Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 45

Irfan berdiri di hadapan pintu kondo Harris. Baru dia mahu mengetuk pintu, tiba-tiba pintu terbuka dari dalam. Irfan terkejut. Dan dia menjadi lebih terkejut apabila bukan Harris yang berdiri di hadapan mata. Buat seketika, dia kehilangan kata. Rasa terkejut itu benar-benar telah menghambat perasaannya. “Awak?”

Qaira terkedu. Aduhai… banyak sungguh dugaannya semenjak bekerja di kondo Harris ini. Patutnya dia teruskan saja niatnya untuk berhenti tempoh hari. “Irfan.”

What are you doing here?” Tanya Irfan. Itu persoalan yang paling utama ketika ini. Kalau Reena yang berdiri di hadapannya ini pun tetap akan di tanya soalan yang sama, apalagi Qaira? Gadis ini bukan siapa-siapa dalam hidup Harris. Hanya pekerja di Zeal Bookstore.

“Saya… saya kerja,” jawab Qaira.

Irfan mengerutkan dahi. “Kerja? Kat rumah Harris?”

Perlahan-lahan Qaira menganggukkan kepala. Kalau tidak di beritahu sekarang, nanti-nanti Irfan pasti akan tahu juga. “Saya kemas rumah encik Harris. Dan dia bayar saya.”

What? He’s too much!”

Qaira tidak memberikan sebarang komen. Memanglah agak keterlaluan. Dia pun pada mulanya tidak suka dengan idea Harris ini. Tapi lama-lama, dia jadi terbiasa dan seronok. Kerjanya tidak banyak. Tapi upah yang Harris beri lumayan. Dan dari situ, terserlah keikhlasan lelaki itu untuk membantunya. “Saya balik dulu. Awak nak tunggu encik Harris ke?”

Irfan mengeluh perlahan. “Tak. Jom. Saya hantar awak balik.”

“Tak apalah. Saya naik motor tadi. Assalamualaikum,” kata Qaira. Setelah itu, dia terus mengunci pintu rumah Harris. Senyuman sempat di hadiahkan kepada Irfan sewaktu dia melewati lelaki itu.

“Waalaikumsalam,” jawab Irfan. Dalam pada itu, dia tiba-tiba resah. Harris biarkan Qaira pegang kunci rumah? Bolehkah dia tidak risau tentangnya? Tambahan lagi ada bisikan halus yang sangat mempengaruhi hatinya saat ini. Pantas telefon bimbit di poket seluar di keluarkan dan Harris terus di hubungi.

“Aku nak jumpa kau,” ujarnya saat panggilan bersambut.

“Kenapa?” Tanya Harris.

“Jumpa je lah. Aku ada hal nak cakap,” balas Irfan. Setelah itu, dia terus mematikan talian. Dia harus tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Entah kenapa dia tiba-tiba takut dengan semua ini.

***

Walaupun baru lima minit duduk menunggu di situ, Irfan sudah mulai rimas. Dia tidak suka dengan keadaan ini. Seperti Harris sengaja mendera hatinya dengan datang lambat pada waktu yang sepatutnya mereka berjanji.

“Dah lama tunggu?” Tegur Harris yang baru tiba. Ketika itu dia sudah menarik kerusi di hadapan Irfan.

Irfan tersentak. Cepat-cepat dia mencari wajah Harris. “Soalan yang bagus.”

“Alah, lambat lima minit je,” balas Harris.

“Sebenarnya aku ada benda penting nak tanya. Dan aku harap kau jawab dengan jujur.”

Harris mengangkat tangannya kepada seorang pelayan. Setelah itu, baru wajah Irfan di pandang. “Bagi aku order air dulu. Hauslah. Aku order untuk kau sekali.”

Irfan mengetap bibir. Namun tidak pula dia membantah.

So, kau nak tanya apa?” Tanya Harris setelah selesai memesan dua gelas jus tembikai.

“Apa motif kau jadikan Qaira maid kat rumah kau?”

Harris terkejut. Seorang demi seorang tahu tentang Qaira. Entah siapa pula selepas ini. “Mana kau tahu?”

“Aku pergi kondo kau tadi. Baru aku nak ketuk pintu, dia dah buka dulu. Dan kau tahu tak apa perasaan aku bila aku nampak dia? Rasa macam mimpi,” ujar Irfan.

“kau mimpilah tu,” seloroh Harris sambil tersengih.

“Aku serius.”

Serta-merta Harris menghentikan sengihannya. Memang di lihatnya Irfan sangat serius ketika ini. “Tak ada motif apa-apa. Aku… saja nak tolong dia.”

Irfan mengerutkan dahi. “Tolong? Tolong apa? Menyusahkan adalah.”

“Dia kerja bukan percuma. Aku bayar dia.”

“Ni masih pasal kes dia tumbuk muka kau tu ke?” Duga Irfan. Kalau ya, Harris memang keterlaluan. Benda sudah lama.

“Maksud kau aku nak balas dendam?”

Irfan diam. Harris tahu memang itu maksudnya.

Harris meletakkan kedua tangannya di atas meja. “Aku mengaku yang aku memang sakit hati. Tapi sekarang ni aku betul-betul ikhlas nak tolong dia. ”

“Dah berapa lama dia kerja kat kondo kau?”

“Dekat sebulan. Tapi dia datang hujung minggu je.”

“Mak long tahu?” Tanya Irfan lagi.

Harris tergelak. “Belum sempat aku bagitahu, dia dah tahu dulu.”

“Dia tak marah?”

“Marahlah. Dengan Qaira sekali kena,” beritahu Harris. Mengenangkan kejadian tempoh hari, dia rasa bersalah pula pada gadis itu.

Irfan mengeluh perlahan. “Kesian dia.”

“Aku lagi kesian tau. Terpaksa menghadap marah mummy sorang-sorang. Tahulah mummy kalau marah macam mana. Bisa!”

“Kau dah biasa. Tapi dia?”

Harris tersenyum hambar. Benar juga kata Irfan. Dari kecil dia sudah di hidangkan dengan sikap mummynya yang seperti itu. Pastilah dia sudah biasa.

“Kau… ada sebab lain tolong dia?”

Pertanyaan Irfan itu membuat Harris meraup wajah. Dia tahu ke mana arah tuju soalan ini. Kenapa semua orang bertanya perkara yang sama? “Kalau ya?”

Irfan nampak terkejut. Benarkah tekaan hatinya sejak tadi? “Sebab… apa?”

“Kau rasa?”

“Janganlah main-main!” Tempelak Irfan.

Harris memerhati sahaja riak wajah Irfan ketika ini. Ternyata ada sesuatu yang menarik perhatiannya. “Kau suka dia?”

Irfan mendengus. “Jangan nak tukar topik.”

I’m not.”

“Ris, aku cuma…”

“Kau tak boleh suka dia,” pintas Harris.

“Kenapa? Sebab kau suka dia?”

“Ini bukan soal aku tapi kau. Cuba kau bagitahu aku dah berapa lama kau kenal Qaira. Setahun? Dua tahun? Tak. Kau kenal dia tak sampai lima bulan. Macam mana kau boleh suka dia dalam tempoh sesingkat tu?”

Irfan pantas menyilangkan tangannya. “Aku berhak untuk tentukan siapa yang aku suka. Dan jangan cakap pasal suka dengan aku bila kau sendiri tak faham tentang perasaan tu.”

“Aku tahu aku tak berhak. Aku tak pernah bercinta. Dan sebab tu aku tak pernah kecewa. Irfan, aku tak nak kau salah pilih lagi,” balas Harris.

“Jangan jadikan kecewa tu alasan untuk tak nak mencuba. Ambil iktibar. Bukan buang terus.”

“So sekarang ni kau betul suka Qaira?”

“Kau tak perlu tahu.”

“Bila aku tak ambil tahu sekarang, jadi bila? Oh, lepas dia tinggalkan kau untuk lelaki lain baru aku kena ambil tahu?” Harris berusaha menyedarkan Irfan. Dulu dia memang sekuat hati mengatakan yang Qaira langsung tidak sepadan dengan Irfan. Tapi ketika itu dia sedang marah. Namun sekarang, dia mengaku yang Qaira tidaklah seteruk mana. Tapi itu tidak bermakna yang dia akan bersetuju dengan perasaan Irfan. Baginya ada ramai lagi yang lebih baik dan layak untuk sepupunya itu.

Mind your own business,” kata Irfan. Dia tiba-tiba jadi marah bila Harris bercakap soal perkara yang sudah lepas.

Baru Harris mahu menjawab, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi. Cepat sahaja panggilan itu di jawab. “Assalamualaikum uncle.”

“Waalaikumslam. Ris... datang hospital cepat. Reena masuk wad. Cuba nak bunuh diri.”

“Apa? Okey, Ris datang sekarang.” Pantas Harris berdiri. Sekeping not 10 ringgit di letakkan di atas meja.

“Kau nak pergi mana?” Tanya Irfan.

“Reena masuk hospital. Uncle salleh cakap dia nak bunuh diri.”

“Apa? bunuh Diri? Err… aku ikut,” kata Irfan. Dalam pada itu, dia tidak habis fikir. Terdesak sangatkah Reena sehingga mahu mencabut nyawa sendiri? Mana imannya? Lalu cepat saja dia membuntuti langkah Harris yang tergesa-gesa itu.

Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman