu. Lagipun, sakit adik ni peringkat awal, jadi kalau adik jalani rawatan. Insha Allah akan sembuh dan akan dipermudahkan. Adik..!! Tak ada penyakit yang tiada penawarnya.." jelas Adil. Aliaa geleng kepala.

"Abang tipu..!! Abang saja nak sedapkan hati adik. Orang sakit macam adik ni ubatnya mati je abang. Bila-bila masa je.." Aliaa menafikan.

" Adik.. Janganlah macam ni..!"

" Adik tak nak jalani rawatan tu. Belanja perubatan tu besar abang. Adik tak nak habiskan duit abang.."

" Allahuakhbar!! Duit boleh dicari dik tapi nyawa adik tu.. Dahlah ye jangan fikir semua tu.." pujuk dan pujuk.

" Adik tak nak abang. Adik tak nak..!" Adil memeluk erat adiknya. Menenangkan perasaannya yang tak menentu ini. Aliaa menangis didalam pelukan Adil. Suasana jadi hiba.

" Abang.. Abang beritahu Faliq ya. Adik tak nak teruskan nikah, adik takut adik menyusahkan dia. Dulu, dia cari perempuan lain sebab dia tak sanggup jaga adik waktu adik mabuk teruk mengandungkan Dhia. Dia selalu mengeluh. Ni pula adik sakit, keluar masuk hospital. Nanti dia tinggalkan adik lagi. Adik akan bebankan dia lagi. Abang.. Abang suruh dia cari perempuan lain ye, abang beritahu dia ya abang ya.. Adik tak nak jumpa dia lagi. Adik tak nak.." luah Aliaa lagi. Lagi sekali Adil terkejut dengar luahan Aliaa.

" Adik.. ! Kenapa buat keputusan macam ni? Faliq sayang adik sepenuh hatinya. Janganlah ingat lagi perkara lepas, dia dah berubah sayang. Dia nak tebus segala salah dia. Dia hanya bahagia dengan adik dan abang tahu adik akan bahagia dengannya.." pujuk lagi.

" Itu kata abang. Tapi dia..?!  Adik tak nak. Adik takut. Adik tak mampu..!"

" Istighfar banyak-banyak dik. Ingat Allah.. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmah.  Jangan fikir yang bukan-bukan. Dahlah, jangan nangis lagi.." Adil senyum pada Aliaa. Bengkak matanya menangis.

" Abang.. Tolonglah abang. Adik tak nak teruskan pernikahan kami. Tolonglah abang, batalkan. Adik tak mampu, adik tak sanggup nak hadapi lagi. Biarlah adik habiskan sisa-sisa hidup adik dengan abang dan Dhia je. Please abang. Adik merayu, batalkan pernikahan kami. Adik tak nak jumpa Faliq lagi..!" Aliaa masih juga dengan keputusannya. Adil hanya mendengar dan memandang sayu wajah Aliaa.
Langsung tidak komen apa-apa. Dia tahu fikiran Aliaa sedang bercelaru sekarang.

"Adik makan ubat ya.." Adil ambil ubat diatas meja. Memberikan ubat pada Aliaa. Aliaa mengesat sisa airmatanya. Ubat diambil dan terus ditelannya. Kemudian, meneguk air suam. Adil senyum.

" Sekarang ni, adik baring dan adik tidur ye. Tenangkan hati, tenangkan fikiran. Jangan fikir bukan-bukan. Tidurlah.." Aliaa hanya mengikut arahan Adil. Adil menyelimuti badan Aliaa. Diusap-usap lembut kepala adiknya.

" Abang.. Tolong beritahu Faliq ya. Janji tau..!! Adik tak nak jumpa dia.." Pesan Aliaa.

"Tidurlah.."Adil mencium dahi Aliaa. Aliaa memejamkan matanya. Huh!! Adil mengeluh kecil. Direnung wajah Aliaa yang masih pucat itu.

Betapa beratnya permintaan Aliaa. Tak mampu dia mahu lakukan. Dia harap, permintaan itu hanya sekadar kecelaruan emosi Aliaa saja dan tidak bersungguh. Emosi Aliaa tak menentu. Orang sedang sakit, memang sangat sensitif. Keyakinan jadi hilang. Lagi-lagi bila dengar kematian dan maut. Itu yang paling membuatkan mereka rasa amat lemah sekali. Terasa seperti tiada harapan dan tiada peluang lagi. Hanya pasrah dengan keadaan.

Adil, Faliq dan sekeliling kena mainkan peranan besar. Memberi lebih semangat pada Aliaa. Sensitif betul Aliaa. Wajah Aliaa masih direnung.

"Assalammualikum..!" Faliq muncul di muka pintu memberi salam. Adil memandang.

" Walaikumsalam.. " jawabnya perlahan.

"Tidur ke?!" Adil angguk.

" Jom keluar. Ada hal nak cakap ni.." Faliq angguk dan mereka berdua terus berlalu.

Di ruang tamu, telah terhidang air dan cucur udang. Sis Tuti sediakan untuk mereka minum petang. Faliq pandang muka Adil yang sedih itu.

" Nak cakap bro.." tanya Faliq.

" Apa aku nak cakap ni, kau jangan kecil hati tau. Aliaa tengah sakit, jadi sensitif sikit hatinya. Fikirannya pun tak menentu.." Faliq berkerut. Tidak memahami.

"Kenapa ni bro. Lain macam pula ni.."

" Aliaa dengar perbualan kita malam semalam. Dia salah faham. Dia ingat kita cakap yang dia akan mati sebab sakit dia. Jadi.. Dia taknak menyusahkan kita dan dia nak batalkan nikah rujuk korang.." Nak tak nak Adil kena cakap juga.

"Apa? Kenapa jadi macam ni Dil. Adil.. Aku sayang dia Dil. Semua dah atur kut. Ish!! Ya Allah.." Faliq menekup muka.

" Iya aku tahu Liq. Ni aku cakap sebab aku buntu. Kau kena faham keadaan Aliaa sekarang. Fikiran dia tak menentu. Emosi dia terganggu. Sebelum ni pun dia buat keputusan macam ni juga kan.." kata Adil lembut. Faliq angguk.

" Kalau betul dia dengan keputusan dia ni macam mana bro?!" Faliq menyuarakan rasa risaunya.

" Aku tak fikir dia serius. Buat masa ni aku cuma minta kau jangan jumpa dia dulu. Boleh? Bagi dia tenang dulu. Aku pun nak pujuk dia. Aku takut dia stress dan takut kalau dia mogok tak nak makan ubat. Aku harap kau faham.." Faliq menarik nafas dalam. Macam mana dia nak lakukan sedangkan tak tengok Aliaa sehari pun hati tak keruan. Lagi pula dalam keadaan Aliaa yang sedang sakit.

" Macam mana bro. Aku tak boleh..!" Faliq mengeluh.

" Please Liq. Please..!! Tolonglah faham keadaan adik dan keadaan aku sekarang. Aku nak kena pujuk dia jalani rawatan tu, itu yang penting bagi aku sekarang ni. Kau tahu kan apa akan jadi kalau Aliaa tak jalani rawatan tu segera? Kau tahu kan Liq? Kalau apa-apa terjadi dekat dia, kita tak kan dapat jumpa dia lagi buat selamanya.." Kata Adil sedih. Faliq memandang tepat wajah Adil.

" Aku faham hati kau Liq. Bagi dia ruang sekejab. Percayalah Liq, dia cakap semua tu sebab emosi dia tergganggu. Aku akan slow talk dengan dia nanti. Kau percaya dekat aku kan.." Adil menenangkan hati Faliq.

"Baiklah.. Aku faham. Tapi apa-apa tolong info aku ya. Aku sayang dia, aku sangat perlukan dia.." Akhirnya Faliq akur dengan permintaan Adil. Adil senyum tawar.

" Aku sayang Aliaa. Kau sayang Aliaa. Kita semua sayang Aliaa. Doakan untuk dia. Insha Allah segalanya akan kembali. Jangan risau Liq..!" Adil memberi keyakinan pada Faliq. Faliq angguk.

Dia amat memahami hati seorang abang terhadap adiknya. Dia memahami perasaan Adil ketika itu. Dia tidak mahu menambahkan kerisauan di hati sahabatnya itu. Adil perlukan kekuatan darinya dan Aliaa pula perlukan kekuatan dari abangnya.

Tidak mengapalah. Untuk beberapa hari ini, atau untuk beberapa minggu, dia tidak dapat melihat Aliaa. Yang penting Aliaa tidak terus dengan keputusannya mahu membatalkan pernikahan mereka. Dia kena bagi masa untuk Aliaa tenang dahulu. Insha Allah semuanya akan kembali pulih.

" Adil.. Boleh tak aku nak jumpa Aliaa sekejab.."Faliq minta izin.

"Tapi dia tak nak jumpa kau Liq. Maafkan aku.."

" Please Dil. Lagipun dia tengah tidur kan. Aku nak tengok muka dia je. Kejab je Dil. Please..!!" Masih merayu. Adil memandang sayu pada Faliq. Beratnya hati Adil mahu mengizinkan dan akhirnya dia akur.

" Thanks..!!" Faliq terus menuju ke bilik Aliaa. Pintu dikuak perlahan. Aliaa sedang lena. Faliq menghampiri Aliaa. Duduk di kerusi dan menghadap wajah Aliaa. Pucat sangat. Tak sanggup melihat. Airmata jantan mula menitis. Cepat-cepat dia kesat airmata sendiri. Aliaa membuka mata perlahan.

"Awak buat apa di sini?! Mana abang?" Aliaa terus duduk. Mata tepat pandang Faliq. Berkerut.

"Abang ada diluar.." jawab Faliq lembut. Senyum.

" Abang..!! Abang...!!" Aliaa terus menjerit semahu-mahunya. Terkejut Faliq dengan tindakan Aliaa.

"Sayang.. Sayang..!! Kenapa ni? Jangan macam ni sayang. Saya sayang awak..!" Faliq mula rasa tak sedap hati. 

" Adik kenapa? Liq.. Kenapa Aliaa?" Muncul Adil tergesa-gesa terus mendapatkan Aliaa.

" Aku tak tahu.. Tiba-tiba dia menjerit..!"

"Abang..! Adik dah cakap dengan abang kan. Adik tak nak jumpa dia. Adik tak nak.." kata Aliaa dengan tangisan.

" Adik sabar dik. Faliq nak melawat adik je.." pujuk Adil. Berubah muka Faliq, sedih.

" Adik tak nak jumpa sesiapa. Adik tak nak..!! Abang.. tolong suruh dia pergi. Jangan bagi jumpa adik lagi. Adik nak mati abang. Adik tak nak orang simpati pada adik. Suruh dia pergi..!!" Adil memeluk Aliaa erat. Menenangkan hati Aliaa. Adil pandang Faliq dan memberi isyarat supaya Faliq keluar meninggalkan mereka.

Dengan langkah yang berat, Faliq ikut kemahuan Adil. Suara tangisan Aliaa masih kedengaran. Faliq menyandarkan badan ditepi dinding bilik Aliaa. Mendengar perbualan Aliaa dan Adil. Sedih dengan keadaan Aliaa sekarang.

Kenapa semua ini berlaku? Kenapa Aliaa jadi seperti ini? Kenapa Aliaa berubah tiba-tiba? Kenapa Aliaa terus putus asa dan hilang semangat? Macam-macam yang Faliq fikirkan. Bertabah Faliq... Bersabarlah..!!



Previous: Bab 176
Next: Bab 178

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.