Home Novel Cinta Jodoh Sebelah Mata
Bab 40

Qaira menyandar malas di atas sofa. Sejujurnya, dia tidak tahu apa yang mahu di kemas. Memanglah senarai yang Harris tinggalkan itu agak banyak tapi yang kotor dan bersepahnya cuma sedikit. Pembersih juga lelaki itu. Mungkin benar yang Harris sekadar mahu membantu. Bersihkan rumah hanya satu alasan agar kebaikannya tidak terlalu nampak di mata kasar. Dalam diam, dia mula memuji Harris.

Seketika, kawasan sekeliling di perhati. Bersih dan kemas! Setelah berpuas hati dengan keadaan itu, dia terus mengangkat punggung. Jam sudah menunjukkan pukul 12.00 tengah hari. Maya pula sudah dua kali menghubunginya. Bertanya itu dan ini. Tapi ada satu yang dia tidak habis fikir. Kata Maya, Harris sedang cuba memikatnya. Mengarut! Harris itu siapa. Dia ini siapa. Langsung tidak sesuai.

Tanpa menunggu lama, dia meuju ke pintu. Kasut di sarung sebelum pintu kembali di tutup dan di kunci. Baru menapak beberapa langkah, dia tiba-tiba berhenti. Pantas, iphone miliknya di keluarkan dari dalam beg sandang dan mendail nombor Harris. “Encik kat mana?”

“Kenapa?”

“Saya nak balik dah.”

So?”

Qaira mengeluh perlahan. “Kunci rumah encik macam mana?”

“Dah siap kerja?”

“Dah.”

“Saya tak percaya. Tunggu situ sampai saya balik,” kata Harris.

“Encik dah nak balik ke?”

“Belum. Mungkin malam. Tak pasti sangat.”

Terus Qaira membuntangkan mata. Walaupun dia bukan pesakit gastrik tegar, tapi untuk tidak makan sehingga malam dia tidak sanggup. Perutnya bukan boleh kenyang hanya dengan air liur dan menelan angin sahaja. “Saya tak nak tunggu sampai malam.”

“Macam mana kalau rumah tak bersih?”

“Esok encik boleh jumpa saya kat kedai. Kalau tak bersih, saya boleh bersihkan lagi,” ujar Qaira. Hisy! Banyak songeh pula dia ni, kutuknya dalam hati.

“Okey,” balas Harris sepatah.

“Kunci rumah encik?”

“Simpan. Minggu depan saya nak awak datang lagi. Faham?”

“Saya simpan kunci rumah encik?” Qaira bagaikan tidak percaya. Harris nampaknya terlalu yakin untuk menyerahkan kunci rumah padanya. Bukanlah dia berniat mahu melakukan yang tidak baik tapi terasa pelik pula bila dua orang yang tiada hubungan malah tidak rapat boleh dengan mudah mendapat kepercayaan sebegini.

Kedengaran tawa Harris di hujung talian. “Saya tak rasa yang saya ada sebut nama orang lain tadi. Okey, assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam,” jawab Qaira. Namun ketika itu, Harris sudah terlebih dahulu memutuskan talian. Dan perut yang tiba-tiba berbunyi, di pegang kejap. Laju saja dia menuju ke pintu lif. Dia mahu cepat mengisi perutnya yang sudah mula membuat bising. Kalau memikirkan masalah kunci, alamatnya berlaparlah dia.

***
Reena keluar dari tempat persembunyiannya dengan hati yang penuh dengan rasa tidak percaya. Namun mata, bolehkah menipu? Lalu setiap inci peristiwa dulu kembali di selongkar. Mungkin Harris ada berubah di mana-mana yang dia tidak perasan. Penat dia berfikir. Mencerna kembali ingatan yang samar-samar. Tapi sudahnya, tiada jawapan yang dia perolehi. Baginya, Harris yang dulu masih sama seperti yang sekarang.

Tapi mungkin ada satu yang berubah. Yang dia baru tahu hari ini. Selama ini, Harris tidak pernah mengizinkan dia masuk ke kondonya walaupun berteman. Tapi hari ini, ada perempuan lain yang telah di izinkan masuk. Mungkinkah darjat perempuan itu lebih tinggi dari dirinya? Buat seketika, bibirnya bergetaran. Ada air hangat yang mula membasahi pipi.

Ternyata cerita Amy satu kebenaran. Dia yang salah kerana menafikan. Lalu tali beg tangannya di genggam kuat. Dia datang ke sini mahu memberi kejutan kepada Harris. Biarpun terpaksa berdiri di muka pintu, dia tidak kisah. Tapi sekarang, berdiri di muka pintu pun rasanya dia tidak sanggup.

***

Amy memandang wajah kusam Reena dengan penuh simpati. Tapi jujurnya dia bersyukur. Sekurang-kurangnya Reena sudah sedar diri. Tidak lagi terus hidup dengan anggapan yang baik-baik tentang Harris. “So, apa plan kau sekarang?

Reena mengeluh perlahan. “Entahlah. Aku tak boleh nak fikir apa-apa.”

“Tapi bagus juga bila kau nampak depan mata. Jadi tak perlulah aku terhegeh-hegeh nak yakinkan kau.”

“Siapa nak percaya Harris ada perempuan lain? Dia tak kan buat macam tu. Aku dah lama kenal dia,” balas Reena.

“Manusia mana yang tak berubah? Sebab tu kita tak boleh harap seseorang tu akan kekal tanpa perubahan,” ujar Amy.

Reena tersenyum hambar. Kata-kata Amy harus di akui kebenarannya. Walaupun pahit, itulah hakikat yang harus dia telan. Hati Harris masih belum jadi miliknya. Dan tentu sahaja ia masih boleh di miliki oleh orang lain.

“Kau nampak tak muka perempuan tu?” Tanya Amy ingin tahu.

“Tak jelas. Tapi aku rasa… macam pernah nampak dia,” beritahu Reena.

Are you sure?”

Maybe,” jawab Reena perlahan. Dia sendiri kurang pasti. Wajah yang di lihatnya keluar dari kondo harris semalam, memang seperti pernah di lihat. Tapi dia ingat-ingat lupa. Bayangan itu terlalu kabur.

Amy terdiam seketika. Namun tidak lama, bibirnya menguntum senyuman lebar. “Ha! Apa kata kau minta tolong kat Fahmi.”

Reena mengerutkan dahi. “Fahmi?”

“Lin, officemate aku yang kenalkan. Dia kata, dia pernah guna khidmat Fahmi untuk bongkar skandal suami dia. Tapi sekarang dah jadi bekas suami dah.”

“Nak buat apa? Buang duit je.”

Amy mengetap bibir. “Sekarang ni kau bagitahu aku. Kau sayang duit ke, sayang Harris?”

“Kenapa kau tanya macam tu?” Soal Reena. Dia tidak senang dengan pertanyaan Amy itu.

Look, dengan Fahmi kau boleh tahu siapa perempuan tu. Apa hubungan dia dengan Harris, sejauh mana hubungan dia orang dan macam-macam lagi yang kau nak tahu. Duduk diam tanpa buat apa-apa, tak kan bagi kau jawapan,” kata Amy.

Reena tidak memberikan sebarang respon. Namun ternyata, saranan Amy itu cepat sahaja meresap ke dalam hati dan fikirannya. Ya. Mungkin hanya dengan cara itu, dia akan mendapat semua jawapan.

“Dah lah, minum. Nanti aku bagi contact number dia.” Amy menyuakan gelas ke hadapan Reena.

“Untuk soalan kau tadi…”

“Soalan yang mana?” Tanya Amy.

“Aku sayang duit atau Harris. Jawapannya, aku sayangkan duit. Tapi Harris tu nyawa aku. Kalau dia tak ada, aku mati. Jadi aku akan pastikan yang dia tetap dengan aku,” ujar Reena bersama wajah yang penuh tekad. Buat pertama kali dia berasa tercabar. Kehadiran perempuan asing ini benar-benar menggugah ketenangannya. Selama ini dia menganggap diri sudah menang. Tapi ternyata dia hanya menang keyakinan, bukan cinta. Di sebabkan itu, dia sangat takut sekarang. Dan kerana takutlah dia akan berusaha sekuat yang boleh. Biar kemenangan akan sentiasa jadi miliknya.
Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanan Rahman