Reena menyembamkan wajahnya di atas
tilam. Air mata yang sudah kering, kembali berlinang. Mujur mamanya tiada di
rumah ketika dia sampai tadi. Kalau tidak, pasti bermacam-macam soalan yang
akan di tanya. Kenapa balik awal? Kenapa muka masam? Kenapa mata bengkak? Buat
masa ini, dia tidak kuat untuk bercerita. Sesungguhnya rasa kecewanya datang
bagai hujan yang mencurah-curah. Dalam sekelip mata sahaja, perasaan yang di
semai selama bertahun-tahun musnah hanya dengan satu pengakuan.
Bodohnya
dia kerana terlalu mengharap. Perasannya dia kerana terlalu yakin.Ternyata rasa
sayang Harris kepadanya tidak pernah berubah. Seorang adik akan tetap menjadi
adik buat selama-lamanya. Tapi masalahnya, dia tidak mahu menjadi adik kepada
Harris Ilman. Kalau dulu, dia masih boleh menerima walaupun tanpa rela. Tapi
sekarang, tanpa rela pun dia tidak mahu. Rasa cintanya terhadap Harris sukar di
bendung lagi.
Ternyata
hati Harris seteguh konkrit. Walaupun di dalam dunia Harris hanya ada Reena
Sofea, namun isi di dalam dunia itu nyata tidak sama. Apa lagi yang kurang? Apa
lagi yang Harris mahu? Tidak semena-mena, bunyi deringan telefon bimbitnya
berbunyi nyaring. Bergegar tubuhnya kerana terkejut. Namun panggilan itu di
biarkan sahaja. Dia tiada mood untuk
bercakap dengan sesiapa pun ketika ini.
Apabila
telefon bimbitnya berdering untuk kali kedua, dia mendengus. Dalam fikirannya
sudah membayangkan bahawa Harrislah si pemanggil itu. Kalau benar, baguslah.
Boleh dia berterus terang tentang perasaannya, kesedihannya dan kekecewaannya
terhadap lelaki itu. Biar Harris tahu yang dia terluka dengan sangat parah hari
ini. Lantas beg tangannya segera di capai. Namun tidak lama, dia hampa. Nama aunty Ida yang tertera pada skrin telefon.
Bukan ‘Harris sayang.’ Dengan rasa malas, panggilan itu di jawab juga.
“Assalamualaikum
Reena. Tengah buat apa tu?” Tanya Zalida di talian sebelah sana.
Air
mata yang masih bersisa segera di seka dengan hujung jari. “Waalaikumsalam. Tak
buat apa-apalah aunty. Reena tengah
rehat. Penat sikit,” balas Reena. Namun dia sudah mula mengetap bibir. Penat
bermain perasaan. Semuanya sebab anak aunty!
Bentak hatinya.
“Oh
ya ke? Maaflah, aunty ganggu pula.”
“Tak
adalah aunty. Reena okey. Tak ganggu
pun.” Reena sedaya upaya cuba melunakkan suaranya. Marahnya pada anak. Bukan
pada mak.
“Reena
dah okey ke ni?”
“Okey.
Reena tak apa-apa.”
Zalida
tersenyum senang. Reda segala kerisauan yang melanda hatinya. Ibu mana yang tidak
risau jika anaknya tidak sihat? “Baguslah kalau macam tu. Lega aunty dengar. Ni, Harris ada call Reena tak?”
Reena
tersentak. “Tak ada pula. Kenapa aunty?”
“Taklah.
Tadi dia janji nak call aunty tapi sampai sekarang tak call lagi. Aunty risau. Takut apa-apa
jadi. Ingatkan Ris call Reena,”kata Zalida.
“Oh.
Mungkin dia sibuklah tu aunty. Biasalah Harris. Kalau dah kerja, lupa dengan
orang sekeliling,” jawab Reena perlahan. Kalau tadi Harris tidak berkata yang
bukan-bukan, pasti sekarang mereka berdua sedang makan tengah hari bersama.
Berborak tentang segala hal gembira dan sedih. Meluahkan pelbagai masalah yang
membelenggu hati. Dan mungkin juga mereka sedang berbalah sama ada mahu
menonton filem romantik atau aksi.
“Yalah,
aunty pun ingat macam tu juga. Kalau
macam tu tak apalah. Aunty tak nak
ganggu Reena. Berehatlah. Reena pun baru je keluar hospital,”ujar Zalida.
“Aunty,”panggil Reena.
“Ya?”
“Aunty percaya kalau Ris ada girlfriend?” Tanya Reena tiba-tiba.
“Girlfriend?” Zalida ketawa perlahan
sebelum kembali menyambung kata-katanya. “Reena percaya?”
Reena
menggigit bibir. “Tak.”
“Kalau
Reena yang rapat dengan Ris pun tak percaya, inikan lagi aunty. Tapi kalau Reena cakap yang Reena girlfriend Ris, yang tu aunty
percaya.”
“Kenapa
pula?”
“Sebab
Reena selalu ada dengan Ris. Lagipun, aunty
suka kalau betul Ris dengan Reena,” kata Zalida.
Reena
terdiam seketika. Jawapan Zalida memberinya satu ruang pemikiran yang baru.
Entah ini petunjuk atau bisikan jahat. Dia tidak tahu. Yang pasti, hati dan
mindanya sangat bersatu ketika ini.
“Reena?”
Zalida bersuara di hujung talian. Kebisuan Reena membuatnya tertanya-tanya.
“Boleh
tak kalau Reena jumpa aunty malam
ni?” Senafas Reena bertanya.
Zalida
terseyum. “Bolehlah. Tak payah tanya, datang je. Nanti aunty bagitahu Ris. Boleh kita makan sekali.”
“Err…
tak payahlah bagitahu Ris. Lagipun Reena nak jumpa aunty, bukan dia,” balas Reena.
Zalida
mengerutkan dahi. “Reena ada masalah dengan Ris ke sayang?”
“Eh,
tak adalah aunty. Cuma malam ni Reena
nak cakap dengan aunty seorang je.
Baru ada privacy. Lagipun Reena dah
selalu cakap dengan Ris. Bosan,” dalih Reena.
“Bosan?
Tak percayalah aunty.”
“Aunty tak nak jumpa Reena?”
Zalida
tergeleng perlahan. Dari kecil, Reena manja dengannya. Puan Sri Aisyah juga
adakalanya cemburu. Tapi apalah sangat bandingan dirinya dengan ibu kandung.
Walaupun sayang mereka sama, tetap jauh bezanya kalau di ukur. “Tak naklah
merajuk. Yalah, tak payah ajak Ris. Malam ni kita dua je.”
“Okey
aunty. Bye.” Setelah talian di putuskan, Reena terus berbaring di atas
tilam. Tubuhnya di lentangkan sambil tangannya di depakan seluas mungkin. Dia
seorang yang tidak suka menunggu. Harris harus tahu itu. Kalau Harris tidak
mahu memulakannya, biar dia sendiri yang mengambil langkah awal. Baginya,
istilah perigi mencari timba sudah lapuk dan tidak boleh di pakai lagi.
***
“Kenapa senyap je ni?” Tanya Zalida
risau. Sejak sampai tadi, Reena tidak banyak bunyi. Seperti ada sesuatu yang
membelenggu diri gadis cantik itu.
Reena
menoleh Zalida di sisinya. Diamnya bersebab. Sesungguhnya, ada satu perkara
besar yang sedang dia pertimbangkan ketika ini. “Reena tengah fikir sesuatu.”
“Fikir
apa?”
“Aunty sayang Reena?”
Zalida
tersenyum. Rambut panjang Reena di usap perlahan. “Mestilah aunty sayang. Kenapa tanya soalan macam
tu?”
“Reena
cuma nak tahu je,” balas Reena.
“Reena
dengan Ris macam mana? Okey?”
Reena
mengangguk. “Okey. Aunty, Reena nak
tanya sikit.”
“Nak
tanya apa?”
“Aunty rasa siapa gadis bertuah yang
berjaya tawan hati Ris tu?”
Zalida
tersentak. Kemudian, dia tersengih. “Bukan Reena ke?”
Reena
tersenyum hambar. Kalaulah dia gadis bertuah itu, tidaklah dia sesak memikirkan
nasib dirinya. “Taklah.”
“Aunty pun tak tahu. Tapi harap-harap,
Reenalah gadis bertuah tu,” ujar Zalida. Dia bukannya memilih sangat soal menantu.
Tapi kalau Reena pilihan Harris, dia akan menjadi lebih senang hati. Perwatakan
Reena dia sudah hafal. Baik dan buruk gadis itu sudah sebati dalam dirinya.
“Aunty nak Reena kahwin dengan Ris ke?”
“Reena
tak suka?” Zalida bertanya kembali.
Reena
tidak segera menjawab. Kalau itu yang Zalida mahukan, dia akan memberi. Nampaknya
perkara yang besar itu sudah jadi kecil sekarang. Pengakuan Zalida benar-benar
telah membuka peluang untuknya. Sama ada berjaya atau tidak, baik dan buruknya
nanti semua akan datang kepadanya juga. Itu satu risiko yang harus dia telan.
“Dari tadi Reena asyik fikir pasal ni. Takut aunty tak nak terima. Tapi Reena tahu aunty sayang Reena. Dan aunty
pun mesti takkan boleh tolak permintaan Reena ni.”
Wajah Zalida nampak kosong. Dia bingung. “Reena cakap apa ni?”
Wajah Zalida yang penuh tanda tanya itu membuatkan Reena semakin tidak sabar untuk bercerita. Walaupun
belum bermula, dia sudah tahu yang dia akan menang. Permintaannya bukan murah.
Jadi tiada sebab untuk Zalida menolaknya.