“Sorry aku lambat,”
kata Harris selajur duduk di kerusi bertentangan dengan Irfan. Mujur dia masih
ingat janjinya untuk bertemu dengan Irfan. Kalau tidak, pasti ada yang mogok
bercakap selepas ini. Bukan tidak pernah terjadi. Paling sekejap mereka tidak
bercakap tiga hari. Tapi adakalanya sampai tujuh hari. Selalunya dia yang lupa
janji. Dan Irfan pula hanya kadang-kadang.
“Ingatkan lupa lagi,” perli Irfan.
Harris tersengih. “Tak. Aku kan dah janji tak kan lupa
lagi. Tadi aku dari airport. Cari Reena.”
Irfan tersentak. “Cari Reena? Kenapa? Dia lari ke?”
“Bukan lari. Cuma aku yang tak tahu dia pergi Bali hari
ni.”
“Macam mana kau boleh tak tahu? Gaduh?”
“Dia lupa. Kau tahulah Reena macam mana kalau dah excited,” beritahu Harris.
Irfan terangguk-angguk. “Faham,” jawabnya. Dia juga
bersahabat dengan Reena. Tapi tidaklah serapat Harris. Namun setakat perangai Reena
yang satu itu, dia sememangnya sangat tahu.
“Kau tak kerja ke?” Tanya Harris bila melihat penampilan
Irfan yang sangat santai. Hanya berseluar jeans dan memakai t-shirt lengan
pendek sahaja.
“Tak. Aku cuti seminggu.”
Terlopong Harris di buatnya. “Seminggu? Lamanya. Kau nak
kahwin ke apa?”
Irfan tergelak. “Kalau aku kahwin, seminggu tak cukup.
Kena sebulan. Ris, aku bukan macam kau. Kerja memanjang. Lepas tu tak nak
keluar kalau tak ada penting. Kehidupan macam tu tak bagus. Tak ada seri. Macam
kain putih. Kosong.”
“Dah lah. Tak payah nak membebel kat aku. Kalau kau nak
tahu, hari ni aku tak masuk office. Jadi
maknanya aku pun boleh cuti kalau aku nak.”
“Kau tak masuk office
sebab kau pergi airport cari Reena.
Reena tu penting untuk kau. Sebab tu kau sanggup tak masuk office.”
Harris tidak menyahut. Reena memang penting. Lagipun dalam
hidupnya, tidak ramai orang yang penting. Hanya beberapa orang sahaja.
“Aku sebenarnya nak pergi Langkawi minggu depan. Jadi
sebelum aku pergi sana, aku ambil cuti dulu. Papa pun bagi. Yalah, nanti bila
dah kat sana susah nak cuti. Masa tu, kehidupan aku akan sama macam kau. Tak
ada seri!”
“Tapi bukan pak ngah ke yang sepatutnya pergi sana?”
“Awal-awal memanglah papa yang pergi. Tapi sebagai anak
yang baik, aku tawarkan diri aku untuk pergi sana. Lagipun aku kesian kat papa
sorang-sorang kat sana.”
“Tapi kalau anak yang lebih baik, sepatutnya dari awal lagi
kau dah tawarkan diri pergi Langkawi. Bukan sekarang,” balas Harris.
Irfan mengetap bibir. “Papa yang nak pergi sendiri. Yang
tu kau kena tahu. Tahulah papa tu. Dia banyak fikir. Yalah, ni kan projek
pertama Isma Holdings kat sana. Kenalah pantau elok-elok. Takut reputasi
syarikat jatuh.”
“Kau pindah sana terus ke?”
“Tak lah. Kecuali kalau aku dah terpikat dengan
gadis-gadis Langkawi ke baru aku akan pertimbangkan sama ada nak tinggal sana
atau tak,” jawab Irfan sambil tersengih-sengih.
Harris mencebik. “Eloklah kahwin cepat-cepat. Aku tengok
dah gatal sangat kau ni.”
Irfan terus melambakkan tawa. Siapa yang tidak mahu
kahwin? Lagipun dia lelaki yang waras. Mahu di cintai, mencintai, berkahwin dan
mempunyai anak. “Macamlah kau tak nak kahwin.”
“Nak tapi aku masih boleh kawal lagi keinginan aku.”
“Apa-apalah Harris Ilman. Kau memang tak nak kalah,” kata
Irfan. Namun tidak lama, dia menyambung kata. Selain perihal Langkawi, ada
sesuatu yang lebih penting mahu di tanyakan. “Aku nak tanya sikit.”
“Apa?”
“Err… betul ke Qaira pernah tumbuk muka kau?”
Harris mendengus. Sudah lama dia tidak bertemu dengan
pekerjanya itu. Dan kes dia di tumbuk itu pun hampir-hampir luput dari ingatannya.
Tapi bila sekarang Irfan bertanya, rasanya seperti baru sekejap tadi dia di
tumbuk. “Kenapa kau tiba-tiba tanya pasal tu?”
“Tak adalah. Cuma aku macam tak percaya yang dia tumbuk muka
kau. Yalah, aku tengok dia tu lemah lembut, pendiam. Aku…”
“Kau tak percaya cakap aku?”
Irfan menggaru kepalanya. “Bukan tak percaya. Tapi…”
“Tak percayalah tu. Macam ni lah Irfan. Orang yang nampak
lembut, pendiam, tak semestinya tak melawan. Sebab tu ada pepatah, air yang
tenang jangan di sangka tak ada buaya. Macam
si Qaira tu lah. Nampak tenang tapi bahaya,” ujar Harris.
“Sakit tak dia tumbuk?” Soal Irfan.
Harris tersenyum kelat. “Tak lah rasa sangat. Tangan
perempuan. Biasalah.” Tapi dulu sakit juga ketika mahu makan. Mujur saja
lebamnya tidak begitu ketara.
“Berani juga dia buat kat kau. Mesti ramai orang tengok.”
“Gila tak ramai. Dekat seminggu aku tak jenguk kedai. Sebab
tu aku cakap dia gila,” balas Harris.
“Tapi dia gila pun, kau biar juga dia kerja kat Zeal.”
“Yang tu biar aku je tahu sebabnya. Nanti bila aku rasa
nak bagitahu, baru aku cerita.”
Tidak semena-mena Irfan ketawa. “Suka hati kaulah. Tapi
kan kau rasa dia tu ada belajar silat tak? Karate?”
“Manalah aku tahu. Pergilah tanya sendiri,” jawab Harris.
“Okey, nanti aku tanya.”
“Belum sempat tanya, agaknya dia dah tumbuk muka kau dulu.”
“Dia tak kan tumbuk muka aku sebab aku baik dengan dia.
Lainlah kau. Buat benda yang menyakitkan hati dia. Mestilah kena sebiji. Tapi…”
Irfan berhenti seketika sebelum menyambung kata. “Dia tu comel juga kan?”
Harris mengeluh perlahan. “Dah mula dah. Kau ni memang tak
pernah belajar dari kesilapanlah.”
Irfan mengerutkan dahi. “Apa maksud kau?”
“Dah lah. Tak payah berlagak macam kau tak faham pula,”
ujar Harris.
“Aku… tak tahu apa yang kau cakap ni,” dalih Irfan.
“Kau nak aku ingatkan ke? Okey, kalau itu yang kau nak. Nurain
Hani. Sekarang dah ingat? Tu baru aku sebut tajuk. Belum masuk intro lagi. ”
Irfan pantas mencerlungkan matanya. Sebaris nama itu umpama
racun pembunuh baginya. “Tak payahlah sebut pasal dia.”
Harris tersenyum sinis. “Aku sebut untuk sedarkan kau. Aku
minta maaf kalau kau sakit hati tapi aku tak nak benda yang sama jadi lagi kat
kau. Sebulan kau berkurung kat rumah. Tak nak keluar. Tapi bila dah keluar,
dekat lima bulan kau bawa diri pergi Perlis. Langsung tak jenguk kami kat sini.
Pada aku, waktu tu kau teruk sangat. Aku sayang kau tau. Kau seorang je sepupu
yang aku ada. ”
Serta-merta Irfan mengalihkan pandangannya. Sebenarnya,
dia juga takut patah hati lagi. Tapi sampai bila? Takut hanya untuk orang
pengecut. Ya, setahun yang dulu mungkin dia pengecut. Tapi sekarang, tidak
lagi.