Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 33

“Awak tak ada hak nak tampar dia,” kata Harris selajur menahan tangan Malik dari terus hinggap di pipi Qaira. Malik terpana. Tangannya cuba di gerakkan tapi tidak berdaya. Cengkaman tangan Harris terlalu kemas. Dan tidak lama, dia melarikan wajah. Pandangan tajam majikannya itu terasa merimaskan.

Mendengarkan suara itu, laju Qaira membuka mata. Dan memang tepat seperti jangkaannya. Suara itu milik Harris Ilman.

“Mulai hari ni, saya tak nak tengok muka awak lagi kat sini sebab saya tak perlukan pekerja yang biadap macam awak,” ujar Harris lalu segera melepaskan cengkaman tangannya.

“Saya… saya minta maaf… encik Harris,” ucap Malik tersekat-sekat.

“Bukan pada saya awak patut minta maaf.”

Malik merungut dalam hati. Perlahan-lahan wajah Qaira di pandang. Terasa makin besar bencinya pada gadis itu. “Aku minta maaf,” ujarnya sebelum terus berlalu pergi. Namun sempat juga dia menoleh ke belakang. Janjinya, dia tidak akan berhenti setakat ini kerana kini dia punya lebih banyak sebab untuk membenci Qaira.

Qaira tercengang. Kelibat Malik yang sudah semakin jauh di pandang tanpa berkelip. Semua ini terasa bagai mimpi. Siapa sangka, Harris akan jadi penyelamatnya hari ini. Serentak dengan itu, dia berpaling. Tapi sayangnya Harris sudah tiada di sisi. Tanpa menunggu lama, langkah Harris di kejar. “Encik.”

Harris tidak mengendahkan panggilan itu dek rasa ragu yang tiba-tiba membelenggu hati. Patutnya rasa ragu ini hadir sebelum dia mengambil sebarang tindakan beberapa minit yang lalu. Bukan sekarang. Tapi satu yang dia pasti. Dia ragu bukan kerana tindakannya membuang Malik. Tapi ragu kerana memikirkan mengapa hatinya terlalu marah apabila melihat Malik mahu mengapa-apakan Qaira.

“Encik, terima kasih sebab tolong saya. Kalau tak ada encik, tak tahu apa jadi kat saya,” kata Qaira yang masih mengejar dari belakang. Dan langkahnya semakin di lajukan apabila dia melihat Harris sudah masuk ke dalam kereta.

“Masuk,” suruh Harris yang sudah menurunkan cermin tingkap keretanya.

Qaira yang baru mahu menapak menghampiri kereta milik Harris, tersentak. “Tapi…”

“Masuk,” ulang Harris.

Kali ini, Qaira akur. Apa yang berlaku tadi seolah-olah telah memadam segala perasaan yang tidak baik terhadap Harris sebelum ini. Lalu perlahan-lahan pintu kereta di buka. Setelah duduk di sebelah Harris, pintu kereta di tutup semula.

“Sekarang cakap apa yang awak nak cakap kat luar tadi. Kat sini lebih elok dari awak terjerit-jerit panggil saya,” kata Harris sebelum memusingkan badannya menghadap Qaira.

“Err…” Qaira meramas jarinya. Lidahnya kelu seketika. Walhal tadi dia yang beria-ia mahu mengucapkan terima kasih. “Saya… nak cakap terima kasih sebab encik dah tolong saya.”

“Saya tahu. Saya dengar tadi.”

“Tapi saya pun rasa bersalah kat Malik. Sebab saya, dia hilang kerja.”

Harris mendengus. “Tak payah nak kesian orang macam tu. He deserve it. Kalau saya jadi awak, memang saya dah tumbuk muka dia tadi. Melampau sangat! Dia bercakap macam tahu semua sedangkan dia tak tahu satu apa pun.”

Qaira terkejut. “Kenapa encik cakap macam tu?”

“Saya dengar semua.”

“Saya cuma tak nak ulang kejadian lepas. Cukuplah sekali masa dengan… encik dulu,” ujar Qaira dengan nada suara yang semakin perlahan di hujungnya.

“Betullah tu agaknya. Mungkin awak buat benda betul,” balas Harris.

“Saya minta maaf.”

Harris tersenyum hambar. “Benda dah lama. Saya marah macam mana pun, tetap tak boleh ubah apa-apa.”

Setelah itu mereka diam. Hanya bunyi penghawa dingin yang kedengaran. Dan tidak semena-mena, suasana itu mengundang kembali peristiwa di tepi kolam renang di rumah Irfan. Qaira menelan liur sebelum pantas menggelengkan kepala. Dia sudah gila! Berlagak biasa sudahlah. Mahu juga di fikir tentang itu.

“Kenapa geleng? Sakit kepala ke?” Tanya Harris.

Qaira segera menoleh Harris di sebelahnya. Bolehkah dia meminta petua daripada Harris? Kelihatannya lelaki itu biasa-biasa sahaja. Tapi dia, hampir setiap hari terbayang. Kalau berterusan, boleh gila bayang di buatnya. “Boleh saya tanya sikit?”

“Apa?”

“Pasal… malam tu… encik…”

“Awak boleh keluar. Dah habis cakap kan tadi?” Potong Harris.

“Err… okey. Sekali lagi terima kasih,” ujar Qaira sebelum lekas membuka pintu kereta.

Harris hanya melihat Qaira turun dari keretanya dan menghilang di sebalik deretan kereta yang lain. Dia sebenarnya tidak mahu lagi berbicara soal malam itu. Semuanya sudah berlalu. Tapi yang sudah berlalu itulah yang semakin kuat mengasak fikiran. Lantas dia memejam mata dengan harapan dia akan melupakan terus semua yang pernah terjadi.

***

Reena mengheret beg berodanya ke sana ke mari. Sudah dua puluh minit dia mencari. Sudah dua puluh panggilan yang di buat. Tapi sudahnya dia tetap bersendirian ketika ini. Sungguh dia rasa menyesal kerana menolak pelawaan dari Micheal yang mahu menghantarnya pulang ke rumah. Kalau tahu begini, tidak payah Micheal mengajak. Dia sendiri sudi mengikut lelaki itu.

“Harris ni memanglah. Dah banyak kali ingatkan. Tapi tetap lupa juga,” bebelnya sendirian. Sudah lenguh kakinya yang di balut kasut tumit tinggi warna merah terang itu. Lalu dia membuat keputusan untuk menaiki teksi sahaja. Itu lebih baik dari terus berkeliaran lagi di KLIA ini.

Setelah teksi yang di naikinya perlahan-lahan mula meninggalkan lapangan terbang, dia kembali menelefon Harris. Saja mahu memaklumkan yang dia sudah dalam perjalanan pulang. Jadi tidak perlu lagi lelaki itu bersusah payah untuknya. Dan kali ini, nasibnya baik kerana Harris menjawab panggilannya. “You kat mana?” Tanyanya. Mungkin kalau Harris berada berdekatan dengan lokasinya ketika ini, dia akan minta di turunkan di tepi jalan dan menunggu Harris. Walaupun marah, dia sebenarnya tidak mampu membendung rasa terujanya mahu bertemu dengan lelaki itu.

“Tengah drive. Kenapa?” Balas Harris di hujung talian.

Reena hampir pitam mendengarnya. Dia tidak kisah kalau Harris sedang memandu. Tapi pertanyaan kenapa di hujung itu terasa benar-benar mengejutkan “You tanya I kenapa? Tak kan you tak ingat langsung?”

“Ingat apa? I tak…” tiba-tiba Harris menepuk dahinya. Alamak, macam mana boleh tak ingat ni? “Err… okay, I’m sorry. I ambil you sekarang.”

“Tak payah. I dah ada dalam kereta.”

Harris mengerutkan dahi. “Siapa ambil you?”

“Ada banyak teksi yang beratur nak ambil I. So, you tak payah risau,” jawab Reena sebal.

“Reena, I tak betul-betul tak sengaja. Phone I silent. I tak dengar you call. Lepas meeting tadi, I singgah Zeal. Dan bila I sampai sana, ada masalah yang I memang tak boleh nak elak. Sorry.”

Reena tersenyum sinis. “Masalah yang lebih penting dari janji you pada I?”

Harris terdiam. Benarkah masalah Qaira lebih penting berbanding Reena? Kalau di fikirkan sekarang, memang mustahil. Tapi kalau di fikir dengan mendalam, dia tidak tahu. Dan sebenarnya dia takut untuk tahu.

“Dah lah. I penat. Bye.” Reena segera memutuskan talian. Tiba-tiba saja hatinya sakit. Namun saat jarinya menyentuh skrin dan membaca mesej yang baru di terima, wajah sebalnya terus sahaja di hiasi senyuman lebar. Harris memang kelemahan utamanya. Hatinya mudah cair kalau yang memujuk itu ialah Harris. Sama seperti sekarang. Seketika mesej dari Harris itu di baca lagi.

-I’m sorry. I tahu I salah. Tapi selalu ingat yg you akan sentiasa jd orang yg terpenting dlm hidup I.

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman