Sudah kering air mata
Puan Sri Aisyah. Tapi Reena tetap juga begitu. Masih terbayang-bayang saat dia
melihat Reena terkulai layu di atas permaidani dengan pil-pil yang bertaburan
berhampiran anaknya itu. Walaupun doktor menyatakan yang Reena hanya menelan
pil tidur dalam kuantiti yang tidak membahayakan, hatinya masih saja di pagut
resah. Reena tidak pernah begini. Setiap masalah pasti akan di selesaikan dengan
bijak. Bukan terdesak!
“Aunty dengan uncle baliklah dulu. Lagipun tak lama lagi
mummy sampai,” kata Harris. Kasihan
pula melihat wajah sugul Puan Sri Aisyah dan Tan Sri Salleh.
Tan Sri Salleh hanya mampu memandang isterinya. Tidak
banyak komunikasi di antara mereka hari ini. Hanya esak tangis dan kata-kata
semangat yang menghidupkan suasana. “Betul cakap Harris tu. Kita mandi dan ganti
baju. Nanti bila dah siap, kita datang lagi.”
Puan Sri Aiyah menggeleng perlahan. “Saya nak tunggu Reena
sedar.”
“Dari tadi aunty
tak keluar dari bilik ni. Aunty baliklah dulu, rehat. Tak apa, Ris ada kat
sini. Irfan pun ada.”
“Betul tu aunty.
Kami ada kat sini,” celah Irfan.
“Kita balik ya?” Giliran Tan Sri Salleh pula yang memujuk.
Bahu Puan Sri Aisyah di pegang kejap.
Agak lama, barulah Puan Sri Aisyah bersetuju. “Mama balik
dulu sayang. Bangunlah. Jangan buat mama risau,” katanya lalu mencium dahi
Reena.
“Ris, nanti kalau ada apa-apa, cepat-cepat bagitahu
uncle,” pesan Tan Sri Salleh.
“Uncle jangan
risau,” balas Harris.
“Tolong ya Ris.” Puan Sri Aisyah pula yang berpesan. Ikutkan
hati dia tidak mahu meninggalkan Reena. Tapi dia juga perlukan tenaga. Kalau dia
sakit, bukankah akan lagi menyusahkan?
Kali ini Harris sekadar mengangguk. Langkah Puan Sri Aisyah
dan Tan Sri Salleh di perhati sehingga hilang di sebalik pintu.
“Kau rasa kenapa Reena telan pil tidur?” Tanya Irfan
setelah hanya tinggal mereka berdua di situ.
Harris menggeleng. “Aku tak tahu. Dia tak pernah cerita
kat aku yang dia ada masalah.”
Seketika, mereka diam. Harris meraup wajah sebelum
mengerling jam di tangan. Pukul 8.00 malam! “Kau baliklah. Biar aku tunggu
sini,” katanya kepada Irfan.
“Eh, tak apalah. Aku teman kau.”
“Buat apa nak teman aku? Aku ni sihat. Pergilah balik. Kejap
lagi mummy sampai.”
“Betul ni?” Soal Irfan.
“Betul.”
“Okeylah. Aku balik dulu,” ujar Irfan sambil menepuk bahu
harris. baru beberapa langkah, dia kembali berpaling. “Err… pasal tadi, aku nak
minta maaf. Aku tak sepatutnya cakap macam tu.” Tiba-tiba pula dia di terpa
rasa bersalah dengan kejadian siang tadi. Tidak sepatutnya dia dan Harris
bertelagah gara-gara perkara kecil itu.
“It’s okay.” Harris
tidak mahu lagi memanjangkan perkara itu. Cukuplah cerita itu terkubur begitu
sahaja.
***
Irfan melewati pintu keluar hospital dengan mata yang
tidak lepas dari memandang sesusuk tubuh yang berjalan beberapa langkah di
hadapannya. Sekejap di lihatnya gadis bertudung merah jambu itu berhenti melangkah
dan memegang kepalanya. Sekejap pula gadis itu bagai mahu rebah setelah
melangkah beberapa tapak.
“Kenapa dengan dia tu?” Irfan tertanya-tanya. Hatinya mula
merasakan sesuatu yang tidak baik. Mungkinkah gadis itu sakit?
Dan apabila sekali lagi gadis itu mahu rebah, dia cepat-cepat
menghampiri. Bahu gadis itu di pautnya. Dia terasa bertanggungjawab pula untuk
membantu. “Cik tak apa-apa?”
“Kepala saya… sakit,” jawab gadis itu.
“Cik nak pergi mana ni?” Tanya Irfan. Namun sesekali, sempat
juga matanya melirik mahu memandang wajah gadis yang terselindung di sebalik
tangannya yang sedang memegang kepala itu.
“Saya nak pergi kereta.”
“Tak apalah. Biar saya hantar. Kereta cik kat mana?”
“Kat depan tu. Hujung sekali. Warna putih,” jelas gadis
itu.
Irfan melihat ke arah yang di maksudkan gadis itu. “Cik
seorang je?”
“Tak. Saya dengan adik. Tapi dia pergi tandas. Dia suruh saya
tunggu kat dalam tapi saya tak tahan. Nak baring kat kereta.”
“Betullah apa adik cik cakap tu. Mesti dia bimbang jadi
apa-apa kat cik,” kata Irfan sambil terus memaut bahu gadis itu. Bimbang juga
nanti gadis itu rebah lagi.
“Yang ni ke kereta cik?” Tanya Irfan setelah mereka berada
di tepi sebuah kereta Honda vios berwarna putih.
Gadis itu mengalihkan sedikit tangannya yang memegang
dahi. “Iya. Tapi kunci kereta tak ada kat saya.”
“Susahlah kalau macam tu,” gumam Irfan. Namun sebenarnya,
dia agak terganggu dengan nombor plat kereta gadis itu. Benarkah atau dia yang
salah ingatan?
“Abang Irfan?”
Panggilan itu membuat Irfan lekas mengangkat kepala. Siapa
pula gadis yang memanggilnya ‘abang Irfan’ ini? Lama dia memerhati. Dan apabila
ingatan yang di raih datang sepantas kilat, terasa waktu di sekeliling bagaikan
berhenti berputar. Bukankah gadis di hadapannya ini Aina? Kalau begitu… perlahan-lahan dia menoleh ke sisi.
Apabila pandangan mata mereka berdua bertatut, Irfan tersentap. Begitu juga
dengan gadis itu.
“Irfan Hakimi.” Nama penuh Irfan di sebut.
‘Nurain Hani,’ desis hati kecilnya. Tiba-tiba saja hatinya
sakit dan pedih. Kenapa mereka harus bertemu lagi? Kehidupannya sudah baik sekarang.
Tapi berjumpa semula dengan Ain sama saja seperti membelek diari lama. Kenangan
itu pasti akan kembali menghantuinya.
“Saya… tak tahu awak yang tolong saya,” ujar Ain. Sakit di
kepalanya cuba di tahan. Pasti ada hikmah di sebalik pertemuan ini. Hati Ain
sempat bermonolog sendiri.
Irfan segera melepaskan pautan tangannya. Ya ALLAH, bagaimana
dia boleh lupa pada suara Ain? Bukannya dia tidak pernah mendengar suara gadis
itu ketika sakit dulu. Selalu. Argh!! Bodohnya kau! Tanpa berlengah, dia
bergegas pergi dari situ.
“Abang Irfan tu kenapa? Macam nampak hantu,” ujar Aina.
Ain tersentak. Kenapa Aina cakap macam tu dik? Kalau betul
Irfan nampak hantu, kakaklah hantu tu. Hantu yang telah berjaya membuat Irfan
pergi tanpa sepatah kata.
Aina kemudiannya memandang wajah kakaknya yang nampak
semakin keruh itu. “Err… kak Ain okey?”
Ain tidak segera menjawab. Okeykah dia? Tidak! Mana
mungkin dia okey bila harus bersua kembali dengan bekas kekasih yang telah di
hancurkan hatinya gara-gara terlalu mengikut perasaan. Namun dia tidak mahu Aina
tahu. Sebelum ini, adiknya itu sudah banyak tahu tentang masalah yang di
hadapinya. Kali ini, biarlah dia sendiri yang menanggungnya. “Okey.”
“Tapi tadi tak kanlah kak Ain tak tahu yang lelaki tu
abang Irfan?” Tanya Aina.
“Kak Ain tak tengok muka dia.”
“Tapi tak kan lah kak Ain tak kenal suara abang Irfan?” Aina
sangsi dengan kenyataan kakaknya itu.
“Kalau kak Ain tahu, kak Ain tak bagi dia tolong. Kalau
boleh, kak Ain lari. Sembunyi dari dia,” jawab Ain beremosi. Dia marah dengan Aina.
Tadi dia benar-benar sakit. Tiada masa mahu mengingat suara itu datangnya dari
siapa. Dan kalau dia tahu lelaki itu Irfan, memang dia akan lari. Dia malu
setelah apa yang di lakukannya dulu.
Aina terkedu. Nampaknya emosi kakaknya tidak stabil ketika
ini. “Kak…”
“Bukalah cepat,”
bentak Ain apabila dia gagal membuka pintu kereta.
Pantas Aina menekan punat pada kunci kereta. Setelah itu, pintu
kereta terus di buka dengan kasar oleh Ain. Aina ikut masuk ke dalam kereta.
Seketika, dia memandang kakaknya yang sudah menyandarkan kepala sambil menutup
mata itu. “Sorry kak Ain.” Aina
betul-betul tidak menyangka yang reaksi kakaknya akan jadi begini bila bertemu
lagi dengan Irfan.
Ain tidak menoleh. Malah matanya juga tidak di buka. Kini bukan
kepalanya saja yang sakit. Tapi hatinya juga. Tanpa sedar, ada air hangat yang melewati celah matanya.