Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 11

Qaira berbaring di atas sofa sambil tangannya di silangkan di belakang kepala. Tidak lama, segumpal keluhan di lepaskan ke udara. Rasa menyesal yang menujah hatinya terasa semakin berat untuk di pikul. Kalaulah masa boleh di undur, tidak ingin dia menemui Harris pagi tadi. Biarlah di janjikan intan permata sekali pun, dia sanggup berputih mata asalkan dia tidak perlu melewati episod sadis seperti yang berlaku pagi tadi.

“Lepas ni, jangan harap aku nak carikan kau kerja lagi. Dah elok-elok kerja kat situ, kau pula buat hal,” kata Maya sebaik melabuhkan punggung di atas sofa bertentangan dengan Qaira.

Qaira mengerling sekilas. “Dah bukan rezeki aku.”

“Memanglah dah bukan rezeki kau sebab kau dah kena buang. Tu lah, tumbuk lagi muka bos. Kan dah kena,” tambah Maya.

“Aku bukannya sengaja. Aku marah kat dia. Sebab tu tak dapat kawal emosi,” jawab Qaira.

Maya mencebik. “Selama ni kau marah macam mana pun, tangan kau tu tak pernah naik tau. Masa kau putus dengan Safwan dulu pun, kaki kau je yang naik. Tapi tadi tu apa cerita?”

Qaira mengetap bibir. Maya terlalu mudah untuk mengaitkan situasi. Marahnya terhadap Safwan dan Harris berbeza. Jadi sudah pasti emosi yang terluah juga tidak sama. “Encik Harris tu dah lebih. Dia kata aku ni lembab, gila, pekak dan tak prihatin. Mestilah aku bengang.”

“Habis tu yang Safwan kata kau lembik, cengeng dan kedekut depan girlfriend baru dia tu kau tak bengang pula?”

“Yang tu lain. Tapi aku kan dah tendang kaki dia. Kira benganglah tu,” balas Qaira.

“Yang lainnya sebab kau sayang dia. Sebab tu kau cuma bagi kaki tak bagi tangan,” ujar Maya.

Qaira terdiam. Safwan cinta pertamanya. Mereke bercinta sejak tingkatan lima dan berlanjutan sehingga dua tahun lamanya. Mereka sama-sama datang ke Kuala Lumpur bagi mencari rezeki. Tapi sayang, bandaraya ini telah mengubah diri bekas kekasihnya itu dan sekaligus telah merubah juga hubungan mereka. Hilang sudah Safwan yang prihatin, suka tersenyum, penyayang dan sopan. Yang ada hanya sisi hitam Safwan yang jelas tidak dia senangi. Safwan curang di depan matanya. Sempat mengutuknya dan merendahkan dirinya di hadapan kekasih baru. Akibat marah, kaki Safwan di tendang bersama linangan air mata. Dan hari itu juga secara rasminya hubungan mereka telah berakhir.

“Esok jangan pula bangun lambat. Aku nak pergi kerja awal ni,” kata Maya memecah kesunyian.

Qaira tersentak. Ingatan terhadap Safwan terus berterbangan di bawa angin kipas siling. Setelah itu, wajah Maya di pandang. “Dah tu?”

“Hantar aku pergi kerjalah.”

Qaira bingkas bangun. “Kena ke? Aku kan dah tak kerja kat situ lagi.”

“Memanglah kau dah tak kerja kat situ, tapi aku ni masih pekerja Zeal Bookstore tau. Tak kanlah kau nak biar aku naik bas? Kita kena jimat duit. Lagipun sekarang ni kau tu dah tak kerja. Lagilah kita kena jimat.”

“Lagilah tak jimat kalau hantar kau pergi kerja. Ingat motor aku tu tak guna minyak?”

Maya menggaru kepalanya. “Tak kisahlah. Nanti pandai-pandailah kita kurangkan belanja.”

“Cakap je lah malas naik bas. Nak senang je kan?” Perli Qaira.

“ Kau tak nak hantar tak apa. Nanti aku bagitahu mak dengan ayah yang kau dah kena buang kerja lagi bulan ni. Tapi kali ni alasan dia lebih teruk. Kau dah tumbuk muka bos. Nak?” Ugut Maya.

Qaira mendengus. “Main ugut-ugutlah dia ni!”

Maya hanya menjungkit bahunya. Manakala Qaira pula kembali berbaring di atas sofa. Maya memang tahu kelemahannya. Mak dan ayah! Walaupun cuma mak dan ayah angkat, tapi dia cukup terhutang budi. Budi yang akan dia kenang sehingga hujung nyawa. Di sebabkan itu, dia jadi payah untuk menolak.

***

Zalida mengintai di sebalik langsir. Hujan yang turun masih belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti. Cuaca di luar pula gelap walaupun ketika ini baru pukul 3.00 petang. Dia mundar-mandir seketika sebelum segera mencapai telefon bimbitnya di atas meja. Sambil menunggu panggilannya bersambut, bingkai gambar di atas meja di perhati. Terlalu cepat masa berlalu. Ternyata anak kecil di dalam gambar itu sudah membesar menjadi seorang anak teruna yang kacak. Bahkan tidak lama lagi, anak terunanya itu bakal menjadi suami orang. Namun memikirkan itu, perasaannya bagaikan di gigit-gigit.

Setiap kali Harris menghubunginya atau pun datang ke rumah, Mak Tom akan menjadi benteng yang paling ampuh untuknya. Dia tahu anaknya itu marah. Tapi apa yang boleh dia lakukan? Dia hanya mahu melindungi apa yang patut. Takut yang di simpan rapi akan terbongkar. Ternyata bukan mudah untuknya melalui semua ini. Mujur ada Reena yang memberinya kata-kata semangat. Dan kerana gadis itu jugalah, dia akhirnya berani untuk menamatkan perintah berkurung yang di ciptanya sendiri.

“Assalamualaikum. Ada apa Mak Tom? Ris tengah busy ni.” Kedengaran suara Harris di hujung talian.

Zalida tersentak sebelum pantas mengetap bibir. “Waalaikumsalam. Mummy ni,” jawabnya perlahan.

Ternyata pengakuan itu memeranjatkan Harris. Cepat sahaja telefon bimbit yang di kepit di bahu, di pegang dengan tangan. Fail yang terbuka di atas meja pula terus di tutup. “Ingatkan kena borak dengan Mak Tom lagi,” balasnya.

“Tak payahlah nak sindir mummy. Ris sihat?” Tanya Zalida.

“Alhamdulillah. Kenapa mummy call ni? Dah penat lari?”

Zalida mengeluh halus. “Mummy… minta maaf.”

“Kenapa mummy buat Ris macam ni? Dalam diam, mummy nak jodohkan Ris dengan Reena. Tapi bila Ris dah tahu hal sebenar, mummy pula hilang. Ris cuma nak penjelasan je. Ini soal hidup Ris,” ujar Harris kesal.

“Sebab mummy tahu yang Ris tak kan setuju dengan semua ni. Tapi Ris kena tahu semua yang mummy buat ni untuk kebaikan Ris. Lagipun Ris tahu kan yang uncle Salleh dah banyak sangat tolong kita. Lebih-lebih lagi dengan arwah daddy. Cuma dengan cara ni je lah kita boleh balas jasa-jasa dia,” balas Zalida.

Harris meraup wajahnya. “Ris tahu.Tapi kita boleh duduk bincang kan? Lagipun uncle tak pernah minta kita balas budi dia.”

“Memang dia tak minta. Tapi tak salah kalau kita nak balas.”

“Entahlah. Ris masih tak nampak macam mana perkahwinan ni boleh balas budi uncle.”

“Ingat tak yang uncle Salleh pernah minta bantuan Ris untuk urus Mewah Holding? Tapi Ris tolak. Aunty Aisyah bagitahu mummy, uncle Salleh kecewa sebab dia hanya percayakan Ris seorang selain anak-anak dia. Tapi dia faham. Ris nak teruskan syarikat peninggalan arwah daddy. Tapi Mummy sebenarnya nak sangat Ris tolong uncle Salleh. Jadi mungkin dengan perkahwinan ni akan dapat buka hati Ris untuk Mewah Holding.”

“Habis tu syarikat arwah daddy ni macam mana?” Tanya Harris.

Zalida berfikir sejenak. Dalam perniagaan, apa-apa pun boleh di lakukan. Walaupun dia tidak mahir, tapi dia tahu syarikat milik arwah suaminya itu tidak akan tergadai walaupun satu hari nanti Harris bukan lagi pengemudinya. “Kita tak kan abaikan syarikat arwah daddy. Ris orang business. Banyak idea dalam kepala. Mungkin syarikat kita boleh bergabung dengan syarikat uncle.”

“Cakap senanglah mummy.”

“Percayalah cakap mummy sayang. Ini yang terbaik. Mungkin mummy jahat. Tak fikir perasaan Ris. Tapi tak salah kalau kita nak gembirakan orang lain. Lagipun bukannya Ris tak kenal Reena. Kamu berkawan dah lama.”

Harris tidak bersuara. Ikatan tali leher yang tiba-tiba terasa menjerut diri, di longgarkan sedikit. Dia tidak suka dengan situasi yang berlaku ketika ini. Kiri dan kanan datang menghimpit. Kiri dengan cintanya. Manakala kanan, dengan budinya. Sungguh dia pening!

Zalida juga turut mengunci mulut. Dia tahu Harris memberontak. Marah dengan tindakan secara senyapnya. Tapi marah macam mana pun Harris, kata-katanya tidak pernah di bantah. Putih katanya, maka putih juga yang akan Harris ikut. Kalau hitam, pasti hitamlah pilihan anaknya itu.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman