Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 36

...1999...

 

Pejam-celik,pejam-celik, sedar tidak sedar, hari ini aku dan Hakimi akan memulakan latihan praktikal kami bagi melengkapkan kerja kursus. Sekarang jam lagi lima belas minit pukul enam setengah pagi dan aku masih lagi berteleku di hujung katil, merenung ke arah timbunan baju yang berselerakan.


Semalam,sebenarnya aku sudah siap menggosok sepasang suit tiga lapis biru tua yang akan aku kenakan dengan tudung putih berbunga biru halus dan sepasang kasut hitam bertutup penuh. Tetapi entah mengapa pagi ini, aku jadi kurang senang dengan pilihan itu. Maka kerana itulah, aku masih lagi termenung di sini sedangkan Hakimi akan tiba untuk menjemputku dalam pukul tujuh setengah nanti.

Akhirnya, lagi lima minit pukul tujuh, aku menyarungkan sehelai blouse moden diikat riben satin sebelah kiri bewarna krim dengan taburan bunga besar bewarna coklat yang dikenakan dengan tudung coklat lembut kosong dan sehelai slack juga bewarna coklat.

Memandang biasan diri sendiri di hadapan cermin, aku menjadi teramat berpuas hati. Sebelum keluar dari bilik, aku sempat mencapai sepasang kasut bertumit bewarna krim dari kotak kasut di bawah katil.

Hakimi tiba sejurus selepas aku selesai bersarapan. Setelah bersalaman dengan mama dan abah, aku berlari ke kereta. Hakimi sudah di depan pagar. Berdegup sedikit jantungku melihatkan penampilannya yang agak berbeza - berkemeja putih tuck in,slack hitam dan berkasut tutup penuh. Rambutnya yang ikal dan panjang itu pula diikat kejap-kejap ke belakang. Ketika dia berpapasan denganku untuk menyalami abah dan mama, hidungku sempat menangkap haruman segar after shave yang terbit dari dirinya.


“So, dah sedia?”


Itu perbualan pertama Hakimi denganku pada hari itu. Ketika itu, Kembara yang dipandunya sudah mula menghimpit kereta-kereta yang bersusun rapat di jalan besar.


“Oklah...boleh kata macam dah sedia. Tapi nervouse jugak.” Hakimi tergelak sambil memperlahankan radio.


“Don’t worry,ok? Everything will be just fine. Diaorang pun tau yang kita takde experience.Tapi kan, Lisa nampak cantik hari ni...serius ni!” Dan giliran aku pula yang tergelak.


Memang aku akui yang aku jadi malu dengan pujiannya tetapi dalam masa yang sama hatiku menjadi kembang-sekembang-kembangnya. Tidak sia-sialah aku memunggah semua koleksi bajuku yang ada di dalam almari!


Kami tiba di medan letak kereta deretan bangunan perniagaan tiga tingkat itu ketika jam di tangan melewati tujuh minit pukul lapan pagi.


Memandangkan kami diminta untuk mendaftar diri pada pukul lapan lima belas, Hakimi terus sahaja membawa aku ke tingkat paling atas di salah satu pintu pejabat bangunan yang berderetan.


Dari situ kami di bawa ke bilik perbincangan oleh penyambut tetamu yang mengenalkan dirinya sebagai Aisya. Sambil menanti kedatangan Tuan Haji Muiz, aku hanya tunduk merenung karpet sambil bermain-main dengan jari sendiri.


“Rileks la,Lisa.”


Aku memandang Hakimi yang kelihatan amat santai dan tenang dengan hujung mata kemudiannya kembali tunduk.


“Lisa, jangan risau, kan Akim ada. Lagipun Uncle Muiz ni ok. Sporting...dan yang paling penting, dia tak makan orang!” Tersenyum juga akhirnya aku apabila diusik begitu.


Tidak sampai sepuluh minit kemudiannya, seorang lelaki agak berusia tetapi masih kelihatan tegap dan segak, masuk ke bilik tersebut dan mengambil tempat di hadapan kami.Aku dan Hakimi cepat-cepat bingkas dari duduk masing-masing.


“Apa khabar,Kimi? Lama tak jumpa kamu. Dah makin tinggi ni hah! Ke Uncle yang makin rendah?” Sambil menghulur tangan untuk bersalam, Hakimi tergelak mendengarkan usikan lelaki tersebut. Mukadimah perbualan oleh Tuan Haji Muiz itu sekaligus menjadikan aku merasa sedikit selesa.


“Ini mestiLisa, kan?” Aku memberi anggukkan hormat dengan senyum yang tidak lekang dibibir. “Eh, jemput duduk...jemput duduk. Tak payah nak formal-formal sangat.”


Tanpa membuang masa, kami berdua diberikan serba-sedikit keterangan mengenai syarikat tersebut. Aku dan Hakimi mendengar dengan tekun setiap buah butir yang keluar daripada mulut Tuan Haji Muiz, bermula dari sejarah penubuhan syarikat sehinggalah mengenai jumlah pekerja yang terdapat di dalam syarikat tersebut pada hari ini.


“Ok, nampaknya tugas Uncle dah selesai. Esok, kamu berdua boleh jumpa dengan Puan Alia. Dia yang akan jadi penyelia kamu. Dia juga nanti akan terangkan bentuk tugas yang kamu akan buat, ok?”


Kemudiannya dia mengerling jam di tangan.


“Uncle minta maaf. Uncle ada meeting di luar. Kalau ada apa-apa masalah, boleh datang jumpa Uncle. Jadi, masa yang ada ni, kamu boleh la pusing-pusing dan berkenalan dengan staff kita. Ummm...nanti Uncle panggilkan orang untuk bawa kamu.”Setelah bersalaman, dia terus bergegas dan menghilang ke luar.


Kesempatan ditinggalkan berdua-duaan memberi peluang untuk Hakimi mencuit lenganku.


“Hah, kan Akim dah kata...ok aje kan?”


Aku hanya membalas kata-kata Hakimi dengan senyum sumbing.


“Nervouse lagi ke? Takpe...nan -”


“Assalamualaikum...”satu suara halus pecah di belakang kami membuatkan aku dan Hakimi serentak tertoleh.


Di muka pintu yang ternganga, aku lihat seorang gadis berketinggian sederhana sedang berdiri di situ. Dia kelihatan menarik dalam blouse lavendar dan skirt labuh paras buku lali tanah hitam berbunga ungu dipadankan pula dengan tudung polos bewarna hitam. Sepasang but menjadi pelengkap gayanya. Dalam diam aku mengkagumi penampilan manusia di hadapanku ini. Siapa agaknya dia?


“Putt...ttri?” Suara Hakimi yang teragak-agak membuatkan aku terpaling kepadanya. Putri?


“Bodoh!” Dengansenyum yang semakin mekar, gadis itu pula membalas. Hakimi sepantas itu juga bangun dari kerusi dan mendapatkan gadis tersebut. “Jangan kata yang kau dah tak kenal aku!”


“Mana boleh! Aku takkan lupa orang tak betul macam kau sampai bila-bila!”


Gadis ini kenalan Hakimi’kah? Kenapa Hakimi tidak pernah bercerita tentangnya? Andaian demi andaian mula menyesak dalam kepalaku. Dua manusia di hadapanku ini pula sudah mula tenggelam dalam dunia tersendiri.Aku teragak-agak bangun dari kerusi.


“Ehem?” Akhirnya aku terpaksa berpura-pura membetulkan kerongkong. Hakimi tertoleh dan kemudiannya dia menepuk dahi.


“Lupa la pulak!”


Lupa? Baru tidak sampai sepuluh minit tadi dia elok mencuit lenganku dan kini dia boleh mengatakan yang dia ‘terlupa’ tentang kewujudanku di situ. Hebat sungguh penangan gadis ini, membuatkan perasaan ingin tahuku semakin meluap-luap.


“Lisa, ni Putri. Putri, ini Lisa.” Ringkas Hakimi memperkenalkan.


“Lisa...ummm...cantik. Awek kau ya, Kimi?”


Aku memandang Putri menyiku rusuk Hakimi dengan perasaan kurang senang dan di luar jangkaanku Hakimi tergelak sambil memberi tumbukan lembut di bahu Putri, membuatkan hatiku sedikit terjentik.


Dalam diam aku terkesan yang Putri memanggil Hakimi dengan panggilan  ‘Kimi’, nama Hakimi ketika di rumah. Seingatku, Hakimi pernah memberitahuku yang nama ‘Kimi’ ini hanya digunakan oleh kelompok orang yang terdekat dalam hidupnya. Adakah ini bermakna Putri juga tergolong di dalam kelompok ‘terdekat’ itu?


“Bukanlah, ini kawan satu universiti aku. Eh, bila kau balik dari Brunei? Aku ingat kau dah tak nak balik sini lagi.”


“Gila kau! Mana boleh, Kimi. Ini kan tanah air aku. Tempat lahir aku. Lisa ni sama course dengan kau ke?”


“Ha’ah. Satu course tapi lain pengkhususan. Dia graphic, Aku fine art. Kau tak jawab lagi, bila kau balik dari Brunei?”


“Dah lama jugak. Ada dalam enam bulan, kot. Saje je, aku ingat nak kerja dengan babah kat sini. Lagipun mami dah ada family sendiri kat sana. Eh, korang pengkhususan lain-lain, macam mana boleh dapat tempat praktikal yang sama?”


“Alah, dah babah kau offer tempat, aku bagi je la nama. Kenapa kau tak call aku? Sekurang-kurangnya datang la rumah, jumpa bonda. Mesti dia terkejut tengok kau!”


“Memang aku ada ingat nak call tapi aku takde nombor kau. Lagipun awal-awal sampai sini dulu banyak benda aku kena uruskan. Eh, Kimi, teruklah kau! Kesian kat kawan kau ni...jom, aku tunjukkan tempat korang dulu.” Putri mendahului aku,berjalan beriringan dengan Hakimi yang masih tidak berhenti bertanya itu-ini yang buah butirnya tidak jelas di telingaku.


“Ok, ini tempat you, Lisa . Kimi, kau duduk sini, okay tak?”


“Ok aje...Eh, meja kau pulak kat mana?”


“Aku? Meja? He-eh, dah tentu syarikat ni babah aku yang punya, takkan la dia nak bagi aku meja je?”


“Wahhh...berlagaknya! Tunjuk la aku office kau! Aaa...Lisa, Lisa duduk sini sekejap ya? Akim nak borak dengan Putri, lama tak jumpa dia.” Dengan senyum plastik tertera di muka, aku anggukan sahaja kepala. 

Previous: Bab 35
Next: Bab 37

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.