Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 12

...1998...

 

Aku menguap kepenatan. Mata pen lukisan kututup dan kucampak ke atas layout pad. Sejak naik daripada cuti pertengahan semester sebulan yang lepas, kesibukkanku meningkat melampau-lampau. Semalam dan kelmarin, pukul tiga pagi baru lampu bilik dipadam kerana aku, Dania dan Afira sama-sama tersengguk di meja belajar membaca nota.

            

Petang itu aku tinggal sendirian dibilik kerana Afira masih menyiapkan lukisannya di studio manakala Dania ke Cyber Cafe di seksyen 2. Memandang ke arah nota-nota yang berlipatan di tepi buku sketch, aku menjadi semakin penat. Rasanya tidak mampu lagi otakku yang sudah tepu, sendat dan padat ini untuk diasak dengan sebarang pembacaan.


Tiba-tiba fikiranku yang serabut ini terjangkau mengingati Am. Di mana agaknya dia sekarang? Pasti masih sibuk dan akan bertambah sibuk dengan penggambaran filem dan photoshot untuk majalah. Rasanya,kalau tidak silap aku, kali terakhir aku dapat keluar bersamanya adalah pada hari Ahad, hari terakhir cuti pertengahan semester. Itupun tidak sampai tiga jam. Am menjemputku pagi, menghantarku pulang sebelum Zohor dan kemudiannya bergegas bertolak ke Putrajaya menyambung penggambaran.

            

Sebenarnya aku agak tertekan dalam perhubungan ini. Aku rindukan Am yang aku kenali sewaktu aku di semester dua dahulu. Aku tidak dapat menipu diri yang aku memang sayangkan Am dan perhubungan ini kerana setelah Hakimi, Am adalah lelaki kedua yang berjaya membuatkan aku nanar.

 

...1997...

 

Petang Jumaat itu aku duduk memegang lutut di bahu jalan berhampiran dataran kolej, menanti Hakimi datang mejemputku untuk balik kerumah. Seperti selalu, aku tidak pernah perlu untuk menunggu lama kerana Hakimi memang menepati masa. Ketika Iswara Aeroback itu berdecit berhenti betul-betul di depanku, aku ternampak seorang pemuda di kerusi bersebelahan pemandu. Hakimi mengeluarkan sedikit kepalanya dari tingkap kereta.

            

“Lisa, hari ni kawan Akim tumpang sekali. Lisa duduk belakang, ya?”


Tanpa banyak soal, aku masuk ke ke kereta. Pemuda di sebelah Hakimi menoleh ke arahku dan menghadiahkan sebuah senyuman. Hmmm...cute! Hatiku berdetik nakal.


Dari cermin sisi, aku dapat lihat samar-samar wajah pemuda tersebut. Kulitnya cerah, lebih cerah dari Hakimi. Bermata agak sepet. Ada kumis nipis didagunya dan berwajah bersih tanpa sebarang tahi lalat mahupun jerawat.


“ Lisa, ni Am, budak bilik Akim. budak Engineering.”


Aku nampak Am melambaiku dari biasan cermin sisi. Aku membalas dengan senyuman.


“Sorry’lah, ya, Lisa...sebab saya, awak kena duduk belakang.” Suara Am sebutir-sebutir masuk ke telingaku,.


“Tak apa...sekali-sekala duduk belakang best juga. Rasa macam boss sikit.”


Kata-kataku menyebabkan Hakimi dan Am sama-sama tergelak.


“Boleh tahan juga Lisa ni, ya, Hakimi?”


“Dah namanya pun adik aku. Tengoklah abangnya macam mana.”


Senyumku mati. Hatiku seakan ingin menjerit, memberitahu Hakimi yang aku tidak lagi mahu menjadi adiknya. Aku mahu lebih dari itu! Tetapi semuanya itu tidak terluah, hanya berputar-putar di dalam hati. Hilang minat dengan kedua manusia yang semakin rancak berbual di hadapanku, aku membuang pandang ke luar kereta.


Itu pertemuan pertama antara aku dan Am.

 

Pagi itu aku naik ke menara untuk membuat salinan contoh soalan peperiksaan yang dapat kupinjam daripada seorang senior. Nasibku agak malang kerana hanya satu mesin fotostat yang berfungsi. Agak panjang juga barisan pelajar sedang menunggu giliran untuk mengunakannya. Jam sebelas nanti aku ada kelas dan pensyarahnya memang terkenal dengan sikap cerewet sedang sekarang sudah pukul sepuluh setengah.


“Lisa!”


Mataku mengelintar apabila terdengar namaku dilaung.


“Lisa! Sinilah!”


Pada barisan yang panjang, di bahagian yang hadapan sekali, menunggu giliran, aku lihat Am sedang menggamit. Aku cepat-cepat mendapatkannya.


“Nak photocopy ke?”


“A’ah...tapi orang ramai sangat.”


Aku cuba menjual senyum kepada pelajar di belakang Am tetapi yang kudapat semula hanyalah cebikan dan jelingan tajam. Mungkin kurang senang kerana aku memotong barisan. Ah, biarlah. Aku memang betul-betul terdesak.


“Photocopy apa?” Aku hulur beberapa keping kertas yang ada di dalam failku kepadanya. “Nak berapa copy?” Tanyanya sambil menilik kertas-kertas tersebut.


“Dua copy setiap satu.”


“Untuk Hakimi sekali?” Aku angguk.


Tidak sampai beberapa minit kami sudah beriringan keluar dari ruang menara. Berhenti di depan koperasi, aku meminta diri untuk turun ke fakulti.


“Oh, ada kelas ke? Saya ingat nak ajak awak keluar minum.” Nada suara Am kedengaran agak hampa.


“Lain kali ajelah, ya?” Pujukku, cuba menjaga hatinya kerana maklum yang dia sudah menabur budi padaku.


“Malam karang, boleh? Kita minum kat Seksyen 2 saja.”Otakku jadi buntu. Rasa gelisah kerana takut terlambat untuk masuk ke kelas membuatkan fikiranku sukar menimbang. “Macam nilah, kita ajak abang awak tu sekali, macam mana?”


“Okaylah...” akhirnya aku memberikan keputusan. Aku memang betul-betul mahu lepas dari situasi ini.


“So, saya jumpa awak malam nanti, ya?


“Okay, jumpa malam nanti. Bye!” Dengan penyudahan itu,aku bergegas menuruni anak tangga.


Malam itu akhirnya aku hanya keluar minum berdua dengan Am kerana Hakimi terpaksa untuk membantu ‘emak payung’nya – gelaran untuksenior semester akhir – di studio menyiapkan kerja sempena Degree Show yang bakal berlangsung.

 

Bermula dari malam itu, pertemuan antara aku dan Am mula ada kesinambungannya. Dari minum malam, membawa ke makan tengah hari, kemudian keluar ke kompleks PKNS membeli barang dan akhirnya sampai ke KLCC.


Kesibukkan Hakimi membantu seniornya membuatkan hubungan aku dan Am bertambah rapat lebih-lebih lagi dengan sikap Am yang penuh dengan sense of humor dan sentiasa membuat aku senang ketika di sampingnya, sama seperti apa yang aku sering rasa ketika aku bersama Hakimi cuma yang membezakannya adalah aku tidak perlu merasa ‘sakit’ didalam hubungan ini, sehinggalah di satu waktu, persahabatan itu akhirnya kami tukar menjadi lebih serius.


Ketika aku memaklumkan kepada Hakimi tentang perkembangan terbaru hubungan aku dan Am, dia kelihatan gembira. Melihatkan kegembiraannyaitu membuat hatiku terluka. Memang jelaslah yang Hakimi tidak pernah menganggap aku lebih daripada seorang adik dan teman baiknya. Jadi perlahan-lahan aku cuba pupuk perasaan sayang aku terhadap Am yang sememangnya sudah sedikit berputik dan dan belajar untuk melupuskan sebarang bentuk perasaan yang tidak sepatutnya terhadap Hakimi.

 

...1998...

 

Angin kuat yang menerobos masuk melalui celahan tingkap dan menyapa mukaku membawa aku kembali ke realiti. Ah, kenangan itu memang amat sukar untuk kubuangkan dari fikiran. Dan yang membuat aku takut sekarang, perasaan terhadap Hakimi yang duhulu pernah berjaya aku kikis ketika di awal perhubungan serius antara aku dan Am, kini bagaikan muncul semula, seperti buih, berpusar-pusar di dalam diri lebih-lebih lagi dengan kesibukkan dan perubahan sikap Am sejak setahun kebelakangan ini.


Pen kucapai dan kubuka penutupnya. Minat untuk menyiapkan sketches aku seru semula tetapi gagal. Akhirnya aku tersandar, dalam diam terfikir sejenak tentang ungkapan yang pernah diucapkan oleh kak Zara kepadaku; first love is the deepest!
Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.