Amy menghampiri Reena yang sedang duduk santai di tepi kolam
renang. Dia sebenarnya sudah tidak sabar untuk berkongsi cerita. Bukan sehari
dua cerita ini di pendam. Tapi tiga hari. Kalau bukan kerana seminar yang harus
di hadirinya di Perak, pasti berita itu sudah sampai ke telinga Reena sejurus selepas
dia melihat adegan itu. Tapi mujur ketika itu, dia dalam keadaan tergesa-gesa.
Dan Reena pula sejak seminggu ini sedang sibuk membantu Micheal untuk memilih model-model baru
yang akan bernaung di bawah Mike Talent.
“Hai babe,” tegurnya.
Reena berpaling sebelum menghadiahkan seulas senyuman buat
sahabatnya itu. “Aku ingat kau tak jadi datang.”
Amy kemudian terus duduk tanpa di pinta. Dia sudah biasa
di rumah Reena. Rasa kekok pada taraf keluarga gadis ini hanya pada awal-awal
dahulu. Yalah, Reena Sofea anak Tan Sri. Dia pula, anak datuk. Datuk kepada
tiga orang anak alongnya. “Datang. Biasalah, petang-petang macam ni. Jalan jammed.”
“Ammar sihat?”
“Aku ada sesuatu yang lebih penting nak cakap berbanding hal si Ammar tu.”
Reena mencebik. Walaupun hanya beberapa kali bersua muka dengan
Ammar Rizki, tapi dia tahu yang mereka berdua saling memendam perasaan. Hanya
takut dan malu mahu mengakuinya. “Aik, lain macam je. Korang gaduh ke?”
“Adalah gaduh sikit. Tapi aku tak nak cerita pasal tu
sekarang sebab aku memang ada benda penting nak bagitahu. Tiga hari lepas aku
nampak Harris dengan perempuan lain,” beritahu Amy.
Reena tersentak.
Namun segala andaian buruk tidak mahu di ambil serius. Dia faham Harris. Lelaki
itu sangat payah untuk mesra dengan mana-mana perempuan. Jadi perempuan yang di
maksudkan oleh Amy itu boleh jadi hanya seorang klien ataupun kawan lama. “Dah
tu?”
Amy membulatkan mata. “Kau tak rasa apa-apa?”
“Sikit pun tak. Aku kenal Harris. Jadi tak mungkin dia ada
affair dengan perempuan lain. Kau
tahulah dia macam mana kan? Pendiam, tak banyak cakap. Kawan dia tak ramai.”
“Kawan tak ramai tak bermaksud yang dia tak ada affair kat luar. Orang pendiam ni kita
tak boleh nak jangka. Ingat tu. Aku tak tahu nak cakap macam mana tapi dia
orang berdua tu nampak mesra sangat. Mustahil tak ada apa-apa”
Reena mengerutkan
dahi. “Mesra yang macam mana?”
“Harris lap bibir perempuan tu. Bukan dengan tisu tau,
dengan jari,” ujar Amy.
“Kau salah pandang agaknya?” Reena mula gugup. Sukarnya
mahu mempercayai kata-kata Amy. Tapi jauh di sudut hati, dia mula ragu. Lelaki?
Bolehkah di percaya sepenuhnya? Seperti juga wanita yang tidak boleh di percaya
bulat-bulat.
Amy mendengus. “Memang susah nak cakap dengan kau kan? Dah
lah, aku balik dulu.”
“Tunggulah kejap
lagi. Mama dengan papa tak ada kat rumah. Teman aku sampai dia orang balik. Tak
lama pun,” pinta Reena. Wajah tidak puas hati Amy di pandang minta di kasihani.
Amy beralah. Lagipun boleh juga di gunakan masa mereka
berdua ini untuk menyedarkan Reena. Sahabatnya itu lurus benar soal Harris Ilman.
Kalau pun cinta itu buta, hati janganlah buta sekali.
***
Qaira kini berdiri tegak di hadapan sebuah pintu yang
tertutup rapat. Tanpa berlengah, pintu itu di ketuk perlahan. Tidak lama, pintu
di buka dari dalam.
“Ingat tak
datang,” kata Harris.
“Saya percaya encik,” balas Qaira.
Harris tergelak. “Saya rasa tersindir.” Seketika, dia
menyeluk poket seluar jeans yang di pakainya. “Ambil kunci ni.”
Walaupun berasa pelik, kunci yang di tayang di hadapannya
itu tetap di ambil. “Nak buat apa?” Tanya Qaira.
“Bila dah siap kemas, kunci pintu. Nanti ada pencuri masuk
pula. Senarai kerja yang awak perlu buat saya dah letak atas meja dekat ruang
tamu.”
“Saya tak faham.”
Harris kemudian keluar dari rumah dan mula menyarung
kasut. “Awak kemas rumah saya. Lepas tu saya bayar gaji.”
Bulat mata Qaira di buatnya. Ini kes balas dendam atau
apa? “Encik nak suruh saya jadi orang gaji?”
“Apa salahnya? Kerja halal. Kata nak sambung belajar.”
“Tapi bukan dengan jadi orang gaji encik,” tempelak Qaira.
“Jadi memang tak sungguh-sungguh nak sambung belajar?”
“Encik sebenarnya nak apa dari saya? Sengaja nak balas
dendam?”
Harris tersenyum
sinis. “Saya nak tolong awak. Tak ada niat lain. Lagipun ini peluang yang baik.
Saya tak minta awak masak. Just kemas
rumah saya. Part time. Bukannya full time.”
“Saya tak tahu sama ada encik ikhlas atau tak.”
“Listen! Walaupun hubungan kita tak baik sangat tapi saya
tetap manusia yang tahu menolong orang lain. Saya cuma nak tengok hidup awak
lebih baik dan terjamin. Awak masih muda. Lagipun sayang kalau di sia-siakan
kepandaian awak tu.”
Qaira mengerutkan dahi. “Apa maksud encik?”
Harris menjungkit bahu. Sejak kebelakangan ini, rajin
benar dia mengambil tahu soal qaira. Dan buktinya minggu lalu dia membelek
kembali keputusan SPM Qaira dalam simpanan Maimun ketika gadis itu memohon
pekerjaan dahulu. Keputusannya boleh tahan! Dapat 5A. Jadi bukankah sayang jika
tidak di beri peluang untuk gadis itu lebih berjaya? Tapi kalau tanya kenapa
dia mahu ambil tahu, baik jangan tanya kerana dia sendiri tidak tahu
jawapannya.
“Tak sangka encik betul-betul kotakan kata nak jadikan
saya maid dekat rumah encik,” ujar Qaira
apabila kata-kata Harris satu masa dahulu tiba-tiba menyinggah di fikirannya.
“Ada ke?”
Qaira tersenyum kelat. “Saya takkan lupa.”
“Anggaplah yang mulut saya masin,” balas Harris lalu
menapak meninggalkan Qaira.
“Err… encik nak pergi mana?”
“Kenapa? Awak nak saya duduk kat rumah ke? Boleh juga. Itu
maknanya awak dah sedia nak jadi isteri saya,” kata Harris separuh bergurau.
Kepalanya hanya di pusing sedikit sahaja.
Qaira mengetap bibir. “Saya tak kata macam tu. Saya tanya
je,” marahnya. Lain yang di tanya, lain pula yang dia dapat sebagai jawapan.
Harris ketawa sebelum terus melangkah. Tidak larat dia
mahu menjawab mummy dan Reena jika
dia di tangkap basah dengan Qaira. Lagipun dia tidak pernah mengimpikan
perkahwinan seperti itu.
“Siapa nak kahwin
dengan dia? Perasan!” Kutuk Qaira. Lalu perlahan-lahan dia berpaling sebelum
membuka kasutnya. Pintu rumah yang ternganga luas itu di masuki sebelum di
tutup rapat. Cantik rumah Harris. Cumanya tiada seri. Patutnya ada bunga-bunga
yang menghiasi di setiap sudut.
Setelah itu, dia menuju ke ruang tamu. Ada sekeping kertas
yang di letakkan di atas meja. Cepat sahaja kertas itu di ambil. Seketika
mulutnya ternganga luas. Ada banyak kerja yang perlu di lakukannya. Tapi yang satu
itu paling tidak boleh di terima.
“Apa?
Bersihkan kipas siling?” Terus Qaira terduduk di atas sofa. Seumur hidup tidak
pernah dia membersihkan kipas siling. Tapi sekarang, pekerjaan itu juga yang di
suruh. Macam manalah agaknya?