Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 38

...1999...

 

Sebaik sahaja bayang Hakimi danPutri hilang, aku tersandar ke kerusi. Ruang pejabat beransur kosong apabila kakitangannya mula keluar untuk makan tengah hari dan sudahnya, tidak sampai sepuluh minit, aku tinggal bersendirian di situ. Kesempatan itu, aku gunakan untuk melepaskan perasaan.


Puas menangis, aku tilik wajah pada cermin bedak padatku. Mataku kelihatan merah dengan kesan airmata penuh dimuka. Aku bingkas mencari bilik air. Setelah membasuh muka dan berbedak ala-kadar, aku merasa sedikit segar biarpun hatiku masih lagi terganggu.

      

Tanpa sedar aku terlatah apabila terlanggar susuk tubuh seseorang di depan pintu masuk tandas.


“Sorry...”ucapku perlahan, tanpa mendongak kerana takut ditangkap dalam keadaan mata yang masih sembab.

            

“Lisa?” Aku mendongak.

            

“Eh, Encik Zak...Zek. Tak keluar lunch ke?”

            

“Nak keluar la ni. Tadi saya siapkan kerja sikit. Awak tak keluar lunch ke?” Soalan Encik Zakuan membuatkan sebak kudatang semula. Perlahan-lahan aku menggeleng. “Awak...aa...menangis ke?”

            

“Tak-tak lah..saya...aa...tertidur tadi.”

            

“Tidur?”


Aku kesan ada mimik kurang percaya pada wajahnya. Tapi apabila melihatkan riak mukaku yang kurang selesa dengan soalan itu, dia segera mengukir senyum.


“Jom, apa kata saya belanja awak lunch hari ni?  Kita celebrate hari pertama awak praktikal kat sini. Nak tak?”

           

Aku ingin membuka mulut untuk mengatakan tidak tetapi bayangan Putri merangkul tangan Hakimi, menyentuh rambutnya, menampar bahunya, mencuit pinggangnya membuatkan aku pantas sahaja bersetuju. Setelah mencapai dompet, kami berlalu keluar, meninggalkan ruang pejabat yang beransur kosong.

           

Pada sangkaanku Encik Zakuan ingin mengajakku makan di sekitar kawasan pejabat. Tetapi apabila kereta yang dipandunya mula masuk ke jalan utama, aku tahu agakkanku terpesong.


Memang tidak terjangka bahawa makan tengah hari pertamaku dengan lelaki yang baru sahaja aku kenali tidak sampai pun setengah hari ini akan berlangsung di restoran makanan Barat di salah sebuah restoran lima bintang yang terkenal.

            

Sambil menjamu selera, Encik Zakuan banyak bertanyakan tentang diriku dan aku sendiri tidak tahu mengapa, lelaki didepanku ini memang pandai membuatkan aku cepat merasa selesa dan mesra.Kemudiannya dia bercerita pula serba-sedikit tentang dirinya. Dari cerita-ceritanya itu, aku maklum bahawa Encik Zakuan ini datangnya dari keluarga yang berada, graduan dari universiti seni lukis di luar negara, berusia 30 tahun dan masih lagi bujang.

            

Perbualan kami masih lagi hangat ketika pelayan restoran datang menghantar pencuci mulut ke meja kami. Encik Zakuan,dapat kuhakimi dari cara perbualannya adalah seorang yang terbuka, serius tentang kerjaya dan juga tidak kedekut ilmu. Ini dapat dilihat dari sepanjang perbualan yang berlangsung, dia tidak putus-putus memberikan tip percuma kepadaku untuk berjaya dalam bidang grafik.

            

Selesai menghabiskan kek coklat yang sememangnya menjadi kegemaranku, aku tersandar kekenyangan.

            

“Lisa nak tambah apa-apa lagi ke? Kalau nak order aje...” aku membuntangkan mata, pura-pura terkejut dengan pelawaannya.

            

“Thanks...tapi rasanya yang makan tadi tu pun dah berlebih-lebih, Encik Zek.”

            

“Lisa,please...dari tadi lagi you panggil saya Encik Zek. Kan saya kata panggil saya Zek aje. Tak payah la berencik-encik. Bunyinya formal sangat.”

 

“Ok.” Zakuan pun tersenyum, sambil tangannya melambai pelayan agar menghantar bil ke meja.


“Ya, Allah, tak sedar sungguh! Dah nak pukul tiga dah...” Jeritan Zakuan ketika kami menunggu jockey membawakan kereta di hadapan hotel turut mempengaruhi diriku.


“Ha’ah...saya pun tak perasan. Alamak, macam mana ni?”


Serentak itu hatiku dipagut rasa risau dan bersalah. Apa agaknya nanti kata orang di pejabat? Baru hari pertama sudah berani balik lambat dari makan tengah hari. Aduhhh...


“Hmm..takpelah.” Mungkin melihatkan aku mula tidak tentu arah, Zakuan mencelah lembut. “Nanti kalau apa-apa hal, biar saya yang jawab. Lagipun, Puan Alia takde hari ni. You jangan risau, ok?” Masih dalam emosi yang sama, aku paksa diri untuk berpegang kepada semua kata-katanya.

 

Aku tiba semuladi pejabat ketika jam di dinding pintu utama hampir mencecah tiga setengah. Zakuan menyuruh aku agar naik terlebih dahulu sementara dia memakirkan kereta. Melepasi kaunter menyambut tetamu langkahku terhenti apabila Aisya memanggil namaku. Alamak, matilah, mesti aku akan dimarahi!


“Cik Lisa, tadi kawan you yang lelaki tu cari. Dia ada kat dalam bilik photostate.”


Dahiku terkerut. Hakimi mencariku? Untuk apa? Bukankah dia sekarang sudah ada Putri? Namun begitu, aku tetap juga mengucapkan terima kasih dan melangkah lambat-lambat ke arah bilik yang dimaksudkan.


“Where have you been?”


Terkejut aku mendengarkan jerkahan Hakimi sebaik sahaja aku menjengukkan muka di ambang pintu.


“Lisa pergi mana? Kenapa suka buat Akim risau? Kenapa tak angkat phone bila Akim call?”


Mukaku merona kemerahan. Mana tidaknya, suara Hakimi hampir memenuhi ruang depan pejabat sehingga mengundang beberapa pasang mata memandang. Tidak kurang juga ada yang mula menjenguk dari celah petisyen. Hari pertama pratikal, hero dan heroin sudah buat drama.


“Apa ni, Akim?” Luahku antara dengar dengan tidak.


“Kimi...sabarlah, janganlah macam ni. Kan dia dah balik. Tanya la baik-baik...masuk Lisa.”


Aku ikut sahaja arahan Putri sambil mata tidak lepas memandang tangannya yang melingkar dicelah lengan Hakimi dengan perasaan yang amat sukar kutafsir.


“Kenapa tak beritahu yang Lisa nak keluar?” Hakimi bertanya dalam intonasi yang sama. Putri pula masih bergayut pada tangannya, seakan cuba menenangkan emosi Hakimi.


“Lisa keluar makan aje...” balasku, masih juga antara dengar dengan tidak. Ketika itu mataku sudah mula berkaca. Kecil sungguh hatiku kerana ditengking sebegitu lebih-lebih lagi di hadapan khalayak ramai dan juga Putri.


“Hey, apa kecoh-kecoh ni?” Suara Zakuan muncul dari belakangku. “Lisa, kenapa ni?”


“Lain kali kalau nak keluar, bagi tahulah! Tinggalkan message ke? Ini tidak, lesap macam tu aje...suka sangat buat orang risau! Call pun tak nak angkat...”


Tanpamenghiraukan soalan Zakuan, Hakimi terus membuakkan perasaannya tanpa memikirkan tentang perasaanku.


“Kimi...cool’lah. Kan Lisa dah balik.”


“Oppss! Sorry...sebenarnya I yang ajak Lisa keluar makan. Lepas tu kitorang sangkut dalam jam...tau aje la K.L ni kan?”


Gelak di hujung penerangan Zakuan tidak bersambut baik oleh aku mahu pun Hakimi. Putri pula menghantar pandangan ‘shut-up’ kepada Zakuan membuatkan lelaki tersebut terus terdiam.


“Patutlah!” Kemudiannya Hakimi berpaling, menghentak rak kertas berhampiran, membuatkan aku, Putri dan Zakuan sama-sama terkejut. “Seronok sangat makan sampai tak boleh nak jawab phone?”


“Hey-” tidak sempat Zakuan menyambung kata, aku mengangkat tangan, isyarat agar dia tidak meneruskan.


“Thanks Zek. Lisa boleh uruskan sendiri. And thanks also for the lunch.” Zakuan menghela nafas berat apabila mendengarkan kata-kataku tetapi mujurlah dia tidak berkeras dan terus sahaja berlalu pergi. Tinggalah aku, Hakimi dan Putri di situ.


“You’re toomuch, Lisa. Lisa buat Akim risau macam nak mati kat sini, sedangkan Lisa sedap-sedap makan dengan siapa...’Zek’?...” cara Hakimi menuturkan nama Zakuan membuatkan aku menjadi sebal.


“Zakuan, Akim...nama dia Zakuan. Bukannya orang lain. Dia kerja kat sini jugak...”


“Huh, baru kenal tak sampai setengah hari dah berani ikut keluar makan!”


Ayat Hakimi yang satu itu betul-betul meluruhkan air mataku. Aku terasa sangat murah di matanya. Sambil mengetap bibir, aku menghampiri Hakimi. Ketika itu, Putri sudah mengundur, sedikitpun tidak berani bersuara.


“Dah habis dah? Boleh Lisa cakap sekarang? Ok, silap Lisa sebab tak tinggalkan message, tapi Lisa tak berani nak tinggal sorang-sorang dalam ofis ni sebab tu Lisa ikut Zek keluar makan. Lisa bukan tak nak jawab call, tapi Lisa terlupa nak bawak handphone. Tapi walau apa sekalipun, Akim tetap takde hak nak tengking Lisa macam ni especially depan orang ramai. Family Lisa pun tak pernah buat Lisa macam ni....”


Hakimi berpaling menghadapku apabila mendengar intonasi suaraku mula pecah-pecah dan terhenti-henti. Airmata pula merembes laju menuruni pipi.


“Lisa...” Hakimi cuba memegang bahuku tetapi aku mengelak.


“No, Lisa tak habis lagi...” aku putuskan kata-kata Hakimi. “Lisa tak suka Akim buat macam ni. Akim takde hak nak kongkong Lisa sebab Lisa tak pernah kongkong Akim. Akim keluar dengan sesiapa pun, Lisa tak kisah. So, kalau Lisa nak keluar dengan sesiapa pun, Akim takde hak nak ambil tahu...sebab...”


Aku tunduk menelan liur sambil mengawal bahu yang terhinjut-hinjut menahan sedan. Namun begitu aku tetap cuba mengumpul kekuatan untuk menghabiskan ayat yang masih tergantung.


“Sebab...you are nobody to me. Kita hanya kawan, tak lebih dari tu! Ingat tu Akim...” dan dengan kata-kata itu, aku berpusing dan melangkah keluar.


Aku dengar suara Hakimi dan Putri memanggil namaku, tetapi aku sudah tidak kisah. Cerita sudah tamat. Tirai sudah jatuh. Aku terus menuju ke bilik air tanpa menghiraukan mata-mata yang memandang termasuklah sepasang mata milik Zakuan.

Previous: Bab 37
Next: Bab 39

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.