Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 41

…1999…

 

Malam itu,selesai solat Maghrib aku terus bersiap. Mama, walaupun kelihatan seperti agak keberatan, tetap juga memberi pelepasan dengan syarat yang aku harus pulang sebelum pukul sebelas malam. Tergelak aku mendengar syarat mama; seperti Cinderella!

            

Zakuan tiba selepas berita utama lima belas minit bermula di kaca televisyen. Berbeza daripada Hakimi, dia hanya membunyikan hon dan langsung tidak turun dari kereta. Ini sekaligus telah mengundang perasaan kurang senang dalam diriku lebih-lebih lagi apabila melihatkan perubahan pada ekspresi wajah abah yang berdiri di muka pintu.

            

“Kawan kamu dah sampai, Lisa. Pergilah, nanti lambat pula.”


Aku tidak pasti sama ada abah menyindir ataupun ikhlas ketika menuturkan kata-kata tersebut.


Bunyi hon sekali lagi membuatkan aku tidak berkesempatan untuk menafsirkannya. Cepat-cepat aku menyalami tangan mama dan abah.


“Abah harap Lisa dapat bezakan mana yang baik dan buruk.”


Lembut bicara abah ketika aku tunduk mencium tangannya membuatkan hatiku tersentuh. Abah secara tidak langsung memperlihatkan pandangannya terhadap Zakuan.


Aku masuk kedalam kereta disambut dengan haruman Polo Sport yang terbit dari tubuh Zakuan. Lelaki berusia tiga puluh tahun itu tersenyum melihatku.


“Kenapa tak turun dulu tadi?” Soalku sebaik sahaja kereta yang dipandu Zakuan bergerak meninggalkan kawasan perumahanku.


“Kalau turun nanti panjang pulak cerita. Mesti nak kena jumpa mak ayah you dulu. Pukul berapa pulak kita nak keluar.”


Jawapan mudah daripada Zakuan membuatkan aku mula memandangnya dengan pandangan yang lain. Jawapan yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang pemuda yang berpendidikan tinggi dan lulusan universiti luar negara. Jawapan daripada seorang pemuda yang tidak matang. Dalam diam aku mula menghakimi dirinya dengan lebih terperinci.


“Kita nak kemana ni?” Tanyaku apabila kereta Zakuan mula bergabung dengan kereta-kereta lain dalam kesesakan lalu lintas di Jalan Bukit Bintang.


“I nak jumpa kawan sekejap. Sekejap aje. Lepas tu baru kita pergi makan, okay?” Malas untuk membangkang, aku hanya mengangguk.


Ketika kereta Zakuan membelok masuk ke perkarangan letak kereta salah sebuah kelab, aku mula disapa perasaan kurang selesa.


“Nak jumpa kawan tu kat sini ke?” Lambat-lambat aku bertanya. Waktu itu Zakuan sudah pun menanggalkan tali pinggang keledarnya.


“Ya. Sekejap aje. Jom.” Tanpa menunggu apa-apa jawapan daripadaku, Zakuan melangkah turun dari kereta. Mahu tidak mahu aku terpaksa menurut.


Masuk ke dalam kelab, perasaan kurang selesa itu semakin bergumpal hebat. Suasana ketika itu mengingatkan aku kepada malam sewaktu aku menemani Am ke majlis ulangtahun teman duhulu. Tiba-tiba hatiku menjadi sedikit hiba.


“Hey, Kiran!” Laungan Zakuan membuatkan aku kembali kepada situasi. Susap-sasap juga aku cuba mengejar langkah Zakuan yang agak pantas di celahan puluhan manusia.


Aku mengekori Zakuan menghampiri sekumpulan pemuda dan gadis-gadis genit berpakaian agak menjolok mata. Salah seorang daripadanya, mungkin yang bernama ‘Kiran’ itu sedang berdiri menyambut kami.


“Hello Boss. Long time no see!” Kemudiannya lelaki tersebut menjeling kepadaku. “Wahhh…ayam alim pulak ye kali ni?” Aku tidak senang dengan cara lelaki tersebut mengerlingku.


“Whoopps…sorry. Ayam ni ‘Not For Sale’.” Balas Zakuan dalam tawa. “So, mana barang-barang tu?”


“Sabar la Boss. Kan sudah janji ini hari. Mesti ada punya. Tapi dekat tempat biasa la.” Aku memandang ke arah Zakuan. Apa agaknya barang yang dimaksudkan? “Minum dulu la Boss…” Zakuan mengangguk dan mengambil tempat di ats sofa separa bulat tersebut. Dia menginjak, memberikan sedikit ruang untuk aku duduk di sisinya.


“Zek, Lisa tak berapa selesa la. Kata datang sini nak ambil barang aje?” Luahku sejurus selepas Zakuan membuat pesanan minuman.


“Sekejap aje lagi Lisa. Lepas minum ni kita keluar, okay? Lagipun Zek dah lama tak jumpa kawan Zek ni. Please, ya?”


Apa lagi yang harus aku katakan? Hendak berlari keluar seperti mana yang aku lakukan sewaktu peristiwa dengan Am dulu? Kemudiannya apa? Telefon Hakimi dan meminta dia tolong menjemputku? Hakimi…nama itu mendadak timbul di dalam kepalaku. Mungkinkah ini balasan ke atas niat burukku?


Sewaktu pesanan tiba, aku lihat pelayan meletakkan jag beserta gelas berisi air berwarna kuning berbuih di hadapan Zakuan dan Coke untuk aku. Tidak sempat aku bersuara, Zakuan sudah mula meneguk air dari gelas tersebut. Terpana sungguh-sungguh aku melihatnya.


“Minumlah..” arah Zakuan sambil memenuhkan gelas untuk kali kedua.


Dengan dada yang kencang berdebar dan tangan menggeletar hebat, aku mencapai gelas. Menyorongnya perlahan ke mulut dan menyedut tanpa sedar. Ya, Allah! Benarkah apa yang aku lihat? Kenapa aku langsung tidak mampu menegur? Kenapa aku tidak marah? Kenapa tiba-tiba aku menjadi teramat takut?


Masuk beberapa gelas, Zakuan di sebelahku sudah mula merapu. Buah butir percakapannya tidak lagi seimbang mula-akhir. Kiran dan beberapa lagi lelaki yang tadinya bersama kami sudah menghilang, pergi mengambil ‘barang’.


“Zek, sudahlah…Lisa nak balik.” Aku cuba menarik gelas dari tangan Zakuan tetapi pemuda tersebut merentapnya semula.


“Shhhhh…shhhh…jangan-jangan…satu lagi. Satu lagi cukup.” Zakuan meletakkan telunjuknya ke mulut. Aku menelan liur. Takut melihat perubahan dirinya.


Di hadapanku sekarang bukan lagi Zakuan yang aku kenali beberapa minggu yang lepas. Bukan lagi Zakuan yang bertangungjawab. Malam ini juga aku rasakan semua rasa hormatku terhadap manusia bernama Zakuan ini hilang tanpa sedikitpun bersisa. Di hadapanku sekarang adalah seorang Zakuan yang mabuk, yang sudah hilang  harga dirinya dalam pandangan mataku dan aku rasa aku tidak perlu masa lagi untuk menghakiminya. Semuanya telah cukup jelas.


“Shhhh…shhh…muzik! Muzik…come Lisa, jom menari, jom…” tidak sempat aku menahan, Zakuan sudah terhoyong-hayang ke lantai dansa. Bergenang air mataku melihat dia meliang-liuk ke hilir-mudik, cuba membawa diri menari mengikut rentak muzik yang rancak.


“Zek…kita balik jom…” aku tarik lengannya perlahan, cuba membawa keluar dari kelompok manusia yang sedang asyik-masyhuk berdansa.


Tetapi yang kemudiannya berlaku adalah aku yang terseret masuk ke dalamnya apabila pinggangku dirangkul kuat oleh Zakuan. Aku meronta cuba melepaskan diri tetapi Zakuan yang sudah hilang pertimbangan akal warasnya itu semakin kuat merangkul. Mulutnya dirapatkan ke mukaku membuatkan aku ingin termuntah. Bau yang terbit dari rongganya membuatkan aku betul-betul merasa mual.


“Please Zek…please, jangan buat Lisa macam ni.” Rayuku dengan air mata sudah penuh dimuka.


Tanganku menolak dadanya namun apalah yang ada sangat pada kudrat seorang perempuan. Tangan Zakuan semakin kuat melingkar di pinggangku.


“Come on, Lisa…menari…menari…shhhhhhhh…shhhhh...” aku jadi semakin rimas apabila Zakuan cuba mencari peluang untuk mencium wajahku. Sedaya yang boleh aku cuba mengelak.


“Zek...jangan buat Lisa macam ni…please…” Aku tahu merayu pada orang seperti Zakuan ketika ini adalah ibarat mencurah air ke daun keladi tetapi apa lagi yang boleh aku lakukan?


“Lisa!”


Aku dengar satu suara menyergah dari belakang tetapi aku tidak mampu untuk menoleh.


“Lisa!”


Rangkulan Zakuan terlerai direntap satu tangan. Tubuhku serasa ditarik. Aku mendongak.Ya, Allah! Bermimpikah aku? Di sisiku sekarang Hakimi sedang berdiri, merenung ke arah Zakuan dengan raut wajah yang penuh rasa marah dan benci.

            

“Hey, apa ni? She’s with me okay? Kalau nak betina…carilah lain. Kan banyak lagi? Tu aku punya la!”


Aku tutup muka ke lengan Hakimi. Tidak lagi sanggup melihat karenah Zakuan yang meloyakan.

            

“Jom balik Lisa …”


Hakimi menggengam tanganku, sekaligus membuatkan aku merasa sangat-sangat selamat. Aku tidak tahu bagaimana dia boleh tahu yang aku ada di situ dan aku tidak mahu tahu.

            

“Woiii…perempuan tu datang dengan aku. So, dia mesti balik dengan aku!” Aku dengar suara Zakuan menjerit.


Langkah Hakimi terhenti. Masih mengengam tanganku, dia kembali berpaling ke arah Zakuan. Aku amat pasti yang ketika itu, Zakuan tidak dapat mengenali Hakimi, dan mungkin juga dia tidak lagi mengenaliku.


“Aku tahu dia datang dengan kau. Tapi, dalam keadaan kau macam ni, aku rasa dia takkan nak ambil risiko balik dengan kau. Silap haribulan, dia boleh mati accident sebab kau.”


Tersentuh aku mendengarkan keprihatinan Hakimi yang lahir lewat dari tutur katanya.


“Lagi satu,kalau kau nak mati malam ni, kau mati sorang-sorang. Tak payah nak seret orang lain sekali.”

            

“Siallll!!!”


Zakuan tiba-tiba menerpa. Cuba menumbuk Hakimi, namun Hakimi sempat menolakku ke tepi dan mengelak. Nampaknya Zakuan benar-benar tercabar dengan kata-kata Hakimi.

            

Zakuan terus-terusan menyerang Hakimi, namun semua percubaannya tersasar. Dia lebih banyak tersungkur, kehilangan imbangan kerana mabuk yang menguasai.


Akhirnya, pada satu peluang, Hakimi dapat merentap kolar bajunya. Sebuah tumbukan padu dilepaskan ke perut sehingga menyebabkan Zakuan terduduk ke lantai, meringkuk kesakitan. Puas hatiku melihatkan dia dalam keadaan begitu, seakan terbalas semua kelakuannya terhadapku sebentar tadi.

            

“Jom Lisa…” kami melangkah beiringan meninggalkan kelab dan Zakuan yang sudah terbaring di atas lantai. Yang kedengaran cumalah erangan lemah dari mulutnya.

           

Di dalam kereta, aku tidak tahu apa yang harus aku katakan. Hakimi pula sejak keluar dari kelab tersebut, langsung tidak bersuara walaupun sepatah. Kesenyapannya itu membuatkan aku dihurung perasaan bersalah yang amat sangat.

            

“Akim…”

            

“Jangan buat macam ni lagi!”


Jerkahan Hakimi membuatkan ayatku termati. Aku tidak berani untuk mengangkat muka memandang wajahnya.


“Tau tak yang Akim risau? Kenapa tak pernah fikir sebelum buat keputusan? Kalau Akim tak datang tadi macam mana?” Bertalu-talu dia menyoalku.

            

“Sorry…” itu sahaja jawapan yang mampu aku berikan untuk kesemua soalan-soalan Hakimi tadi.

            

Hakimi kembali senyap. Aku biarkan sahaja dia menyejukkan dirinya kerana aku juga perlu masa untuk menenangkan diriku sendiri. Sewaktu Kembara Hakimi melewati lebuh raya, sebuah kereta memintas dan berhenti menghadang kami manakala sebuah lagi kereta hitam berkilat berdecit berhenti di bahagian belakang. Jalan ketika itu lengang. Aku dipagut rasa bimbang.

            

Seorang lelaki turun dari kereta di bahagian hadapan dan menghampiri kami. Hakimi membuka sedikit tingkapnya.

            

“Turun!” Arahnya, kurang ajar.

            

“Kenapa pulak ni?”


Aku dan Hakimi saling bertukar pandang. Aku angkat bahu.

            

“Turun cepat kalau tak nak perkara lebih buruk berlaku!”


Aku dan Hakimi semakin tidak mengerti. Namun begitu, daripada nada lelaki tersebut, kami tahu yang dia tidak main-main. Hakimi menarik pemegang pintu.

            

“Tak payah la Akim…”


Aku tidak tahu mengapa aku menuturkan kebimbangan itu tetapi aku memang benar-benar bimbang.

            

“Jangan risau. Lisa kunci pintu. Jangan turun, faham?”


Aku genggam lengan Hakimi.


“Kunci pintu. Ingat pesan Akim…” dan Hakimi pun keluar dari perut kereta.


Aku terus menekan punat kunci. Dari cermin sisi kanan Kembara, aku nampak lelaki tersebut mengiringi Hakimi ke arah bahagian belakang kereta. Hatiku semakin berdebar.

            

Seorang lelaki turun dari bahagian seat pemandu dan dalam cahaya lampu jalan, aku nampak samar-samar bayang wajahnya – Kiran! Ya, Allah! Apa yang akan dilakukannya?


Kemudiannya dia menarik Hakimi ke bahagian belakang Kembara, agak tersorok. Aku cuba melihat melalui bias cermin depan namun tidak begitu jelas. Ingin turun menjenguk, aku memang tidak berani. Lagipun aku takut akan dimarahi Hakimi. Aku mencapai telefon genggam. Teringat untuk menelefon abang Zafri namun hampa apabila mendapati bateri telefonku sudah mati. Bagaimana sekarang? Ya Allah, janganlah berlaku yang buruk-buruk!

            

Aku memanjangkan leher, cuba lagi menncuri pandang ke arah belakang Kembara. Kosong – senyap – sunyi. Apa yang berlaku? Tidak lama kemudiannya, kedua-dua buah kereta tersebut berdesup pergi. Aku sendiri tidak perasan bila masanya lelaki tadi kembali ke keretanya.


Dengan berlalu perginya dua buah kereta tersebut, hatiku merasa sedikit lega. Aku menunggu Hakimi kembali ke kereta tetapi setelah lima minit berlalu bayangnya masih juga tiada. Aku perlahan-lahan membuka kunci dan melangkah turun.


Tiba-tiba badan kuterasa seram sejuk dan dadaku berdebar laju apabila menangkap bunyi desah nafas dari belakang Kembara. Hakimi! Cepat-cepat aku berlari mendapatkannya.


Di situ aku menemui Hakimi sedang menelungkup seakan bersujud di atas tar. Aku dengar dia mendesah dan mengerang. Ya, Allah! Hakimi kena pukulkah?


“Akim, kenapa ni? Ya, Allah, teruk ke? Bangun Akim…bangun…” aku cuba membantu dia untuk duduk tegak kerana dalam keadaan dia sujud sebegitu aku tidak nampak bahagian-bahagian mana yang telah dipukul.


Dengan susah payah Hakimi mengampu badannya untuk duduk tegak tetapi gagal. Tangan kirinya masih menekap perut. Aku mengagak yang Hakimi pasti telah ditumbuk oleh Kiran di bahagian perut, sama seperti mana Hakimi menumbuk Zakuan di kelab tadi. Akhirnya aku barjaya membawa Hakimi berdiri, itupun setelah berampu tahan pada kereta. Namun begitu dia masih lagi tunduk memegang perutnya.

Ya, Allah...sesungguhnya aku betul-betul buntu ketika ini. Apa yang harus aku lakukan?

Previous: Bab 40
Next: Bab 42

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.