Irfan menggaru-garu
keningnya. Inilah padahnya kalau datang lambat. Semua meja telah penuh dengan
pelanggan yang mahu mengisi perut. Terasa berat hatinya mahu melangkah pergi. Seakan
gulai lemak pucuk paku itu memanggil-manggil dirinya untuk terus bertahan di
situ. Namun seleranya tidak boleh di turuti sangat. Kesihatan tetap nombor
satu. Payah kalau gastrik datang menyerang.
Lalu dia mengambil keputusan untuk mengalah saja hari ini.
Tapi tidak esok! Walaupun bukan yang pertama datang, setidak-tidaknya bukan
yang terakhir. Namun perut yang kosong bukan halangan untuk matanya bekerja.
Dia pasti itu bukan bayangan. Mana mungkin matanya silap. Lantas dia
melanjutkan langkahnya masuk ke dalam restoran dengan senyuman yang merekah-rekah
di bibir.
“Assalamualaikum cik Qaira,” sapanya penuh sopan.
Serta-merta Qaira
mendongak. Namun tidak lama dahinya berkerut. “Waalaikumsalam.”
“Kenapa? Awak tak
ingat saya?” Tanya Irfan apabila melihat tampang Qaira yang sebegitu rupa. Dahinya
saja sudah macam kek lapis.
“Ingat.”
“Dah tu kenapa kerut dahi?”
“Tak ada apa,” jawab Qaira perlahan. Sebenarnya dia
terkejut dan tidak menyangka bahawa lelaki itu ingatkan dia.
Irfan tersenyum sahaja. Ternyata dia belum memahami
perwatakan gadis comel ini. Maklumlah masih di peringkat awal. Lama-lama nanti
fahamlah. “Boleh saya duduk sini?”
“Kenapa nak duduk sini pula?” Soal Qaira.
“Semua meja dah penuh. Awak duduk seorang. Lagipun saya
ada gastrik. Susahlah kalau saya sakit kat sini.” Irfan berusaha meraih simpati
dari Qaira.
Serba salah pula Qaira melihat wajah itu. “Err..duduklah,”
putusnya kemudian.
“Terima kasih,” ujar Irfan sebelum terus menarik kerusi di
hadapan Qaira.
“Sama-sama…” balas Qaira. Dan buat seketika dia membiarkan
sahaja lelaki itu memesan minuman dan memilih makanan kegemarannya. Setelah
beberapa ketika, lelaki itu kembali ke meja dengan sepinggan nasi putih, kari
ayam dan gulai lemak pucuk paku.
Usai berdoa, laju
sahaja Irfan menyuap nasi ke dalam mulut. Entah kenapa, menu hari ini
bertambah-tambah sedap dari hari lain. Gulai pucuk pakunya pula terasa makin
menjadi-jadi rasa lemaknya. Pasti penangan Qaira. “Awak dah makan?”
“Dah.”
Irfan menyuap nasinya sambil terangguk-angguk. Seketika,
dia mengerling ke atas meja. Hanya ada sebiji gelas di situ. “Tak nak order air lagi?”
“Dah cukup. Saya dah kenyang,” jawab Qaira.
“Cukup ke? Setahu saya awak minum tiga gelas.”
Qaira tersentak. Merepeknya lelaki ini. Bila masa dia
minum sampai tiga gelas? Pandai-pandai sahaja mahu mengata yang bukan-bukan.
“Encik tak kenal saya. Jadi tak payahlah nak cakap macam encik tahu semua.”
“Mata saya ni masih elok lagi. Matematik saya pun boleh
tahan. Setakat kira tiga biji gelas, pejam mata pun boleh. Kita duduk tak jauh
malam tu. Dan rasanya awak duduk meja ni lah. Saya pula duduk kat situ,”
beritahu Irfan sambil menunjuk meja yang kini di duduki oleh tiga orang lelaki.
Malam? Bila? Puas di perah otaknya. Namun dia tetap tidak
ingat. Apakah lelaki ini sengaja mereka cerita? Baru Qaira mahu membuka mulut,
tiba-tiba matanya teralih untuk melihat ke kaunter pembayaran. Di situ ada Ahmad
yang sedang duduk menggantikan tempat Abdullah. Ahmad yang perasan dirinya di
perhati, mula melemparkan senyuman. Dan cepat sahaja senyuman itu di balas.
Ahmad! Tidak semena-mena nama itu bergema di hatinya.
Rasanya dia sudah ingat. Malam itu Ahmad menegurnya. Bertanya kalau-kalau dia
mahu makan. Dan dia menjawab tidak kerana dia sudah kenyang minum tiga gelas milo
ais. Jadi maknanya… semua yang keluar dari mulut lelaki ini adalah fakta. Bukan
auta!
Saat itu, dia terus mengetap bibir. Semua ini Abdullah
punya pasal. Kalau sahaja anak tauke restoran itu tidak memintanya untuk
menunggu di sini, pasti dia tidak perlu berhadapan dengan lelaki ini.
“Kuat juga awak minum air banyak tu,” sambung Irfan.
Qaira sudah mahu rebah di buatnya. Baik dia pergi. Takut
selepas ini cerita lain pula yang muncul. Biar dia menunggu Abdullah di luar
restoran sahaja. “Saya minta diri dulu.”
“Tunggulah kejap. Saya ada sesuatu nak tanya.”
“Apa dia? Saya tak boleh lama ni.”
Irfan menyedut sedikit air jus applenya yang baru tiba. “Hari
tu, kenapa awak terus lari? Tak sempat saya nak bagitahu nama saya.”
“Tapi saya tak nak tahu nama encik,” jawab Qaira. Memang
itu kenyataannya. Lagipun bukan dia yang mahu berkenalan, tapi lelaki itu.
Tidak semena-mena, Irfan tergelak. Dia mengaku yang dia
tidak handsome seperti pemain jersi
nombor 7 pasukan bola sepak Thailand, Charyl Chappuis. Tapi setakat ini, tiada pula perempuan yang tidak mahu tahu namanya. “Awak orang pertama yang cakap macam tu. Saya kecil hati. Tapi tak apalah. Saya
bagitahu ni cuma untuk pengetahuan awak. Jadi tak lah saya rasa yang perkenalan
kita ni berat sebelah. Nama saya Irfan. Irfan Hakimi.”
“Irfan?”
Irfan dan qaira mendongak serentak. Namun tidak lama,
Qaira melarikan wajahnya. Apa ni? Ternyata Harris kenal dengan Irfan Hakimi.
Dan saat ini keyakinannya datang setinggi gunung dan sedalam lautan. Irfan
Hakimi pasti akan menyesal kerana pernah mempunyai niat untuk berkenalan dengannya.
Dia perempuan lembap, gila dan tak baik. Huh! Pasti Harris akan berkata seperti
itu selepas pertemuan ini nanti.
“Saya pergi dulu encik.” Pantas sahaja dia berdiri dan
berlalu. Wajah Irfan dan Harris langsung tidak di pandang. Dan mujur Abdullah
muncul tepat pada masanya. Jadi tidak perlulah dia menunggu lagi. Tapi selepas
ini, dia akan menyuruh Abdullah menulis surat cinta untuk Maya seminggu lebih
awal. Kalau tidak pun, pos saja surat itu. Senang!
Irfan pula lekas menyuap nasi yang masih bersisa di
pinggan. Setelah habis, air minumannya di sedut sehingga tinggal ketulan ais
sahaja. Dia sebenarnya panik. Mana tidaknya, Harris tiba-tiba saja muncul di
depan mata.
“Kau buat apa dengan perempuan tu?” Soal Harris sebaik
duduk di tempat Qaira tadi. Sambil itu, matanya sempat menyoroti langkah Qaira.
Di lihatnya, gadis itu sedang bercakap-cakap dengan seorang lelaki dan kemudian
terus berlalu setelah sekeping sampul surat bertukar tangan.
“Meja penuh. Sebab tu aku tumpang meja dia. Lagipun aku
tahu dia kerja kat Zeal,” jawab Irfan.
Harris mengecilkan matanya. Wajah Irfan di pandang dengan
penuh curiga. “Kau couple dengan
dia?”
“Eh, merepeklah.”
“Baguslah kalau tak. Dia tu tak sesuai dengan kau. Dah lah
lembab, gila pula tu. Pendek kata, dia tak baik,” beritahu Harris.
Irfan mengerutkan dahi. Harris jarang mengutuk orang lain.
Tapi dengan Qaira, lain pula ceritanya. “Tak baiklah kau cakap dia macam tu.
Dia kan pekerja kau. Lagipun kalau dia tak baik, kau tak kan biar dia kerja kat
kedai kau.”
“Sebab dulu aku tak tahu yang dia tu tak baik.”
“Habis tu kalau kau dah tahu sekarang, kenapa tak buang je
dia?” Soal Irfan pelik.
Harris mendengus. “Aku ada sebab sendiri. Tapi yang aku
tahu dia memang gila.”
“Tapi aku tengok dia normal je. ”
“Dia pernah tumbuk muka aku. Itu tak cukup gila?”
Irfan terkejut. Benarkah begitu? Dia susah untuk percaya.
Tapi lagi susah untuk tidak percaya kerana sepupunya itu bukan kaki tipu.