Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 4

...1998...

 

Hakimi tiba ketika bondanya baru selesai menikmati makan tengah hari. Sengaja dia pulang ke rumah dan tidak ke asrama selepas menghantar Lisa tengah hari tadi. Setelah menyalami bonda, dia berlalu ke taman mini. Ketika itu jam baru menginjak ke angka dua lebih sedikit. Masih ada lebih kurang enam jam sebelum dia bersiap untuk ke kelas malam.


Dia memanjat ke atas buaian. Snow cap dicabut dari kepala, diletakkan ke atas riba. Rambutnya yang panjang separas bahu, yang sering menjadi perhatian pakcik-pakcik dan makcik-makcik jaga di universiti ditarik kejap-kejap ke belakang dan diikat kemas.

           

Hakimi tidak tahu mengapa,sejak-akhir-akhir ini, lagu ‘Gadisku’ nyanyian Amy Search kerap memenuhi ruang kepalanya sekaligus menjadikan moodnya bertukar agak perlahan. Mungkinkah kerana dia? Dia yang sudah bertahun menyimpan hatinya.


Entahlah! 

 

... 1993 ...

 

Pagi itu pagi Isnin, pagi yang tidak bersemangat lebih-lebih lagi setelah bercuti selama seminggu. Perhimpunan pada pagi Isnin selalunya memakan masa yang agak lama, lebih lama dari hari-hari biasa.

          

Pagi itu juga ramai pula guru yang berminat untuk membuat pengumuman. Guru Kelab Bahasa Inggeris membawa ke Bola Jaring beralih ke Kelab Drama kemudiannya melompat ke Kelab Persatuan Bulan Sabit Merah. Dewan yang pada mulanya senyap mula hingar dengan keluhan para pelajar yang sudah penat berdiri.

            

Hakimi dan beberapa orang lagi pengawas sekolah berlegar ke kiri-kanan-depan-belakang dewan untuk mengawasi keadaan. Ketika melalui barisan pelajar perempuan tingkatan tiga di bawah pengawasannya, tiba-tiba Hakimi terasa tangannya dipeluk. Dia terkejut dan berpaling.

           

 “Saya nak pitam - ” dan gadis berambut pendek separas bahu itu jatuh melorot ke kakinya, nyaris tersembam ke lantai sekiranya dia tidak sempat merangkul. Suasana dewan kecoh sebentar. Beberapa orang ahli PBSM segera datang membantu.


Dengan susah payah, Hakimi membantu mengendong pelajar tersebut ke belakang pentas di depan dewan. Tubuh gadis tersebut sejuk bak air batu. Wajahnya pucat, ditoreh tidak berdarah. Hakimi tidak berganjak dari belakang dewan sehinggalah gadis itu mula sedar. Lega sungguh hatinya apabila gadis itu perlahan-lahan membuka mata.

            

“Lisa, awak tak apa-apa?” Puan Murbiah, guru penasihat PBSM bertanya sambil merasa dahi pelajar tersebut.


Oh, namanya Lisa. Dalam diam otak Hakimi menangkap dan mengingat. Kalau tidak silap, pelajar ini agak pendiam di dalam kelas. Hakimi jarang mengingat nama pelajar kecuali mereka yang bermasalah.


“Awak sakit ke?”


Angguk.


“Sakit apa? Kat mana yang sakit?”


Puan Murbiah merapatkan telinganya ke mulut pelajar tersebut dan kemudiannya tersenyum.


“Nanti saya bagi awak ubat tahan sakit lepas tu awak rehat kat sick bay, ya?” Pelajar tersebut mengangguk lagi.

            

“Kenapa cikgu?”


Tuan Haji Abdullah, pengetua sekolah tiba-tiba muncul disisi Hakimi. Hakimi menginjak ke tepi, memberi ruang ke pada lelaki bertubuh agak gempal itu mendekati Puan Murbiah. Guru wanita itu tersengih.

            

“Takde apa cikgu pengetua, sakit biasa, sakit orang perempuan!”


Hakimi tergelak di luar kawalan.

            

“Hah, Hakimi, perhimpunan dah tamat, apasal awak tercegat lagi di sini? Awak tak nak masuk kelas ke?”


Gelak Hakimi mati disergah kelantangan suara Tuan Haji Abdullah, kemudian dia terburu-buru meminta diri meninggalkan Tuan Haji Abdullah dan Puan Murbiah yang mula rancak berbual.


Dalam pada itu sempat dia melontar pandang ke arah Lisa dan entah apa tuahnya, pada masa yang sama pelajar tersebut membuka mata, memandang dan melemparkan sedikit senyuman ke arahnya dan Hakimi yakin, itulah kali pertama setelah hampir 17 tahun dia menghuni bumi Tuhan ini, dia disapa cinta pandang pertama!

           

Pagi Sabtu dia terpaksa ke sekolah untuk menyediakan senarai tugasan pengawas bagi bulan hadapan. Sedang dia leka menyusun nama diatas pentas dewan besar sekolah, dia terdengar namanya disapa, halus danlembut.

            

“Sorry, Lisa kacau abang Hakimi ke?”

            

“Taklah..eh, duduklah.” Lisa melangkah menghampiri Hakimi, kemudian bersimpuh bertentangan dengannya.

           

“Thanks ye sebab tolong Lisa hari tu. Susahkan abang Hakimi je, Lisa ni kan?”


Sikap ramah Lisa membuatkan Hakimi merasa senang bersama gadis yang ketika itu hanya memakai t-shirt sekolah berlengan panjang dan berseluar trek hitam. Rambutnya yang separas bahu itu pula diikat separuh dengan klip kosong juga bewarna hitam.

            

“Takpe..takde hal’lah. Lagipun...awak -”

           

 “Lisa...panggil aje Lisa.” Seperti memahami Lisa segera menyampuk.

            

“Lagipun Lisa dah sauk tangan Akim, takkan Akim nak sentap balik?”


Lisa tertawa kecil. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu bagaimana dia boleh merangkul tangan Hakimi di luar kesedarannya.


“Ada apa datang sekolah hari Sabtu macam ni?”

            

“Baru habis kelas tambahan. Tengah tunggu mama datang, lalu kat sini nampak abang Hakimi. Sibuk ke? Tengah buat apa ni?”

            

“Buat duty roster untuk bulan depan. Aaa...Lisa, mintak tolong sikit boleh, tak?”

            

“Mintak tolong? Nak buat apa? Gunting kertas? Gam benda ni? Boleh, tapi sampai pukul 1 aje sebab mama datang-” ayat gadis 15 tahun itu terhenti apabila melihat Hakimi mula tergelak besar.“Kenapa? Lisa salah cakap ke?”

            

“Tak-tak...Akim bukan nak minta tolong buat benda alah ni. Ni kerja semua kerja Akim, Akim boleh siapkan.”

            

“Habis tu, apa dia? Minta tolong apa?”

          

“Tolong jangan ber’abang Hakimi’ dengan Akim...panggil Akim cukup.”

            

“Tapi abang Hakimi senior Lisa...takkan nak panggil nama je?” Lurus dia bertanya.

            

“Ok, kalau macam tu, kita jangan jadi senior-junior...kita jadi kawan, nak tak?”

Spontan dan lancar ayat tersebut keluar daripada mulut Hakimi, tidak dirancang-rancang. Gadis di hadapannya, tertunduk sebentar,teragak-agak dan seakan berfikir.


“Tapi, kalau Lisa tak mahu pun tak apa.”


Cepat-cepat Hakimi mencelah, tidak mahu Lisa terus kelihatan serba-salah.

            

“Okay, Akim!”


Bulat mata Hakimi. Terkejut dengan jawapan Lisa. Dan Lisa ketawa, menampakkan lesung pipit di sebelah kiri pipinya, lesung pipit yang sejak dari hari itu sering muncul di dalam mimpi-mimpi Hakimi sehinggalah ke hari ini.

 

...1998...

 

“Hei! Budak ni, entah ke mana terbangnya, bonda panggil pun tak dengar!”


Hakimi tersentak dari lamunan, cepat-cepat beristighfar. Jauh sungguh menungnya pergi.


“Kenapa ni? Ada problem? Nak share dengan bonda?”


Hakimi mengeluh lemah. Jari-jari bonda dipegang dan dibawa ke mulut, kemudian ke mata.


“Kimi okay, bonda...cuma penat sikit. Banyak assignments.” Bonda mengelus rambut Hakimi penuh dengan naluri keibuan.


Bukan baru sehari dua dia melihat Hakimi. Marah, sayang, geram, tawa, tangis dan resah Hakimi semuanya ada di dalam genggamannya dan kali ini seperti biasa, dia dapat mengagak perkara apa yang menyerabuti fikiran satu-satunya zuriat yang dia milikki di dunia ini.

            

“Pasal Lisa, kan? Kimi...Kimi...”


Hakimi mengeluh lagi. Dia tahu yang dia tidak akan dapat berbohong atau berselindung dengan bonda. Keakraban yang tercipta semenjak dia dilahirkan kerana sering ditinggalkan berdua oleh ayahandanya yang sibuk terbang-balik ke luar negara demi tugas membuatkan wanita separuh usia itu dapat membaca segala-gala di dalam dirinya. Hakimi menjatuhkan kepala ke atas bahu bonda.

            

“Kimi tak tau nak buat macam mana,bonda...Kimi sayang dia tapi Kimi tak dapat hati dia.”

            

“Dari dulu lagi bonda dah suruh kamu terus terang. Bertahun benda ni asyik berulang. Yang bonda pelik, kenapa kamu sanggup lepaskan Lisa kat orang lain. Dua kali pulak tu.”

          

“Bonda, kan bonda jugak yang pernah cakap dulu - cinta tak semestinya memiliki. Lagipun bonda pun tau kan, Kimi takkan bagi harapan kat Lisa, takkan luahkan apa-apa selagi Kimi belum betul-betul bersedia. Kimi tak naklah nanti, janji macam-macam kat dia, tapi tak dapat tunaikan. Kimi tak nak Lisa terluka waktu tu.”


Bonda menggeleng perlahan, kurang setuju dengan pendirian Hakimi.

            

“Biar bonda aje yang bagitau Lisa,ya?”

            

“Jangan, bonda...please...bonda dah janji dulu yang bonda nak simpan rahsia ni.”

            

“Tapi -” ayat bonda tidak tersambung. “Yelah...yelah...bonda ikut yang mana kamu suka. Yang penting kamu gembira.”


Bonda menarik Hakimi ke dalam rangkulan, lama dan erat. Ya, Allah, jauhkanlah anakkku, Tengku Hazqeel Hakimi, satu-satunya permata hatiku, dari sebarang kedukaan, pohonnya dalam diam.

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.