Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 22

...1999...

 

Sebaik sahaja memutuskan talian, Hakimi tergesa-gesa menukar baju dan seluar. Kunci kereta di atas meja solek dicapai dan berlalu ke bilik kerja bonda untuk meminta izin. Ketika Kembara memasuki laluan lebuhraya, hujan sedang menderu turun disertakan dengan guruh dan angin. Ini menyebabkan Hakimi bertambah risau dan kerisauan Hakimi semakin memuncak apabila deretan kereta yang bertali di depannya mula bergerak tersenggut-senggut. Nampaknya dia sudah terperangkap di dalam kesesakan lalulintas.


Hakimi mencapai telefon dan menekan nombor Lisa tetapi dihubungkan kepada peti pesanan suara. Ya, Allah! Dia menyebak rambut. Janganlah terjadi yang bukan-bukan!


Satu jam lebih kemudiannya baru Hakimi dapat membelok masuk ke jalan pemisah di antara Lebuh Raya Persekutuan dan Shah Alam. Dia memecut, menekan minyak. Di dalam hatinya sungguh-sungguh berdoa agar Lisa tidak akan melakukan perkara-perkara yang di luar jangkauan fikiran. Hujan masih lagi mencurah cuma tidak lagi selebat tadi.


Tiba di hadapan pintu masuk utama Alam Sentral, Hakimi memperlahankan kelajuan kereta. Dari situ, dia dapat melihat sesusuk tubuh yang amat dikenalinya sedang duduk di tengah deru hujan, menyebabkan hasrat Hakimi untuk mencari parkir terbantut. Belas hatinya tidak tertanggung apabila memandang Lisa yang basah-kuyup. Hakimi menarik payung dari bawah kaki kerusi belakang, mengembangkannya dan melangkah mendapatkan Lisa.


“Lisa!”


Gadis tersebut terdongak. Badannya habis lencun.


“Kenapa tak berteduh? Jom, masuk kereta.”


Hakimi memapah Lisa dengan tangan sebelah kanan manakala tangan kirinya pula erat mengawal payung, melindungi Lisa dari terus kebasahan.


Dengan segala susah payah Hakimi membantu Lisa masuk kedalam Kembara. Setelah memastikan Lisa di dalam kedudukan yang selesa, Hakimi berlari pula ke kerusi pemandu. Mujur tiada kereta lain di belakang.


Masuk ke kereta, dia dapat melihat Lisa menggigil kesejukan. Bibirnya agak kebiruan. Baju panas dibuka dan diletakkan di bahagian depan badan Lisa. Gadis itu masih tidak bersuara, memandang telus ke depan, menembusi cermin, melayang entah ke mana.


Sepanjang perjalanan balik, Lisa terus-menerus membungkam, tidak bersuara mahupun menangis. Raut wajahnya kosong tanpa emosi dan ini membuatkan Hakimi gagal mentafsir perasaan Lisa pada ketika itu.


“Lisa...”


Lisa memandang sekilas ke arah Hakimi, cuba untuk tersenyum, tetapi gagal dan kemudiannya memandang semula ke depan. Hati Hakimi semakin risau.


“Kalau nak nangis, nangis. Let it out...tapi jangan diam macam ni. Risau Akim.”


Tiada tindak balas. Lisa masih dalam posisi yang sama, riak yang sama. Akhirnya Hakimi mengalah, tidak tahu bagaimana lagi untuk menenangkan Lisa. Dibiarkan sahaja gadis itu melayan menung di sebelah kerana seperti biasa, Hakimi tahu apabila tiba masa yang bersesuaian untuk Lisa meluahkan segalanya, dirinya tetap akan dicari. 


Hujan sudah reda sewaktu enjin kereta Hakimi dimatikan di depan rumah Lisa. Gadis itu hanya menoleh dan mengangguk sebagai tanda ucapan terima kasih.


“Pergilah masuk...kalau Lisa dah sedia nak cerita apa-apa, telefon Akim, ya?”


“Mmm...” dan pintu kereta dibuka.


Lisa keluar dari perut Kembara dengan gerak yang dipaksa-paksa dan nampak sangat lemahnya. Hakimi hanya merenung dengan perasaan bercampur-baur. Di luar jangkaan Hakimi, sebaik sahaja gadis tersebut melangkah masuk ke kawasan laman rumah, tiba-tiba dia tersepuk jatuh ke atas simen; pengsan!

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.