Harrismenyentuh perlahan pipinya. Rasa sakit masih berbekas di
situ. Sama seperti rasa yang menggunung dalam hatinya kini. Sakit hati, marah,
malu dan benci bergabung menjadi satu perasaan yang sukar untuk di tafsir.
Tiba-tiba kedengaran bunyi ketukan pada pintu biliknya. Dan dia tahu itu pasti
Qaira.
“Masuk!”
Perlahan-lahan Qaira
memulas tombol pintu lalu menutupnya kembali. Dan sebaik melihat pandangan
tajam Harris yang seolah-olah telah menembusi setiap inci tubuhnya, langkah
kakinya terasa berjengket-jengket ketika menghampiri lelaki itu.
“Tutup pintu tu
dan duduk depan saya.” Harris menayang wajah serius. Tali lehernya di
longgarkan sedikit.
Qaira hanya
menurut. Perlahan-lahan dia menarik kerusi yang ada di hadapan Harris lalu
duduk di situ. Setelah duduk, dia terus tunduk merenung jari sendiri.
“Awak perempuan
paling lembab dan gila pernah saya jumpa,” kata Harris.
Qaira menggigit
bibir. Rasa bernanah telinganya apabila di kata sebegitu rupa. Namun dia tiada
hak untuk membantah sesuatu yang dia sendiri akui kebenarannya. Dia memang
sudah gila. Tapi dia bukanlah terlalu lembab seperti gambaran Harris. Hanya
lelaki itu sahaja yang lebih.
“Saya paling pantang kalau saya bercakap tapi orang tu tak
pandang muka saya.”
Qaira segera mengangkat wajah. “Saya… saya…”
“Saya apa?” soal Harris keras.
“Saya… saya minta maaf,” tutur Qaira tersekat-sekat.
Harris mendengus.
“Kalau nak minta maaf, cakap satu-satu. Bagitahu salah apa yang awak dah buat. Baru
nampak elok. Lagipun saya tak berkenan dengan orang yang ambil mudah dalam
sesuatu perkara.”
Qaira mengerutkan dahi. “Maksud encik?”
“Boleh tak jangan jadi lembab sangat? Kesianlah kat awak.
Muda-muda lagi otak dah lembab. Kalau dah tua, tak tahulah macam mana.”
Tidak semena-mena, Qaira mencerlungkan mata. Jahatnya
mulut lelaki kacak ini. Sungguh nampak tidak sesuai dengan penampilannya.
“Kenapa buat muka
macam tu? Nak melawan?”
Qaira tersentak. Wajah
ketatnya mulai kendur. “Tak,” jawabnya perlahan.
Harris terangguk-angguk. “Bagus. So, cepatlah. Ingat! Satu-satu.”
“Saya minta
maaf sebab kata encik jaga,”ucap Qaira. Namun dalam hati sudah mengandaikan yang bukan-bukan. Harris Ilman ini angkuh! Tapi mungkin masih terlalu awal untuknya menilai.
“Lagi?”
“Sebab kata encik penipu.”
“Dan...”
Qaira berhenti seketika sebelum kembali membuka mulut. “Dan
minta maaf sebab saya dah tumbuk muka encik. Saya betul-betul tak sengaja.”
“Bagus. Macam tu yang saya nak. Nampaklah sikit yang awak
ni beradab. So sekarang ni, biar saya
pula yang bercakap. Awak diam. Lain kali jangan sesuka hati nak buat kesimpulan
sendiri. Saya pelik macam mana awak boleh terfikir yang saya ni kerja jaga.
Mesti awak tak tengok pakai mata ni.”
“Encik jangan nak
salahkan saya. Encik sendiri cakap hari tu yang kita akan jumpa lagi. Sebab tu
saya fikir yang kita berdua kerja kat tempat yang sama. Yalah kalau tak, macam
mana nak jumpa lagi?”
“Itu alasan awak? ” soal Harris.
Qaira angguk.
“Alasan budak-budak! Saya ni Qaira, masih tak nampak lagi
macam mana awak boleh kaitkan saya dengan jaga. Imaginasi awak ni dah melebihi
tahap keupayaan berfikir awak.”
“Encik jangan nak lebih-lebih ya. Saya kan dah minta maaf?”
Harris menghempas meja dengan tapak tangannya. “Awak kata
saya lebih-lebih? Awak tahu tak apa yang saya rasa sekarang? Rasa macam jalan
tak pakai baju. Mana saya nak letak muka lepas ni? Awak tak apalah sebab awak
yang tumbuk. Tapi saya. Saya yang kena,” sembur Harris.
Qaira segera
menundukkan wajah. Pandangan tajam Harris tidak mampu di balas. Dalam rasa
jengkelnya, dia masih hormatkan Harris Ilman sebagai pemilik kedai buku tempat
dia bekerja. “Saya… saya tak tahu yang Zeal
Bookstore tu kedai encik.”
“Saya dah bagitahu awak dah cik Qaira. Tapi awak yang tak
nak percaya. Salah saya ke? Sebab tu saya kata awak lembab. Tak prihatin dengan
keadaan sekeliling. Saya tak tahu kenapa Maimun ambil awak kerja. Kalau saya,
orang macam awak ni tak layak kerja kat situ. Hari pertama dah lewat. Dan hari
pertama dah cari pasal dengan saya.”
Perlahan-lahan, Qaira kembali mengangkat wajahnya. “Jadi
dari awal encik memang dah tahu yang saya pekerja encik?”
“Mestilah saya tahu. Takkan saya tak kenal pekerja
sendiri? Saya bukannya lembab macam awak.” Seketika, Harris berhenti bersuara. “Dah
berapa hari awak kerja?” tanyanya selepas itu.
“Sepuluh,” jawab Qaira.
“Baru lagi. Tapi… saya dah tak perlukan khidmat awak kat
kedai saya. Dan saya suka nak bagitahu yang jodoh kita ni bukan sebagai majikan
dengan pekerja.” Tanpa berlengah, Harris terus membuka laci meja dan mengambil
sehelai sampul surat sebelum memasukkan sembilan keping not seratus ringgit ke
dalamnya. Setelah itu, sampul tersebut di letakkan di hadapan Qaira.
Qaira melihat sampul itu dengan perasaan kecewa. Ya,
inilah hukuman yang memang sudah di jangka. “Encik nak buang saya?”
“Kenapa? Tak setuju?”
“Saya tahu salah saya. Saya memang tak patut tumbuk muka
encik. Tapi tolonglah kesiankan saya. Saya janji yang saya tak buat lagi,”rayu
Qaira.
Harris tergelak sinis. “Kalau awak buat lagi, memang saya
betul-betul gantung awak kat depan kedai.”
Qaira menelan liur. “Encik… tolonglah saya.”
Pantas wajah Qaira di tatap lama-lama.“Boleh. Saya boleh
bagi awak kerja tapi kat tempat lainlah. Gaji pun boleh tahan juga. Nak?”
Dan ternyata Qaira begitu teruja mendengarnya. “Betul ke
encik? Mestilah saya nak. Kerja apa? Kat mana?”
“Kat rumah saya. Jadi maid.
Betul awak nak?”
Qaira mendengus
kuat. Tak guna betul! “Tak apalah. Saya balik dulu.”
“Ni tak nak ambil ke?” Tanya Harris sambil mengarahkan
matanya pada sampul di atas meja.
“Encik simpanlah.
Anggap je yang saya sukarela kerja kat Zeal,”
balas Qaira. Biarlah duit itu. Harris tidak menghukumnya dengan hukuman yang
lebih berat lagi pun sudah cukup baik. Kalau tidak, mungkin malam ini dia akan
tidur bertemankan lantai simen dan tiang besi.
“Betul ni? Baiknya hati. Jarang saya jumpa orang yang
tolak duit. Tapi sayanglah awak tak ambil. Yalah, nanti boleh pakai untuk beli handphone baru.”
“Saya ikhlas. Lagipun saya dah buat salah kat encik. Macam
tak sesuai pula kalau saya ambil duit tu. Lagipun encik majikan yang baik. Yalah,
saya kan pekerja baru. Dan sekarang belum hujung bulan lagi. Tapi encik tetap
nak bayar gaji saya.”
Harris tersenyum sahaja. “Saya tahu saya majikan yang baik.
Tak payah mention pasal tu.”
Qaira tersengih kelat. Masuk bakul angkat sendiri pula
lelaki ini. Sukalah tu bila di puji. Tapi jangan ingat yang dia sudah lupa
tentang hal yang satu ini. “Tapi encik tetap hutang saya. Saya tak lupa tu.”
“Hutang apa? Handphone?”
“Yalah.”
“Saya kan dah cakap yang saya tak pernah janji kat awak. Jadi
suka hati sayalah nak bagi atau tak,” kata Harris.
“Saya tahu. Tapi kalau encik memang tak nak bagi, baik tak
payah cakap dari awal. Kata-kata encik tu macam satu janji. Berdosa orang yang
tak pegang pada janji. Encik kan lebih tahu. Saya pergi dulu. Assalamualaikum,”
ujar Qaira seraya bangun dan terus berlalu.
Harris terdiam. Lambat-lambat ucapan salam itu di balas. Dia
sedang di sindirkah tadi? Mungkin ya kerana dia seperti terasa pedasnya.