Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 22

“Berhenti kat depan tu je lah,” kata Qaira. Rasa menyesal pula kerana tidak berkeras tadi. Kalau dia naik bas, mungkin dia sudah sampai di rumah tiga puluh minit yang lalu. Tapi kerana mengikut Irfan, dia masih duduk di dalam kereta walaupun sudah hampir satu jam berlalu. Entah lelaki itu yang bermasalah atau kereta yang mereka naiki ini. Jalannya tersangatlah perlahan.

“Dah sampai rumah awak ke?” Tanya Irfan sambil tertinjau-tinjau ke luar tingkap.

“Belum. Tapi tak apalah. Bukannya jauh lagi. Saya boleh jalan kaki,” jawab Qaira.

“Tak boleh macam tu. Saya kena hantar awak sampai depan rumah,” balas Irfan.

Qaira diam. Kalau sudah begitu kata Irfan, apa lagi yang boleh di buat. Nampak sungguh yang lelaki ini berkeras. Setelah beberapa ketika, Qaira kembali membuka mulut. “Berhenti kat tepi ni,” ujarnya.

Irfan segera membelok ke tepi. “Ni rumah awak?”

“Err…” Qaira mahu berkata tidak tapi mungkin lebih baik jika lelaki ini tidak tahu di mana rumahnya. Sudah-sudahlah drama di perhetian bas tadi. Dia tidak mahu lagi kejadian yang sama berulang di rumahnya pula. “Ya, rumah saya,” lanjutnya kemudian.

“Besar juga rumah awak,” komen Irfan sambil matanya tidak lepas dari memandang sebuah rumah teres dua tingkat yang di cat dengan warna kuning cair itu.

Qaira turut sama memandang ke luar. Ya, rumah ini memang besar. Tapi besar-besar pun, ia tetap rumah orang. “Tak adalah. Biasa je.”

“Tu kereta siapa?” Tanya Irfan.

“Oh, tu kereta jiran. Dia balik kampung. Sebab tu parkir kat situ,” jawab Qaira. Alahai kereta! Selalunya hujung minggu macam ni kau tak ada. Tapi hari ini, ada pula kau kat situ. Namun sedang dia ralit memerhati kereta Hilux berwarna hitam itu, tidak semena-mena matanya menangkap satu makhluk yang sedang berbaring di sebelah pasu bunga bersebelahan dengan kereta. Alamak! Rocky!

Kalut Qaira memandang wajah Irfan. Semoga dia tak perasan. “Saya keluar dululah. Terima kasih sebab hantar saya.”

Irfan tersenyum senang. “Sama-sama. Nak saya hantar sampai depan pintu rumah?”

“Hah? Tak apa. Tak payah susah-susah. Assalamualaikum.” Tanpa menunggu salamnya berbalas, laju sahaja Qaira membuka pintu kereta. Namun tidak pula dia pergi ke mana-mana. Hanya berdiri tegak di situ.

“Kenapa tak masuk?” Irfan sudah membuka cermin tingkap di sebelah tempat duduk penumpang.

“Saya tunggu encik jalan dulu.”

Irfan menjongketkan kening. Walaupun mereka tidak banyak bercakap ketika berada di dalam kereta tadi, dia tetap gembira. Dan sengaja juga dia memandu perlahan. Kalau pandu laju, cepat sampainya. Jadi makin sekejaplah masa mereka untuk berdua-duaan. “Baiknya awak. Tapi awak akan jadi lebih baik kalau tak panggil saya encik.”

Qaira tersenyum cuma. Nanti kalau menjawab, makin banyak pula kata-kata auta yang keluar dari mulutnya. Jadi lebih baik diam.

Irfan kemudian mengangkat tangan sebelum terus memusing stereng kereta. Cermin tingkap pula kembali di naikkan.

Melihat kereta Irfan sudah berlalu, Qaira lekas mengurut dada. “Nasib baik.” Kemudian, cepat-cepat dia merapati pintu pagar rumah uncle Ah Meng. “Lain kali, Rocky jangan tidur kat depan. Tidur kat belakang. Nasib baik dia tak nampak tadi,” ujarnya sambil memandang Rocky, si anjing yang berbulu coklat itu.

Namun apabila di lihat Rocky tetap nyenyak tidur, Qaira tergeleng-geleng. Tak guna salahkan Rocky. Lalu dia berjalan menuju ke rumah sebelah. Yang tak berapa besar dan warna catnya yang hampir-hampir pudar ini baru rumahnya. Lebih tepat lagi, ini rumah pak cik Maya. Dia dan Maya cuma duduk menyewa saja.

Pintu pagar yang tidak berkunci terus di tolak dengan bahu. Setelah itu, pintu rumah terus di ketuk. Sengaja dia tidak membawa kunci. Tidak lama, pintu di buka dari dalam dan dia terus masuk bersama dua bungkusan plastik di tangan. “Sakit kau dah baik?” Tanyanya. Ketika dia keluar rumah tadi, Maya mengadu perutnya sakit. Senggugut katanya.

“Dah kurang sikit. Yang kau ni kenapa lama sangat? Kau beli apa?” Tanya Maya lalu duduk di sebelah Qaira.

Qaira yang sudah menyandar di sofa, hanya memandang sepi wajah Maya. Tiba-tiba pula dia rasa penat. “Beli barang dapurlah.”

“Tahu. Tapi lama sangat.”

“Bas datang lambat.”

“Tu lah. Baik hati sangat. Kalau aku, aku tak bagi pinjam motor tu kat Johan,” kata Maya.

“Tak baiklah kau cakap macam tu. Dia kan kawan kita. Motor dia rosak,” balas Qaira.

Maya mencebik. “Memanglah motor dia rosak. Tapi kan dia kata dah siap repair. Tinggal tunggu nak ambil je lagi. Dia saja lambat-lambatkan. Sukalah tu dapat pakai motor kau. Motor kau kan baru lagi.”

“Tak apalah. Lagipun aku tak payah bayar tambang masa balik tadi.”

“Abang Mahmud belanja ke? Kau jangan. Dia tu dah kahwin. Dah kena panggil ayah pun,” kata Maya.

Qaira tergelak. Jauhnya imaginasi Maya. Abang Mahmud pemandu bas itu memang baik orangnya. Tapi tidaklah sampai mahu membelanja tambang bas. Abang Mahmud juga mahu mencari makan. “Aku tahu abang Mahmud dah kahwin. Tak payahlah ingatkan. Sebenarnya, tadi ada lelaki tumpangkan aku balik.”

Maya mengerutkan dahi. “Lelaki? Siapa? Boyfriend baru?”

“Hisy, tak lah. Aku pun baru kenal. Nama dia Irfan Hakimi,” beritahu Qaira. Sememangnya dia tiada niat mahu merahsiakannya daripada Maya. Apa-apa hal, boleh juga dia mengadu.

“Irfan Hakimi? Aku macam pernah dengarlah nama tu.”

“Kau pun kenal dia juga?” Soal Qaira. Mungkinkah mereka kenal dengan orang yang sama?

Maya tidak menyahut. Berkerut dahinya tanda sedang memikir sesuatu. “Eh, dia tu bukan sepupu bos ke?” Katanya tiba-tiba.

Qaira tersentak. “Tak lah. Tapi aku rasa encik Harris kenal dia.”

“Betullah tu sepupu bos. Kau ni pun. Kata kawan.”

“Bila masa aku cakap aku kawan dengan dia?”

“Dah hantar sampai depan rumah, kawanlah tu. Tapi macam mana kau kenal Irfan Hakimi ni?”

Qaira mengeluh perlahan. “Tak sengaja. Dia yang tegur aku masa kat kedai.”

“Syok kat kaulah tu. Tapi hati-hati sikit. Aku dengar dia tu playboy,” beritahu Maya.

“Tak baiklah kau tuduh dia macam tu.”

“Aku dengar cerita je,” balas Maya.

Seketika, suasana sunyi mula tercipta. Dan suasana itu mendorong Qaira untuk bertanya lagi. “Maya, betul ke encik Irfan tu sepupu encik Harris?”

Maya menggaru kepalanya. “Susahlah cakap dengan kau ni. Aku cakap, kau bukannya nak percaya. Betul. Semua kawan-kawan kita kat Zeal tu pun kenal encik Irfan. Bukan aku seorang je.”

Namun penjelasan itu belum cukup untuk merubah wajah sangsi Qaira. Bagaimana tidak sangsi? Perangai kedua-dua lelaki itu jauh berbeza. Tapi sepupu tidak semestinya perangai sama. Sedang adik-beradik pun tidak sama tingkahnya.

“Kau tak percaya lagi?” Tanya Maya.

“Entahlah,” jawab Qaira.

“Macam ni lah. Cuba kau banding muka encik Harris dengan encik Irfan. Dia orang berdua tu ada iras-iras. Tak perasan?”

Lalu Qaira mula membayangkan wajah keduanya. Dua-dua berkulit cerah. Lagi apa? Argh! Dia tak boleh nak bayangkan.

Melihat wajah berkerut Qaira, Maya mengggeleng perlahan. “Dah lah. Aku cadangkan kau pergi tanya sendiri dengan encik Irfan. Senang. Jadi tak payah sakit kepala fikir pasal ni.”

Qaira tersenyum kelat. Tak kan nak tanya? Nampak benar yang dia ambil tahu tentang lelaki bernama Irfan Hakimi itu.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman