Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 41

Reena bermain-main dengan straw di dalam gelas di hadapannya. Dalam kesabarannya menunggu, hatinya tidak pernah tenang. Ada sahaja yang menyinggah. Dan semuanya yang buruk-buruk sahaja. Terasa terlalu sukar untuk menerima yang Harris ada perempuan lain. Entah sejak bila lelaki itu berubah watak.

“Reena Sofea?”

Reena segera mendongak. Dan seperti lelaki yang memakai topi berwarna hitam itu, Reena turut bertanya soalan yang hampir serupa. “Fahmi?”

Fahmi mengangguk.

“Duduklah,” pelawa Reena.

“Terima kasih,” jawab Fahmi sebelum mengambil tempat duduk di hadapan Reena.

Reena menghela nafas sebelum menghembusnya perlahan. “Saya nak awak buat sesuatu untuk saya.”

Fahmi ketawa. “Saya tahu. Semua orang yang jumpa saya pun akan cakap benda yang sama. Yang beza cuma sasaran. Tapi kadang-kadang ada juga yang sama. Tapi saya komited dengan apa yang saya buat. Yang penting poket saya berisi.”

“Berapa yang awak nak?” Soal Reena. Bukan susah untuk tahu apa yang Fahmi mahukan. Ianya lumrah. Setiap pekerjaan harus ada upah.

“Terpulang pada kesusahan yang akan saya alami sepanjang buat kerja ni.”

Reena tersenyum sinis. “Kerja yang saya bagi tak susah. Ekori dan ambil tahu. Rasanya harga untuk tu tak mahal kan?”

Fahmi mengetuk-ngetuk meja dengan jari telunjuknya. “Sepuluh ribu”

“What? Hey! Itu kerja mudah. Kenapa mahal sangat?” Tempelak Reena.

“Kalau macam tu, saya syorkan cik Reena buat sendiri. Tak guna panggil saya kalau jumlah sekecil tu pun cik tak boleh nak bayar. Lagipun setahu saya cik bukan orang sembarangan. Anak tan sri yang saya tahu duit tak pernah kering.”

“Mana awak…”

“Cik Reena, saya boleh tahu apa sahaja kalau saya nak,” pintas Fahmi. Setakat identiti Reena Sofea ini, semuanya boleh dapat di hujung jari. Model terkenal yang juga anak kepada Tan Sri Salleh, pemilik Mewah Holdings. Mustahil untuk dia tidak mengenali.

Reena mendengus. Di pandangnya wajah Fahmi dengan perasaan sebal. “Okey, sepuluh ribu. Tapi saya nak kerja yang bagus.”

Fahmi tersenyum. “Don’t worry. Saya tak kan hampakan cik Reena. So, mana barang yang saya minta?”

Pantas Reena mengambil sekeping gambar dari dalam beg tangannya sebelum di letakkan di atas meja.

“Handsome. Tapi tu lah masalahnya. Ramai sangat pesaing,” komen Fahmi setelah menilik gambar seorang lelaki yang ada di tangannya.

Whatever! Okeylah, saya pergi dulu.” Reena sudah berdiri.

“Nantilah dulu. Sebagai permulaan apa kata cik belanja saya minum. Air segelas. Tak kan luak duit tebal kat dompet cik tu,” kata Fahmi.

Reena mencebik. “Minum je yang tu. Jangan risau. Saya tak sentuh pun lagi.”

Fahmi mengetap bibir. Lenggok wanita tinggi lampai itu di perhati dengan dengusan kecil. “Kedekut! Tak ada lelaki suka perempuan kedutlah.” Namun jus oren di dalam gelas di minum jua. Hausnya bukan boleh di bawa bincang. Sudah lama dia menahan.

***

Qaira mengelap tangannya yang basah dengan kain yang sedia tergantung di tepi sinki. Setelah itu dia menuju ke ruang tamu. Di pandang sekeliling kondo milik Harris itu. Dan dia tersenyum saat matanya tertancap pada sebiji pasu berwarna putih yang di isi dengan beberapa kuntum bunga tulip di atas meja kopi. Itu hadiah kecilnya buat Harris. Harap-harap lelaki itu suka. Kemudian, dia menuju ke pintu dan mencapai beg sandnagnya yang di letakkan di atas meja kecil di tepi pintu. Namun kerana kekalutannya, pasu bunga hiasan yang turut berada di atas meja itu terhempas ke lantai. Qaira menelan liur. “Habislah aku!”

Tanpa berfikir panjang, serpihan pasu bunga itu terus di kutip. Namun apabila kedengaran seperti ada seseorang sedang cuba membuka pintu, dia makin kalut.

“Awak buat apa tu?”

Qaira tersentak sebelum. Belum sempat dia mendongak…“Aduh!” Pantas dia memegang jarinya. Darah!

“Kenapa ni?” Harris segera menghampiri. Di pandangnya serpihan pasu bunga dan darah pada jari Qaira silih ganti. “Kenapa tak sapu je?” Tempelaknya.

“Saya nak cepat,” jawab Qaira.

Harris mengetap bibir. “Nak cepat? Makin lambat adalah!” Lalu tangan Qaira terus di tarik menuju ke ruang tamu. Setelah itu, dia terus berlalu ke dapur. Tidak lama, dia muncul dengan sebatang penyapu dan penyedok sampah. Serpihan pasu di sapu dengan berhati-hati. Setelah di pastikan tiada lagi serpihan di atas lantai, dia kembali ke dapur dan keluar semula dengan membawa kotak first aid di tangan.

“Encik nak buat apa?”

“Duduk.”

Tanpa banyak soal, Qaira duduk di atas sofa. Dan dia terus tergamam apabila Harris menarik tangannya dan mula membersihkan luka di jarinya. Semuanya di lakukan dengan cukup berhati-hati. Setelah itu, ubat di sapu sebelum di balut dengan plaster. “Lain kali hati-hati,” ujarnya sebelum mengangkat wajah.

Pantas Qaira melarikan anak matanya. Tiba-tiba saja hatinya berdebar. Dalam diam, dia cuba menenangkan diri.

“Harris Ilman!”

Jerkahan itu membuat Harris dan Qaira serentak menoleh ke pintu yang ternganga luas. Qaira terkejut. Harris… jangan cakaplah!

“Apa semua ni?” Tanya Zalida sejurus mendekati Harris.

Mummy, tak ada apa. Ni bukan macam yang mummy fikir,” jelas Harris.

Then, apa yang patut mummy fikir bila nampak Ris duduk berdua dengan perempuan kat dalam ruah sambil pegang tangan?” Tanya Zalida lagi sambil memandang tajam tangan Harris yang masih melekat pada jari seorang gadis yang belum pernah di lihat sebelum ini.

Harris memandang ke bawah. Ternyata tangannya masih memegang jari Qaira. Pantas, di lepaskan tangan gadis itu. “Mummy kita bincang tempat lain,” ujarnya seraya berdiri.

“Siapa perempuan ni?” Kata-kata Harris tidak di ambil peduli.

“Dia pekerja Ris kat Zeal.”

Zalida nampak terkejut. Namun tidak lama, dia tergelak sinis. “Pekerja kat kedai buku? Mummy dah agak dah.”

“Apa maksud mummy?” Tanya Harris.

“Dari dulu mummy tak pernah setuju Ris buka kedai buku tu. Tapi Ris degil. Rupa-rupanya nak simpan perempuan ni kat sana,” tempelak Zalida.

Wajah harris sudah berubah tegang. Mummynya kalau marah boleh jadi orang yang sangat berbeza. Dan dia tidak suka dengan perbezaan itu. Dia hanya mahu mummynya yang lembut dalam berbicara tapi tegas nadanya. Bukan yang menuduh tanpa usul periksa begini. Seketika Qaira yang masih duduk di pandang. “Awak boleh balik.”

Qaira mendongak sebelum terus berdiri. Kecut perutnya mendengar setiap butir bicara yang keluar dari mulut mummy Harris ini. Ternyata pengalaman pertama berhadapan dengan situasi seperti ini agak menggerunkannya. “Saya… saya minta maaf puan. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Setelah itu, besar-besar langkahnya menuju ke pintu.

“Kenapa suruh dia balik? Mummy tak habis cakap lagi.”

“Apa kata mummy pun balik. Nanti bila dah reda, Ris cerita semua kat mummy. Okey?” Harris cuba menenagkan situasi. Tidak guna berbuih mulut menerangkan hal sebenar jika hujungnya tetap di salah erti.

“Ris halau mummy?”

“Bukan. Tapi dalam keadaan mummy marah macam ni, Ris cakap apa pun mummy tak kan percaya. Nanti Ris jumpa mummy kat rumah and I will explain everything to you. I promise.”

Zalida diam seketika sebelum akur dengan kata-kata Harris. Dia percaya yang anaknya akan menepati janji. “Okey, mummy tunggu.” Dan tanpa berlengah, dia segera melangkah meninggalkan Harris.

Harris mengeluh berat. Salahnya kerana lupa menutup pintu. Tapi lagi salah kerana mummynya datang pada waktu yang salah. Dan dengan langkah longlai dia menuju ke beranda. Di halakan pandangannya ke bawah. Entah macam mana mummynya boleh terfikir mahu datang ke sini.

Tapi persoalannya terhenti saat matanya terpandang sebuah kereta Porsche Cayenne sedang bergerak keluar menuju ke jalan raya. Dia sangsi tapi dia tahu yang dia tidak tersalah pandang. Itu memang benar kereta Reena. Tapi kenapa boleh ada di sini?

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman