Harris tergesa-gesa
menuju ke pintu. Nampaknya Qaira datang lambat hari ini. Tapi dia pula masih
belum bersiap. Dia malas mahu keluar ke mana-mana hari ini. Di sebabkan itu,
dia membuat keputusan untuk pergi ke kondo Farid sahaja. Boleh juga jimat minyak dan
duit. Berjalan hanya beberapa langkah, sudah sampai. Kalau terasa lapar, boleh
tumpang makan di kondo Farid.
“Mummy?” Harris
terkejut saat pintu terkuak. Sangkanya Qaira, tapi mummynya pula yang datang.
“Kenapa nampak terkejut?”
“Err… tak ada apa. Masuklah mummy,” pelawa Harris. Habislah kalau Qaira datang masa mummy ada
kat sini. Boleh perang lagi ni.
Zalida menapak masuk dan terus duduk di atas sofa di ruang
tamu. “Perempuan tu masih kerja kat sini?”
Harris melabuhkan punggung di sebelah mummynya. Kepalanya
di garu kejap. Tidak lama, dia mengangguk perlahan. Kalau mahu menipu pun,
lambat-laun pasti mummynya akan tahu juga. Dan kalau Qaira muncul tiba-tiba,
tidak payah tunggu lambat-laun. Sekarang juga mummynya akan tahu.
“Degil! Kenapa tak nak dengar cakap mummy?”
“Mummy…”
“Mummy bagi tempoh sampai hujung bulan ni. Kalau dia masih
kerja kat sini, mummy tak kan
segan-segan nak campur tangan,” kata Zalida.
Harris mengeluh perlahan. Dia tiada pilihan lain selain
bersetuju sahaja. Lagipun tujuannya mengambil Qaira menjadi pembantu di
rumahnya bukan mahu menambahkan masalah gadis itu. Ugutan mummynya yang mahu
campur tangan bukan boleh di buat main.
Zalida kemudiannya berdehem. Sebenarnya dia gugup. Tapi
perasaan itu di tahan dalam hati. Dia harus kuat untuk melakukan ini. “Mummy datang sini nak bagitahu sesuatu.
Bulan depan, Ris akan bertunang dengan Reena.”
“Hah? Tunang?” Tinggi sedikit nada suara Harris. Semuanya
gara-gara terlalu terkejut dengan perkhabaran yang di terima. Tiada angin,
tiada ribut, tahu-tahu dia sudah mahu bertunang.
“Ya. Uncle Salleh
dan aunty Aisyah dah setuju. Tentang
persiapan, Ris tak perlu risau. mummy
akan uruskan semuanya. Ris cuma perlu datang masa majlis tu nanti,” beritahu Zalida.
“Tapi kenapa
tiba-tiba? Paling tak pun, bincanglah dnegan Ris dulu.” Harris nyata tidak
berpuas hati dengan semua ini. Dulu pasal jodoh, sekarang tunang pula.
“Tak ada beza kalau kita bincang atau pun tak. Hujungnya,
jawapan Ris akan tetap ya.”
“Siapa cakap?”
Zalida mengetap bibir. Harris tidak boleh kata tidak! “Mummy
tak terima jawapan tidak.”
Harris cuba untuk menenangkan dirinya. Ikut hati, dia mahu
marah. Tapi rasa hormat melebihi segala-galanya. “Mummy cakap yang mummy
tak kan paksa Ris kan?”
“Mummy cuma nak
bantu Ris untuk buat keputusan dengan lebih cepat. Mummy dah tua. Tak larat nak tunggu lama-lama,” ujar Zalida.
“I’m sorry but I
can’t. Semua ni terlalu tiba-tiba. Ris tak sedia lagi. Nanti Ris sendiri
akan jumpa uncle dengan aunty untuk bagitahu pasal hal ni. Ris
tak kisah kalau dia orang marah.”
“Kalau Ris anggap mummy
ni mak kandung Ris, ikut cakap mummy.
Tapi kalau tak, Ris buatlah apa yang Ris nak. Mummy tak nak masuk campur lagi.” Serentak dengan itu, Zalida terus
meluru keluar. Semoga Harris takut dengan ugutannya. Rancangannya memang tidak
akan menjadi sekiranya Harris bertemu dengan Tan Sri Salleh dan Puan Sri Aisyah.
Dia saja sudah separuh mati meyakinkan pasangan suami isteri itu tentang pertunangan
ini. Kononnya Harris setuju tetapi tiada masa mahu bertemu muka kerana terlalu
sibuk. Nasib baik Tan Sri Salleh dan Puan Sri Aisyah percaya. Kalau tidak, dia
pasti akan di hujani dengan amarah Reena lagi.
Harris yang masih duduk di atas sofa panggung kepala. Tanpa
berlengah, dia ikut keluar. Pintu di tutup dan laju jalannya menuju ke kondo
Farid. Setelah sampai, pintu terus di ketuk. Dia tidak peduli dengan keadaan diri
yang tidak berselipar. Dia sangat kusut ketika ini.
“Nak apa?” Tanya Farid. Matanya di tenyeh berulang kali.
Setelah itu, dia menguap malas. Fikirnya siapa yang dtanag tadi. Rupanya
Harris. Kacau betul!
Tanpa menjawab soalan Farid, Harris terus menolak sedikit
tubuh Farid sebelum dia menapak masuk dan mundar-mandir di ruang tamu.
Farid mengetap bibir. Laju dia menutup pintu sebelum
segera mendapatkan Harris. Terus segar matanya apabil di tolak sesuka hati. “Kau
kalau datang rumah aku, mesti bawa masalah? Apa pula kali ni”
“Tadi
mummy aku datang rumah.
“So?”
“Sebulan
dari sekarang, aku kena bertunang dengan Reena,” beritahu Harris. Mahu mengadu
pada Irfan, sepupunya itu nun jauh di Langkawi. Jadi terpaksalah Farid yang
mengambil alih tugas untuk mendengar keluhannya.
“Oh
ya ke? Tahniah bro,” ucap Farid
selajur mengangkat tangannya mahu bersalam dengan Harris.
Harris
mendengus. Tangan Farid di tepis. “Tahniah? Farid, aku di paksa. Boleh ke orang
yang di paksa terima ucapan tahniah?”
Farid
tersengih. “Fikir positif je lah. Mana tahu kalau korang dah bertunang, kau
akan lebih cepat untuk cintakan dia.”
“Masalahnya
aku tak nak tunang.”
“Kenapa?”
Harris
terdiam. Kenapa? Dia hanya tidak mahu terikat. Takut nanti ikatannya sukar untuk di
leraikan bila akal waras mulai sedar siapa yang harus ada sisinya. “Sebab… aku tak nak.”
Farid
menggaru-garu keningnya. “Tak nak tu bukan sebab. Macam ni lah, kalau kau
cintakan orang lain, bagitahu mummy
kau. Cakap baik-baik dengan dia. Aku rasa dia mesti faham. Kau kan anak
kesayangan dia.”
“Apa
maksud kau ni?”
“Aku
cakap pasal perempuan yang jadi maid kat
rumah kau tu lah.”
Harris
menjeling Farid di sebelahnya. “Merepek!”
“Aku
tak merepek. Aku bercakap ikut apa yang aku rasa dan tengok. Macam ni, kau
ingat Dina?” Soal Farid.
“Farid…”
Harris mengendurkan suaranya. Masa dia lupa pada gadis yang di cintai dalam
diam itu. Mereka menuntut di universiti yang sama ketika di London dahulu.
Perwatakannya yang lemah-lembut, pemalu dan kelakar adalah daya penarik yang
begitu hebat di matanya.
“Masa
tu, keadaan sama macam sekarang. Aku cakap kau suka dia, tapi kau berkeras
nafikan pasal tu. Then apa jadi? Dina
akhirnya pilih budak mat salih yang sanggup tukar agama. Dari nama George, jadi
Muhammad Adam. Walaupun kau tak cakap, aku tahu kau kecewa. Muka kau tak boleh
tipu aku.”
“Benda
dah lamalah,” balas Harris.
“Aku
tahu benda lama tapi saja nak ingatkan. Takut kau lupa. Peluang ni kita tak
selalu dapat. Bila dah ada depan mata, kenapa nak sia-siakan? Jangan menyesal
untuk kali kedua dah lah,” kata Farid.
Harris
memandang wajah Farid. Sudah lama dia mahu bertanya soal ini. “Kenapa kau yakin
sangat yang aku suka Qaira? Aku sendiri pun tak yakin pasal tu.”
Farid
tersenyum. “I don’t know. Naluri
seorang kawan kot. Sebab tu kau pun kena ada naluri yang sama supaya kau cepat sedar
dan yakin dengan perasaan sendiri. Sebenarnya tak susah. Kau je yang buat benda
tu jadi susah.”
Harris
cuba menimbang kata-kata Farid yang nyata membuat dia berfikir panjang.
“Dia
ada kat rumah kau ke?”
“Tak. Kenapa tanya?”
“Tak
adalah. Saja tanya. Ingat nak berkenalan,” ujar Farid sambil tersengih nakal.
Harris
mengetap bibir. Walaupun dia tahu Farid bergurau, hatinya tetap ada rasa sakit.
Cemburukah itu?