Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 9

Kelibat seorang lelaki yang baru masuk ke dalam kedai itu terasa begitu dekat di hatinya. Lantas Qaira terus membuka mata besar-besar. Ya, dialah lelaki itu! Lelaki pembawa masalah yang masih berhutang sebuah telefon bimbit dengannya. Akhirnya hari yang di tunggu tiba juga. Ternyata takdir tidak membiarkan dia menunggu lama. Lalu tanpa berlengah, lelaki itu segera di hampiri.

“Encik,” panggilnya dengan agak kuat.

Harris berhenti melangkah sebelum berpaling. “Awak panggil saya?”

“Mestilah saya panggil encik,” jawab Qaira.

“Kenapa panggil saya?” Tanya Harris. Berjumpa juga mereka akhirnya. Kalau di tafsir dari wajah gadis ini, ada riak tidak puas hati terpamer di situ.

Qaira tersenyum sinis. “Bila encik nak tunaikan janji?”

“Janji?”

“Janji nak ganti handphone saya yang dah rosak tu. Tak ingat ke?”

Harris menjongketkan keningnya. “Awak merepek apa ni?”

“Saya tak merepeklah encik. Saya cakap benda betul. Tak kan encik lupa?” Tanya Qaira.

“Saya tak lupa. Sebab tu saya kata awak merepek.”

Qaira mengerutkan dahi. “Encik ni cakap belit-belitlah. Susah saya nak faham.”

“Tak faham? Ha, itu tandanya awak tu lembab. Cuba awak ingat balik apa yang saya cakap dulu. Yalah, memang saya cakap yang saya nak ganti handphone awak tapi saya tak pernah janji pun,” balas Harris.

“Saya dah agak dah. Encik ni memang penipu,” luah Qaira sebal.

Harris tersengih. “Tapi saya tak tipu bila saya cakap yang kita akan jumpa lagi. Buktinya sekarang, kita dah jumpa.”

“Memanglah sebab encik tu kerja jaga. Cuba encik kerja kat pejabat, mesti kita tak jumpa sebab kita tak kerja satu tempat.”

“Apa awak cakap tadi? Saya kerja jaga?”

“Yalah. Tak betul?”

Harris tergeleng-geleng. Dan tidak lama, dia tergelak. Ini memang kelakar! Gadis ini memang kaki buat lawak agaknya. “Awak pernah nampak tak jaga pakai baju smart, handsome dan pakai tali leher macam ni?”

Qaira angguk. “Ada juga yang smart dan handsome. Tapi tak pernah nampak lagi yang pakai tali leher. Encik orang pertama.”

“Kalau dah lembab tu, lembab juga,” sindir Harris.

“Saya cuma minta encik tunaikan janji. Bukan mengata saya,” bentak Qaira.

“Jadi yang awak kata saya jaga tu bukan mengata?”

“Encik ni bukan kerja jaga ke?”

Harris mengetap bibir. “Saya ada dua benda nak bagitahu awak. Pertama, saya tak pernah janji kat awak. Kedua, saya ni bukan jaga.”

“Dah tu?”

“Saya owner kedai ni,” ujar Harris.

Qaira tergelak. “Tengok. Menipu lagi. Cukup-cukuplah encik. Saya ni mungkin lembab tapi saya tak kan tertipu untuk kali kedua.”

Harris menggaru keningnya. Nampaknya gadis ini memang sengaja mencabar kemarahannya. “Listen here Nurin Qaisara binti Rosli. Sepatutnya, sebelum awak mula kerja kat sini, awak dah tahu semua tentang kedai ni supaya awak tak nampak lembab dan bercakap benda yang bukan-bukan. Dah lah buat fitnah tentang saya. Kalau saya jadi awak, dah lama saya berhenti. Dan mungkin sepatutnya dari awal lagi awak tak di terima kerja kat sini. Awak…”

“Encik…”

“Shh… kejap. Saya belum habis cakap lagi. Lain kali jangan potong bila orang tengah bercakap. Itu tak beradab namanya. Awak tu perempuan. Tak elok. Kalau sekarang ni ada mak cik-mak cik yang tengah tengok kita, confirm dia reject awak jadi menantu.”

“Encik ni kenapa? Sekarang ni kita bercakap pasal encik, bukan pasal saya.”Qaira mula panas hati.

“Eh awak ni, saya baru je cakap tadi. Jangan potong bila orang tengah bercakap. Pekak ke apa? Atau tak faham bahasa melayu? Ke awak nak saya eja satu-satu? Rasanya…” Tidak semena-mena, Harris rasa sakit di pipi. Dia tergamam seketika. Mungkinkah dia sedang bermimpi ngeri? Pantas wajah gadis di hadapannya itu di renung tajam. Mimpi? Itu hanyalah alasan klise untuk menidakkan kebenaran sedangkan dia tahu bahawa sekarang ini dia sedang celik. Bukan tidur!

Qaira pula lekas memegang tangannya. Dia terkedu dan otaknya rasa tepu seketika. Sungguh bukan niatnya mahu berkasar. Dia cuma berasa marah dan gagal mengawal emosi. “Encik, saya… saya...”

Tanpa menunggu kata-kata Qaira yang seterusnya, Harris cepat-cepat meliarkan matanya ke kiri dan kanan. Ya, dia memang sudah menjangkakan hal ini. Semua orang sedang memerhatikannya. Paling teruk, tiada seorang pun yang tertinggal! Malu? Rasa macam mahu mneyorok di tapak kaki.

“Nurin Qaisara! Apa awak buat ni?” Suara bingit Maimun jelas kedengaran di telinga.

Qaira memandang wajah tegang lelaki itu sebelum berkalih pandang pada Maimun yang kini sudah pun berdiri di sebelahnya. Wajahnya nyata berkeringat. Dia takut. Dia gugup. “Err… saya… saya… tak sengaja.”

Harris mendengus kasar. Kalaulah di wariskan kisah yang berlaku pagi ini kepada anak cucunya, pasti ia akan berpanjangan kepada cicit-cicitnya pula. Dan mungkin juga ceritanya ini boleh kekal sehingga tujuh keturunan. Kalau jadi kenyataan, ternyata ia adalah satu cerita turun-temurun yang langsung tidak membawa faedah. Memalukan anak cucu adalah! “Maimun, awak suruh perempuan gila ni pergi pejabat saya sekarang juga. Kalau dia tak nak pergi, gantung dia kat depan kedai,” katanya sebelum terus berlalu.

Qaira tertelan liur. Agak ganas amaran lelaki itu. Tapi… siapa dia? Kenapa berlagak seperti bos besar? Jangan-jangan lelaki ini memang berkata benar. Dia pemilik Zeal Bookstore! “Cik Mun, dia tu…”

Maimun mengeluh perlahan. “Dia tu encik Harris Ilman. Pemilik Zeal Bookstore.”

Ternyata penjelasan itu benar-benar mengejutkan Qaira. Ya ALLAH, apa aku dah buat ni? Habislah!

“Yang awak pergi tumbuk muka encik Harris tu kenapa? Dah buang tabiat?” Tanya Maimun. Dia yang sudah lama bekerja di Zeal Bookstore ini pun tidak pernah naik tangan. Hatta pasang niat mahu melakukan perkara begitu juga langsung tidak pernah. Tapi Qaira yang baru sepuluh hari bekerja, sudah berani bertindak drastik seperti itu. Agaknya gadis ini ada keturunan pendekar. Sebab itu tidak takut pada sesiapa.

“Sebab… saya marah. Saya tak… tak… boleh nak fikir,” jawab Qaira. Dia sudah teramat takut sekarang. Tangannya jadi sejuk. Dadanya pula bagai mahu pecah. Aduh! Ternyata kelemahannya dalam mengawal emsoi sedang membinasakannya kini.

“Marah tak bertempat!Saya rasa awak patut menyesal dengan apa yang awak dah buat sebab saya yakin yang awak sendiri tahu hukuman yang menanti awak lepas ni,” ujar Maimun. Bukan berniat mahu menakutkan, tapi sesiapa pun pasti akan tahu tentang hukuman yang menanti gadis ‘seberani’ ini.

Qaira menggigit bibir. Tanpa kata, dia terus terduduk di situ. Bertemankan air mata dan rakan-rakan yang kini mengerumuninya. Kini, semuanya nampak kelam. Seolah-olah hukuman itu sudah di jatuhkan walaupun dia belum di hakimi.

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman