Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 28

...1999...

 

Pagi itu lebih kurang pukul sepuluh, abang Zamil dan kak Zara datang menjemputku di hospital. Sementara kak Zara sibuk memasukkan semua pakaian dan barang kegunaan harianku ke dalam beg manakala abang Zamil pula sibuk menguruskan bil perubatanku, aku duduk bersila sambil termenung panjang di atas katil. Dalam hati, aku tertanya sendiri mengapa Hakimi tidak muncul-muncul lagi.

            

“Lisa! Laaa, budak ni! Dah sampai kemana berangan ni?”


Aku tersentak dengan jerkahan abang Zamil. Di sisinya kak Zara mengerutkan dahi memandangku yang seperti sudah jauh terbang ke alam lain.Aku hanya mampu tersengih.


“Check kalau-kalau ada barang yang tertinggal.” Mendengarkan arahan daripada abang sulungku membuatkan aku cepat-cepat melompat turun dari katil.

            

Ketika berjalan keluar dari pintu masuk utama hospital, menuju ke dataran letak kereta, aku sempat menarik kak Zara sedikit terkebelakang. Kesempatan ini kugunakan untuk bertanya tentang Hakimi.

            

“Oh, Hakimi...tadi dia ada call, bagitau tak dapat datang sebab ada hal. Kenapa? Dia janji dengan Lisa dia nak datang ke?”

            

“Tak-takde...tadi ada misscall...aaa..number dia...mungkin nak bagitau tu kot tapi...aaa...tapi Lisa dalam toilet waktu tu.” Bohongku sedikit gagap.

            

“Laa...kenapa tak call aje dia balik? Kan akak dah tingalkan handset akak kat Lisa? Sim card masih boleh guna kan?” Tanya Kak Zara, merujuk kepada telefonku yang rosak dimasuki air sewaktu peristiwa di Starbuck Alam Sentral.

            

“Aaa...Boleh...tapi Lisa tak top-up kredit lagi...” kak Zara tergelak mendengarkan jawapanku.

            

“Kesiannya adik akak ni. Takpe, nanti akak belanja top up, ye?” Aku berpura-pura tersenyum lebar tanda gembira.

            

Sebenarnya aku tahu yang Hakimi sengaja tidak datang pada hari ini walaupun tahu aku akan keluar dari hospital. Pasti dia masih marah kerana kejadian petang semalam. Pagi tadi aku sudah mencuba menghubunginya sebanyak dua kali tetapi tidak diangkat. Untuk menelefonnya menggunakan talian rumah, aku segan kerana takut kalau-kalau Bonda Engku yang menjawab.


Dek kerana terlalu memikirkan soal Hakimi, sepanjang perjalanan dari hospital ke rumah aku hanya mendiamkan diri. Sepatah yang disoal oleh abang Zamil dan kak Zana, sepatah yang kujawab. Akhirnya mereka berdua bosan untuk melayaniku berbual. Kesunyian pun mengambil tempat.

           

Setelah hampir lima hari empat malam tidur-bangun dihospital, untuk kembali berada di dalam kamar tidurku sendiri adalah perkara yang amat-amat aku inginkan. Tanpa membuang masa, aku terus menghenyak tubuh keatas tilam dan memeluk bantal busukku.

            

Kemudian aku meniarap dan meletakkan bantal tersebut ke bawah pelipis pipiku, sama seperti mana aku menempatkan hujung sikuku pada pipi Hakimi ketika dia menumpang tidur di katilku tempoh hari. Hangat haba yang terbit dari tubuh Hakimi masih lagi terasa sehingga sekarang, melekat kuat pada kulit tanganku.

            

Serentak itu juga aku merasa amat rindu terhadap Hakimi. Rindu dengan senyumannya, gelak tawanya, usikannya, cara dia melindungi dan menghargaiku.   “Hakimi...” di luar sedar, namanya jatuh ke hujung lidahku.

            

“Hakimi?” Suara kak Zara menyedarkan aku tentang kehadirannya.


Aku tidak sedar bila masanya dia turut berbaring disisiku. Sangkaku, setelah meletakkan beg dan mengeluarkan baju-baju kotorku, dia sudah turun ke ruang tamu.


“Lisa ada sorok apa-apa dari akak ke?” Wajahku merona kemerahan apabila diserkap sebegitu.


“Mana ada?” Elakku.


“Habis tu, kenapa tiba-tiba sebut nama Hakimi? Lisaaaa...ni mesti ada rahsia apa-apa ni.” intonasi suara kak Zana membuatkan aku semakin merasa malu.


“Apa akak ni! Tak sukalah...”


Aku bingkas, duduk katak di atas katil. Untuk mengelakkan kak Zara dari terus menyangka dan meneka yang bukan-bukan mengenai perasaanku terhadap Hakimi, aku mengambil keputusan untuk memberitahunya tentang apa yang telah berlaku antara aku dan Hakimi petang semalam.


“Kalau Lisa beritahu, akak janji tak marah, okay?”


Kak Zara yang semakin berminat untuk mendengar ceritaku,mengubah posisi, separuh baring menghadapku dengan kepala ditongkat dengan tangan kanannya.


“Apa dia? Macam cerita best je. Ceritalah cepat.” Gesanya tidak sabar.


“Semalam, sebenarnya Hakimi ada jumpa Lisa...” dan aku terus bercerita mengenai apa yang telah berlaku semalam dengan selengkapnya tanpa ada butir yang tertinggal. Sepanjang tempoh aku bercerita itu juga akulihat mimik muka kak Zara juga turut berubah-ubah.


“Lisa... Lisa...” hanya itu yang terkeluar dari mulutnya. “Soal hidup mati bukan boleh buat gurau tau! Kalau akak jadi Hakimi, entah-entah kat situ jugak akak lempangkan.” Aku cuma tunduk sambil menggigit lidah.


“Akak janji tak nak marah...” bisikku membuatkan kak Zara terkeluh.


“Tak tau cerita apa, memanglah ingat takkan marah. Habis tu, sekarang ni macam mana?”


“Tak taulah... Lisa call, dia tak jawab. Mesti dia marah betul...”


“Orang mana pun mesti marah kalau kena main macam tu.” Pintas kak Zara, jelas membela Hakimi. “Minta maaflah kat dia.” Usulnya kemudian.


“Nak mintak maaf macam mananya? Kan Lisa dah cakap yang dia tak jawab call Lisa.” Kak Zara terdiam sebentar, seperti sedang berfikir. Aku hanya menunggu reaksi seterusnya.


“Pergi rumah dia ajalah.”


“Hah? Tak naklah...nanti Bonda Engku tau...”


“Habis tu? Nak tunggu persahabatan korang rosak sebab benda ni?” Nada kak Zara mula berubah sedikit tinggi.


“Tak nak...” lemah sahaja aku menjawab.


“Kalau tak nak, lusa akak hantar Lisa pergi rumah Hakimi. Lisa minta maaf kat dia...janji kat dia Lisa takkan main-main pasal soal tu lagi, faham?”


“Kalau hari ni?”


“He-eh, budak ni! Orang kata esok, dia nak hari ni. Hari ni tak boleh... Lisa baru discharged, rehat kat rumah cukup-cukup.”


Aku tahu aku terpaksa akur dengan arahan kak Zara. Sebenarnya aku pun tidak bersedia untuk bertemu dengan Hakimi hari ini kerana kepalaku masih lagi berdenyut-denyut.


“Okaylah...lusa, akak tolong hantar Lisa pergi rumah Hakimi, ya?” Kak Zara menepuk bahuku, lembut.


“Sekarang ni Lisa rehat. Kalau dah lapar nanti, panggil akak. Akak nak basuh baju kotor ni.”


Aku hantar kak Zara keluar dari bilik dengan fikiran yang sarat dengan kebimbangan. Sekiranya Hakimi tidak juga mahu memaafkan aku, apa yang akan terjadi pada persahabatan kami?

Previous: Bab 27
Next: Bab 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.