“Saya
tak tahu pula yang awak ada bela binatang peliharaan kat rumah,” tegur Irfan
pada gadis yang sedang berdiri membelakanginya itu. Sungguh dia terdesak mahukan
penjelasan dari Qaira. Mujur dia tahu awal. Dapat juga mengelak dari insiden yang
memalukan. Di buatnya dia menghantar rombongan mengejut ke rumah Qaira, haru
jadinya. Sudah sah-sah bukan Qaira yang terkejut. Tapi dia!
Qaira tersentak. Apabila dia berpaling, wajah Irfan hanya
berada sejengkal dari wajahnya. pantas dia berundur ke belakang. Jantungnya
berdegup laju. “err… encik irfan. Bu… buat apa kat sini?”
Irfan tersenyum lebar lalu menegakkan kembali badannya. “Saya
cari awaklah.”
“Kenapa?” Qaira berusaha mengawal degupan jantungnya. Parah
dia kalau hari-hari begini.
“Sebab awak dah hutang saya,” jawab Irfan.
Qaira mengerutkan dahi. Hutang apa? Atau mungkin dulu lelaki
ini berharap yang dia akan menghulur wang tambang? “Encik Irfan nak berapa?”
Irfan tergelak. “Awak tahu ke saya cakap pasal apa?”
“Pasal duit tambang. Encik kan pernah hantar saya balik
rumah,” balas Qaira.
“Sayangnya hutang awak lebih besar dari sekadar duit
tambang.”
“Saya hutang apa dekat encik?” Tanya Qaira.
Irfan tersengih. “Rocky.”
“Hah?”
“Ya, Rocky. Tak kenal?”
Qaira menelan liur. Kantoi! Habis! Macam mana dia boleh
tahu pula ni? “Mana encik tahu?”
“Saya pergi rumah awak semalam,” balas Irfan.
“Maaf,” ucap Qaira.
“Awak takut saya cari awak kat rumah ke?” Tanya Irfan.
Qaira diam. Bagaimana pula mahu menjawab soalan lelaki
ini? Jawab jujur, takut terasa. Jawab tipu, berdosa pula. Aduhai… payahnya!
Irfan tersenyum sahaja. “Tak apalah. Tapi kalau awak rasa
bersalah, esok malam awak kena pergi rumah saya. Mesti mama saya excited jumpa awak.”
“Mama encik?” Qaira terkejut. Biar betul lelaki ini?
Berkawan belum, bercinta jauh sekali. Tapi sudah mahu di perkenalkan kepada
keluarga.
“Saya tak pernah
bawa perempuan balik rumah. Jadi mestilah mama saya excited.”
Qaira tersenyum kelat. “Tapi encik… kita kan… belum…” dia
berhenti bersuara. Malu pula mahu mneyebut.
Seperti memahami sambungan ayat itu, Irfan terus
meleretkan senyuman. Dan akhirnya di ikuti dengan tawa kecil. “Belum apa? Bercinta?”
“Tak ada apa-apalah,” dalih Qaira. Terasa tebal
berinci-inci wajahnya. Macam tahu-tahu saja lelaki ini.
“Saya tahu apa awak fikir. Esok birthday saya. Sebab tu saya jemput awak. Tapi nanti kalau kita dah
bercinta, saya bawa awak lagi. Tak salah kan?
“Birthday?”
Makin tebal wajah Qaira jadinya. Patutnya beritahu awal-awal. Tidaklah dia
berfikir yang bukan-bukan. Buat malu betul!
“Pergi tau,” kata Irfan.
Qaira berfikir seketika. Pasti malu jika pergi ke rumah
Irfan. Sudahlah tidak kenal sesiapa. Sah-sah dia akan menjadi patung cendana
nanti. “Kalau saya tak pergi?”
“Macam saya cakap tadi. Kalau awak rasa bersalah kat saya,
awak kenalah pergi.”
“Tapi bukan ke encik pun patut rasa bersalah kat saya?”
Irfan mengerutkan dahi. “Sebab?”
“Encik tak bagitahu saya yang encik ni sepupu encik Harris.”
“Oh, pasal tu. Alah, saya sepupu siapa tak penting. So,
sekarang ni kita berbalik pada topik tadi. Awak pergi kan esok?”
“Saya… saya seganlah,” jujur Qaira mengakuinya.
Irfan menggelengkan kepala. “Tak ada sebab awak nak segan.
Saya anak tunggal. Lagipun esok tak kan ramai kat rumah saya. Saya tak jemput
sesiapa pun kecuali awak. Tapi kalau segan juga, awak bawalah kawan awak. Saya
tak kisah.”
“Saya tak janji.”
“Okey. Tapi sebagai persediaan, ni alamat rumah saya. Saya
tunggu awak,” kata Irfan sambil menghulurkan sekeping kertas kecil.
Teragak-agak Qaira menyambut kertas yang di hulur. “Terima
kasih encik.”
“Kenapa awak masih panggil saya encik?”
“Saya tak biasa. Tambah-tambah lagi sekarang bila saya dah
tahu yang encik ni sepupu encik Harris.”
“Biasakanlah. Kalau tak biasa nak panggil awak, macam mana
nak panggil abang nanti? Okeylah, saya balik dulu,” ujar Irfan lalu terus melangkah
meninggalkan Qaira.
Qaira terbatuk. Abang? Merepek sungguh Irfan Hakimi!
***
Semalaman dia berfikir. Kalau pergi, takut segan. Tapi
kalau tidak pergi, takut rasa bersalah. Sudahnya Qaira membuat keputusan untuk
pergi. Segan tidak apa. Yang penting, dia tidak rasa bersalah. Tidak tenang
hati di buatnya. Lalu perlahan-lahan Maya yang sedang duduk menonton televisyen
di hampiri. Dia mahu Maya menemaninya ke rumah Irfan. “Maya, malam ni teman
aku.”
Maya mengerling sekilas. “ Pergi mana?”
Qaira terus duduk di atas sofa. “Rumah encik Irfan.”
Pantas wajah Qaira di pandang. “Buat apa?”
“Hari ni hari jadi encik Irfan. Dia jemput aku.”
“Dia jemput kau. Dia tak jemput aku.”
“Tapi dia suruh ajak kawan,” balas Qaira.
Maya tersengih. “Bukan aku seorang je kawan kau. Ha, apa
kata kau ajak Johan.”
Qaira menggeleng. “Tak nak. Aku nak ajak kau.”
“Aku rasa encik Irfan nak bawa kau jumpa keluarga dialah.
Tak payahlah aku ikut. Buat menyemak je. Tak kan aku nak jadi barang perhiasan
pula kat sana?”
“Merepeklah. Encik Irfan jemput sebagai kawan.”
“Kena pergi juga ke?” Tanya Maya.
“Temanlah aku.”
“Tengoklah dulu,” kata Maya.
“Jangan tengok je. Fikir. Baru dapat jawapan,” balas Qaira.
Maya mengeluh saja. “Yalah, yalah.”
Qaira memandang wajah Maya yang kembali khusyuk menonton
televisyen. Kalau malam nanti jawapan Maya tidak, dia juga tidak akan pergi ke
rumah Irfan. Biarlah rasa bersalah. Dia sanggup menanggungnya daripada terpaksa
pergi tanpa teman di sisi.