“Ikut saya,” ujar
Harris. Setelah itu, dia terus berlalu. Sepertinya rasa ragu itu kembali datang
setelah dia nekad dengan keputusannya. Agaknya inilah akibat tidak berfikir
panjang. Tapi perasaannya sukar di kawal. Makin di kawal, makin menjadi-jadi
pula rasanya. Di sebabkan itu, dia kadang-kadang buntu dengan keadaan diri sendiri.
Qaira tersentak.
Teguran mengejut itu membuat dahinya berkerut seribu. Tidak sempat dia membuka
mulut mahu bertanya. Kelibat Harris yang sudah jauh, di perhati sahaja.
Seketika, dia bercekak pinggang. “Kenapa dengan dia ni?” Ucapnya sebelum
melangkah laju membuntuti Harris.
Harris pula
semakin galak melangkah. Dari ekor matanya, dia dapat menangkap kelibat Qaira
sedang mengekori dari belakang. Dan dalam diam dia mengeluh. Terasa seperti
hati, fikiran dan langkah kakinya di kawal oleh sesuatu yang sangat kuat.
Qaira menggaru-garu kepalanya. Setelah beberapa ketika dia
mengekori, Harris kelihatan memasuki sebuah kedai menjual telefon bimbit. Dia berasa
pelik tapi tetap terus mengekori.
“Suka tak yang
ni?” Tanya Harris.
Qaira yang baru tiba cepat-cepat menjenguk. Lalu dia
terkebil-kebil. Itu iphone 6! Siapa yang tidak suka? “Kenapa encik tanya?”
“Suka ke tak?” Harris bertanya lagi.
“Err… suka.”
Dan tanpa menunggu lama, Harris terus memanggil seorang
pekerja wanita yang sedari tadi berdiri tidak jauh dari mereka. “Cik, saya
ambil yang ni.”
Buntang mata Qaira mendengarnya. Begitu mudah? Harris
hanya melihat sekali dan terus mahu membeli. Tapi mungkin itulah bezanya orang
berduit dengan yang tidak. Dan sekali lagi matanya hampir terjojol keluar bila
melihat Harris begitu mudah menyerahkan beberapa keping wang kertas berwarna
ungu kepada penjual wanita tersebut. Terasa benar yang taraf hidup mereka ini
terlalu jauh jurangnya.
“Dah, jom,” ujar Harris setelah selesai urusan pembeliannya.
Qaira terkejut. Lantas
langkah Harris di ekori lagi. Dalam hati, dia tertanya-tanya. Apa sebenarnya
yang Harris sedang lakukan? Kalau mahu menunjuk, memang tidak kena tempat
kerana dia sememangnya terlebih tahu yang dia tidak akan pernah setanding dengan
lelaki itu.
Harris kemudian
berhenti melangkah bila mereka semakin menghampiri Zeal Bookstore. Setelah itu,
dia berpusing ke belakang.
“Kenapa encik berhenti?” Tanya Qaira yang sekali lagi
terkejut dengan tindakan tiba-tiba Harris.
“Sebab saya ada sesuatu nak cakap.”
“Tapi sebelum tu saya nak tanya. Apa motif encik buat
semua ni? Saja nak menunjuk yang encik ni banyak duit?”
Harris tergelak. “Saya
memang banyak duit. Tak perlu tunjuk pun orang dah tahu.
Qaira mencebik. Berlagak pula lelaki ini.
“Ambil ni,” ujar Harris lalu menyerahkan beg kecil yang di
pegangnya sejak dari tadi itu.
“Nak buat apa?” Soal Qaira pelik.
Harris mengeluh
perlahan. “Ambil. Saya bagi.”
Qaira membuntangkan mata. Mustahil! “Encik cakap apa?”
“Saya cakap sekali je,” balas Harris.
“Tapi... susah
saya nak percaya semua ni.”
“Dah lama saya tak panggil awak ni. Lembab. Tapi bila saya
fikir, comel juga.”
Qaira mengerutkan
dahi. Terlalu banyak elemen mengejutkan dari Harris hari ini. Karakternya juga
berubah-ubah. Seperti dia sedang berhadapan lebih dari seorang individu. “Saya
tak fahamlah dengan encik ni.”
“Handphone ni saya bagi kat awak. Senang
je sebenarnya nak faham. Awak je yang lembab.”
“Tapi kenapa?”
“Sebab saya nak awak tahu yang saya tak pernah lupa pasal handphone awak tu,” jawab Harris.
Qaira terkedu. Dia sendiri sudah hampir-hampir lupa
tentangnya. Lantas beg kecil yang masih ada di tangan Harris itu di renung
kejap. “Terima kasih.Tapi ni mahal sangat. Handphone
saya murah je.”
Harris memandang lama wajah Qaira. Sepatutnya otak yang
tidak waras. Tapi rasanya, dia sedang mengalami sindrom hati tidak waras.
Seperti hatinya telah mengambil alih fungsi otak untuk berfikir. “Saya tahu
mahal. Entahlah. Agaknya saya dah gila sebab bagi awak handphone mahal macam ni,” ucapnya sebelum meninggalkan Qaira di
situ.
“Encik,” panggil Qaira. Buat Seketika, beg kecil yang telah
Harris letakkan di atas lantai itu di ambil. Ya. Mungkin benar Harris sudah
gila.
***
Iskandar mengambil tempat di sebelah Irfan yang kelihatannya
sedang ralit menonton siaran berita itu. “Baru seminggu, dah balik sini? Ni,
rindu papa dengan mama atau rindu orang lain?” Tanyanya.
Irfan menoleh sebelum tersenyum leret. “Mestilah rindu
papa dengan mama. Ir nak rindu siapa lagi?”
“Manalah tahu
rindu orang lain. Ir kan… ramai girlfriend
yang nak di rindu.”
“Merepeklah papa ni.”
Iskandar ketawa. “Ir dengan Zahira macam mana? Okey?”
Irfan terkejut. “Mana
papa tahu pasal Zahira?”
“Mama yang cerita,” sampuk Maisarah yang baru keluar dari
dapur sambil menatang dulang yang berisi tiga gelas minuman panas.
“Mama…”
Maisarah tersengih sebelum meletakkan dulang tersebut di
atas meja. Setelah itu, dia mengambil tempat duduk di sebelah suaminya. “Papa
yang paksa.”
Irfan mengeluh
sahaja. Mamanya memang tidak boleh simpan rahsia kerana papanya pandai memujuk.
“Kita orang tak ada apa-apalah. Lagipun dia busy.
Tak naklah ganggu.”
“Tak apalah.
Mungkin jodoh Ir dengan orang lain,” ujar Iskandar sambil menepuk paha anak
tunggalnya itu.
“Betullah tu. Kami
tak ada jodoh.”
Seketika, mereka
menikmati minuman yang terhidang di atas meja. Namun pertanyaan dari Iskandar
membuat Irfan tersedak hingga berair matanya.
“Qaira sihat?”
Irfan terus menegtap bibir. “Mama…”
“Janganlah kacau mama. Mama nak tengok berita ni,” ujar Maisarah
dalam senyuman. Ya, memang dia yang bercerita kepada suaminya. Irfan kalau
pasal perempuan memang tidak gemar berkongsi cerita dengan Iskandar. Katanya
segan. Mungkin bimbang kejadian lama berulang kembali. Dulu anaknya itu
beria-ia bercerita dengan papanya tentang cintanya kepada seorang gadis bernama
Nurain Hani. Tapi sudahnya, hubungan mereka putus di tengah jalan.
“Nanti bawa dia
datang sini. Papa nak jumpa dia,” kata Iskandar.
“Pa, Ir dengan Qaira tak ada apa-apa. Kami tak rapat.
Berkawan pun tak. Ir dengan dia cuma…” Irfan terdiam. Dia jadi keliru bagaimana
mahu menggambarkan hubungannya dengan Qaira.
“Papa tak kisah
apa hubungan Ir dengan Qaira. Kalau dia yang terbaik untuk Ir, kami restu.”
“Betul tu Ir.
Yang penting Ir bahagia,” sambung Maisarah.
Tersentuh Irfan
mendengarnya. Ternyata dia masih di beri kebebasan dalam memilih pasangan hidup.
“Terima kasih pa, ma. Ir hargai sangat.”
“Rasanya… esok papa nak pergi Zeal. Nak juga kenal dengan
bakal menantu,” gurau Iskandar.
Irfan membulatkan mata. “That’s not funny pa.”
Iskandar dan Maisarah ketawa besar. Sudah lama rasanya
mereka tidak mengusik Irfan. Entah bila kali terakhir mereka berbuat begitu.