Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 12

You dah nak balik ke?” Tanya Irfan kepada gadis manis bertudung merah jambu ini. Meskipun baru kenal sebulan yang lalu, mereka berdua sudah berjaya mencipta keserasian. Ternyata gadis bernama Nur Zahira ini seorang yang mudah mesra dan pandai mengambil hatinya.

“I takut abi marah sebab tadi I kata nak keluar kejap je,” jawab Zahira yang sudah pun memegang tali beg tangannya.

“Sekarang ni, I pula yang rasa takut dengan abi you,” gurau Irfan.

Zahira ketawa kecil. “Abi I memang garang.”

“Nampaknya I kena ngorat abi you lepas ni.”

“Itu pun kalau umi I kasi sebab umi I lagi garang.”

Irfan tersengih. Perwatakan Zahira masih sama seperti kali pertama bertemu di butik pakaian milik gadis itu sebulan yang lalu. Kepetahan Zahira melayan, memujuk dan kadang-kadang mengusik mamanya, mengundang senyum kecil. Sudahnya, mamanya membeli dua pasang jubah dari butik milik zahira. Dia juga tidak pulang dengan tangan kosong. Dalam poket seluarnya, ada kad dengan nombor telefon Zahira di dalamnya. Dan ternyata dia tidak salah memilih kawan. Zahira seorang gadis yang jujur dalam bertingkah.

“Okeylah, I balik dulu. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam. Hati-hati bawa kereta,” pesan Irfan.

Zahira hanya tersenyum sebelum mengangkat punggung dari kerusi. Irfan pula sekadar memerhati sahaja langkah gadis itu sehingga kelibatnya hilang dari pandangan mata. Kata mamanya, Zahira sesuai jadi calon menantu. Katanya pula, Zahira layak jadi calon isteri. Tapi setakat ini, hatinya masih belum terusik untuk gadis yang bernama Zahira itu. Mungkin masih terlalu awal. Atau mungkin juga hatinya masih mahukan calon isteri yang lain. Sudahnya Irfan meraup wajah. Buntu memikirkan nasib diri yang masih berseorangan.

“Tak order makan ke?”

Teguran itu membuatkan Irfan berkalih pandang. Seorang pelayan lelaki kelihatan sedang menyapa seorang gadis yang sedang duduk bersendirian. Barangkali, mahu menjual minyak. Maklum sahaja, gadis itu duduk tanpa teman. Wajah pun boleh tahan juga.

“Taklah. Dah kenyang.”

“Minum milo ais pun kenyang?”

“Cuba Ahmad kira gelas kat atas meja saya ni. Saya rasa Ahmad pun boleh kenyang kot.”

Ahmad yang di suruh tapi Irfan pula yang cepat-cepat melihat ke atas meja. Di situ ada tiga biji gelas yang telah kosong. Dia terkedu seketika. Bukankah badan gadis yang duduk selang dua meja darinya ini terlalu kecil untuk minum sebanyak itu? Lantas dia terus memerhati dengan penuh minat. Mungkin dia sudah salah sangka. Ahmad bukanlah mahu menjual minyak. Hanya sekadar bertanya kerana mereka sepertinya sudah saling mengenali.

Agak lama memerhati, matanya sempat menangkap senyuman pada bibir gadis comel itu. Walaupun senyuman itu di tujukan kepada Ahmad, dia tetap terasa manisnya. Lebih manis lagi apabila senyuman itu turut di hiasi dengan lekukan lesung pipit pada pipi sebelah kanannya. Irfan menelan liur. Terasa dirinya seolah-olah sedang melalui satu fasa baru saat ini. Perlahan-lahan dadanya di sentuh. Lainkah irama degupan jantungnya ketika ini? Entahlah… Dia sendiri kurang pasti tentangnya.

***

Dua minggu berlalu namun status diri tetap sama. Dia masih seorang penganggur! Namun tegas Maya, tugas menghantar dan menjemputnya itu juga merupakan satu pekerjaan. Tapi dia juga bertegas bahawa kerja tanpa gaji sama tarafnya seperti tidak bekerja. Cuma yang bezanya dia beroleh sesuatu yang lebih berharga dari duit iaitu pahala kerana telah memudahkan Maya. Walau pada mulanya dia nampak seperti tidak ikhlas, itu hanyalah bersifat sementara. Dengan Maya, dia sebenarnya tidak pernah berkira.

Tapi benar kata orang. Berbuat baik itu banyak dugaan dan cabarannya. Minggu lepas, motosikalnya kehabisan minyak di pertengahan jalan. Mujur, jarak stesen minyak tidak jauh dari tempat dia tersadai. Malam ini pula, dia basah kuyup akibat hujan lebat yang tiba-tiba saja turun mencurah-curah. Mujur juga, hujan turun ketika dia berada berdekatan dengan perhentian bas. Dapat juga dia menumpang teduh barang seketika.

“Masa ni juga kau nak habis bateri. Tak guna betullah!”

Qaira tersentak apabila terdengar suara kasar yang tenggelam timbul akibat hujan lebat. Apa sahaja yang lelaki ini keluhkan? Tidak jelas butir bicaranya di telinga. Di sebabkan itu, dia terus mematungkan diri sambil berpeluk tubuh. Dinginnya apabila terkena hujan dan terdedah pada angin malam terasa mencengkam hingga ke tulang sum sum.

“Cik, boleh saya pinjam handphone?”

Sekali lagi Qaira tersentak. Apabila dia menoleh, ternyata lelaki itu sudah semakin hampir dengannya. Tiba-tiba dia rasa takut dan terancam. Dia hanya berdua dengan lelaki ini dalam suasana cahaya lampu jalan yang samar. Baikkah dia? Ya ALLAH, selamatkanlah aku…

“Cik? Cik okey?” Tanya lelaki itu.

“Hah?” Qaira tercengang. Qaira… lelaki ini hanya mahu meminta tolong. Jadi elakkan dari berfikir yang bukan-bukan. 

“Cik?” Lelaki itu kembali bersuara.

Tawakal dan berserah! Ya. Itu keyakinan yang harus dia pegang. Namun terima kasih kepada cahaya kilat yang memancar. Kini wajah lelaki itu sudah jelas di mata. Dan ia sekaligus telah membuktikan bahawa lelaki itu bukanlah orang jahat. Bukan juga orang yang tidak di kenali. Tapi seseorang yang punya sejarah hitam dengannya.

“Awak?!” Harris nyata terkejut dengan kebetulan ini.

‘Ya, ini saya!’ Jawab Qaira dalam hati. Seperti mana Harris terkejut, dia juga turut berperasaan yang sama.

Harris tergeleng-geleng sebelum menundukkan wajahnya. “Macam mana dia boleh ada kat sebelah aku ni? Ke aku tengah mimpi sekarang?” Pantas pipinya di tampar berkali-kali.

Qaira memicingkan anak matanya ke arah Harris sebelum mencebik. Mimpi konon! Tak sedar ke diri tu berpijak di bumi nyata? Di sebabkan geram, dia mendekatkan bibirnya pada telinga lelaki itu. “Ini semua mimpi. Tidurlah lagi, tidurlah,” bisiknya perlahan.

Harris terkejut. Perlakuannya di hentikan serta-merta sebelum dia menoleh ke tepi. Pantas bibirnya di ketap kuat. Tambah menyakitkan jiwa dan raga apabil Qaira tanpa segan silu ketawa dengan agak kuat. “Awak jangan nak main-main dengan saya,” marahnya.

“Mana ada saya main. Saya duduk je kat sini,” balas Qaira dengan tawa yang masih bersisa.

“Gila!” Kutuk Harris.

“Enciklah gila sebab tampar muka sendiri. Saya tak.”

Harris mengepal jarinya. Sabar Harris. Tolong jangan jadi dayus! Berkali-kali frasa itu di ulang dalam hati. “Diam boleh tak? Bising!”

Qaira menjuihkan bibir. Harris ini memang beginikah? Dingin dan tidak mesra? Bingung memikirkannya, dia kembali diam. Namun tidak semena-mena, langit kembali memancarkan cahaya terang. Qaira pantas mengecilkan tubuhnya dan mengengsot sedikit mendekati Harris. Tidak lama, guruh kuat mula kedengaran. Spontan, lengan Harris di peluk erat. Matanya di pejam dan wajahnya di sorok di belakang tubuh lelaki itu.

Harris lekas tunduk. Melihat Qaira dia hampir mahu tergelak. Sejak bila pula mereka jadi semesra ini? Perlahan-lahan dia menarik lengannya. Namun tidak berjaya. Harris mendengus. Pegangan Qaira terlalu kemas, erat dan ketat. Di tarik lagi lengannya. Sekali, dua kali dan akhirnya berkali-kali sebelum dia berjaya. “Apa pegang-pegang ni?”

Qaira mendongak mencari wajah Harris. Dia takut. Tidakkah Harris faham? Ternyata lelaki itu masih sahaja menunjuk wajah dingin di sebalik dinginnya suhu ketika hujan. Cubalah tunjuk muka yang manis dan bertimbang rasa sikit encik Harris Ilman.

“Sekali lagi awak buat macam tu, saya tumbuk muka awak,” ugut Harris.

Qaira menjeling geram. Akhirnya, lengan sendiri di peluk erat. Cepatlah hujan reda. Takut dia benar-benar jadi gila kalau lama-lama berada di sini. Dan lima belas minit kemudian, doanya di makbulkan. Hujan lebat telah reda namun masih renyai. Tapi baginya renyai itu lebih baik dari lebat. Lantas, topi keledar kembali di sarungkan ke kepala.

“Nak pergi mana pula tu?” Tanya Harris apabila melihat Qaira sudah mula berdiri.

“Jemput kawan,” jawab Qaira tanpa berpaling.

“Dah ada kerja rupanya. Baguslah. Sekurang-kurangnya tak adalah terperap kat rumah dan habiskan gaji orang lain.”

Qaira mencerlungkan matanya sebelum berpaling memandang Harris. “Encik ni memang suka sakitkan hati saya. Dapat duit ke buat macam tu?”

“Eh dapat. Banyak lagi. Nak sikit?”

“Malas nak layan encik. Saya pergi dulu,” ujar Qaira sebal.

Tiba-tiba sahaja, Harris kalut. Kalau Qaira pergi, dia macam mana? Masihkah mahu tinggal di sini? Walaupun tidak suka, pasti ada sebab kenapa Qaira yang terpilih untuk duduk di sebelahnya. “Hantar saya balik.”

Qaira berhenti melangkah. Harris yang sedang duduk kembali di pandang. “Naik motor?”

Harris menggaru kepalanya. Sudah! Dia tidak pula terfikir tentang itu. Saat dia mengerling pada sebuah motosikal yang turut berteduh di perhentian bas itu, dia mengeluh. Qaira naik motor. Bukan bawa kereta. “Tak apalah. Tak jadi.” Namun dalam hati, mula terasa beratnya. Betulkah tindakannya membiarkan Qaira pergi?

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman