Penat menunggu, Qaira
membuat keputusan untuk menjenguk Maya di dalam bilik. Ada lima belas minit
lagi sebelum pukul 8.00 Malam. Cadangnya mahu bertolak awal. Maya juga sudah di
beritahu. Mustahil sahabatnya itu lupa. Namun ketika pintu bilik Maya yang
sedikit renggang itu di tolak, dia pantas membulatkan mata. Nampaknya Maya
benar-benar lupa!
“Kau tak siap lagi?”
Maya tersengih. “Aku rasa aku tak jadi pergilah.”
“Kenapa?” Tanya Qaira
“Aku tiba-tiba segan pula. Yalah, encik Irfan tu siapa.
Kita ni siapa. Kau pun satu. Kenapa tak bagitahu dari awal yang kau tak nak
pergi? Kan senang.”
Qaira mengeluh perlahan. “Ingatkan kau lupa. Alah, aku
rasa bersalah kalau tak pergi.”
“Cakap je lah kau ada kecemasan.”
“Masa dia hantar aku balik dulu, aku tipu dia. Aku cakap
rumah uncle Ah Meng tu rumah aku. Tapi
sekarang dia dah tahu. Tak kan nak nak tipu lagi?”
Maya akhirnya menggelengkan kepala. “Yang kau tipu encik
Irfan tu kenapa? Susahlah macam ni. Yalah aku pergi. Kau tunggu kat bawah. Aku
siap kejap.”
Qaira tersenyum senang. “Terima kasih. Kau dah solat?”
“Dah. Pergilah. Kejap lagi aku turun.”
“Okey,” balas Qaira lalu segera keluar dari bilik Maya. Namun
dia tidak berhajat untuk menunggu di ruang tamu. Sebaliknya dia duduk di kerusi
yang tersedia di luar rumah. Entah kenapa hatinya rasa tidak tenang ketika ini.
Tangannya pula tiba-tiba jadi sejuk.
“Kenapa dengan aku ni?” Tanya Qaira perlahan.
“Kenapa cakap sorang-sorang?”
Teguran itu membuatkan Qaira terkejut. Cepat-cepat dia
berdiri dan memandang uncle Ah Meng
yang berdiri tepi pagar. “Uncle. Tak
lah. Mana ada cakap sorang-sorang.”
“Mahu pergi mana cantik-cantik?” Tanya uncle Ah Meng pula.
“Saya nak pergi rumah kawan. Hari ni hari jadi dia,” jawab
Qaira ramah.
“Mesti kawan you
yang hari tu. Betul kan?”
Qaira mengerutkan
dahi. “Yang hari tu? Siapa uncle?”
“Haiya, itu budak lelaki yang you sudah tipulah. Kenapa
tipu dia? Ini mesti dia mahu mengurat you tapi yau tak mahu layan,” kata uncle Ah Meng sambil tersengih-sengih.
Irfan Hakimi!
Pantas sahaja nama itu meluncur laju di fikiran Qaira. “Uncle jumpa dia ke?”
Uncle Ah Meng
ketawa. “Mestilah uncle jumpa. Dia
berdiri depan rumah uncle.”
“Oh ya ke?”
“Mula-mula dia
tak percaya ini rumah uncle. Tapi
bila dia nampak Rocky duduk depan rumah, baru dia percaya,” beritahu uncle Ah Meng lagi.
Patutlah Irfan tahu nama Rocky. Aduh Rocky ni! Tak boleh
kompromi langsung. Mahu juga tidur di laman depan. “Saya minta maaf uncle.”
“Tak apa,” balas uncle
Ah Meng.
Qaira menarik nafas lega. Nasibnya kerana mendapat jiran
yang baik. Kalau tidak, sia-sia saja dia di marahi uncle Ah Meng.
***
“Betul ke ni rumah encik Irfan?” Tanya Maya.
“Kalau ikut alamat, betullah ni. Tapi kalau salah, itu
maknanya encik Irfan bagi alamat yang tak betul,” balas Qaira.
Maya mengangguk sambil matanya terus ralit memandang
banglo dua tingkat yang tersergam indah di depan mata. “Aku tak pernah terfikir
yang aku akan jejak kaki kat rumah mewah macam ni. Rasa macam mimpi pula.”
“Aku pun sama.” Qaira turut mengakuinya.
“Jomlah kita masuk. Penat berdiri kat luar ni.”
Melihat Maya yang sudah melangkah, cepat-cepat Qaira menarik
lengan sahabatnya itu. “Nantilah kejap.”
Maya berpaling. “Dah kenapa pula ni?”
“Aku… segan.”
“Segan? Kat rumah tadi beria-ia sangat nasihat aku. Dah lah,
tak payah nak segan sangat. Kita dah sampai pun. Kalau nak segan, baik tak
payah datang. Jom,” kata Maya selajur menarik tangan Qaira.
Pegangan kuat Maya, mendorongnya untuk bergerak. Namun
belum sempat sampai ke pintu utama, biasan cahaya lampu tiba-tiba menerangi
halaman rumah mewah itu. Pantas mereka berdua berpaling ke belakang.
“Siapa pula tu?” Maya mengecilkan matanya.
“Encik Irfan kata dia tak jemput sesiapa,” ujar Qaira. Dan
saat itu, hatinya kembali tidak tenang.
Apabila pemandu kereta tersebut keluar dari kereta, Qaira
terkedu. Namun belum sempat dia membuka mulut, Maya sudah terlebih dulu
melakukannya.
“Encik Harris rupanya.”
Qaira terus mengetap bibir. “Kenapa encik Harris ada kat
sini?”
Maya mengerutkan dahi. “Eh kau ni. Dah encik Harris tu
sepupu dengan encik Irfan, Mestilah dia ada. Kan pelik tu kalau encik Irfan jemput
kau tapi tak jemput encik Harris.”
“Kalau aku tahu, aku tak kan datang.”
“Itu salah kaulah sebab tak tahu. Habis tu sekarang kau
nak balik?” Soal Maya.
Qaira diam seketika. Wajah Maya di renung lama. “Nak.”
“Hisy kau ni! Kita dah sampai depan rumahlah. Tak kan nak
balik?”
“Siapa yang nak balik?” Tanya Irfan tiba-tiba.
Mereka berdua tersentak sebelum berpaling. “Eh, encik Irfan,”
ujar Maya sambil tersengih kelat. Begitu juga dengan Qaira.
“Awak berdua bukan baru sampai ke? Tak kan dah nak balik?”
“Err…” Qaira menoleh Maya. Tetapi sahabatnya itu hanya
menggunakan isyarat mata. Langsung tidak mahu membantu. Lantas wajah Irfan kembali
di pandang. “Tak. Kami kena balik awal. Tu je.”
Irfan akhirnya tersenyum. “Tak apa. Saya faham. Lagipun
bahaya balik lewat malam.” Seketika pandangannya teralih kepada Maya. “Saya
rasa macam pernah nampak awaklah.”
“Memanglah. Saya satu tempat kerja dengan Qaira. Encik je
yang tak perasan,” jawab Maya.
“Patutlah macam pernah nampak,”
balas Irfan.
Maya dan Qaira tersenyum cuma. Namun senyuman Qaira mati
tatkala terpandang Harris yang sudah tegak berdiri di sisinya.
“Lambat sampai. Mak long mana?” Tanya Irfan. Walau apa pun
reaksi wajah Harris ketika ini, dia malas mahu ambil peduli. Malam ini
majlisnya. Siapa yang di jemput, Harris tidak boleh persoalkan.
“Kat rumah. Tak sihat,” jawab Harris sambil menahan diri
dari rasa terkejut. Mana tak terkejut. Ada orang luar yang menyertai mereka.
Tambah-tambah lagi orang luar itu, Qaira.
“Tu lah. Mama pun ada mention
juga pasal tu. Tak apalah. Jom masuk.” Irfan memberi laluan buat Qaira dan Maya
untuk berjalan di hadapan. Setelah itu, dia terus membuntuti dari belakang.
Namun langkahnya terhenti bila Harris memegang bahunya. Pantas dia menoleh.
“Kenapa kau jemput Qaira?” Tanya Harris dengan wajah
serius.
Irfan menepuk-nepuk bahu Harris lalu tersenyum. “Masuk je
lah,” katanya tanpa peduli pada pertanyaan dari sepupunya itu.
Harris bercekak pinggang. Apa sebenarnya agenda Irfan?
Sungguh dia rasa curiga dengan semua ini.