Selesai membantu Maisarah
mengemas meja makan, mereka berdua mengambil kesempatan untuk menikmati suasana
malam di tepi kolam yang berair biru ini. Sesekali sempat juga Qaira menguis
air kolam dengan kakinya. Sejuk! Pasti seronok kalau dapat bermandi-manda di
dalamnya. Tapi wajib ada pelampung kerana dia tidak tahu berenang. “Best kan kat sini?”
Qaira terkejut.
Kalut dia mengangkat kaki. Maya pula hanya memandang. Namun bila terasa diri
seperti satu gangguan, dia mula mencari alasan untuk pergi dari situ. Mungkin
Irfan perlukan privasi kerana dia yakin yang lelaki itu mahu memikat Qaira.
“Err… Qaira aku naki pergi tandas. Kau tunggu sini tau,”
katanya.
“Tahu ke tandas kat mana?” Tanya Irfan.
“Tak apa. Saya tanya kat mama encik,” jawab Maya lalu
bergegas menghilangkan dari situ.
Qaira menggigit bibir. Tidak sempat dia menahan Maya. Minta-minta
janganlah Maya lama di tandas kerana malunya belum hilang lagi. Macam manalah
dia boleh tertangkap tadi? Entah apa sahaja yang Irfan fikirkan mengenai
insiden itu.
“Awak cantik
malam ni,” puji Irfan. Walaupun hanya berseluar jeans dan blouse merah jambu,
Qaira tetap cantik dan comel pada pandangan matanya. Paling penting, gadis ini
tidak berselindung di balik mekap tebal seperti kebanyakan wanita lain.
Cantiknya asli.
“Terima kasih,”
balas Qaira sambil tertunduk malu. Rambutnya lekas di kaitkan ke belakang
telinga. Kalau terus begini, bilalah malunya akan hilang?
Irfan tersenyum. “Tadi…
kenapa awak tengok saya?”
Qaira tersentak. Alamak! Dia tanya juga pasal tu. Tidak
bolehkah buat-buat tidak nampak sahaja? “Mana ada saya tengok encik,” dalihnya.
“Ya ke?” Soal Irfan sambil cuba mencari anak mata Qaira.
Qaira memandang
ke arah lain. Rasanya mahu saja dia terjun ke dalam kolam ketika ini. Dia sudah
tidak betah. Kalau benar Irfan memang sedang cuba memikatnya dnegan ayat-ayat
manis seperti itu, dia akui yang lelaki itu punya peluang cerah untuk berjaya. Hatinya
mudah cair. Tapi sukar untuk membuatnya benar-benar jatuh cinta. Namun bunyi
telefon bimbit Irfan yang tiba-tiba berbunyi membuatnya teramat lega. Pantas
Qaira mengangkat wajah. Fuh, selamat!
“Papa saya call. Kejap ya,”ujar Irfan.
“Okey,” jawab Qaira.
Apabila lelaki itu sudah menghilang di sebalik pintu, cepat-cepat dia mengelap
peluh dingin yang terbit di dahi. Setelah itu, dia memandang ke arah pintu
gelangsar yang tidak jauh dari tempat dia berdiri.
“Mana Maya ni?”
Kalau boleh, dia mahu segera pulang. Hari juga sudah lewat
malam. Tapi lain yang di tunggu, lain pula yang muncul. Siapa lagi kalau bukan
Harris Ilman. Laju dia memusingkan kembali badannya ke arah kolam renang.
Tubuhnya di keraskan. Setelah agak lama, dia mengandaikan bahawa Harris tidak
berminat untuk menegurnya. Kalau tidak, pasti sekarang lelaki itu sudah berada
di sisinya.
Lalu dia berkira-kira mahu masuk ke dalam rumah. Bosan juga
menunggu berseorangan di sini. Mungkin lebih baik dia menyusul Maya sahaja. Perlahan-lahan
dia berpaling. Tapi malang tidak berbau. Harris yang berdiri tegak di
belakangnya benar-benar membuat dia terkejut. Dia tidak melatah, cuma tersilap
langkah sedikit. Namun yang sedikit itulah yang mengundang padah. Akibatnya, dia
hilang keseimbangan badan. Dan kala inilah Qaira berasa tubuhnya melayang jatuh.
Haris tersentak.
Tanpa berfikir panjang, tangannya pantas memaut pinggang Qaira. Buat seketika
suasana sepi mengitari keadaan mereka. Hanya desahan nafas yang kedengaran. Harris
menelan liur. Sepasang mata bundar milik Qaira itu seolah-olah telah memakukan
segala rasa yang bergolak dalam hati menjadi satu. Dan saat itu juga hatinya
berdebar kuat.
Qaira juga tidak terkata apa. Dia kaku dan terpaku dalam
pelukan Harris. Lagaknya seperti si lembab yang sudah hilang akal warasnya. Suaranya
juga hilang entah ke mana. seolah-olah tenggelam di kerongkong.
“Qaira?”
Harris dan Qaira menoleh serentak. Pandangan pelik Maya membuatkan
mereka kembali berpandangan sesama sendiri. Dan tanpa menunggu lama, Harris
segera melepaskan pautan tangannya. Kurang sesaat, rasa menyesalnya datang
bertimpa-timpa. Bunyi ceburan air yang kedengaran membuatkannya segera
memejamkan mata. Percikan air kolam juga turut menyimbah ke bajunya.
“Qaira!” Jerit
Maya. Selaju mungkin dia berlari mendapatkan Qaira. Mahu terjun sekali untuk
menarik sahabatnya itu ke tepi, dia juga tidak reti berenang. Buat malu saja!
Berlagak mahu jadi penyelamat, tapi nanti dia pula yang terkapai-kapai minta
tolong.
Qaira pula mula panik. Dia kan tak reti berenang. Dengan
pantas, tangannya menggagau mencari dinding kolam. Kakinya di kayuh sekuat hati.
Setelah tangannya dapat berpaut pada tepi dinding, tiba-tiba saja dia merasakan
kakinya memijak lantai. Cepat-cepat dia tunduk ke bawah. Buat seketika, dia
rasa mahu ketawa dengan kekalutan sendiri. Air yang nampak dalam itu sebenarnya
cuma paras dada.
“Kau okey tak?” Tanya Maya. Lantas dia menarik tangan Qaira
supaya dapat keluar dari kolam itu.
“Apa yang bising-bising ni?” tanya Maisarah. Dia yang baru
selesai menyediakan minuman panas bergegas keluar setelah menangkap bunyi
bising di tepi kolam renang. Dan saat matanya tertancap pada Qaira yang basah
lencun itu, dia terkejut. Irfan yang menyusul di belakangnya juga turut
berperasaan yang sama. Perasaan itu sangat ketara pada riak wajah yang di tunjukkan
oleh lelaki itu.
“Ya ALLAH, kenapa basah ni?”
Qaira memandang wajah Harris yang tampak kosong sebelum
berkalih pandang ke arah Maisarah. “Saya… jatuh makcik.”
“Jatuh? Macam mana boleh jatuh?”
“Err… tergelincir,” jawab Qaira. Rasanya itu sahaja alasan
yang boleh dia berikan ketika ini. Mahu berterus-terang, dia tidak mahu hal ini
menjadi besar. Manalah tahu boleh menimbulkan suasana tegang. Dia tidak mahu di
persalahkan. Lagipun dia orang luar yang tiada kepentingan langsung dalam
keluarga ini.
Maya lekas memandang wajah Qaira. Itu bukan tergelincir. Harris
yang salah kerana melepaskan Qaira. Tapi bagaimana Qaira dan Harris boleh ada
dalam situasi seperti itu, dia kurang pasti. Macam-macam teori yang boleh di
bangkitkan ketika ini. Walaupun dia saksi utama kejadian, ia tetap tidak boleh
di jamin sepenuhnya kerana dia tidak berada di situ dari awal.
Maisarah mendekati Qaira. Di usapnya perlahan bahu gadis
itu. “Tak apalah. Mari masuk. Keringkan badan tu,” ujarnya sambil memandang Qaira
dari atas ke bawah. Titisan air kolam yang menitik dari hujung seluar Qaira
membuatnya semakin simpati. Kalau benar gadis ini tergelincir, dia rasa sangat
bersalah. Kejadian ini berlaku di rumahnya. Mestilah dia susah hati.
Seolah-olah dia yang cuai kerana menjadikan kawasan kolam renang ini tidak
selamat untuk orang lain.
Irfan hanya menghantar
pemergian Qaira dengan pandangan mata. Kasihan dia melihat gadis itu. “Kau
nampak tak dia jatuh tadi?” Tanyanya pada Harris.
Harris tidak segera menjawab. Salahnyakah Qaira mencebur
masuk ke dalam kolam? Ikut logik akal, memang dia salah. Tapi ikut pertimbangan
hati dan perasaan, dia tidak salah. Dari awal lagi dia memang tiada niat buruk
sebegitu. Semuanya tidak disengajakan. Mungkin dia sengaja berdiri di belakang
Qaira sebelum kejadian itu. Tapi itu pun kerana dia mahu menyusun kata. Terlalu
banyak soalan yang mahu di tanya. Jadi dia haruslah bijak mengutamakan soalan
yang penting dahulu.
“Ris, dengar tak aku tanya?”
“Apa dia?”
“Dengar tak aku tanya tadi?” Irfan mengulang kembali
soalannya.
“Hah? Err... dengar. Aku… aku tak nampak,” jawab Harris.
Irfan mengerutkan dahi. Tingkah Harris menerbitkan rasa sangsi.
Tapi dia tidak berani untuk mengandaikan apa-apa buat masa sekarang.