Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 69

...2002...

 

Kami duduk bertentangan buat pertama kalinya sejak peristiwa malam aku menamparnya. Suasana terasa sangat canggung. Kak Zara juga tidak banyak membantu kerana dia lebih sibuk melayan telefon genggamnya. Aku, sesekali mencuri pandang ke arah Hakimi, yang kelihatannya juga sesekali mencuri pandang ke arahku. Namun masih belum ada antara kami yang mahu memulakan bicara.


“Eh, korang borak dulu ye. Akak nak pergi tengok tudung kejap.” Tidak sempat aku menahan, Kak Zara sudahpun meluru keluar dari restoran, meninggalkan aku terkulat-kulat tanpa idea.


Lama kami membungkam, sesekali berganti senyum. Aku membelek telefon, seolah-olah sedang menunggu panggilan sedangkan Hakimi merenungku.


“Banyak shopping?” Akhirnya dia bersuara. Suaranya kedengaran berbeza. Ada rentak yang lain di situ.


“Bolehlah..beli sikit-sikit barang. Tambah-tambah apa yang kurang.”


“Iyelah kan, majlis tu pun tak lama lagi.” Ayat Hakimi mematikan kata-kataku.


Aku tunduk, mengetap bibir. Suasana sejenak menjadi sunyi.


“Sorry sebab malam tu.”


Mataku tiba-tiba berkaca.


“Benda dah lepas. Lisa pun nak mintak maaf.”


Hakimi tersenyum nipis. Namun lesung pipitnya tetap terserlah.


“Lisa happy?”


Aku terdongak.


“Dengan apa yang jadi sekarang ni? Dengan Am?” Selamba dia menyambung tanya.


Bagaimana hendak kujawab soalan itu, wahai Hakimi? Kau telah menyimpan segenap hatiku dan aku pula sedang mempertaruhkan jasadku untuk orang yang tidak pasti lagi aku masih cintai. Gembirakah aku?


“InsyaAllah...” perlahan aku membalas.


Untuk apa aku memaklumkan rasa sebenar jiwaku seandainya dia sudah tidak lagi peduli.


“Alhamdulillah. Akim doakan Lisa bahagia dengan Am.” Ayat itu mencekik perasaanku namun aku selindung juga dengan secebis senyuman.


“Thanks. Nanti jangan lupa datang ye.”


Antara ikhlas dengan tidak, aku menjemputnya meskipun aku tahu, jemputan itu sudah tiba daripada pihak abah dan mama sejak seawal majlis merisik dulu lagi.


“Tak dapat rasanya, tapi bonda insya Allah datang.”


“Kenapa?”


Dalam pada aku tidak mahu dia ada di majlis itu nanti, aku tetap mahu tahu alasannya untuk tidak hadir. Ada semacam perasan kosong padahal aku sedia maklum majlis tetap akan berlangsung sama ada Hakimi ada atau tidak.


“Minggu depan Akim nak ke Sudan. Mungkin lama kat sana. Ayahanda tak berapa sihat. Bonda pun pergi sekali, tapi lepas majlis Lisa nanti.”


Saat itufikiranku jadi semakin kosong.


“Kenapa tak tunggu pergi sekali dengan bonda? Bukan lama lagi pun.” Di luar kawalan, mulutku menyoal dan aku tahu, nadanya sedikit tinggi.


“Ayahanda tak sihat, Lisa. Akim memang kena pergi.” suara Hakimi bagai tertahan-tahan.


Aku kembali mengetap bibir. Dia menipu! Mungkin benar ayahandanya tidak sihat namun aku tahu yang itu bukan alasan yang kuat. Ada sebab lain. Mungkinkah?


Tidak sempat aku melanjutkan pertanyaan, Hakimi mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket jeans – seakan membaca sesuatu dan mengeluh.


“Akim tak boleh lama ni.”


“Fine...go then!” Balasku, berpeluk tubuh.


Pandangan kukalih ke luar restoran. Tidak tahu mengapa, hatiku merasa sangat-sangat sakit ketika ini. Rasa marah terhadap Am yang masih bersisa membuatkan emosiku mudah sahaja terusik. Aku tahu Hakimi cuba melarikan diri. Dia akan meninggalkan aku terkontang-kanting menelan semuanya di sini, bersendirian.


“Lisa -”


“Just go...” aku tekankan suaraku seakan aku sudah tidak lagi kisah.


Hakimi bangun dari kerusinya, teragak-agak. Aku tetap dalam posisi yang sama. Dia berhenti dan berdiri di sisiku.


“Akim mintak maaf Lisa. Mungkin ni kali terakhir kita jumpa. Akim doakan yang terbaik untuk Lisa.” Aku pura-pura tidak mendengar.


Melihatkan aku terus seperti tidak acuh, Hakimi memberi salam dan terus berlalu keluar. Memandang susuk tubuhnya dari belakang dan semakin menghilang, membuatkan aku jadi sedih.


Kini aku memang tidak akan dapat menggengam hatinya lagi.



Previous: Bab 68
Next: Bab 70

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.