“Merah sangat. Ingat sikit, awak tu
baya saya. Pakai baju ni, nampak macam mak cik-mak cik,” kata Harris sebelum
terus berlalu. Lagi lama dia memandang Maimun, lagi sesak fikirannya.
Serta
merta keterujaan Maimun terhenti. Selama ini dia pernah mengenakan baju yang
warnanya lebih terang dari ini tapi Harris tidak pula berkata apa-apa. Agaknya
lelaki ini anti dengan kebaya merah. Adakah patut dia di kata mak cik-mak cik?
Huh! kejam sungguh Harris Ilman.
Dari
sebelum memasuki lif sehinggalah lif yang di naiki sudah mahu berhenti, panggilannya
masih tidak berjawab. Baik Reena mahupun mummynya,
kedua-dua mereka bagaikan mahu mengelak. Mahu di kata ini semua satu
konspirasi, hatinya kuat membantah. Dia tidak mahu menuduh. Tapi hakikatnya,
semuanya memang nampak seperti itu. Sudahnya, dia semakin buntu. Dan tanpa
sedar, rasa marahnya mula menembusi ruang hati yang cuba di kukuhkan.
Setelah pintu lif terbuka, Harris bergegas
keluar. Laju langkahnya menuju ke kawasan parkir. Kadang-kadang, ada dua tiga
kali juga bahu atau badannya berlanggar dengan orang lain. Dia perasan itu
namun malas mahu mengendahkannya.
“Encik ni buta ke?” Jerkah satu
suara dari belakang.
Harris berhenti
melangkah. Jerkahan itu membuatkan hatinya yang suam-suam kuku terus mendidih.
Semuanya hanya gara-gara suara lembut yang di tinggikan volumnya itu. “Encik,
saya cakap dengan encik. Bukannya kat pak guard
depan tu,” kata suara itu lagi.
Harris mengetap bibir seraya berpaling.
“Tak malu ke tinggi suara macam tu? Ini tempat awam. Semua orang tengok.”
Gadis
itu terus memegang bibir sebelum memandang kiri dan kanan. “Saya tak sengaja.”
“Tak sengaja? Saya harap awak cakap betul.”
Namun setelah di perhati penampilan gadis itu, Harris mula menapak beberapa
langkah ke hadapan. “Nama awak siapa?” Tanyanya kemudian.
Gadis
itu pula terus sahaja berundur beberapa langkah ke belakang. “Nak tahu nama saya buat
apa?”
“Susah
sangat ke nak jawab soalan saya?”
“Saya kena tahu. Mana tahu encik ni
orang jahat. Lagipun kalau setakat nak tanya nama, tak payahlah nak berdiri
rapat-rapat dengan saya. Saya ni bukannya pekak pun.”
“Nama
awak pekak?”
Tiba-tiba
saja gadis itu mencerlungkan matanya. “Encik jangan nak main-main.”
Harris
tersenyum sinis. “Mana ada saya main-main. Awak yang salah faham.”
“Tak
penting untuk encik tahu nama saya. Yang lebih penting sekarang ialah handphone saya yang dah bersepai kat
atas lantai tu,” kata gadis itu sambil menunjuk pada telefonnya yang
berselerakan di atas lantai.
Haris
ikut tunduk sebelum mengangkat kembali wajahnya. “Dah tu?”
Gadis
itu nampak terkejut. “Encik tanya saya?”
“Yalah,
awak tunjuk kat saya pun, handphone
tu akan tetap macam tu. Lagipun benda dah jadi. Tak payahlah nak bising-bising,”
balas Harris. Susahnya mahu berbaik-baik dalam keadaan hati yang mendidih
seperti sekarang.
Pantas gadis itu mendengus. “Encik
dengar apa yang saya nak cakap ni. Benda ni semua memanglah dah nak jadi, tapi
yang menjadikan semua ni ialah encik. Tak ada encik, benda ni takkan jadi.”
“Ya ke? Sekarang ni, awak dengar
saya pula. Saya ni cuma jadi mangsa keadaan. Berada di tempat yang salah, pada
waktu yang salah. That’s all.”
“Terlalu
banyak benda yang salah tu maknanya encik ni memang tak bernasib baik. Sentiasa
di bayangi dengan kesalahan walaupun kononnya bukan encik yang minta. Jadi,
belajarlah untuk terima hakikat,” kata gadis itu.
Harris
nampak terangguk-angguk. “Betul, saya setuju. Mungkin dah memang nasib saya.
Dah lah tak bernasib baik, terjumpa pula dengan orang yang buatkan nasib saya
bertambah-tambah tak baik. Okeylah. Saya pun tak nak cakap banyak. Saya akan
ganti handphone awak ni dengan yang
baru. Dengan syarat, awak kena bagitahu saya nama awak,” ujarnya.
“Saya
boleh percaya encik ke?”
“Kenapa?
Ada nampak muka saya ni macam muka penipu?”
Gadis
itu terdiam seketika sebelum kembali bersura. “Kita kena hati-hati. Takut nanti ada orang ambil kesempatan.”
Harris tersenyum sahaja. “Saya masih tahu dosa. Awak tak payah risau.”
Teragak-agak
gadis itu di buatnya. “Baiklah. Saya ikut cakap encik. Nama saya Qaira.”
“Saya
nak nama penuh. Bukan nama glamour.
Awak ingat saya nak berkenalan dengan awak ke?”
Qaira
menggigit bibir. Siapa juga yang nak berkenalan dengan dia? Perasan! Kutuknya
di dalam hati. “Nurin Qaisara binti Rosli.”
“Hmm…
Nurin Qaisara binti Rosli.” Nama itu di sebut kembali. “Okey. Nanti saya bagitahu
bila saya nak ganti handphone awak
tu,” ujar Harris pula.
“Eh,
encik nak pergi mana tu? Encik!” Jerit Qaira apabila melihat lelaki itu sudah
melangkah meninggalkannya.
Harris
berpaling. “Don’t worry. Kita akan
jumpa lagi. Saya berani jamin kat awak,” ujarnya lagi sebelum kembali
melangkah.
Qaira
bercekak pinggang. Apa kena dengan lelaki itu? Bercakap macam boleh meramal
masa depan. “Entah-entah dia kerja jaga. Sebab tu dia cakap macam tu. Yalah,
dah hari-hari ada kat sini. Mestilah jumpa.” Akhirnya dia merumuskan mengikut
akal logiknya.
Dan
setelah itu, dia pun terus duduk mencangkung sambil mengutip serpihan telefon
bimbitnya di atas lantai. Dalam marah, dia sebak. Telefon bimbit yang baru di
beli dua bulan lepas itu nampaknya sudah menemui titik noktah. Bencinya dia dengan
lelaki itu. Datangnya membawa masalah. Perginya pula, meninggalkan masalah.