Berkerut dahi Johan
apabila melihat hanya Qaira yang menarik kerusi di hadapannya. Pantas dia
tertinjau-tinjau ke belakang. Bukankah sepatutnya Qaira datang bersama Maya?
Kalau tiada Maya, maka tiada guna mereka berjumpa di sini hari ini. Dalam diam,
dia sudah mula risau. Wajah Qaira di pandang tajam.
“Kenapa tengok
aku macam tu?” Tanya Qaira.
“Maya mana? Kan aku dah cakap bawa dia.”
“Dia adalah. Tak
payah risau.”
Johan mengetap bibir. “Masalahnya aku tak nampak dia. Mestilah
aku risau.”
Qaira tergelak.
“Dia pergi bank. Kejap lagi datanglah tu. Gelabah sangat!”
“Cakaplah awal-awal,” balas Johan lega.
“Dia tak sampai lagi ke?”
“On the way.”
Qaira sekadar mengangguk. Sebenarnya dia malas mahu keluar
malam ini. Lagipun esok hari bekerja. Tapi memandangkan perancangan ini sudah
lama di buat, terpaksalah dia merajinkan diri.
“Maya kata kau jumpa
Safwan. Betul ke?” Tanya Johan tiba-tiba.
“Bila Maya cerita?”
“Kau jumpa Safwan petang kan? Malam tu, dia dah cerita kat
aku dah,” beritahu Johan.
Qaira menengeluh perlahan. Dia tidak terkejut kalau Johan
boleh tahu walaupun dia tidak membuka mulut. Antara mereka bertiga, tiada
rahsia yang di simpan. Sehinggakan masing-masing hampir tiada rahsia untuk di
simpan buat pengetahuan diri sendiri. “Jumpa
sebagai kawan lama.”
Johan mencebik. “Klise sangat jawapan kau tu.”
“Habis tu kau nak
jawapan yang macam mana?”
“Kau masih cintakan dia ke? Atau dia nak baik balik dengan
kau ke? Baru sedap sikit telinga aku dengar.”
“Tak ada maknanya!” Balas Qaira. Dengan Maya pun dia tidak
bercerita dengan lebih lanjut, inikan pula dnegan Johan. Biarlah hanya dia dan
Safwan yang tahu.
“Korang borak
apa?” Tanya Maya lalu duduk di sebelah Qaira.
Qaira sedikit terkejut. Tapi tidak Johan. Dia sudah
perasan kelibat Maya dari jauh. Lantas dia tersengih. “Tak ada apalah. Saja
borak kosong.”
“Ingat aku nak percaya korang borak kosong? Borak korang
berdua tu berisi. Mesti pasal Safwan kan?” Duga Maya.
Qaira mendengus. “Mulut kau memang laju.”
Maya tergelak. “Macam tak biasa. Tu berita sensasi.”
Kemudian mereka bertiga diam. Maya pula sudah mula bosan
dan sedikit pelik. Ada lagikah yang di tunggu selain dari dirinya? “Korang tak order ke?”
“Sabarlah. Kita tunggu seorang lagi,” jawab Johan sambil
mengerling Qaira. Kedua-duanya tersenyum nakal.
“Siapa?” Tanya Maya.
“Adalah…” jawab Qaira pula.
Malas mahu bertanya lagi, Maya kembali mendiamkan diri. Dalam
pada itu, dia teruja juga mahu tahu siapa gerangan yang seorang lagi itu. Selalunya
mereka hanya makan bertiga. Tapi malam ini, berempat pula.
“Ha! Tu dia dah sampai.” Johan tersenyum lebar.
Maya pantas mengangkat kepala. Namun saat melihat wajah
yang semakin menghampiri meja mereka itu, rasa terujanya terus mencecah angka
negatif. Laju sahaja dia memandang wajah Johan dan Qaira.
“Sorry lambat,”
kata Abdullah.
“Eh tak apa. Duduklah,”
pelawa Johan.
Abdullah mengangguk
sambil tersenyum. Wajah Qaira di pandang sebelum beralih ke arah maya.
Maya pula terasa
benar-benar mahu meletupkan diri saat ini. Biar Johan, Qaira dan Abdullah
terkena tempias letupan itu. Patutlah Qaira beria-ia mengajaknya makan nasi
ayam. Rupa-rupanya ada agenda tersembunyi.
“Maya apa khabar? Lama tak datang makan kat restoran mak?”
Tanya Abdullah.
Restoran mak? Maya terasa kepalanya berdenyut. Sekarang
ini, dia seboleh mungkin akan mengelak dari makan di restoran Kasih Sayang.
Setiap kali makan di sana, dia pasti rugi. Makanannya tidak pernah habis.
Semuanya gara-gara mahu cepat pergi. Dia tidak selesa. Terasa mata Abdullah itu
melekat pada wajahnya. Dulu tidak pula begitu. Hanya sekarang ini saja lelaki
itu semakin menjadi-jadi perangainya. “Alhamdulillah, sihat.”
“Formal sangatlah kau ni Maya. Abdullah je kut,” ujar
Johan.
Memanglah
Abdullah je! Tapi itu sebelum dia luahkan perasaan kat aku, tempelak Maya dalam
hati. “Formal ke? Aku rasa biasa je,” balasnya dalam geram.
Qaira menekup mulut. Dia mahu ketawa. Tapi sekuat hati
cuba di tahan. Reaksi Maya sudah di duga. Malah dia dan Johan tahu betapa tidak
sukanya Maya terhadap Abdullah.
“Dah lah tu. Tengok
je mana boleh dapat,” seloroh Johan.
Abdullah
tersentak. Dia tertangkap! Tapi matanya tidak boleh lepas dari merenung wajah Maya
yang di lihatnya bertambah cantik itu. Lebih-lebih lagi kalau sedang marah. Dia
tidak kisah jika seribu kali Maya menolaknya kerana dia sejuta kali akan terus
memikat gadis itu. Baginya memikat Maya yang jual mahal itu adalah satu
cabaran. Dan dia adalah lelaki yang suka pada cabaran. “Err… jom order. Aku belanja.”
Johan tersenyum
girang. Ibu jarinya terus di angkat. “Cantik.”
“Terima kasih Abdullah,” tambah Qaira.
Maya hanya mampu menahan rasa. Dan apabila Johan
mengisyaratkannya supaya tersenyum, dia mencerlungkan mata. Mana mungkin dia
akan senyum dalam situasi seperti ini.
***
“Aku baru nak pejam mata. Kau nak apa
malam-malam ni?” Tanya Qaira sebal. Macamlah esok mereka tidak boleh berjumpa.
“Jangan salahkan aku. Salahkan Abdullah. Dia yang beria-ia
suruh aku datang sini. Nasib baik upah lumayan. Kalau tak, jangan haraplah aku
nak ikut cakap dia.,” balas Johan sambil mengeluarkan sesuatu dari dalam beg
galasnya.
Qaira
terjengah-jengah. Dan apabila melihat benda yang berada di tangan Johan, dia mengeluh
panjang. “Baru kejap tadi kita makan sama. Sekarang bagi surat lagi?”
“Itulah yang di namakan power of love. Tak pernah dengar?”
“Abdullah ni tak serik.
Aku dah bagitahu dia yang Maya buang semua surat lepas baca. Kesian kau. Dah
lah esok nak kerja,” ujar Qaira seraya mengambil sampul surat yang di hulur
olah Johan.
Johan tersengih. “Biarlah. Dah dia suka. Nak buat macam
mana? Lagipun kita yang nak tolong dia. Tahan je lah. Yang penting dapat gaji. Ni,
tengok lengan kau.”
“Kenapa?”
“Tengok je lah,”
kata Johan sebelum segera mengangkat tinggi tangan Qaira dari luar pintu pagar
yang berkunci. “Eh, samalah!” Jeritnya bila melihat di lengan Qaira juga ada
bekas berwarna biru dan hijau. Sama seperti yang ada pada lengannya.
“Mestilah sama. Dah
orang yang sama buat,” balas Qaira. Tadi, setelah mereka selesai makan dan
Abdullah pula sudah terlebih dahulu meminta diri, Maya tidak segan-segan
mencubit lengannya dan juga Johan. Katanya, itu balasan awal kerana menipu.
“Tapi aku rasa Maya ni suka kat Abdullah. Kau tak rasa macam
tu ke?”
“Tak langsung!”
“Kalau dah jodoh
tak ke mana,” ujar Johan.
Qaira tergelak
kecil. “Kenapa kau cakap macam tu?”
“Tak ada siapa tahu jodoh masing-masing. Jodoh kan di tangan
tuhan. Sebab tu aku cakap macam tu.”
Kata-kata
Johan itu membuat Qaira berfikir. Betul juga. Siapa jodohnya, hanya tuhan yang
tahu. Boleh jadi jodoh itu yang memang di jangka. Dan boleh jadi juga sebaliknya.
Sesungguhnya manusia hanya merancang, ALLAH jua yang menentukan segala-galanya.