Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 26

Usai membelek diri di hadapan cermin, Irfan segera menyambar kunci kereta yang tergantung di tepi pintu biliknya. Setelah itu, anak tangga di turuni dengan laju. Dan apabila di lihatnya ruang tamu kosong, dia tersenyum. Mesti mama kat dapur! “Ma, Ir keluar kejap,” laungnya sebelum terus berlalu ke pintu utama.

Maisarah yang sedang memotong sayur segera menghentikan pekerjaannya. Kelam kabut dia menuju ke ruang tamu. “Ir nak pergi mana? Kan dah janji nak makan kat rumah.”

Irfan yang menyarung kasut di muka pintu hanya tersengih panjang. “Ir keluar kejap je. Nanti Ir balik. Assalamualaikum.”

“Irfan,” panggil Maisarah. Namun pintu sudah terkatup rapat. “Budak bertuah ni. Siaplah dia kalau tak balik makan nanti. Cuti seminggu dah nak habis tapi sekali pun tak pernah makan tengah hari kat rumah,” bebelnya sebelum berpaling.

“Mama!”

Maisarah kembali berpaling. Lebar senyumannya tatkala wajah Irfan terjengul pada muka pintu. “Ir tak jadi keluar?”

“Jadi. Ir cuma nak ingatkan. Mama kalau nak keluar, simpan pisau tu dulu. Nanti tak pasal-pasal mama kena cekup polis pula. Bahaya tau bawa benda tajam kat tempat awam,” seloroh Irfan sambil meleretkan senyuman nakal. Setelah itu, dia kembali menutup pintu. Cepat selesai urusannya, cepatlah dia balik ke rumah.

Cepat-cepat Maisarah tunduk ke bawah. Di tangan kanannya ada sebilah pisau yang sedang di genggam erat. Tidak semena-mena, dia ketawa kecil. Ya, dia lupa kalau dia sedang memegang sebilah pisau. Umur belum mencecah 50 tahun, tapi sudah pelupa begini. Kalau sudah cecah, tak tahulah.

“Apa yang lucu?”

Maisarah mengangkat wajah. “Abang! Bila sampai?”

“Baru je. Ir tu nak pergi mana?”

“Entah. Dia kata nak keluar kejap,” jawab Maisarah.

Iskandar sekadar mengangguk. Namun baru dia mahu menghampiri isterinya, kalut dia berundur ke belakang. Wajahnya pula berkerut seribu. “Kenapa bawa pisau?’”

“Pisau?” Maisarah tampak bingung. Namun tidak lama dia tersenyum. “Abang takut ke?”

“Lain macam je soalan awak ni,” balas Iskandar. Cuak juga melihat isterinya itu. Pagi tadi, Maisarah nampak biasa-biasa sahaja. Tapi sekarang, perangainya agak lain. Dengan pisau di tangan. Tersenyum-senyum sendiri. Mencurigakan sungguh!

Tidak tahan melihat wajah cuak suaminya, Maisarah menekup mulut. Dia tahu apa yang bermain di fikiran Iskandar. “Abang ni kelakarlah. Mulalah tu fikir yang bukan-bukan. Saya normal lagilah. Dah lah, saya nak sambung masak. Nanti tak sempat pula abang makan tengah hari.”

Iskandar menggaru kepalanya yang tidak gatal. Teruknya dia kerana berfikir isteri sendiri sudah gila. Mujur Maisarah tidak terasa hati. Tapi dia bukan suka-suka mahu berfikir seperti itu. Dia hanya berfikir mengikut akal rasional. Dengan tingkah isterinya yang pelik, pasti ada juga yang akan berfikir sepertinya.

***

Irfan turun dari kereta. Kawasan rumah teres yang nampak sunyi itu di perhati dengan penuh minat. Sepatutnya dia tidak datang. Sudah jelas-jelas yang hari ini bukan hari cuti. Tapi dia sentiasa berharapkan kebetulan. Kebetulan yang akan menemukan dia dan Qaira hari ini. “Kenapalah dia tak cuti?” Keluhnya.

Mahu menjenguk ke Zeal Bookstore, pukul berapa pula dia akan sampai ke rumah nanti. Mahu mengamuk mamanya. Silap-silap, pisau dalam genggaman mamanya tadi tertusuk di kepala. Ngeri!

Baru dia berkira-kira mahu kembali ke kereta, matanya tiba-tiba melekat pada sesuatu yang bergerak-gerak di sudut hujung pintu pagar besi itu. Pantas matanya membulat. “Takkanlah dia bela…”

Irfan menelan liur. Sewaktu menghantar Qaira pulang dahulu, binatang itu ada di situkah? Mustahil dia tersalah rumah. Sebaik sahaja menurunkan Qaira, nombor rumah dan lorong jalan sudah di hafal dalam kepala. Siap di catit di dalam telefon bimbit lagi.

You cari siapa?”

Irfan tersentak sebelum lekas berpaling. Di hadapannya kini berdiri seorang lelaki berbangsa cina yang mungkin berusia lewat 50 an. “Err… cari kawan.”

“Kawan?” Uncle Ah Meng memandang rumahnya sebelum kembali memandang wajah Irfan. “Jason?”

Irfan menggeleng laju. “Tak. Saya cari kawan perempuan.”

“Oh. Tapi kenapa cari dekat rumah uncle? You mesti salah rumah,” ujar uncle Ah Meng.

“Eh tak. Betullah ni rumah dia. Dulu saya pernah hantar dia balik. Saya turunkan dia kat depan ni lah.”

“Nancy?”

“Nancy? Siapa tu uncle?”

Berkerut seribu dahi uncle Ah Meng. Nancy itu anak perempuannya. Tapi sejak berkahwin, anaknya itu sudah lama tidak tinggal di sini. Jadi kalau bukan Nancy, siapa kawan perempuan yang di carinya? “Nancy anak uncle. Tapi sudah lama tak tinggal sini. Sekarang uncle tinggal dengan Jason. Tapi dia lelaki.”

Irfan mula bingung. Qaira tipu dia ke? “Tapi saya tak tipu uncle. Saya ingat lagi rumah ni. Saya siap puji lagi kata rumah ni besar.”

Uncle Ah Meng tergelak. “Ini rumah uncle. Percayalah. Ni, you punya kawan siapa nama? Mana tahu uncle kenal.”

“Qaira,” beritahu Irfan.

“Qaira? Haiya, uncle kenal. Dia jiran uncle. Rumah dia yang itu.” Lalu uncle Ah Meng menunjuk ke rumah sebelah.

Irfan turut sama memandang ke arah rumah yang di maksudkan. Dalam pada itu, otaknya ligat berfikir. Apa motif Qaira menipunya? Apakah sengaja mahu mempermainkan? Tapi boleh jadi juga lelaki berbangsa cina di hadapannya ini yang menipu.

You tak percaya lagi?” Tanya uncle Ah Meng.

Terbantut segala teka-teki yang berlegar di kepala Irfan. Tak percayakah dia? Mungkin ya dan mungkin juga tidak. Entahlah. Dia tidak tahu mahu menjawab apa ketika ini.

Uncle Ah Meng tergeleng-geleng. Dia seperti dapat mengagak bahawa pemuda ini tidak percaya akan kata-katanya. Dia sudah tua mahu menipu. “You rasa Qaira mahu bela Rocky ke?” Tanyanya.

“Rocky?”

Uncle Ah Meng segera menunjuk ke tepi pagar. Rocky anjing kesayangan yang sudah lama di bela itu di pandang dengan senyuman. Nampaknya Rocky bukan saja berguna sebagai binatang peliharaan tetapi sebagai penyelesai masalah. Kalau Rocky tidak ada, pasti kenyataannya akan tetap di ragui.

Apabila Irfan melihat ke arah yang di maksudkan itu, dia terus mengetap bibir. Betul juga! Tidak sepatutnya dia sangsi dengan lelaki cina ini.

“Sudahlah. Uncle mahu masuk. Nanti tolong alih you punya kereta,” kata uncle Ah Meng.

Irfan memandang kereta Hilux hitam yang di letakkan di belakang keretanya. Baru dia teringat. Inilah kereta itu. Kereta jiran yang di katakan balik kampung. Nampaknya soal itu, Qaira berlaku jujur. Ia memang kereta jirannya.

“Okey uncle. Saya alih. Sorry,” balasnya lalu terus berlalu masuk ke dalam kereta. Apabila kereta Mitsubishi Lancer yang di pandunya bergerak melewati rumah yang di katakan milik Qaira, dia sempat mengerling ke situ. Kelihatan rumah itu juga sepi. Namun bezanya, rumah itu tiada binatang berwarna coklat di luarnya.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman