Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 78

...2008...

 

“Akim nak kahwin!”


Nafasku terasa mati. Aku tidak tahu mimik yang bagaimana sedang terpantul di wajahku. Cuma yang aku tahu, hatiku sedang dilumat-lumat, ditumbuk-tumbuk, dipalu-palu. Lama aku cuba membawa diri menghadam kata-kata yang lahir daripada mulut Hakimi.


“Oh,”


Akhirnya itu sahaja yang terluah dari kerongkongku. Kata-kata lain berdebur hilang di kotak suara. Di hadapanku, Hakimi masih dengan riak yang sama dan aku jadi sangat sakit hati dalam diam.


“Oh, ajer?” Soalan Hakimi menyentakkan aku. Aku cepat-cepat mengukir senyum.


“Oh-oh...tahniah...bertuahlah dia. Orang mana?”


“Thanks. Orang KL jugak. Tak boleh jauh-jauh, nanti takde orang nak temankan bonda.” Dan aku melihat peluang untuk keluar dari cerita cinta Hakimi yang benar-benar membuat aku nanar.


“Cakap pasal bonda, Bonda Engku apa khabar? Dia ada kat sini ke?”


“Alhamdulillah..bonda sihat. Sebenarnya, tadi, sebelum datang sini jumpa Lisa, Akim hantar bonda pergi rumah bakal mertua Akim. Bincang-bincang tarikh tunang.”


Kiranya peluangku gagal. Cerita kami masih berkisar di situ juga. Aku pujuk-pujuk hati untuk belajar menerima walaupun saat ini jantungku sudah terasa bagaikan ingin pecah.


“Tak nak jemput Lisa ke?”


Dan raut wajah Hakimi berubah. Tiba-tiba menjadi sangat lembut, sangat tenang dengan sedikit senyuman. Matanya masih menatap mataku.


“Lisa mesti datang. Lisa VIP kat majlis tu nanti...” ayat Hakimi membuatkan perasaanku semakin hiba.


Mataku mula terasa panas dan aku tahu, itu isyarat untuk aku cepat-cepat beredar dari sini.


“Eh, Akim, Lisa tak boleh lama ni-“ aku bingkas, mengibas kain kurungku sambil sedaya-upaya cuba menyembunyikan rasa yang sudah tidak tertahan.


“Eh, jomlah minum-minum dulu. Nanti Akim hantar balik.”


“Takpe-takpe...Lisa kena balik ofis ni. Ada kerja kena siapkan last minute. Ni pun mintak keluar kejap.”


Aku lihat wajah Hakimi berubah. Mungkin dia sedang membaca gerak tubuhku yang tidak senada dengan alasanku. Mungkin dia tahu yang aku sedang menipu.


“Ok...takpelah kalau macam tu. Nanti-nanti aje kita jumpa lagi, keluar minum-minum, okay?”


Aku jadi hampa dengan kata-kata Hakimi. Dia tidak memujukku. Dia sudah tidak lagi memahami bahasa tubuhku, perubahan emosiku. Kiranya kami sudah tidak lagi memahami. Sudah tidak ada tarikan kimia di antara kami. Aku telan liur dan cuba memanis muka.


“Insya Allah...”


“Nanti lagi sekali kita keluar, Insya Allah, Akim keluar sekali dengan tunang Akim.”


Dan aku jadi semakin longlai di dalam. Hatiku, semangatku, semuanya sudah hilang dan terbang. Wajah Hakimi sudah mula berbalam dek air mata.


“Lisa pergi dulu. Happy Birthday, Assalamualaikum...” tanpa menunggu Hakimi membalas salam, aku berpaling dan melangkah.


Aku dengar Hakimi memanggil namaku tetapi ketika itu air mataku sudah memenuhi wajah. Mana mungkin aku menoleh lagi. Biarlah Hakimi menduga apa sahaja. Biarlah dia berspekulasi. Saat ini aku lebih perlu menenangkan hatiku sendiri. Akhirnya laungan Hakimi ternoktah.


Sedang aku melangkah laju-laju menuju ke jalan besar, telefon bimbitku berbunyi. Aku lihat ke skrin - mama. Langkahku terhenti. Perlahan aku menekan butang ‘answer’.


“Kat mana?” Soal mama setelah memberi salam.


“Jumpa Hakimi.”


“Dah jumpa Hakimi? Dia ada lagi kat situ ke?”


“Baru abis jumpa. Lisa nak balik dah...nak singgah ofis kejap ambik barang.”


“Kenapa suara lain? Menangis? Gaduh dengan Hakimi ke?” Kemudiannya mama tergelak kecil.


Aku mengesat air mata yang masih berjuraian. Mungkin hari ini emosiku sukar ditebak sehingga mama yang selama ini sangat memahami boleh gelak-gelak mendengarkan suaraku yang sebu.


“Lisa, ni ada orang nak cakap...sekejap.”


Aku mencari bangku untuk duduk. Saat ini seluruh jasadku terasa sungguh ringan.


“Assalamualaikum, Lisa...” gemersik suara itu singgah ke gegendang telingaku.    


“Wa’alaikumsalam...urmmm...Bonda Engku?” Teragak-agak aku bersuara walaupun aku amat pasti dengan si empunya suara.


“Lisa sihat?”


“Alhamdulillah, sihat.”


Aku rasa ada bunyi-bunyi halus bersiponggang di dalam tubuhku, menjerit-jerit tidak bersetuju dengan apa yang terluah di mulutku.


Aku tidak sihat, hatiku sedang sakit!


“Kimi ada kat situ ke?” Soalan Bonda Engku membuatkan airmataku kembali bergenang. Suaraku hilang ditelan rasa sebak. “Kenapa Lisa? Kenapa ni? Lisa menangis ke? Apa pulak Kimi dah buat kali ni? Bagi telefon kat Kimi, Lisa...”


“Dia-dia dah balik...” aku dengar suara Bonda Engku beristighfar panjang di talian sebelah.


“Tak berubah-ubah budak ni,” dan ada gelak kecil di hujung bicaranya. “Dia ada cakap apa-apa? Bagitau Lisa apa-apa?”


Aku mula teresak. Terasa ingin sangat mengadu. Tetapi mengadu untuk apa?


“Akim bagitau...dia-urmm-dia-nak-kahwin-“ dan ayatku mati di situ.


Aku tidak dapat meneruskan.


“Ada dia bagitau dengan siapa?”


“Tak.”


Ringkas jawapanku membuatkan Bonda Engku sekali lagi beristighfar, kali ini semakin panjang.


“Dah-dah...kalau tunggu Kimi, lagi 5 tahun pun cerita ni tak habis. Ni, bonda nak tanya, jawab betul-betul. Bonda nak masuk meminang Lisa untuk Kimi. Lisa setuju tak?”


Aku seperti tertelan anak tekak.


“Apa dia, Bonda Engku?”


“Bonda nak masuk meminang Lisa untuk Kimi. Mama dengan abah Lisa dah setuju tapi bonda nak dengar dari mulut Lisa sendiri jugak. Jadi, Lisa terima tak Kimi jadi suami Lisa?”


Tiba-tiba otakku menjadi kosong. Segala yang sepatutnya berada di situ sudah berlari mengisi ruang hati. Kiranya sekarang aku harus berfikir menggunakan hatiku.


Hakimi! Aku berpaling, berharap agar dia masih ada di tempat terakhir kami berpisah dan aku temui dia berada betul-betul di belakangku.


“Izara Marleesa, sudi tak terima Tengku Hazqeel Hakimi jadi suami Lisa?”


Kini soalan itu sudah lahir dari bibir Hakimi sendiri. Aku mengerjip mata. Ada tangis gembira di situ. Aku sudah lama ada jawapannya. Aku hanya menunggu soalannya ditanya. Dan kini saat itu tiba. Apa lagi yang lebih membahagiakan daripada memberi jawapan sesederhana;


“Lisa terima...”


Dan cerita cinta dua manusia pun bermula.



Previous: Bab 77
Next: Bab 79

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.