Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 27

...1999...

 

Aku tergamam melihatkan keadaan Hakimi lebih-lebih lagi sewaktu dia melepaskan tumbukan ke pintu. Itulah pertama kali aku melihat dia betul-betul marah. Mungkin gurauanku keterlaluan tapi aku tidak bermaksud apa-apa.


“Lisa, kenapa dengan Hakimi?” Aku tidak sedar bila masanya kak Zara tiba. Aku hanya mampu menjawab soalan kak Zara dengan jungkitan bahu.


“Kak Zara jumpa dia kat mana?” Soalku, pura-pura yang Hakimi masih lagi datang menemuiku.


“Akak terserempak dengan dia kat pintu keluar. Akak tegur dia jawab macam nak tak nak. Jalan pun macam nak cepat.”


Sepanjang kak Zara bercerita, aku hanya menelan liur satu-satu. Sesungguhnya di ketika ini perasaan bersalahku semakin bertindih, berlipat-ganda di dalam diri.


“Dia...aaaa...tertinggal barang kot.” Akhirnya itu sahaja yang mampu aku ucapkan agar kak Zara tidak lagi bercerita tentang Hakimi.


“Agaknyalah tu. Eh, doktor kata Lisa boleh keluar esok, betul ke?”


“A’ah...” balasku acuh tidak acuh.


“Baguslah, abang Zamil sampai malam ni. Tapi dia sorang aje. Esok boleh dia jemput.” Aku cuma tersenyum mendengarkan keterangan kak Zara.


Bantal yang tegak di belakang aku ratakan pada katil dan kemudiannya aku merebahkan diri, seperti sudah bersedia untuk tidur. Melihatkan keadaanku, kak Zara tidak lagi bersuara, mungkin menyangka yang aku benar-benar ingin berehat.


Di luar pengetahuan kakakku, di atas katil, dengan kepala beralaskan bantal dan selimut menutupi keseluruhan tubuh, aku mula teresak-esak. Sebak di dalam hati ini tidak dapat kutahan-tahankan lagi. Kenapalah aku tidak berfikir dahulu sebelum bertindak? Kalau diingat-ingatkan semula, seandainya aku berada di tempat Hakimi pun, mungkin lebih teruk aku melenting.


Sambil menangis, fikiranku tidak putus-putus memikirkan tentang Hakimi. Ramai orang pernah menyatakan kepadaku bahawa manusia yang tidak pernah atau jarang marah, apabila sekali melenting, pasti berlarutan berhari-hari. Itulah yang aku tidak mahu. Aku baru sahaja kehilangan Am, dan aku tidak fikir yang aku cukup bersedia untuk kehilangan Hakimi pula. Mengenangkan itu esakanku semakin menjadi-jadi sehinggakan tubuhku turut terhenjut-henjut menahan tangis.


“Lisa...” belum sempat aku mengelak, selimut yangmenyelubungiku diselak.


Kak Zara memandang wajahku yang penuhair mata dengan penuh persoalan. “Kenapa nangis ni?”


“Lisa rindu mama dengan abah...” ucapku, cuba menutupi perkara yang sebenar sambil membalas pelukan kak Zara.


“Shhh...akak kan ada. Jangan nangis, ya?”


Pelukan kami semakin erat. Di dalam dakapan yang hangat dan penuh kasih sayang itu, aku semakin merasa hiba.


Ah, kalaulah Hakimi ada di sini!

Previous: Bab 26
Next: Bab 28

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.