Sudah berbagai-bagai
jenis buku yang Irfan belek. Tapi
sehingga kini, tiada satu pun yang benar-benar memenuhi kehendaknya. Entah apa
yang di cari, dia tidak tahu. Itu tidak kena, yang ini lagilah tidak kena.
Walaupun di beri harga lebih murah jika dia berbelanja di Zeal Bookstore, itu bukan jaminan untuk dia membeli. Ternyata dia
dan Harris berbeza dalam soal yang satu ini. Harris suka dan minat buku. Dan
kerana minat dan suka itulah, Zeal
Bookstore di buka. Tapi dia, biasa-biasa sahaja. Tahap suka dan minatnya
tertinggal jauh di belakang Harris.
Tidak lama, dia menggaru
kepala. Penat mencari dan pening melihat. Terlalu banyak yang sudah di cari.
Dan lagi banyak yang sudah di lihat. Namun sesekali bibirnya tersenyum juga
tatkala di sapa mesra oleh pekerja-pekerja di kedai buku Harris ini. Takut
nanti di kata sombong dan tidak mesra sebagai sepupu bos. Lagi pula, status
Harris perlu di jaga. Dia tidak mahulah Harris di kata mempunyai keluarga yang
sombong dan angkuh.
Sedang dia melanjutkan langkah ke sudut yang lain, kakinya tiba-tiba kaku dan matanya pula terus berhenti berkelip. Ketika inilah secebis memori manis yang singkat itu berebut-rebut mahu mengisi kembali ruang fikirannya. Dialah si gadis comel yang mempunyai senyuman semanis madu itu. Panjang juga jodoh mereka berdua. Dan kalau mahu di panjangkan lagi, bolehlah di sapa gadis itu. Namun ia tidak semudah di sangka. Ada sesuatu dalam diri yang menghalangnya dari mendekati gadis itu. Sesuatu yang bersifat halus dan tidak baik.
***
Mata Qaira meliar
ke kiri dan kanan. Ternyata rasa kantuknya semakin sukar di bendung. Lambat-lambat
dia melangkah ke bahagian hujung kedai. Setelah itu, dia terus duduk sambil
menyandarkan belakang tubuhnya pada tepi rak buku yang berwarna putih itu. Dan
tanpa menunggu lama, matanya terus di pejam.
Namun apabila
sayup-sayup kedengaran suara Maimun di telinga, mata yang di pejam terus
terbuka luas. Laju dia berdiri sebelum terkocoh-kocoh pergi dari situ. Walau
kepalanya sakit kerana bangun mengejut, dia gagahkan juga untuk melangkah.
Namun belum terlalu jauh… bum! Badannya melayang jatuh.
“Aduh!” Dia mengerang kesakitan. Rasa kantuknya serta-merta
hilang.
“Ni lah akibatnya
kalau ada mata tapi tak tahu nak guna,” kata satu suara.
Perlahan-lahan Qaira mendongak. Saat wajah Harris menyapa
matanya, cepat-cepat dia berdiri. “Saya minta maaf encik.”
“Apa? Saya tak dengar.”
“Saya minta maaf. Saya tak sengaja,” ulang Qaira.
“Kuatlah sikit. Tak dengar,” ujar Harris.
Qaira mengucap di dalam hati. Jelas lelaki ini mahu
mempermainkannya. Namun dia berusaha untuk sabar dan terus sabar. “Saya minta
maaf. Saya yang salah sebab tak tahu guna mata,” balasnya dengan agak kuat.
Harris tersenyum sinis. “Bagus. Macam ni yang saya nak.”
“Saya tahu,” jawab Qaira perlahan. Walaupun sebenarnya mahu
menjawab yang lain, dia memilih untuk tidak meneruskan. Lagipun Maimun sedang
memerhati mereka dari jauh. Jadi dia tidak mahulah menimbulkan sebarang masalah lagi.
“Saya tahu Maimun tengah tengok kita,” kata Harris.
Qaira mengeluh perlahan. “Mesti dia fikir yang encik
tengah nasihat saya.”
“Kenapa awak cakap macam tu?”
“Yalah. Saya kan budak tak matang,” balas Qaira.
Harris menjongketkan kening. “Maimun bagitahu awak?”
Qaira angguk sahaja.
“Jadi sekarang sentaplah ni?”
“Encik boleh fikir sendiri.”
“Alah, saya… bergurau je tu. Tak payah ambil hatilah.
Lagipun saya malas nak cerita. Panjang sangat. Satu hari tak habis.”
“Kenapa pula sampai satu hari? Saya cerita kat kawan saya
tak sampai lima minit pun.”
Harris terkejut. “Awak cerita kat kawan awak? Eh, kan saya
dah pesan jangan buka mulut. Awak ni tak dengar arahan sayalah.”
Qaira mencerlungkan matanya. “Sebab encik dah burukkan
saya depan cik Mun. Saya sakit hati. Sebab tu saya cerita.”
“Bila masa saya burukkan awak?” Tanya Harris.
“Kata saya tak matang tu bukan burukkan?”
“Saya rasa tak matang lagi bagus dari perangai teruk. Saya
ni sebenarnya nak bantu awak. Cuba awak fikir kalau saya cerita perkara sebenar
pada Maimun. Saya kata yang awak tak ikhlas tolong saya. Berkira dengan bekas majikan
yang awak dah aniaya. Tak malu?”
“Tapi saya tak ambil pun duit dengan handphone tu. Dan kerja ni, bukan saya minta.”
“Memang awak tak minta. Tapi awak tak tolak bila saya
bagi. Jadi itu maknanya kalau saya tak tawarkan awak kerja ni kemungkinan untuk
awak tak hantar saya malam tu sangat tinggi.”
“Jadi encik nak saya ucap terima kasih sebab encik dah
tolong selamatkan saya dari rasa malu?” Soal Qaira.
Harris tersengih. “Why
not? Budi bahasa, budaya kita.”
Qaira mengetap bibir. Benarkah Harris mahu membantunya?
Terasa hatinya tidak yakin dengan kenyataan itu. “Saya minta diri dulu,”
pintanya sebelum terus berlalu.
“Eh, tak cakap terima kasih dulu ke? Qaira… Qaira,”
panggil Harris. Tidak lama, dia tersenyum lebar. Akhirnya, dapat juga dia
mengenakan gadis itu.
***
Hampir lima belas minit Irfan duduk di situ, namun kelibat
yang di tunggu belum juga muncul. Dan dalam kesabarannya menunggu, bayangan
wajah gadis yang di temuinya petang semalam tiba-tiba memenuhi segenap fikiran.
Walaupun hanya melihat dari jauh, gadis itu nyata telah mengganggu kembali emosinya.
Semalam dia bermimipi dan pagi tadi pula terus terbayang-bayang.
“Irfan!” Sergah satu suara.
Irfan tersentak. Serta-merta fikirannya jadi kosong. Saat
dia mengangkat wajah, sengihan panjang Harris terus menyapa matanya.
“Berangan pikat puteri raja ke?
“Merepeklah.”
Harris tergelak lalu menarik kerusi di hadapan Irfan.
“Kalau bukan puteri raja, ni mesti tengah fikir pasal Zahira. Kan? Apa cerita
kau dengan dia?”
Irfan menghela nafas panjang sebelum menghembusnya
perlahan. “Mungkin jodoh aku dengan dia cuma sebagai kawan.”
“Apa maksud kau?”
“Dia nak sambung belajar kat Melbourne. So, aku tak
harap apa-apa dari dia,” beritahu Irfan.
Harris tergeleng-geleng. “Melbourne tak jauh. Lagipun sekarang ni tak ada istilah jauh.
Macam-macam kau boleh guna untuk berhubung dengan dia. Kalau dah susah sangat, book tiket. Kau pergi sana.”
Irfan mengeluh perlahan. “Ni bukan masalah dekat atau
jauh. Tapi keyakinan. Kami sama-sama tak yakin dengan hubungan jarak jauh. Jadi
tak guna nak teruskan hubungan yang memang dah menampakkan kegagalan.”
“Kalau kau dah cakap
macam tu, aku tak boleh nak cakap apa,” balas Harris.
Irfan diam seketika sebelum kembali membuka mulut. “Kau percaya
tak kalau aku cakap yang aku tengah fikir pasal seorang perempuan biasa yang…” Harris menggoyang-goyangkan jari telunjuknya. “Tak.”
“Aku belum habis cakap lagi,” kata Irfan.
“Tak payah tunggu habis. Bila perkataan ‘biasa’ tu keluar
dari mulut kau, aku dah tahu dah. Tak payahlah nak tipu aku. Taste kau tinggi. Ego pun tinggi. Jadi setakat
biasa-biasa ni, kau tak pandang.”
Irfan menggaru keningnya. Kalau Harris tidak boleh
menerima kenyataan tersebut, apa lagi dia? Bukan dia tidak mengaku taste tinggi. Dan tidak juga dia
menafikan yang egonya melangit. Sungguh! Dia benar-benar rasa susah kerana
perasaan ini.