“Sedapnya bau,” kata Maya
tatkala kakinya memijak lantai dapur. Ketika itu kelihatan Qaira sedang sibuk
menyenduk nasi goreng ke dalam pinggan. Di atas meja juga sudah tersedia dua
cawan air milo yang masih berasap tipis. Nampaknya mereka makan sedap pagi ini
kerana selalunya sarapan pagi mereka hanya di temani biskut kering sahaja.
“Makanlah,”
jemput Qaira beserta senyuman di bibir.
Tanpa berlengah, kerusi di hadapan Qaira di tarik. Melihat
senyuman manis yang terpamer pada wajah sahabtanya itu membuatkan dia juga ikut
tersenyum. “Ceria pagi ni.”
“Mestilah. Aku kan dah dapat kerja,” jawab Qaira lantas
menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
“Tapi apa kena mengena dengan sarapan atas meja ni?”
“Saja. Mood aku
baik pagi ni.”
Maya
terangguk-angguk. “Nampak. Tapi kau tak cerita lagi kat aku.”
Qaira mengerutkan dahi. “Cerita pasal apa?”
“Pasal rezeki pelik kau tu,” kata Maya.
Qaira menyisip sedikit minumannya. Antara dia dan Maya,
memang tiada rahsia. Tapi untuk kali ini, dia terpaksa tutup mulut. Tidak manis
pula jika mengabaikan permintaan Harris kerana lelaki itu punca untuk
kegembiraannya pagi ini. Lalu dia menggeleng perlahan.
“Kenapa kau geleng?” Tanya Maya.
“Tak ada apa,” balas Qaira.
Maya menjuihkan bibir. “Tak nak jawab soalan akulah tu.”
Qaira sekadar mengulum senyum. Maya betul!
“Ingatkan semalam je kau senyum. Rupanya pagi ni pun
senyum juga. Ni, kalau tak nak bagitahu tak apalah. Aku faham. Tapi
sekurang-kurangnya, bercakap. Jadi tak adalah aku rasa macam bertanya kat
dinding,” kata Maya panjang lebar.
Qaira senyum lagi. Maafkan aku Maya.
“Ini mesti kau dah pakat dengan encik Harris. Betul tak?”
“Hah?” Qaira mula cuak. Maya kalau sudah meneka, pasti
seriau di buatnya. Semuanya hampir tepat. Dan adakalanya benar-benar tepat. “Err…
jomlah pergi kerja. Dah lambat. Nanti cik mun bising,” ujarnya seraya bangkit
dari tempat duduk. Setelah itu, panjang-panjang langkahnya keluar dari dapur.
Maya menjongket kening. “Lain macam dia ni. Tak apa. Nanti
aku siasat sendiri.” Setelah itu, laju tangannya menyuap nasi goreng. Air milo
di teguk sehingga tinggal separuh sebelum bergegas mendapatkan Qaira yang sudah
menunggu di luar rumah.
***
Seperti di jangka, semua pekerja di Zeal Bookstore terkejut dengan kehadiran semula Qaira di situ.
Apabila ada yang bertanya, Qaira hanya berkata sudah rezekinya. Tapi apabila
ada yang sampai tahap memaksa, dia akan senyum sahaja. Mujur tidak lama, Maimun
mencelah. Dapat juga dia melarikan diri dari terus di asak oleh rakan-rakan sekerjanya.
“Saya harap lepas ni awak akan belajar dari kesilapan.” Itu
kata-kata nasihat daripada Maimun. Dan sememangnya ia adalah satu nasihat yang
sangat berguna.
“Insya-ALLAH cik Mun. saya cuba,” jawab Qaira.
“Awak patut bersyukur sebab dapat majikan sebaik encik Harris,”
kata Maimun.
Qaira tersenyum hambar. Baikkah jika terpaksa melakukan sesuatu?
Pelik sungguh kata-kata Maimun. Siapa yang salah faham sebenarnya? Dia atau
ketuanya ini?
“Besar budi dia pada awak,” ujar Maimun lagi. Namun, masih
dalam nada memuji Harris.
Kali ini, tiada ragu lagi. Memang ada sesuatu yang pelik
sedang berlaku. Sepertinya Maimun telah salah memahami konsep kebaikan Harris. “Apa
maksud cik Mun?” tanya Qaira.
“Dua hari lepas, encik Harris kata dia ada terserempak dengan
awak. Masa tu awak tengah cari kerja. Dia kesian kat awak dan bagi awak peluang
kedua. Dia andaikan yang awak tak matang lagi. Sebab tu tak fikir panjang sebelum
tumbuk muka dia,” beritahu Maimun.
Ternganga Qaira di buatnya. Harris sudah lebih. Dia
berhabis mahu menutup cerita semalam. Tapi Harris, amat mudah sekali
membukanya. Kalau di ceritakan benda yang betul, dia tidak kisah. Tapi ini,
jauh menyimpang. Awal-awal cerita sudah lari tajuk. Dua hari lepas? Huh!
“Kerja elok-elok,” pesan Maimun sebelum berlalu.
“Ya cik Mun,” balas Qaira perlahan. Rasa sakit hatinya
cuba di tahan. Patutlah Harris tidak mahu dia buka mulut. Rupanya dalam diam,
lelaki itu mahu memuliakan diri sendiri. Dan hujungnya, dia juga yang buruk.
Teruknya harris Ilman!
“Kuat betul kipas kau.” Satu suara tiba-tiba muncul dari
belakangnya.
Qaira tersentak sebelum berpaling. “Awak cakap apa ni Malik?”
Malik tersenyum sinis. “Kaki kipas bos. Kaulah.”
“Saya tak buat macam tu,” sangkal Qaira.
“Mana ada orang mengaku berak tepi jalan.”
Qaira mengetap bibir. Hari pertama bekerja di zeal bookstore, sudah nampak seperti Malik tidak sukakannya. Hari kedua, Malik bersikap sinis. Dan hari ketiga, semuanya telah jelas. Hajat mahu
menegur Malik, tapi kemarahan pula yang dia terima. Kata Malik, dia hipokrit,
tunjuk baik, mengada-ngada dan ayat terakhirnya, aku tak suka kau. Pergi!
“Aku ni lelaki. Jadi aku faham perasaan encik Harris bila
kena tumbuk dengan kau. Tapi sebab kipas kau kuat, kat sinilah kau sekarang,”
tambah Malik lagi. Bila Qaira di buang kerja, dialah orang pertama yang suka
hati. Namun sekarang dia juga orang pertama yang susah hati. Dia takut Qaira
akan menyingkirkan dirinya sebagai orang kepercayaan Harris dan juga Maimun
kerana baginya, Qaira ada ciri-ciri itu.
“Awak dah salah faham,” ujar Qaira.
Malik sekadar ketawa. “Salah faham? Kelakarlah. Kau dengar
sini, aku perhati kau. Ingat tu.” Setelah itu, dia terus melangkah meninggalkan
Qaira. Hatinya puas bila dapat menggertak gadis itu.
Qaira menghela nafas panjang. Malik membuatkan hatinya
semakin sakit. Tidak semena-mena, mood
cerianya hilang begitu sahaja.
***
“Hari pertama kerja, muka dah monyok. Kenapa?” Tanya Maya
prihatin. Jauh beza wajah Qaira sekarang dengan pagi tadi.
Qaira mengeluh berat. “Malik. Dia kata aku kipas bos.”
“Kipas je? Kalau aku, baik guna air cond ,” balas Johan.
“Aku serius,” ujar Qaira.
“Betullah aku cakap. Alah, abaikan je lah si Malik tu. Dah
memang perangai dia macam tu,” kata Johan. Dia juga pernah bekerja di Zeal Bookstore. Jadi dia tahu perangai Malik.
Teruk dan menjengkelkan!
“Sebenarnya, semalam aku jumpa encik Harris kat bus stop masa berteduh dari hujan. Kereta
dia rosak. Jadi dia minta aku hantar dia balik. Tapi aku tak nak sebab takut
lambat ambil Maya. Lepas tu, dia ambil kunci motor aku. Nak tak nak, aku
terpaksa setuju. Tapi aku tak bagi dia menang mudah. Aku minta sesuatu.
Mula-mula dia nak bagi handphone dengan
duit. Tapi aku minta yang lain. Sebab tu dia tawarkan aku kerja kat Zeal. Tawaran lumayan. Aku tak boleh
tolak,” beritahu Qaira.
“Pelik ni. Masa aku tanya, susah betul kau nak jawab. Tapi
bila aku tak tanya, senang pula kau cerita,”
kata Maya.
“Encik Harris tak cerita benda yang sama dekat cik Mun. Aku
geramlah. Dia tak bagi aku cerita. Tapi bila dia cerita, lari tajuk. Memang nak
nampakkan aku buruk kat mata oranglah tu.”
Maya ketawa kecil. “Kes balas dendamlah ni?”
“Aku rasa kau ada jodoh dengan dialah Qaira,” celah Johan.
Qaira mencebik. “Ni lagi seorang. Lari tajuk. Tiba-tiba je
cakap pasal jodoh.”
Maya tersengih sahaja. Berasas juga kata teman
sepermainan, sekampung dan sejati dia dan Qaira ini. Mula-mula benci, lepas tu
suka. Bukankah ia sesuatu yang biasa?
“Kau jangan nak sengih sangatlah Maya. Abang botak kat
depan tu tinggal tunggu kau kata ya je lagi. Jangan jual mahal sangat. Nanti
tak laku,” kata Johan. Tertinjau-tinjau dia memandang pemuda yang duduk di
kaunter pembayaran itu.
Kali ini giliran Qaira pula yang tersengih. Maya sudah
cemberut wajahnya. Kalau ke restoran Kasih Sayang ini, pasti tiada nama lain
yang akan keluar dari mulut Johan. Hanya itulah satu-satunya. Abang botak!
“Maya, abang botak kirim salam,” beritahu Johan tidak lama.
Maya mengetap bibir. “Sengal!”
“Bukan sengal. Waalaikumsalam,” balas Johan sambil
tersengih-sengih.
Maya menjeling tajam. Mentang-mentang abang botak a.k.a
Abdullah bin Abu Bakar itu anak tauke restoran, Johan dan Qaira bersenang hati
menjadi posmen cinta. Sudah di kata dia tidak suka, tapi Abdullah itu tidak
makan saman. Kebal sungguh hatinya.