Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 17
Rindunya pada Harris terasa semakin mencengkam dada. Hubungan mereka pula bertambah dingin. Sejak malam itu, Harris bukan saja tidak menjawab panggilannya bahkan kadang-kadang telefonnya sengaja di matikan. Dia mahu marah. Tapi pada siapa? Pada dirinya, Harris atau Amy? Ya, Amy wajib masuk dalam senarai nama-nama itu kerana cadangan Amy yang membuat Harris bertambah jauh darinya.

Tidak semena-mena, dia berhenti melangkah. Dia sudah penat berulang-alik. Namun yang di cari tetap tidak kelihatan. Lantas dia membuat keputusan untuk keluar dari Zeal Bookstore. Barangkali Harris tahu dia ada di sini. Tidak susah jika mahu berkomplot dengan pekerja sendiri. Harris kan bos besar. Kalau ingkar, padah menanti.

Tanpa berlengah, dia terus menuju ke kaunter pembayaran. Sebuah majalah yang sempat di capainya tadi, di letakkan di atas kaunter.

“Cik Reena apa khabar? Dah lama tak nampak cik Reena datang sini,” sapa Maya ramah.

Reena mengukir senyuman paksa. Alangkah bagus jika dia tidak di kenali. Jadi tidak perlulah dia pura-pura baik walaupun dalam keadaan moodyang hampir-hampir mencecah angka negatif. “Sihat. I sibuk sikit.”

“Beli satu je cik Reena?” Tanya Maya sambil memasukkan majalah tersebut ke dalam plastik.

“Ya. Lain kali saya beli banyak,” jawab Reena. Rasa sebal pula dengan juruwang wanita ini. Suka hatilah dia mahu beli satu atau banyak. Setelah itu laju saja tangannya menghulur sekeping wang kertas bernilai RM 50.

Wang kertas yang di hulur Reena pantas di ambil. Mesti mood tak baik! Selalunya Reena Sofea ini ramah menegur, suka bergurau dan bahasanya tidak pernah sinis. Berbeza sungguh dengan yang sekarang. Masalah cintalah tu! “Ini baki duitnya cik Reena,” ujar Maya sambil tersenyum.

“Terima kasih,” jawab Reena. Baki duit yang telah berada di tangannya kemudian di masukkan ke dalam dompet. Ketika inilah telefon bimbitnya berbunyi menandakan bahawa ada mesej yang masuk. Apabila jarinya menyentuh skrin telefon, dia tergamam. Mesej dari Harris!

-Ptg ni kita jumpa. Tempat biasa.

Reena sudah tidak terkata apa. Senyumannya terus sahaja melebar saat itu. Terasa mahu menjerit pula. Walaupun masih belum tahu apa yang bakal Harris sampaikan, dia tidak kisah. Yang penting petang ini rindunya bakal terlerai. Pantas dia menapak meninggalkan kaunter pembayaran. Walaupun masih tengah hari, dalam kepalanya sudah mahu menuju ke tempat yang di maksudkan Harris itu. Dia sanggup menunggu biarpun sehari semalam di situ.

Maya yang melihat Reena terkocoh-kocoh pergi, sedikit tersentak. “Eh, cik Reena!” Panggilnya kalut. Majalah di dalam plastik yang masih terletak elok di atas meja segera di ambil. Laju dia menggaru kepala yang tidak gatal. Mahu mengejar, ada pelanggan yang sudah beratur. Sedang dia masih mencari jalan penyelesaian, matanya terlihat Qaira berdiri tidak jauh dari situ. Lantas Qaira di panggil.

“Kenapa?” Tanya Qaira sebaik menghampiri Maya di kaunter.

“Kau bagi ni kat cik Reena. Rasanya dia belum jauh lagi tu,” suruh Maya.

Qaira mengerutkan dahi. “Cik Reena? Siapa tu?”

“Nantilah aku bagitahu. Sekarang ni tak ada masa. Kau cari perempuan rambut panjang yang pakai baju putih dengan skirt merah. Dah cepat. Bagi majalah ni kat dia tau,” suruh Maya lagi.

“Kenapa aku pula yang kena bagi? Dah lah aku tak kenal.”

Maya mengetap bibir. “Buat je lah. Banyak tanya pula. Cepat.”

Malas mahu meningkah lagi, saranan Maya di ikuti sahaja. Lalu majalah di tangan Maya di capai sebelum Qaira segera melangkah keluar dari Zeal Bookstore. Dia kemudian terus berjalan tanpa tujuan. Matanya tidak pernah sekalipun duduk diam. Takut sekiranya dia terlepas pandang dan majalah itu tidak dapat di sampaikan kepada tuannya. Nanti dia pula yang di bebel. Maya kalau bab membebel, memang nombor satu. Tiada siapa boleh lawan.

Dan akhirnya figura seseorang yang berambut panjang, memakai baju putih serta mengenakan skirt warna merah seperti dalam gambaran Maya tadi terlayar di ruang matanya. Serta-merta dia tersenyum sebelum pantas menghampiri. Dari berjalan, dia berlari-lari anak. Namun apabila melihat pintu lif yang sudah terbuka, Qaira terus memanggil. Bimbang terlepas pula sasaran di depan mata.

“Cik! Cik!”

Reena yang baru mahu memasuki lif, menoleh. Walaupun tidak seratus peratus yakin bahawa dia yang sedang di panggil itu, namun kakinya tetap berhenti. Saat terlihat seorang gadis sedang melambai-lambaikan tangan ke arahnya, dia pantas mengerutkan dahi.

“Awak panggil saya?”

Qaira yang baru tiba, hanya mengangguk. Mengah juga bila terpaksa mengerah tenaga. Nampak sangat bahawa aktiviti berjoging dan berlari itu sudah lama di tinggalkan. “Cik tertinggal ni,” katanya sebelum menyerahkan beg plastik yang di beri oleh Maya.

Tiba-tiba Reena menepuk dahinya. Pasti dia lupa gara-gara begitu teruja menerima mesej dari Harris. Tanpa berlengah, beg plastik itu segera di ambil. “Saya terlupa. By the way, thanks. Cuai betul saya ni,” ujarnya dalam senyuman. Tapi kali ini, dia akui yang senyumannya memang ikhlas. Tidak di buat-buat dan ianya lahir dari hati. Maklumlah, moodnya sudah di ubati dengan mesej pendek dari Harris tadi.

“Sama-sama,” balas Qaira perlahan. Rasa mengahnya cuba di usir. Buat malu sahaja muda-muda sudah semput. Dia bukannya berlari keliling padang pun.

“Awak pekerja baru ke?” Tanya Reena.

“Err… ya,” jawab Qaira.

“Patutlah tak pernah nampak. Dah berapa lama kerja?”

Qaira terdiam seketika. “Sepatutnya dah nak masuk dua bulan tapi…”

“Tapi…”

“Eh, tak ada apa-apalah.” Qaira tidak mahu memanjangkan cerita. Yang lepas, biarlah berlalu. Usah di kenang-kenang. Buka sahaja buku baru. Jadi sudah semestinya kiraan hari bekerja juga baru. Tempoh sepuluh hari di awal dulu, mansuhkan sahaja.

Reena ketawa kecil. “Kelakarlah awak ni.”

Qaira ikut ketawa. “Kalau macam tu, saya pergi dulu. Hati-hati cik.”

“Kejap. Nama saya Reena. Awak?”

“Nurin Qaisara,” beritahu Qaira. Dia sudah bertekad tidak mahu menyebut nama Qaira jika ada yang bertanya. Takut dia akan terkena lagi seperti dengan Harris dulu.

“Panjang sangat tu. Saya nak panggil apa?” Soal Reena.

Qaira akhirnya tersengih. Bagaimanalah dia mahu membezakan semua yang bertanyakan namanya itu mahu tahu nama penuh atau nama singkatan? Rasanya dia patut menyalahkan Harris untuk semua ini. Dia seolah-olah trauma mahu memberitahu nama singkatan sahaja. “Panggil Qaira je.”

“Saya rasa seronok borak dengan awak. Tak tahu kenapa. Rasanya kita boleh jadi kawan yang baik. Anyway, awak ni comellah Qaira. Mesti ramai yang nak. Betul tak?”

“Eh, tak adalah cik Reena. Biasa je. Cik lagi comel, cantik. Cik pun baik juga.”

“Ada-ada je lah awak ni. Okeylah, saya pergi dulu. Nanti kita jumpa lagi. Boleh borak panjang sikit. Bye,” kata Reena sebelum segera memasuki lif yang sememangnya sudah terbuka.

Qaira mengangguk sahaja sambil sempat melemparkan senyuman sehingga pintu lif benar-benar tertutup. Siapa cik Reena ni? Rasanya dia harus segera mendapatkan jawapan dari Maya. Baginya perempuan cantik itu sedikit misteri. Bertanya seolah-olah dia isteri kepada bos. Mungkinkah dia teman wanita Harris? Tapi tak mungkinlah. Perempuan itu terlalu baik untuk Harris. Tapi kalau dari segi fizikalnya, mereka nampak sesuai juga. Sama cantik, sama padan. Bagai pinang di belah dua.

Previous: Bab 16
Next: Bab 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman