Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 65

...2001...

 

Hakimi menyusun kotak-kotak yang sudah sarat berisi buku-buku ke tepi tangga. Sejak pagi dia dan bonda sibuk mengemas barang-barang yang akan dibawa bonda ke Sudan. Nampaknya dia akan belajar menjadi orang bujang untuk beberapa ketika kerana ditinggalkan bonda untuk menjaga ayahanda yang kurang sihat di sana.


“Banyak lagi ke?”


Tanya bonda apabila melihat Hakimi duduk tersandar di ruang rehat. Wajah Hakimi yang dibasahi peluh dipandang dengan penuh kasih-sayang.


“Buku semua dah clear. Lepas ni Kimi tolong kemas baju pulak, ye? Tapi nak rehat kejap...penat!”

Bonda tersenyum sambil melabuh punggung ke sisi Hakimi.


“Ikut bonda ye?”


Pujuknya lagi, mencuba nasib entah buat ke berapa kali. Dia tahu yang anak terunanya itu tidak berminat untuk menyertainya.


Seperti yang diduga, Hakimi mengeleng sambil tersengih lebar.


“Tak nak la bonda. Mati kutu kat sana nanti. Bonda jangan risau...pandai-pandailah Kimi jaga diri kat sini.”


“Kahwinlah...ada orang jaga.” Ayat ringkas bonda membuatkan Hakimi ketawa besar. Serentak itu ingatannya singgah ke Lisa.


Apa agaknya yang sedang gadis itu lakukan ketika ini? Sejak dia pulang dari Kuching, dia belum lagi berkesempatan untuk menemui gadis itu. Panggilan telefon pun hanya yang ringkas-ringkas. Tetapi dia perasan yang Lisa seperti lari-lari darinya.


“Hah! Sempat berangan tu!” Sergahan bonda membawa dia kembali ke ruang rehat itu.


“Takdelah, bonda,” gelak, “bonda cakap apa tadi?”


“Bonda suruh kahwin...” Bonda menepuk lembut peha Hakimi.


Dia mahu Hakimi tahu yang dia tidak main-main dengan permintaan yang satu ini. Orangnya sudah ada, mahu ditunggu apa lagi?


“Insya Allah, bonda, Insya Allah...” ringkas balasan Hakimi.


Di matanya terbayang senyuman manis Lisa ketika mereka bersama-sama menghabiskan masa di Kuching. Kalaulah boleh dibingkaikan!


“Jangan tunggu lama-lama...nanti diambil orang...”


Desis bonda, mengingatkan dalam gurau sambil bingkas untuk menyambung kerja. Duduk melayan orang angau, sampai bila-bila pun kerja tidak akan selesai.


Hakimi turut bangun. Ada beberapa kotak lagi perlu dibawa turun ke bawah. Jika semuanya siap, lepas Asar nanti dia boleh mula mengemas barangan peribadi bonda pula. Belum pun sempat dia mengangkat kotak pertama, telefon bimbitnya berbunyi – nombor yang tidak dikenali.


“Hakimi ye?” Satu suara wanita lembut menyapa setelah memberi salam. “Ni auntie Arifah, emak Am – Idham. Ingat tak? Kita jumpa kat majlis kahwin Putri dulu?”


Ingatan Hakimi cepat-cepat megingat raut wajah wanita bergaya itu.


“Auntie nak jumpa Hakimi. Hari ni. Sekejap aje. Ada perkara penting auntie nak mintak tolong, boleh?”


“Pasal apa tu, auntie?”


“Lisa.”

 

 

Hakimi memegang kepala. Tasik yang tadinya agak sibuk sudah mula lengang memandangkan waktu Mahgrib sudah hampir tiba. Pertemuan dengan wanita bernama Auntie Arifah sudah berakhir hampir satu jam yang lalu tetapi perit hatinya masih belum pulih.


Cerita Auntie Arifah tentang rombongan merisik Lisa menyebabkan dia hilang rasa. Hilang kestabilan emosi.


“Sebab tulah auntie jumpa Hakimi ni.  Auntie nak mintak tolong sangat-sangat dengan Hakimi.”


Diam.


“Tolong pujuk Lisa terima Am, boleh tak? Hakimi rapat dengan dia, kan?”


Hakimi menelan liur yang terasa kesat. Apa yang harus dia katakan? Berapa ramai lagi yang mentafsir hubungan dia dan Lisa sebegitu?


“Auntie berharap sangat ni. Tolong ya, Hakimi, tolong auntie. Auntie tau Lisa dengar cakap Hakimi. Pujuklah dia”


Kenapa dari dulu orang suka datang kepadanya dengan permintaan-permintaan begini?


“Auntie tau, Am boleh bahagiakan Lisa. Auntie janji, kalau Lisa terima Am, dia akan dapat yang terbaik. Tolong ye, Hakimi...auntie mintak tolong sangat-sangat ni. Auntie dah tak tau nak mintak tolong kat siapa lagi.”

 

 

Dan sudahnya dia masih di sini. Menimbang-nimbang permintaan Auntie Arifah dengan otak yang bersimpang-siur. Suara bonda berdesis seakan dekat dengan cuping telinganya.


Jangan tunggu lama-lama, nanti diambil orang.


Masin sungguh mulut bonda!



Previous: Bab 64
Next: Bab 66

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.