“Ris okey?” Tanya
Maisarah. Terasa bagai ada sesuatu yang tidak kena pada wajah anak tunggal
arwah abangnya itu. Kalau boleh malam ini, dia mahu semua orang gembira.
Lagipun bukan selalu dapat berkumpul begini. Tambahan lagi dia sudah lama tidak
bertemu dengan Harris. Kali terakhir seingatnya sebulan yang lalu.
Harris memandang wajah Maisarah. Ternyata mak ngah masih
hebat meneka. Tidak berubah dari dulu. Di sebabkan itu, dia memang susah
menyembunyikan apa-apa masalah dari Maisarah.
“Okey.”
“Mummy Ris tak
baik lagi?” Tanya Maisarah lagi. Dia tahu ada sesuatu. Tapi malas mahu bertanya
dengan lebih lanjut. Keadaan tidak sesuai. Maklum sahaja. Mereka bukan hanya
berdua ketika ini.
“Belum. Tapi demam dah kebah sikit. Dia kirim salam kat
mak ngah,” ujar Harris.
“Waalaikumsalam. Ni hari tu mak ngah ada jumpa mummy Ris
kat Pavilion. Dah makin bergaya dia sekarang. Kalah mak ngah. Lagi satu, dia
siap belanja mak ngah beg tangan Gucci. Mak ngah pun ambil je lah. Dah orang
nak belanja.”
Irfan menjongketkan kening. “Mama tak bagitahu Ir pun
dapat beg tangan baru?”
“Lupa,” jawab Maisarah.
“Mummy ada
cerita. Dia kata mak ngah cerewet masa nak pilih beg tangan tu,” beritahu
Irfan. Dan seperti Maisarah, dia juga perasan yang mummynya sudah semakin
bergaya. Pakaian dan perhiasannya semua berjenama. Tapi tidak pula dia mempersoalkannya.
Biarlah. Itu semua duit mummynya. Dia tiada hak untuk membantah.
Qaira dan Maya pula hanya duduk kaku di atas kerusi. Hatta
tidak kedengaran satu bunyi pun dari mereka. Sungguh mereka terasa janggal
berada di tengah-tengah keluarga ini.
“Eh, jemputlah makan. Qaira, Maya. Jangan malu-malu,”
jemput Maisarah. Kemudian di ambil pinggan kosong di hadapan Qaira untuk di isi
dengan nasi putih. Dia tahu gadis berdua ini segan. Maklumlah, kali pertama
bertemu.
“Tak payah susah-susah puan. Biar saya buat,” pantas Qaira
mengambil semula pinggannya. Terkejut juga dia dengan tindakan dari mama Irfan
itu.
Maisarah tersenyum. “Tak apa. Biar mak cik buat. Qaira dengan
Maya tu tetamu. Mestilah mak cik kena layan,” ujarnya sebelum mengambil semula
pinggan tersebut. Setelah pinggan di isi dengan nasi, ia kembali di serahkan
kepada Qaira.
“Terima kasih puan.”
“Mak cik.” Maisarah membetulkan. Kemudian pinggan Maya pula
di ambil.
Irfan cuba untuk menyembunyikan senyuman. Seperti mana Qaira
liat memanggilnya awak, begitu juga liatnya lidah gadis comel itu memanggil
mamanya mak cik.
Harris hanya mengerling Irfan yang duduk di sebelahnya.
Sungguh rasa curiganya semakin memuncak.
“Ris, makanlah. Tu, mak ngah ada masak sambal ikan
kegemaran Ris.”
Harris memandang sambal ikan yang terletak di hadapan
Qaira. Mahu di capai, agak jauh. Mahu minta tolong Qaira, dia malas. “Tak
apalah mak ngah.”
Maisarah mengerutkan dahi. “Ris dah tak suka makan sambal
ikan ke?”
“Bukan. Ris…”
“Dia malulah tu ma. Nanti kalau dia makan sambal ikan mama
ni, confirm dua kali tambah. Dia
mestilah kena jaga penampilan depan pekerja-pekerja dia ni,” sampuk Irfan sambil
meletakkan sambal ikan itu di atas pinggan Harris.
Harris mengetap bibir. Nampak sangat Irfan sengaja.
Maisarah tergeleng-geleng.
“Mama pergi dapur kejap. Rasanya ada yang mama lupa ni,” ujarnya.
Irfan segera memegang tangan mamanya. “Tak apalah. Biar Ir
ambil.”
“Tak apa. Biar mama pergi. Qaira, boleh tolong mak cik?”
Qaira terkejut. Namun dia akur sahaja.Tidak mungkin dia
akan berkata tidak pada tuan rumah. Lantas, langkah Maisarah di susuli. Maya
yang di tinggalkan menggigit bibir. Mahu di tarik tangan Qaira agar dia boleh
ikut bersama, rasa tidak manis. Mahu tidak mahu, di paksa juga dirinya untuk
bertahan di meja makan ini.
“Pak ngah mana?” Tanya
Harris sebelum memandang sekeliling. Dia mahu bertanya terus perihal Qaira.
Tapi kehadiran Maya di situ membuat dia bertukar soalan.
“Baru perasan ke
papa aku tak ada?” perli Irfan.
Maya tersengih. Harris pula mencebik.
Lantas Irfan ketawa kecil. “Papa kat Langkawi.”
“Buat apa?”
“Pasal projek
baru tu lah. Ada masalah sikit.”
“Tapi bukan kau ke yang sepatutnya pergi sana?”
Irfan menganggguk. “Memanglah. Tapi papa tak bagi aku pergi hari ni.
Dia cakap birthday boy kena duduk
rumah. So, esok baru aku pergi.”
Harris kembali diam. Maya pula sudah tidak senang duduk. Ikutkan
hati, dia mahu berlari ke dapur kerana dia rasa lemas duduk di antara dua
jejaka ini.
***
Di dapur, Qaira
berdiri kaku di tepi kabinet. Maisarah pula sudah berlalu ke peti sejuk sebelum
mengeluarkan sebiji kek sederhana besar yang berwarna biru muda. Di atas kek
itu tertulis ‘Happy Birthday Irfan Hakimi.”
“Qaira, tolong ambilkan makcik lilin kat dalam laci tu,”
pinta Maisarah.
Qaira melangkah
laju menuju ke arah laci yang di maksudkan. Setelah menjumpai lilin yang
berbentuk nombor dua dan tujuh, dia segera mencapainya sebelum di serahkan
kepada Maisarah.
“Terima kasih.” Lilin tersebut di capai lalu di letakkan di
atas kek tersebut. Setelah itu, lilin pun di nyalakan “Cantik tak?” Tanya
Maisarah.
“Cantik,” jawab Qaira.
“Irfan suka warna biru. Sebab tu mak cik pilih warna ni. Sebenarnya
dia tak tahu yang mak cik dah tempah kek ni untuk dia. Saja nak buat surprise. Tapi tahu-tahu, dia dah buat surprise dulu dari mak cik.”
Qaira mengerutkan dahi. “Maksud mak cik?”
“Dia bawa Qaira
datang rumah mak cik,” jawab Maisarah sebelum pantas mengangkat kek tersebut ke
ruang makan. Sebenarnya dia tahu Irfan mahu menjemput kawan. Tapi dia tidak
tahu yang di jemput itu ialah kawan perempuan. Dan apabila terpandangkan Qaira
tadi, naluri keibuannya pantas membisikkan sesuatu. Mungkin gadis ini pengganti
Nurain Hani.
Qaira yang di tinggalkan terkedu. Jadi benarlah dia perempuan
pertama yang di bawa Irfan ke rumah. Tanpa sedar, senyuman mula bergayut di
bibirnya. Namun apabila mendengar suara Maisarah menyanyikan lagu selamat hari
jadi, dia cepat-cepat meninggalkan dapur. Sesampainya di ruang makan, kelihatan
masing-masing sudah bertepuk tangan. Bergegas dia kembali ke tempat duduknya.
“Ma, kan Ir dah cakap tak payah,” kata Irfan.
Kek kemudian di letakkan di atas meja. “Papa yang bagi
duit. Mama tolong bayar je,” jawab Maisarah lalu di sambut dengan tawa kecil
dari Irfan.
“Dah, tiup lilin,” ujar Maisarah.
Irfan mengusap lembut pipi mamanya sebelum merenung lilin
yang berbentuk nombor dua dan tujuh simbolik dengan umurnya di atas sebuah kek
berwarna biru muda itu. Seketika, matanya sempat di lirikkan ke arah Qaira. Dan
tanpa di duga, pandangan mata mereka bertaut.
“Qaira, kita tak bawa hadiahlah,” bisik Maya setelah
terlihat Harris meletakkan hadiah yang di balut kemas di atas meja.
Qaira tersentak. Pantas dia melarikan anak matanya. Ternyata
dia hampir-hampir kalah tadi. Pandangan Irfan terlalu kuat untuk di tepis
begitu sahaja. Mujur ada Maya yang menyedarkan.