“Tunggu!” Tahan Harris
sebelum segera bangkit dari tempat duduk. Setelah itu, laju langkahnya
menghampiri Qaira yang sudah pun duduk di atas motosikal. Di renung wajah gadis
yang bertopi keledar itu. Benarkah dia penyelamatnya malam ini? Tiba-tiba
sebelah hatinya terasa mahu berpatah balik. Ternyata inilah bahana keputusan
yang di ambil dalam jangka masa sesingkat satu minit. Semuanya serba tidak kena
dan goyah.
“Encik nak apa?” Tanya Qaira. Perlakuan Harris nampak lain
macam saja di matanya.
“Awak hantarlah saya balik.”
Qaira terkejut.
Biar betul? “Naik…”
Harris mendengus. “Ya, naik motor. Tapi biar saya bawa.
Awak duduk belakang.”
“Saya…”
Qaira diam seketika sebelum kembali bersuara. “Saya tak nak.”
“Sebab?”
“Saya dah lambat,” jawab Qaira.
“Awak tak nak tambah pahala ke? Saya ni tengah dalam
kesusahan. Kereta rosak, bateri handphone habis. Teksi pun tak ada. Tak kesian
kat saya?”
Qaira memerhati sahaja Harris yang berdiri di sebelahnya.
Dalam diam, dia cuba menyembunyikan senyuman. Tahu juga minta kesian. “Saya nak
tambah pahala tapi bukan dengan encik.”
“Awak berkira dengan saya?”
“Bukan berkira.”
“Habis tu apa? Oo… saya tahu. Awak nak balas dendam kan?
Qaira, awak kena ingat. Saya yang bagi awak kerja tau.”
Qaira mencebik. Budi yang sedikit itu pun mahu di ungkit. Tapi
benarkah dia mahu membalas dendam? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Tapi satu
yang dia pasti. Dia malas mahu berbaik hati dnegan Harris ketika ini. “Saya
tahu encik bagi saya kerja. Tapi encik juga yang ambil balik kerja tu dari saya.”
“Sebab awak tumbuk muka saya.”
“Encik yang mulakan,” balas Qaira.
“Okay, fine! Tak
payah hantar saya. Biar saya mati kejung kat sini,” marah Harris.
Qaira menggigit bibir. Tidak semena-mena hatinya di terpa rasa
bersalah. Namun tangannya tetap lincah memusing kunci motosikal. Sungguh jelas
bahawa hati dan fizikalnya langsung tidak bersatu saat ini.
Melihat Qaira yang nampak tidak goyang dengan
‘ancamannya’, membuatkan Harris geram. Tanpa berlengah, kunci motosikal milik
Qaira segera di pusing sebelum di tarik dari lubang kunci.
“Encik buat apa ni?” Marah Qaira dengan mata membulat.
“Kunci ni…” Harris mengangkat kunci di tangannya sebelum
perlahan-lahan memsukkannya ke dalam poket seluar. “Biar duduk diam-diam kat
sini. Selagi awak tak nak hantar saya, jangan harap saya bak bagi awak.”
Qaira mula terasa bahangnya. Namun dalam masa yang sama,
dia juga terasa mahu menangis. Sesungguhnya, dia rasa di buli dan di
permainkan. “Janganlah buat saya macam
ni encik.”
“Sebab tu awak kena hantar saya balik,” kata Harris.
“Tapi saya dah lambat. Nanti kawan saya bising.”
“Kalau macam tu, kita duduk je lah sini.”
“Tapi saya tak nak duduk sini.”
“Dah tu ambillah kunci ni. Saya cabar awak,” kata Harris
sambil tersenyum sinis.
Qaira menggeleng perlahan. Dia rela mengalah sebelum
mencuba. Tidak sanggup rasanya memasukkan tangan ke dalam poket seluar lelaki
itu. Pasti nanti akan di kata tidak senonoh. Mungkin mengalah itu lebih baik.
Dia senang dan lelaki itu juga pasti akan ikut senang. “Saya… saya hantar
encik.”
Harris tersenyum puas. “Macam tu lah. Dah, tepi. Biar saya
bawa.”
“Tapi…”
“Tapi apa lagi?”
“Encik bayar saya ke?” Tanya Qaira.
Harris tergelak. Ingatkan benar-benar ikhlas, rupanya
tidak. “Susah rupanya buat baik tanpa harapkan balasan.”
“Encik yang paksa. Bukan saya yang nak.”
“Handphone baru.
Nak?” Kata Harris tanpa menunggu lama. Baginya, tidak susah mahu meneka
kemahuan gadis itu.
“Lain?”
“Dah tak minat handphone rupanya. Duit minat?”
“Encik tak ada tawaran yang lebih menarik ke?” Qaira mula
tawar-menawar dengan Harris. Seronok juga apabila lelaki itu memberinya
tawaran-tawaran yang hebat. Mana tahu lepas ini Harris akan menawarkannya elaun
tiap-tiap bulan pula.
Harris mula geram. Qaira ini memang sengaja mahu
mengenakannya. Ingat dia tidak mampu beri tawaran terbaik? “Okey. Ini tawaran
terakhir dan terbaik saya. Dan saya yakin, awak tak kan sampai hati nak tolak.
Mulai esok, awak ialah pekerja Zeal Bookstore
yang sah.”
Qaira tersentak. Kini dia pula yang terasa seperti
bermimpi. Benarkah apa yang di dengarnya? “Encik serius ke ni?”
“Saya tak kan buat main benda macam ni sebab apa yang saya
buat sekarang ni sama macam jilat ludah sendiri. Tapi saya nak awak tahu yang
saya tak suka di cabar. Awak minta yang terbaik dan inilah dia. Bukan saja
terbaik tapi tawaran lima bintang untuk awak.”
“Tapi… encik tak marah saya lagi?”
“Marah tu dah jatuh nombor dua bila awak cabar saya. Sebab
tu nanti bila orang tanya macam mana awak boleh kerja balik kat Zeal, awak senyum je. Tak perlu kata
apa-apa. Biar saya yang uruskan semua sebab awak ni bukan boleh percaya sangat,”
ujar Harris.
“Kenapa encik cakap macam tu?”
“Awak ni banyak tanyalah. Saya cuma nak jawapan, bukan
soalan. So, take it or leave it.”
“Mestilah saya nak,” balas Qaira tanpa berfikir panjang.
Baginya ini lebih baik dari elaun tiap-tiap bulan. Elaun belum tentu kekal.
Tapi kerja, insya-ALLAH.
“Saya dah agak. Jadi tunggu apa lagi?” Harris segera
mengisyaratkan supaya Qaira beralih ke belakang.
Qaira akur. Setelah itu, sebuah lagi topi keledar di ambil
dari dalam beg galas yang di bawanya lalu di serahkan kepada Harris. “Nah.”
Harris yang sudah duduk di hadapan segera menoleh. Lama
dia memerhati topi keledar tersebut. Terasa seperti ada yang tidak kena
dengannya. “Warna apa ni?”
“Err… pink.”
“Pink? Awak
suruh saya pakai helmet warna pink?”
“Bukannya ada orang nampak.”
Harris mendengus.
Mahu tidak mahu, topi keledar itu di sarungkan juga di kepala. Walau macam mana
pun, keselamatan paling utama. “Pegang kuat sikit. Saya bawa laju ni.”
Qaira tidak menyahut. Tiba-tiba saja dia jadi segan kerana
selain arwah abahnya, dia tidak pernah membonceng motosikal dengan lelaki lain. Hatta
dengan Safwan pun langsung tidak pernah. Terasa serba tidak kena bila Harris
yang memecah dominasi arwah abahnya itu.
***
“Kenapa kau lambat ambil aku?” Soal Maya sejurus mereka masuk ke dalam rumah. Tika ini jarum jam sudah menginjak ke angka 11.
Qaira yang baru mahu duduk, kembali menegakkan badan. “Tadi kan hujan. Jadi aku berhentilah kat bus stop,” jawabnya jujur.
“Aku tahu hujan. Tapi hujan berhenti awal. Ke kau
melencong tempat lain dulu?”
“Sebenarnya aku… dah dapat kerja,” beritahu Qaira.
Maya mengerutkan dahi. “Kerja? Malam-malam macam ni pun
kau cari kerja?”
“Kerja tu datang sendiri. Bukan aku yang cari.”
“Apa maksud kau ni Qaira? Aku tak fahamlah.”
“Encik Harris nak aku kerja balik kat Zeal.”
Terlopong Maya mendengarnya. “Biar betul? Tapi… macam
mana?”
“Rezeki,” jawab Qaira pendek.
“Aku tahu rezeki. Alhamdulillah. Tapi pelik sikit rezeki
kau ni,” ujar Maya.
Qaira hanya tersenyum. Seperti kata Harris, senyum. Tak
perlu kata apa-apa.