Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 52

...2000...

 

Sepanjang perjalanan aku tertidur. Sedar-sedar kami sudah melewati Genting Sempah. Aku menguap sambil membetulkan duduk.


“Kita nak pergi mana ni, kak?”


Kak Zara yang sedang memandu hanya menjelingku dari sebalik cermin mata hitam sambil bibirnya mengukir senyum nipis.


“Cari tempat sejuk, buat sejukkan hati yang panas.” Jawabnya.


“Wahhhhh...nak pergi Genting, ye? Syoknya!”


“Dah, jangan nak berangan. Otak tengah serabut ni, pergi tempat macam tu, lagi serabut jadinya.”


Jawapan kak Zara serba-sedikit menghampakan. Gambaran tempat permainan  yang terdapat di puncak bukit itu beransur hilang dari ruang mata.


“Habis tu? Ni nak pergi mana? Kuantan? Taman Negara?” Soalku, penuh dengan nada tidak puashati. Kak Zara tergelak mendengarkan pertanyaanku.


“Bisinglah, mak nenek! Tidur ajelah dulu. Nanti dah sampai akak kejut.”


Tidak sampai satu jam kemudiannya, kami tiba di tempat yang dituju. Di hadapan kami tersergam indah sebuah kawasan dengan bangunan bertemakan Perancis. Sangat menarik dan terasa seperti berada di luar negara!


“Jom, sampai dah.” Kak Zara turun dari kereta dan mengeluarkan beg dari bonet. Aku menurutinya dengan perasaan teruja.


Sebaik sahaja selesai mendaftarkan diri di lobi utama, kami dibawa ke bilik. Kak Zara merebahkan diri ke atas katil. Aku menyelak langsir luas-luas, membiarkan angin dingin Colmar Tropicale yang baru sahaja dirasmikan itu memenuhi setiap ruang yang masih dalam ciri yang sama seperti hotel.


“Cantiknya tempat ni, kak...” luahku dengan rasa kagum.


“Mestilah...harga pun boleh tahan.”


Balas Kak Zara dalam gurau. Aku mengambil tempat di sisinya yang sudahpun duduk di birai katil.


“Rehatlah dulu. Nanti malam lepas Isyak kita keluar dinner. Lepas tu kita jalan-jalan, ok?” Aku anggukkan sahaja cadangan kak Zara.


Walaupun terukir senyum pada wajahnya, tetapi ada bau-bau duka di situ. Pastilah otaknya masih lagi diserabuti masalah yang belum selesai. Namun aku tidak mahu mengungkit apa-apa. Biarlah percutian ini menjadi tempat untuk dia menenangkan diri dan berfikir. Semoga dia akan menemui jawapannya nanti.


Aku ambil kesempatan untuk menghubungi mama ketika kak Zara berada di dalam bilik air untuk membersihkan diri, memaklumkan tentang tempat yang kami inapi. Mama hanya berpesan agar aku selalu mengemaskini keadaan kak Zara kepadanya.


Aku tahu,naluri kerisauannya sebagai seorang ibu melebihi rasa marahnya. Setelah menerima beberapa pesanan yang lain dan berjanji untuk menjaga diri, aku memutuskan talian. Serentak itu juga pintu bilik air dibuka.


“Apa mama kata?”


Selamba sahaja wajah kak Zara ketika menyoal. Dia ketika itu sudah mula menyarung telekung. Aku teragak-agak untuk menjawb.


“Takpe, akak tak marah. Lain kali kalau telefon mama, kata dengan dia, jangan risau.” Dengan kata-kata itu dia mengangkat takbir. Aku tahu dia tidak memerlukan jawapan.

 

Malam itu kami makan di La Cigogne. Kak Zara betul-betul memanjakan aku di sini. Kami memilih beberapa hidangan mewah dan berbual sambil menghabiskan masa. Tetapi tidak sedikit pun kak Zara menyentuh soal abang Syafiq. Kemudiannya kami berjalan-jalan sekeliling kawasan hotel, menikmati keindahan waktu malam yang sangat-sangat berbeza dari Kuala Lumpur. Setelah kepenatan kami pulang ke bilik.


Di depan pintu suite satu bilik kami, begitu kebetulannya sekali, telefon genggam kami dua-dua berbunyi. Kami tergelak. Raut wajah kak Zara berubah apabila dia melihat skrin. Aku tahu panggilan itu daripada siapa. Memberi ruang peribadi kepadanya, aku duduk di ruang tamu sambil menjawab panggilanku.


“Pergi vacation tak ajak pun...” ayat pertama Hakimi setelah dia memberi salam.


Aku tertawa mendengarkan suaranya yang seakan merajuk. Bagaimana agaknya dia? Masihkah tampan seperti selalu? Ah, tiba-tiba aku jadi rindu. Hampir dua minggu kami tidak bertemu kerana dia pulang ke kampung menemani Bonda Engku menguruskan hal pusaka peninggalan nendanya.


“Sorry, last minute punya plan ni. Kak Zara ajak. Mana tau ni?”


Giliran dia pula tertawa.


“Tadi singgah rumah hantar buah. Ingatkan nak buat suprise. Sekali tu, Akim yang kena suprise. Bila balik?”


“Lusa, Insya Allah. Nanti kita keluar jom. Nak makan sushi la...”


“Boleh aje. Tapi yang ajak kena belanja.”


Aku tergelak apabila dia mengambil kesempatan secepat itu untuk mengenakan aku.


Perbualan kami terbantut apabila mendengarkan suara kak Zara marah-marah bercampur tangis. Aku tahu itu isyarat penting untuk aku mematikan talian.


“Akim...sorry ye, Lisa kena letak sekarang.”


“Kenapa?”  Ada gelak-gelak kecil di sebelah sana. Mungkin dia menyangka yang aku bergurau.


“Akim, kak Zara ada problem. Sebab tu kitorang datang sini. Temankan dia nak tenangkan fikiran...” terangku ringkas.


“Oooo..ok-ok. Kalau macam tu, pergilah teman kak Zara dulu. Apa-apa hal, Lisa call Akim ok?”


Seperti biasa, Hakimi yang sangat memahami tidak akan banyak soal. Aku terharu dengan sikap prihatinnya. Kami mengakhiri perbualan dan memutuskan talian. Aku mengetuk pintu bilik yang sudah sunyi. Kak Zara menyuruhku masuk dengan suara yang sebu.


“Akak...”panggilku, teragak-agak.


Dalam gelap bilik tidak berlampu, aku nampak bayangnya sedang duduk di kerusi tepi tingkap, memandang ke luar. Aku melangkah perlahan-lahan menghampiri dan duduk di sebelahnya.


“Dia mintak putus.”


Beritahu kak Zara sambil menyapu hidung. Matanya ketika itu masih memandang ke luar. Ya, Allah, berat aku memandang, pasti berat lagi bahunya yang memikul. Aku hanya mampu mendengar kerana tidak berani memberikan komentar.


“Isteri dia accident. Sekarang kat ICU. Dia rasa bersalah so...dia mintak putus.”


Kak Zara menangis lagi, kali ini semakin berat. Aku mengusap lengannya. Saat ini aku ingin sangat mama berada di sini.


“Kenapa dia buat akak macam ni?” Soalnya dalam airmata yang tidak tertahan-tahan. Aku juga sudah mula menangis. “Agaknya memang selama ni dia suka-suka aje dengan akak. Dia nak test hubungan dia dengan isteri dia.”

 

Aku terus diam, memberikan dia ruang untuk meluahkan segalanya.


“Bodohnya akak sebab percaya.” Dia berpaling kepadaku.“Bodohkan akak?” Tanyanya. Aku menggeleng tetapi tidak tahu jawapan apa yang aku berikan.


Kak Zara masih lagi teresak-esak. Aku biarkan sahaja dia menangis sepuas hatinya. Sekiranya airmata itu boleh jadi penebus rasa, biarlah dia menangis sehingga emosinya menjadi lega.


“Mungkin ni balasan Allah sebab akak lawan cakap mama dengan abah.”


Kak Zara membuat konklusi. Aku, walaupun merasakan yang kata-kata itu ada benarnya, tidak sampai hati untuk mengangguk.


“Pergilah tidur. Lewat dah ni. Dah nak pukul dua dah.”


Akhirnya, selepas hampir lima belas minit kami duduk diam melayan perasaan masing-masing di tepi jendela yang luas terbuka, kak Zara bangun, menyapu baki airmata yang ada di wajahnya. Dia menepuk bahuku dengan sedikit senyuman, kemudiannya mencapai baju tidur dan berlalu ke bilik air.


Aku beralih ke katil, mencapai telefon, berkira-kira untuk menghubungi mama sebelum pintu bilik air tiba-tiba terbuka.


“Jangan call mama. Nanti balik akak bagitau sendiri.” Aku mengangguk sambil kembali meletakkan telefon ke meja sisi.
Previous: Bab 51
Next: Bab 53

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.