Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 26

...1999...

 

Hakimi bergegas ke pintu masuk utama hospital sebaik sahaja berjaya memakirkan kereta. Hari Sabtu begini, biasanya tempat letak kereta selalu penuh lebih-lebih lagi apabila tiba waktu lawatan di sebelah petang. Singgah di salah sebuah kedai barangan runcit di tingkat bawah, Hakimi sempat membeli coklat buat Lisa.


Masuk ke bilik yang hanya menempatkan sebuah katil, Hakimi lihat Lisa sedang termenung, memandang jauh ke luar tingkap dalam keadaan separuh baring. Walaupun masih pucat, namun keayuan wajah gadis bertudung itu tetap terserlah.


“Lisa, menung apa tu?” Lisa tersentak. Cepat-cepat diamenyeka air yang bertakung di pelupuk mata. Hakimi terus disapa perasaan kurang senang melihatkan keadaan tersebut. “Kenapa nangis ni?”


“Tadi doktor datang...” luah Lisa dengan suara sedikit serak.


“Apa kata doktor?”


Tanpa menjawab soalan Hakimi, Lisa kembali membuang pandang ke luar dan ini membuatkan hati Hakimi semakin dihambat rasa tidak selesa.


“Apa doktor kata, Lisa?” Desak Hakimi, kurang gemar untuk terus diasak perasaan ingin tahu.


“Doktor kata... Lisa...”


Lisa tunduk. Hidungnya mula sebu.


“Doktor kata Lisa dah tak lama...”


Hakimi rasa bagaikan disambar petir. Kata-kata Lisa menusuk tepat ke hatinya, membuatkan dia terduduk ke atas kerusi. Coklat di tangannya jatuh ke lantai.


Ya, Allah! Bermimpikah dia? Teruk sangatkah penyakit Lisa? Rasanya dia diberitahu oleh doktor ketika hari Lisa dimasukkan ke hospital bahawa Lisa hanya mengalami demam panas dan berada di dalam keadaan stabil. Tubuh Hakimi menjadi betul-betul lemah. Peluh mula merenik di dahi. Lisa akan meninggalkan dia. Lisa akan pergi dan tidak akan kembali lagi. Bagaimana dia hendak meneruskan hari-hari tanpa seorang manusia bernama Izara Marleesa?


Dalam keadaan nafasnya mula terasa seperti tersekat-sekat, Hakimi terdengar bunyi tawa besar pecah. Hakimi kembali ke realiti, merenung Lisa yang sungguh-sungguh ketawa di atas katil.


“Apa ni, Lisa?” Lisa masih lagi tergelak, bunyinya mencekik perasaan Hakimi.


“Amboi..sayang betul Akim kat Lisa, ya? Memanglah tadi doktor datang. Dia cakap yang Lisa dah tak lama...tak lama lagi boleh keluar sebab Lisa discharge esok!” Dan gelak lagi.


Buat pertama kali dalam hidup Hakimi, dia betul-betul terasa dengan sikap Lisa. Sambil mengenggam penumbuk, Hakimi bingkas, keluar dari bilik tersebut meninggalkan Lisa yang masih melayan sisa tawa.


Ketika melalui pintu, sebiji tumbukan padu dilepaskan disitu, membuatkan tawa Lisa mati serta-merta. Hakimi sudah tidak kisah tentang segala-galanya malah suara Lisa melaung memanggil namanya juga diabaikan.Sekarang dia betul-betul perlu masa untuk meredakan hatinya sendiri.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.