Irfan melangkah masuk
ke dalam Zeal Bookstore dengan
perasaan yang bercampur baur. Separuh mahu teruskan, manakala separuh lagi
tidak. Tapi dia berpegang pada separuh yang mahu teruskan itu kerana rasanya
perasaan itu ada lebih sedikit. Lagipun dia bukannya mahu terus melamar. Cuma mahu
berkenalan. Tahu nama pun sudah cukup baik. Tapi kalau dapat tahu lebih pun,
lagi bagus. Tidak perlulah dia bertanya banyak. Hanya tanya sekali, tapi
jawapannya dapat berkali-kali.
Langkah yang di hayun di teruskan rentaknya. Nampak
teratur dan tidak gopoh. Seolah-olah sepasang kakinya itu tahu apa yang di niatkan
di hati. Tidak lama, wajah gadis comel itu muncul di depan mata. Terus sahaja dia
meleretkan senyuman. Namun langkah kaki yang di atur terhenti tiba-tiba.
“Betul ke apa aku buat ni?” Bisiknya perlahan.
“Alah, pergi je. Dia pun manusia juga. Tak penting kerja
apa. Yang penting halal,” katanya kemudian.
“Tapi…” tidak semena-mena dia berpaling ke belakang. Kenapa
perlu ada perasaan yang menyekat niatnya ini? Ternyata egonya kembali muncul
meracuni hati dan fikiran. Susah juga kalau hanya mahu berkenalan dengan yang
sama taraf sahaja. Tambah-tambah lagi bila hati sudah berkenan pada seseorang
yang jauh dari jangkaan.
Lantas dia tergeleng-geleng di situ. Pergilah ego.
Pergilah jauh-jauh. Kali ini, biar hati yang memilih. “Go Irfan! Go!” Luah
bibirnya.
“Encik.”
“Eh go, go,” latah Irfan. Pantas dia menekup mulut. Aduh,
malunya! Mungkin 20 tahun yang akan datang pun malunya ini tidak akan hilang.
Perlahan-lahan dia menoleh. Gadis yang tadi di lihat agak jauh, kini sudah
berdiri di sebelahnya. Alahai… confirm kena reject!
Qaira pula terus mengetap bibirnya. Janganlah terlepas
tawanya di hadapan lelaki berwajah tampan dan berkulit cerah ini. Walau apa
sekali pun, perasaan pelanggan harus di jaga. “Encik okey?” Tanyanya.
Irfan tersenyum kelat. Masa dia okey? Melatah depan
perempuan tidak okey. Sia-sia sahaja kalau selepas ini dia di label encik
latah. “Err.. okey. Kenapa?”
“Tak adalah. Tadi saya perasan encik cakap sorang-sorang.
Tu yang saya tegur,” jawab Qaira.
“Awak perasan ke?”
Qaira sekadar mengangguk.
Irfan terdiam. Ketepikan soal malu kerana dia sudah
berperasaan yang lebih besar ketika ini. Nyata gadis ini nampak comel jika di
pandang dari dekat. Bulu matanya lentik. Dan matanya bundar. cukup sempurna
pada pandangannya. Agaknya memang begini kalau mata hati sudah terbuka untuk
sesuatu yang baru. “Awak ni… comel.”
Qaira tersentak. Lelaki ini yang wayar putus atau dia? Tiada
angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja mahu memuji. “Encik cakap apa ni?”
“Saya cakap awak comel. Tak nak berterima kasih?”
“Hah? Emm… terima kasih,” ucap Qaira. Dia malu bila di
puji begitu. Dan bila malu, pasti wajahnya jadi merah. Janganlah lelaki itu
perasan.
Tiba-tiba Irfan tergelak. “Muka awak… merah.”
Qaira meraba wajahnya. “Tak adalah encik.”
“Betul. Saya tak tipu. Awak tak nampak. Sebab tu awak tak
tahu.”
“Memanglah saya tak nampak. Tapi ini muka saya. Jadi saya
tahulah kalau muka saya sekarang merah atau tak,” jawab Qaira.
“Saya tahu muka awak. Tapi masalahnya sekarang saya memang
nampak muka awak merah. Jadi…”
“Tak apalah encik. Saya pergi dulu.” Percakapan lelaki
yang tidak di ketahui namanya itu segera di pintas. Qaira sebenarnya mula rasa
tidak selesa. Terasa pelik pula bila mereka berbalah soal mukanya yang merah
atau tidak.
“Boleh saya tahu nama awak?” Irfan terus bertanya. Nanti
melepas, rugi besar dia.
Qaira tidak jadi melangkah. “Kenapa?”
Irfan tersegih. “Tak adalah. Mana tahu lepas ni saya
datang sini lagi. Jadi kalau terserempak dengan awak, bolehlah panggil nama.”
“Tak payah panggil nama pun tak apa. Encik boleh panggil
saya cik.”
“Cik? So,
maknanya awak belum kahwinlah? Good! Tapi
saya tetap nak tahu nama awak. Tak kan saya nak panggil cik muka merah pula?”
“Qaira.”
Irfan mengerutkan dahi. “Apa?”
“Qaira. Nama saya Qaira,” ulang Qaira sebelum dia terus
berlalu meninggalkan lelaki itu. Tidak usah di beritahu nama penuh kerana dia
yakin yang lelaki ini mahu berkenalan. Nyata dia telah matang dalam menghadapi
situasi sebegini.
“Qaira.” Irfan tersenyum lebar saat menyebut nama itu. Dan
tanpa gema muzik, hatinya terus sahaja mengalunkan lagu gembira.
***
“Seorang je ke?” Tanya Irfan sebaik pintu di buka dari
dalam.
“Kau ingat aku
macam kau ke?”
“Main kasar
nampak. Ingat sikit, aku tinggal dengan family
aku. Kau tinggal seorang. Jadi kemungkinan untuk kau bawa orang lain kat rumah
ni lagi besar dari aku,” kata Irfan selajur masuk ke dalam kondo Harris itu.
“Yalah tu. Ni
kenapa tiba-tiba datang?”
“Sejak bila pula aku tak boleh datang?”
Harris menutup
pintu sebelum menyertai Irfan yang sudah duduk di atas sofa di ruang tamu rumah.
“Tak adalah. Pelik je. Selalu kau datang sini sebab aku yang suruh. Kalau tak,
jangan haraplah nak tengok muka kau kat sini.”
“Aku sebenarnya nak
mengaku depan kau.”
“Pasal apa?”
“Aku rasa aku dah
kalah,” ujar Irfan.
Harris
mengerutkan dahi. “Kalah yang macam mana?”
“Kalah dengan
mainan perasaan. Yalah, tak guna impikan pasangan yang sempurna kalau diri sendiri pun banyak kekurangan.”
“Alhamdulillah
tahniah. Akhirnya kau dah insaf.”
“Dia dah ubah aku.”
Harris tergelak. “Kau kena bawa aku jumpa dia.”
Irfan tersengih lebar. Pasti Ris. Pasti! “Sure.”
“Kalau kau dah buat pengakuan, aku pun nak buat juga.’
“Okey, teruskan.”
“Selama ni hati aku kosong. Tapi aku dah buat keputusan
untuk cuba isi kekosongan tu dengan terima Reena.”
Irfan nampak terkejut. “Kau serius?”
“Insya-ALLAH.”
“Kau buat keputusan yang betul. Tak rugi apa-apa kalau kau
cuba. Dan rasanya aku kena balas balik kat kau.”
“Balas apa?” Tanya Harris.
“Alhamdulillah tahniah. Akhirnya, kau pun dah insaf,” ujar
Irfan sebelum ketawa.
Harris turut ketawa. Ya, hakikatnya mereka sama-sama telah
‘insaf.’