Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 10

...1998...

 

Tiba di KLCC, kami terus menuju ke Kinokuniya. Di sana,seperti kebiasaan, aku dan Hakimi sama-sama hanyut dalam dunia pembacaan kami – di bahagian komik.


Setelah hampir satu jam menghabiskan masa di situ, Hakimi naik ke tingkas atas untuk mencari buku berkaitan dengan fotografi. Aku pula beralih ke rak-rak buku di sekitar kaunter pertanyaan, mencari kalau-kalau ada yang berkenan di hati dan akhirnya aku mencapai sekeping penanda buku sebesar tapak tangan dan kutilik dengan penuh minat. Mataku tertumpu pada quote di atasnya yang spontan membuat aku tersenyum sendiri.

 

" It doesn't matter how long youhave feelings for someone; what counts is what those feelings are." –Author Unknown.

 

“Nak beli ke?”


Aku tersentak dengan soalan Hakimi. Entah bila masanya dia muncul di sisiku pun aku kurang pasti. Di tangannya terdapat sebuah buku.


“Bagi sini, biar Akim bayar sekali, Akim nak pecah duit.”


Aku tidak pun sempat memberikan jawapan ketika penanda buku bewarna biru lembut yang terselit di antara telunjuk dan ibu jariku dibawa ke kaunter.

            

Selesai membuat bayaran, Hakimi mengajakku membasahkan tekak di Food Court. Aku yang sememangnya dahaga, tidak menolak pelawaannya. Ruang makan di tingkat tiga itu kelihatan agak lengang mungkin kerana waktu bekerja masih belum berakhir. Tanpa perlu bersusah-payah,Hakimi mendapatkan meja berhampiran tingkap.

            

“So...dah jumpa tempat praktikal?”Aku menolak gelas berisi soya bean yang hanya tinggal suku ke tengah meja.

            

“Dah hantar surat kat tiga tempat,tapi tak taulah macam mana. Kenapa? Akim dah dapat tempat ke?”

            

“Sebenarnya firm kawan ayahanda ada nak guna orang, jadi Akim ingat nak bagi nama kita. Itu pun kalau Lisa nak’lah.”


Amboi, nampaknya tuah datang bergolek padaku. Memang kebelakangan ini aku agak risau memikirkan tempat untuk menjalani latihan praktikal pada semester hadapan.

            

“Mestilah nak...tapi tak payah bagi surat ke?” Pertanyaanku membuatkan Hakimi tergelak.

            

“Kalau tak hantar, macam mana firm tu nak keluarkan surat pada fakulti...apalah, Lisa ni!” Ujarnya, masih dalam gelak yang tidak putus.


Aku mengangguk-angguk tanda faham. Tiba-tiba aku terasa bahuku dicuit berkali. Cepat-cepat aku menoleh.

            

“Lisa, kan?”


Dahiku berkerut sedangkan otakku ligat mengenal pasti beberapa orang gadis yang sedang berdiri sambil gelak-gelak kecil di hadapanku.


“Lupalah tu! Amboiii...mesranya dengan abang sepupu! Siap kongsi makan sepinggan lagi!”


Dahiku semakin berkerut.


“Akulah, Sya!” Sepantas itu juga otakku kembali mengingati.

            

Sya adalah teman sealiranku sewaktu di dalam tingkatan empat dan lima begitu juga dengan lima orang teman yang berada di sekelilingnya. Aku ingat-ingat lupa nama mereka. Satu perkara yang memang aku tidak boleh lupa adalah sikap mereka sekumpulan - suka menjaga tepi kain orang dan tidak pernah puas hati melihat kelebihan orang lain. Ini membuatkan aku kurang akrab dengan Sya dan teman-temannya itu.

            

“Buat apa kat sini?” Soalku, cuba berbahasa walaupun pada dasarnya aku teramat-amat kurang senang dengan pertemuan ini.

            

“Baru balik dari tengok wayang...hai abang Hakimi...” intonasi suaranya seakan sengaja ditekankan ketika menyebut ‘abang Hakimi’ dan aku akui, telingaku agak panas mendengarkannya. Hakimi yang dari tadi hanya memerhati membalas lambaian Sya.


“Korang berdua ni ada apa-apa ke?” Soal salah seorang daripada teman Sya. Aku tahu yang mereka semua tidak pernah percaya yang aku dan Hakimi adalah sepupu. Sambil mata mengerling Hakimi, aku paksa diri untuk tersenyum.


“Takdelah...mana ada apa-apa.”


“Boleh percaya ke? Sebab you guys nampak macam...mmm...you know what.”


Belum sempat aku mereka ayat untuk membalas kata-kata Erika, terasa tangan kananku diraih dan jemariku digenggam hangat. Aku terpaling ke arah Hakimi dengan rasa tidak percaya yang amat sangat dengan tindakannya.


“Dahlah tu... Lisa. Sampai bila kita nak rahsia. Sebenarnya, kitorg dah bertunang pun.”


Wajah Sya berubah, ada riak terkejut di situ begitu juga dengan kelima-lima orang rakannya dan di luar kesedaran mereka aku juga turut berkongsi perasaan yang sama.


“I memang dah agak dari dulu...both of you pun sebenarnya bukan sepupu, kan? So, bila nak tie the knot?” Genggaman tangan Hakimi yang semakin kuat, membuatkan aku kehilangan kata-kata.


“Kalau ikut saya, hujung tahun ni, tapi Lisa nak habis belajar dulu. Maybe dalam next year, kot, kan, Lisa?”


Apa lagi yang mampu aku lakukan selain daripada mengiyakan segala kata-kata bersahaja dan lancar yang lahir dari mulut Hakimi.


“Kalau macam tu, good luck. Kitorang dah lambat ni...see you around, okay? Bye.”


Setelah berpamitan, Sya dan teman-temannya pun berlalu.Perlahan-lahan Hakimi merungkaikan tangannya daripada tanganku dan kemudiannya seperti tiada apa-apa yang telah berlaku, dia menyambung mengunyah saki-baki kentang goreng di dalam pinggan.


“Kenapa cakap macam tu?” Tanyaku pada Hakimi dengan nada kurang senang.


“Habis tu, diaorang nak sangat kita ada apa-apa...kita buat ajelah macam ada apa-apa...hah, kan senyap terus. Kalau tak mesti banyak lagi diorang tanya.”


“Kan menipu namanya tu?” Hakimi mengukir senyuman penuh seperti biasa.


“Shhh...tipu sunat. Tak apa!” Jawapan Hakimi membuat aku tergelak.


“Mana ada tipu sunat!” Bangkangku. “Tapiiiii...tipu sekejap sangat, tak thrilled langsung!”


Usikku pada Hakimi dan tiba-tiba aku melihat muka Hakimi berubah menjadi nakal. Aku tahu, pasti ada idea gila yang tersangkut di dalam kepala otaknya.


“Betullah, sekejap sangat berlakon, tak thrill langsung...jadi, apa kata,”


Hakimi mengecilkan kedua belah mata, membuatkan raut wajahnya kelihatan semakin nakal. Aku membuat isyarat tanduk di atas kepala. Dia tergelak.


“Apa kata kalau kita teruskan lakonan kita, nak tak?”


Aku tahu aku tidak sepatutnya bersetuju tetapi hangat tangan Hakimi ketika mengenggam jari-jariku sebentar tadi membuatkan akal warasku gagal bertindak. Lagipun fikirku, apa salahnya, hanya untuk hari ini,sekurang-kurangnya aku dapat merasa untuk menjadi lebih daripada teman baik kepada Hakimi. Aku yakin yang Hakimi hanya ingin bergurau denganku.


“Nak buat macam mana?”


Mendengarkan soalanku, Hakimi terus beralih tempat, duduk di sebelahku.


“Macam ni...” tanganku yang berada di bawah meja kembali ke genggamannya, kemudiannya dia bingkas, menarikku – lebih kepada memaksa sebenarnya. Aku mengikut sahaja rentaknya dan kami pun beriringan menuju ke tangga bergerak dengan tangan berpegangan seperti pasangan kekasih.


Aku tergelak, antara malu dan merasa lucu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa bercampur-aduknya perasaanku ketika itu.


Ketika tiba di Ground Floor aku mula merasa kurang selesa dengan keakraban yang Hakimi tunjukkan walaupun dengan sekadar memegang tanganku. Terasa seperti banyak mata yang sedang memandang walaupun aku tahu itu cuma perasaanku yang lahir dari rasa bersalah terhadap Am.


“Peliklah rasanya...” balasku hati-hati, cuba menarik tanganku dari pegangannya.


“Please, Lisa, hari ni saja.”


Aku tertoleh, memandang Hakimi dan terkejut apabila melihat wajahnya yang serius. Jariku terasa semakin ketat dalam pegangan.


“Jadi special Akim untuk hari ni aje, boleh?” Aku tidak percaya dengan apa yang aku dengar.


Perasaanku terhadapnya yang selama ini telah kutekan jauh ke lubuk hati, saat ini terungkai dan terbuka, isinya memenuhi segenap jiwa sehinggakan menenggelamkan nama Am. Tetapi aku cepat-cepat mengingatkan diri.


“Sakitlah, Akim!” Akhirnya tanganku berjaya kutarik. Hakimi menyambut kelakuanku dengan gelak besar.


“Alaaahhhh...tak rocklah Lisa ni! Kata nak berlakon...baru feeling sikit, dah takut. Jangan risaulah, Akim takkan lupa Lisa ni girlfriend Am...”


Gelak Hakimi yang semakin menjadi-jadi, secara tidak sedar telah menyinggung perasaanku. Kelopak mataku tiba-tiba menjadi basah.


“Alamak, kenapa ni?”


Gelaknya mati apabila melihat aku menyeka pipi.


“Lisa, alamak...”


Suara Hakimi kedengaran cemas.


“Sorry, Lisa, sorry...mintak maaf sangat-sangat. Akim tak tau Lisa tak suka gurau macam ni. Janji, lepas ni Akim takkan buat lagi!”


Luahan jujurnya membuatkan aku dadaku bertambah sesak.


“Soal hati dan perasan jangan dibuat main, Akim...”ujarku dengan suara yang tersekat.


Aku lihat wajahnya betul-betul berubah dan di waktu itu aku terfikir, apa dan di mana rasionalnya aku untuk merasa marah dengan gurauannya? Bukankah memang tiada apa-apa hubungan yang istimewa antara kami selain daripada kawan baik? Jadi apa salahnya dengan gurauan Hakimi sebentar tadi? Bukankah juga kalau aku terus begini akan lebih jelas memperlihatkan perasaanku terhadapnya.


Aku menarik nafas, cuba sedaya-upaya menolak tepi-tepi rasa tersinggung yang bersiponggang di dalam hatiku dan berusaha mengumpul semula mood yang telah hilang sebentar tadi.


Entah semangat dari mana yang singgah di dalam tubuhku,aku berjaya memaksa diri untuk tergelak. Hakimi memandangku dengan renungan tidak percaya.


“Hah...kata orang! Dia pun tak rock! Nak berlakon konon,baru kena usik dah pucat satu badan!”


Bahu kiri Hakimi kucubit dan dia mengaduh kesakitan. Kemudiannya kami sama-sama tergelak, saling mengejek mimik wajah yang telah kami lakukan sedangkan perasaanku ketika itu bagaikan ingin pecah.


Kembara Hakimi tiba di depan pagar rumahku ketika jam di dashboard lagi lima minit pukul enam petang. Hakimi menolak ketika aku mengajaknya masuk. Sebaik sahaja aku keluar dan menutup pintu kereta, Hakimi menurunkan tingkap dan memanggilku.


“Lisa lupa ni,” penanda buku yang aku lihat di Kinokuniya tadi dihulurkan kepadaku.


Tanpa menyambut hulurannya, aku terburu-buru menyeluk dompet, mencari not sepuluh ringgit.


“Takpe, Lisa...Akim hadiahkan bookmark ni. Ambillah!”


Penanda buku pun bertukar tangan.


“Thanks...Lisa masuk dulu.”


Aku melambai dan berjalan menghampiri pintu pagar,membuka selak dan kembali berpaling dan melambai padanya dan seperti yang selalu-selalu, Hakimi akan melambai semula.


Apabila aku sudah memasuki ke rumah barulah kereta Hakimi bergerak. Aku melangkah ke ruang tamu, mendaki anak tangga satu demi satu dan terus menonong ke bilik. Usikan Abang Zafri tidak kulayan. Biarlah, buat masa ini apa yang aku benar-benar perlukan adalah masa untuk bersendirian.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.