Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 62

...2001...

 

Pagi-pagi lagi kami sudah tiba di Lapangan Terbang Kuching. Aku duduk bersarapan bersama Fatin dan Iklil di The Coffee Bean & Tea Leaf sementara menanti kak Syam menguruskan bungkusannya.


Sambil menghabiskan kopi, aku memeriksa peti simpanan suara dan pesanan ringkas yang dipenuhi dengan ucapan ‘Selamat Hari Jadi’ sejak tengah malam tadi.


Aku ulang baca semuanya beberapa kali; daripada mama, abah, abang-abang, kak Zara, kakak-kakak ipar, Zairy, Bonda Engku, teman-teman dekat serta jauh termasuk Dania dan Afira.


Cuma seorang sahaja lagi yang belum mengirimkan apa-apa. Tidak ada panggilan telefon seperti kebiasaan pun pagi ini. Pesanan ringkas apatah lagi. Berkali aku memeriksa takut-takut aku terlepas pandang. Hakimi, terlupakah dia?

Sedang pada aku menekan-nekan butang di telefon, satu panggilan masuk. Nombor Hakimi! Aku cepat-cepat tersenyum. Ah, betapa mudahnya dia mengawal emosiku.


“Happy Birthday.” Ucapnya setelah menjawab salam.


“Ingatkan lupa...” balasku, cuba membuat suara seperti acuh tidak acuh. Selebihnya aku sedikit merajuk kerana kelewatannya.


“Mana boleh lupa. Marah ke?”


“Tak la.” Aku menjawab masih dalam nada yang sama.


“Habis tu...kenapa muncung panjang?”

Tekanya, menyerkap jarang. Kebetulannya pula, aku memang sedang membuat muka.


“Mana ada?” Pintasku.


“Tak elok tau birthday girl menipu,” aku cebik lagi bibir. “By the way, baju yang Lisa pakai hari ni cantik sangat. Merah dia kena betul dengan bibir macam tu –“


“Hah?” Aku tertolak kerusi dan berdiri.


Fatin dan Iklil terdongak melihatkan aksi spontanku. Beberapa orang pelanggan dan pekerja didalam cafe turut melakukan perkara yang sama. Aku cepat-cepat keluar dari kafe.


“Mana tau Lisa pakai baju merah?” Tanyaku – lebih kepada mengasak. Hakimi di sana sudah gelak-gelak.


“Lucky guess, maybe...” balasnya, membuatkan aku bertambah geram. “Tu, tengok-tengok sikit budak-budak tu. Comotnya Fatin makan...” ayat itu membuatkan aku mula berpusing-pusing, mencari kelibatnya kerana aku yakin yang dia ada berhampiran.


“Lisa.” Panggilan kak Syam menghentikan tingkahku. “Cari apa ni? Kenapa tinggal budak-budak tu kat dalam?”


“Hakimi...” dan kata-kataku mati apabila melihatkan Hakimi menjenguk dari dalam kafe, melambai dengan senyum lebar di wajahnya.


“Tu, parcel akak dah sampai, hadiah birthday untuk Lisa.” Dan wajahku merona merah.

 

 

Rupanya Hakimi telah berpakat dengan kak Syam dan abang Zamil untuk menghadiahkan kejutan kepadaku. Patutlah talian telefonnya dimatikan awal pagi tadi. Pasti ketika itu dia di dalam penerbangan ke sini.


Sepanjang perjalanan ke Hotel Habour View, kak Syam tidak habis lagi mengusikku. Hakimi hanya mendengar sambil sesekali ketawa besar. Fatin dan Iklil juga tumpang sekaki, seronok sesekali dapat mengenakan makcik mereka ini.


Ketika menunggu bilik disediakan, Hakimi memaklumkan kepadaku yang dia sebenarnya ada mesyuarat mewakili ayahandanya di Miri hari Isnin depan. Jadi pelawaan abang Zamil untuk datang bercuti ke Kuching disambutnya dengan senang hati. Dengan persetujuan abang Zamil, kak Syam menawarkan kami kereta mereka untuk digunakan sepanjang waktu Hakimi di sini.


Maknanya aku ada dua hari untuk bercuti dengan Hakimi di bumi Kenyalang ini. Ya, ini memang salah satu daripada hadiah ulang tahun terbaik yang pernah aku terima sepanjang hidupku!



Previous: Bab 61
Next: Bab 63

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.