Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 7

Pintu lif yang hampir tertutup di tahan dengan tangan. Apabila pintu kembali terbuka, cepat-cepat Qaira masuk ke dalamnya. Setelah itu, butang bernombor tiga terus di tekan. Walaupun keadaan di dalam lif agak padat, dia tiada pilihan lain. Lagipun dia sudah tidak kuasa mahu naik tangga.

“Apa tolak-tolak ni? Tak reti nak sabar ke?” Marah satu suara.

Qaira tersentak. Namun belum sempat dia menoleh ke belakang, wajahnya terlebih dahulu menempel pada pintu lif. Laju sahaja dia mengucap di dalam hati. Sesungguhnya, kesabarannya benar-benar sedang di uji pada hari ini. Kuatlah wahai hati. Anggap sahaja semua ini sebagai satu cubaan. Dan setelah hati mula tenang, matanya mula di pejam.Nafas di tarik dan di hembus dengan penuh tertib. Datanglah aura-aura positif. Gantikan semua yang negatif.

Namun fokusnya pada meditasi yang sementara itu sedikit terganggu apabila terasa seperti bahunya di sentuh seseorang. Serta-merta Qaira berpaling ke tepi. Di matanya kini kelihatan seorang lelaki dengan segaris senyuman lebar. Puas dia menidakkan namun aura-aura negatif yang belum sepenuhnya keluar dari dalam dirinya mula menghimpit jiwa dan raga.

“Pak cik buat apa ni? Tak senonoh!” Marahnya tiba-tiba.

Pak cik itu terkejut. Terkulat-kulat dia memandang wajah garang Qaira. “Anak ni dah salah faham. Sebenarnya pak cik cuma nak tanya, anak tak nak keluar ke? Pintu lif dah buka tu.”

Qaira termangu tanpa kata. Riak wajahnya kini cuba di kawal sehabis mungkin agar tidak menampakkan kebodohan yang nyata walau hakikatnya wajah sendiri sudah berasa setebal tilam jenama Vono. Tanpa menunggu lama, dia mula melangkah keluar dari perut lif. Dan setelah itu, dia terus menapak ke tepi.

Terasa malunya kini bukan kepalang. Mujur hanya tinggal dia dan pak cik itu di dalam lif. Yang lain pula sudah keluar awal. Nampak benar yang mereka-mereka itu jenis yang tidak kisah walaupun dia tegak berdiri bagai patung cendana di depan pintu lif.

Dan sebaik terlihat pakcik itu melintas di hadapannya, Qaira pantas mengekori. “Err… pakcik,” panggilnya.

Pak cik itu segera berpaling. “Ya?”

“Pak cik, saya minta maaf. Memang salah saya. Saya tak patut kasar dengan pak cik,” jelas Qaira. Suasana yang keruh itu perlu di jernihkan. Rancangan awal, dia mahu cabut lari sahaja. Tapi bila di fikir-fikir, dia juga tahu dosa dan tahu dia sudah berbuat salah. Sepatutnya yang tua di hormati. Bukan sebaliknya.

“Pak cik tak marah pun. Pak cik pun salah juga sebab main pegang macam tu je. Nasib baik tangan kamu tu tak singgah kat muka pak cik. Nanti tak pasal-pasal herot muka pak cik ni,” seloroh pak cik itu sambil tergelak. Namun tidak lama, pak cik itu terbatuk kecil. Suka snagat agaknya.

Qaira ikut ketawa. dalam pada itu, dia menarik nafas lega. Mujur pak cik di hadapannya ini jenis yang tidak kisah.Malah masih mahu berlawak dengannya. Mungkin kalau pak cik yang baran, memang berperang mereka berdua hari ini. Dan dia pasti di label ‘tidak tahu malu’ kerana bergaduh dengan orang tua.“Terima kasih sebab pak cik tak marah saya.”

“Yalah. Pak cik pergi dulu,” balas pak cik itu.

“Hati-hati pak cik,” kata Qaira. Setelah melihat pakcik itu beredar, dia meraup wajahnya berkali-kali. Dirinya sekarang sudah jadi huru-hara. Orang yang berniat baik, di marah. Mujur semuanya masih terkawal. Mungkin semua ini dugaan. Mahu menguji sejauh mana tahap kesabarannya dalam mengahadapi situasi yang tidak terjangka. Jadi sabar itu adalah jalan yang terbaik.

***

Maimun menyilangkan tangannya. Wajah pekerja baru yang bernama Nurin Qaisara binti Rosli ini di renung tajam. Dia cuba bersikap profesional dan rasional terhadap gadis ini. Maklumlah, diri masih hangat dengan kata-kata Harris yang mengutuk bajunya tadi. “Kenapa lambat?”

“Saya minta maaf cik Mun. Saya… saya lambat bangun,” jawab Qaira perlahan.

Maimun mengeluh perlahan. Sifat jujur gadis ini sungguh terpuji. Namun kejujuran sahaja tidak boleh di pakai jika tiada disiplin. Hari pertama bekerja sudah lambat bangun. Jadi tidak mustahil jika kejadian seumpama ini akan berulang lagi. “Awak lupa ke yang sepatutnya awak dah mula kerja hari ni?”

“Saya ingat tapi saya tertidur lepas subuh tadi. Tu yang lambat.” Dalam hati, Qaira mengutuk diri sendiri. Salahnya kerana tidur lewat semalam. Semuanya gara-gara teruja untuk mula bekerja setelah hampir sebulan menganggur.

“Sebagai pekerja baru, awak kena tunjukkan komitmen yang tinggi. Jadi tak adalah nampak macam saya ni salah ambil pekerja,” kata Maimun.

Qaira tunduk. Dia rela di marah. Cuma satu yang dia tidak rela. Di buang kerja walaupun dia belum bermula. Bukankah ia terlalu perit untuk di terima?

“Awak betul-betul ke nak kerja kat sini? Kalau tak…”

“Nak. Saya nak kerja ni,” potong Qaira.

“Macam ni lah, kali ni saya lepaskaan awak. Tapi lain kali kalau awak buat lagi, saya takkan teragak-agak nak buang awak dari Zeal. Saya harap awak jelas dengan apa yang saya cakap tadi.” Akhirnya Maimun memberi kata dua.

Pantas Qaira tersenyum lebar. Hatinya pula tidak putus-putus mengucapkan rasa syukur Ternyata rezeki masih berpihak pada dirinya. “Ya. Terima kasih cik Mun. Saya janji yang saya tak buat lagi.”

“Saya sebenarnya tak suka sangat orang yang berjanji ni. Yalah, nanti tak mustahil benda ni akan jadi lagi. Tapi untuk yang pertama kali ni, saya pegang janji awak. Harapnya awak tak langgar janji yang awak buat hari ni.”

“Insay-ALLAH cik Mun.”

“Sekarang awak boleh mula kerja,” ujar Maimun.

Qaira mengangguk. Baru beberapa langkah, terdengar suara Maimun memanggil namanya. Dia kembali berpaling. “Ya cik Mun?”

“Saya ada pesanan untuk awak dari pemilik kedai ni.”

“Pesanan?”

“Ya. Dia cakap yang dia tak share duit dengan awak untuk buka kedai ni. Jadi saya harap awak faham apa yang dia cuba nak sampaikan,” beritahu Maimun.

Qaira tersentak. Perlahan-lahan dia memandang sekeliling. Manalah tahu pemilik kedai ini ada di sini. Dia mahu meminta maaf kerana lambat pada hari pertama bekerja. “Dia ada kat sini ke cik Mun?”

“Tadi ada. Sekarang dah balik. Jadi sebab tu, saya tak nak awak sia-siakan peluang yang dia dah bagi pada awak,” balas Maimun. Namun sebenarnya dia suka Harris sudah pergi. Kalau masih ada, entah apa lagi yang akan di katanya.

“Ya ke?” Qaira mengetap bibirnya. Jatuh sudah reputasinya di hadapan pemilik kedai. Pasti dia sudah di cop sebagai seorang yang tidak serius mahu bekerja.

Maimun kemudian melihat jam di tangan. Nampaknya, sudah banyak masa yang terbuang. “Awak ada apa-apa nak tanya?”

Qaira pantas menggeleng. “Tak.”

“Okey, awak boleh kerja sekarang. Tak tahu tanya, jangan diam. Buktikan yang saya tak salah ambil awak kerja kat sini,” pesan Maimun sebelum berlalu.

“Baik cik Mun,” balas Qaira.

Dengan lafaz bismillah, kelibat Maya di cari. Dia perlukan bantuan sahabatnya itu untuk memulakan hari pertamanya di Zeal Bookstore tanpa rasa kekok. Yalah, Maya itu senior di sini. Dia pula junior. Haruslah minta di bantu. Kalau tidak, jadilah dia seperti rusa masuk kampung.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman