Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 74

...2002...

 

Kami duduk bersesak di ruang tamu. Khabar yang diterima awal pagi tadi telah benar-benar mencipta gempar. Saat ini aku sudah tidak tahu tentang perasaanku sendiri. Harus apakah aku?

 

 

Aku meletakkan kepala ke bantal selepas menyudahkan gubahan terakhir. Majlis akan berlangsung lusa. Persiapan sudah sembilan puluh peratus selesai. Baju pun sudah kugosok – cantik tergantung di luar almari dengan harapan setiap kali aku memandangnya, semangatku akan terdorong. Jika ini takdirku, aku berjanji untuk memberikan yang terbaik.


Jam di meja sisi sepuluh minit melepasi empat pagi ketika pintu bilikku diketuk bertalu-talu diiringi suara kak Zara memanggil namaku. Terpisat-pisat aku melangkah ke muka pintu. Dalam keadaan separuh mamai, aku merungut marah-marah kerana tidurku diganggu.


“Lisa, jangan terkejut ye...” kak Zara memegang tanganku. Melihatkan wajahnya yang kerisauan, mamaiku beransur surut.


“Ada apa ni?Kenapa, kak?”


“Am...”

 

 

Dan kini kami bersesak di ruang tamu. Ada mama, ada abah, ada adik-beradik dan ipar-iparku, ada Bonda Engku, ada saudara-mara yang sudah mula tiba sejak malam semalam dan di depanku, yang sedang duduk dengan muka kosong tanpa emosi –  Am. Auntie Arifah di sisinya masih lagi menangis tidak berhenti.


Di luar khemah sudah naik. Barang-barang perhiasan untuk pelamin mini pun sudah tiba. Tetapi aku yakin yang majlis ini tidak akan berlangsung. Aku tidak dapat membayangkan bagaimana aku akan meneruskan hidup bersama lelaki itu setelah mengetahui tentang apa yang berlaku.


“Saya memang dari awal tak setuju dengan semua ni.”


Selamba Am memukadimah. Kata-katanya membuatkan hatiku menjadi panas. Aku bingkas dari kerusi, menepis tangan kak Syam yang cuba menahan.


“Kalau macam tu, kenapa tak bagitau? Kenapa tak bersuara?” Soalku separuh menjerit.


“Mummy yang beria sangat nak aku kahwin dengan kau. Cuba tanya mummy, berapa kali dah aku bagitau dia yang aku tak nak. Kau tanyalah!”


Di hadapanku saat ini bukan lagi Am yang pernah aku kenali dulu. Bahasanya kasar dan apa sahaja yang ada pada dirinya sekarang tidak akan sama sekali memutik semula rasa cinta di dalam hatiku. Malah rasa benci kini membuak-buak terhadap dirinya.


“Auntie mintak maaf, Lisa. Abang, akak...saya mintak maaf...” tersekat-sekat Auntie Arifah bersuara.


Aku tidak menghiraukannya kerana sikap yang sedang dipamerkan oleh Am lebih menarik perhatianku.


Dia duduk bersilang kaki seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia melakonkan seakan dia tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan. Yang sepertinya dia tidak berdosa. Ingin sahaja aku jerit kuat-kuat ke mukanya, mengingatkan dia yang dia telah – ditangkap basah! Dijumpai dalam keadaan yang mengaibkan – dengan seorang lelaki! Am seorang gay!


Aku beristighfar panjang.


“Sampai hati Am buat keluarga makcik macam ni.” Lirih suara mama.


Aku berpaling kepada mama. Ada airmata yang mula mengalir di pipinya. Hatiku semakin ingin pecah.


“Bukan salah saya makcik. Mummy yang sibuk suruh saya kahwin. Dia tau pasal saya. Yang dia sibuk-sibuk nak masuk campur dalam hidup saya kenapa?”


“Am!”


Pertama kali aku dengar Auntie Arifah meninggikan suaranya. Jerkahan itu membuatkan Am terbangun dari kerusi.


“Mummy diam! Am dah tak nak berlakon lagi. Mummy nak sangat Am kahwin ni pun sebab nak Am tinggalkan Azied kan? Mummy pun gunakan Lisa. Jadi tak payah nak tunjuk baik -”


Ayat Am tamat di situ serentak tamparanku hinggap ke mukanya. Semua yang ada di situ terkejut dengan tindakanku. Am memandangku dengan mata yang bulat.


“Saya pun tak hadap nak kahwin dengan awak. Tapi kenapa awak buat macam ni? Yang awak mainkan sekarang bukan maruah saya sorang, tapi maruah keluarga saya. Apa ma dengan abah saya nak jawab bila orang tanya nanti?”


Jeritku sungguh-sungguh di depan mukanya.


“Saya tak kisah kalau awak ada orang lain, jantan ke, betina ke, saya tak kisah. Itu urusan awak dengan Allah. Kalau awak takut sangat nak putuskan, saya sanggup. Nah!”

Aku cabut cincin belah rotan dari jari manisku dan mencampakkannya ke muka Am. Sipi dan tidak kena. Terpelanting cincin tersebut ke dinding dan bergolek ke atas lantai.


“Kita putus! Kita habis! Tamat! The end! Awak keluar sekarang! Kutip cincin tu sekali!”


Suaraku melengking-lengking berselang-seli dengan ngongoi dan curahan airmata. Mama menarikku ke dalam pelukannya dan aku menangis bersungguh-sungguh di situ.


“Lisa...auntie mintak maaf, Lisa.”


Aku tutup telinga. Aku jadi bosan dengan kata-kata maaf. Aku tidak mahu mendengar apa-apa lagi daripada Am mahupun mamanya.


“Lisa tak nak dengar apa-apa lagi...abah...ma, suruh diorang keluar. Lisa tak nak tengok muka diorang. Lisa tak nak tengok cincin tu pun lagi.”


Ucapku masih dalam ngongoi. Aku tepis Auntie Lisa yang cuba memegang tanganku.


Patutlah dia bersungguh mahu mempercepatkan segalanya. Rupanya dalam lembut tingkah dan manis senyum, Auntie Arifah sedang mempergunakan aku. Sedang mempermainkan perasaan keluargaku. Mungkin inilah sebabnya kak Hana meminta untuk aku membatalkan majlis pertunangan kami.


Tuhan sahaja tahu betapa luruhnya hatiku apabila menerima berita Am ditangkap dalam keadaan tidak senonoh di dalam kereta, berhampiran semak di atas bukit, di pinggir Kuala Lumpur. Dan yang lebih menambah luruh hatiku, aku ‘diduakan’ dengan sorang lelaki dan perhubungan songsang ini rupanya sudah berlangsung lebih setahun!


“Saya tak sangka Datin sanggup gunakan Lisa. Buat kami macam ni.” Giliran abah pula bersuara. Nadanya sangat tertekan.


“Saya mintak maaf, bang.” Untuk kesekian kalinya Auntie Arifah merayu, memohon maaf.


Namun aku tahu, tidak ada seorang pun yang dengan rela akan menerima kemaafan itu di sini, saat ini dan hari ini. Semua ini memerlukan lebih daripada masa untuk pulih.


“Tolong keluar dari rumah kami.”


Akhirnya abah memberikan arahan – tegas.


“Jangan datang-datang lagi, jangan kacau keluarga saya lagi. Keluar.”


Dalam suara abah menekan ayat satu-persatu.


Am yang sangat kurang ajar, melintasi abah dan mama serta tetamu yang lain tanpa apa-apa pamitan – tiada kata maaf dan tiada juga kata-kata sesalan.


“Saya mintak maaf, kak,” mama menyambut huluran salam Auntie Arifah setelah melihatkan aku membatukan diri. Namun mata mama lari ke arah lain.


Setelah pasti yang dia tidak akan menerima apa-apa perlanjutan dariku, Auntie Arifah mengutip cincin di atas lantai dan beransur pergi. Begitulah berakhirnya majlis yang sepatutnya berlangsung esok hari.



Previous: Bab 73
Next: Bab 75

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.