Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 73

...2002...

 

Lagi empat hari. Empat hari dan statusku akan berubah. Aku akan memasuki fasa baru dalam kehidupanku. Tetapi hatiku masih berbolak-balik. Tiada langsung rasa yakin terhadap perhubungan yang bakal terjalin ini.


Peristiwa pertemuan aku dan kak Hana sehingga kini masih aku rahsiakan. Aku tidak nampak cara yang baik untuk aku memanjangkan perkara tersebut kepada mama dan abah yang kelihatan teruja dengan majlis yang bakal berlangsung. Dengan Putri pun tidak aku ceritakan lebih-lebih lagi setelah mengetahui yang dia sudah berbadan dua. Tidak adil rasanya untuk aku meletak beban ke atas dirinya.


Malam itu, selesai makan, aku lihat mama dan abah sedang duduk-duduk santai di ruang tamu. Aku mengambil peluang tersebut untuk berbincang.


Sebaik sahaja aku bersimpuh di sisi mereka, mama serentak itu juga mula bercerita tentang perancangan Auntie Arifah yang ingin menyingkatkan tempoh pertunangan aku dan Am. Melihatkan kegembiraan yang terpancar di muka mama, aku pendamkan sahaja niatku.


Mungkin apa yang berlaku ini sekadar dugaan bagiku dalam menuju gerbang bahagia. Mungkin kak Hana cemburu dengan kebahagiaan kami dan fikiranku terus mencipta berbagai lagi kemungkinan untuk menenangkan hati sendiri. Tetapi, kenapa hatiku masih kacau-bilau?


“Lisa? Dengar tak ni?” Aku terpingga-pingga mendengarkan soalan abah. Nampak sangat hanya jasadku berada di situ sedangkan fikiranku melayang ke tempat lain.


“Kenapa ni Lisa?” Lembut mama bertanya. Bahuku dielusnya perlahan.


Aku jungkit bahu. Peluang untuk berterus-terang kini sudah terbuka namun mulutku kelu untuk berkata.


“Insya Allah...semua akan ok. Lisa jangan risau.” Janji abah aku simpan dengan doa semoga ianya dimakbulkan.


Salam di luar rumah menamatkan sesi perbualan ringkas kami. Aku cepat-cepat bangun ke pintu. Bonda Engku berdiri di situ dengan beg baju. Aku tahu, dia akan bermalam di sini sehingga selesai majlis. Sepantas itu memeluk tubuhnya. Bonda Engku membalas pelukanku, lama.


“Kimi kirim salam. Dia dah ada kat Sudan. Dia doakan...” ada dehem kecil di situ. “Dia doakan Lisa bahagia.”


Aku diasak satu emosi apabila mendengarkan kata-kata Bonda Engku. Tiba-tiba rasa kehilangan itu muncul. Aku ketap bibir kuat-kuat. Aku sudah pasang tekad baru - tidak akan ada airmata yang mengalir untuk Hakimi lagi.


“Sampai dah kak? Masuk-masuk...Kelam-kabut rumah kami, kak. Bersepah...tak habis mengemas lagi.”


Suara mama meleraikan pelukan kami. Aku dapat tangkap sekilas Bonda Engku menyapu mata. Namun senyum masih terpamer di wajahnya.


Sambil memegang bahuku, kami beriringan masuk. Cerita Hakimi terus tamat malam itu. Baik mama mahupun abah sedikit pun tidak bertanya. Bonda Engku apatah lagi.


Melihatkan mama, abah dan Bonda Engku mula tenggelam dalam perbincangan persiapan majlis, aku memaksa diri menerima hakikat. Jodohku sememangnya ditakdirkan dengan Am. Dialah yang bakal menemaniku sehingga ke hari tua.


Kiranya tidak ada yang akan membatalkan majlis yang telah dirancang kecuali dengan kuasa Allah SWT. Ya, Allah, bantulah aku. Semoga segalanya dipermudahkan.



Previous: Bab 72
Next: Bab 74

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.