Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 61

...2001...

 

Pagi itu hujan turun. Aku masih bergolek-golek di atas katil sejak selepas solat subuh. Kepenatan mengharungi majlis konvokesyen semalam diiringi majlis makan-makan keluarga sehingga ke lewat malam baru terasa hari ini.


Aku seronok melihatkan bilik tidurku yang tidak ubah seperti kedai bunga kerana dipenuhi jambangan-jambangan besar yang dihadiahkan oleh keluargaku dan Hakimi.


Ah, Hakimi! Aku capai jambangan mawar merah dengan seekor anak patung beruang berjubah konvokesyen di tengah yang aku letak di meja sisiku. Jambangan pemberian Hakimi dan aku tersenyum dibuai rasa sendirian.


Drama sebabak di belakang pokok terimbau di ingatanku. Serentak itu haruman Hakimi seakan terbau di hujung hidung.

            

Niatku untuk terus bersenang-senang pagi itu terbantut dengan suara mama kecoh-kecoh di bawah. Aku tidak dapat tangkap buah butirnya kerana mama lebih banyak marah dari berkata-kata. Aku bingkas menyarung track top dan berlalu ke ruang tamu.


“Kenapa abah?” Aku tanyakan pada abah yang nampaknya lebih tenang. Dia sedang duduk menyisip kopi di meja makan.


“Bibik abang Zamil kamu cabut lari.” Ringkas penerangan abah.


Aku memandangke arah mama yang sudah duduk mengurut dada di atas sofa. Nada suaranya tidak lagi seperti tadi cuma marahnya masih ada.


“Memang dasar tak kenang budi! Punyalah baik si Zamil dengan Syam tu layan dia. Siap belikan handphone, bawak pergi vacation. Boleh dia cabut macam tu aje! Hari kerja pulak tu! Nasib baik tak jadi apa-apa dengan budak dua orang tu...” aku dengar mama menyambung bebelennya. Aku duduk di sisi mama, menggosok belakangnya perlahan-lahan.


“Benda dah jadi. Nak buat macam mana?” Abah sudah beralih ke ruang tamu, mengambil tempat bertentangan.


“Takdelah, kelam-kabut diorang dibuatnya. Dah la si Zamil minggu depan nak kena kursus kat Kota Kinabalu. Sebulan pulak tu. Telefon agent, diorang kata paling cepat pun dapat bibik baru dalam sebulan lebih. Kesian si Syam tu...”


Aku memegang tangan mama, cuba menenangkan dia yang sudah mula mahu menangis. Begitulah mama, jika ada perkara yang berkaitan dengan anak-anak, airmatanya menjadi murah.

.           

“Kalau tak fikirkan si Zahrin tu nak periksa, memang saya nak pergi sana tapi...”

            

“Takpelah ma...” perlahan-lahan akhirnya aku bersuara dan secepat itu mendapat perhatian daripada mama dan abah. “Biar Lisa yang pergi. Sementara belum kerja ni. Setakat jaga budak-budak, masak yang ringkas-ringkas, insya Allah, boleh kot...”


Di luar jangkaan, mama memelukku.


“Ya, Allah...terima kasih, Lisa...terima kasih...betul ni ye?”


Aku angguk, masih dalam pelukan mama. Ada ucapan syukur keluar dari mulutnya berkali-kali. Mama kemudiannya melepaskan pelukan dengan senyuman.


“Mama telefon abang, bagitau. Sabtu ni pergi, boleh? Sebab abang Isnin dah nak ke KK.”


Aku angguk lagi, gembira melihatkan keletah mama.


Tanpa menunggu lama, mama sudah mencapai telefon, menghubungi abang Zamil, memaklumkan tentang kedatanganku.


Aku dan abah saling bertukar pandang dan aku lihat abah merestui tindakanku dengan anggukan kecil.


“Nanti abah bayar gaji, ok?”


Ayat itu membuatkan senyumanku semakin lebar. Alhamdulillah. Rezeki jangan ditolak!

 

 

Masuk hari ini hampir tiga minggu aku di Kuching, menjadi ‘bibik’ sementara kepada Abang Zamil dan Kak Syam. Mujurlah kedua-dua anak mereka sangat mendengar kata dan tidak cerewet memilih makanan. Tugasku juga mudah. Kak Syam sememangnya tidak lepas tangan, pagi-pagi sebelum ke pejabat dia sudah siap memandikan anak-anaknya serta menyediakan sarapan. Aku hanya perlu memasak yang ringkas-ringkas untuk makan tengah hari manakala pada waktu malamnya kami lebih kerap makan di luar.


Sesudah menidurkan Fatin dan Iklil malam itu, aku duduk-duduk bersantai menonton televisyen. Khamis malam terasa bosan lebih-lebih lagi dengan pilihan rancangan yang tidak menarik. Sudahnya aku hanya melompat-lompat siaran. Kak Syam menyertaiku kemudiannya bersama dua mug air panas.


“Nah...” dia menghulurkan sekeping sampul coklat kepadaku. “Happy Birthday!” Ucapnya.


“Wahhhh..thanks! Tapi birthday Lisa esok.”


“Ini sekali dengan gaji...” balasnya sambil mengenyit mata.


Mendengarkan itu, aku jadi teruja. Cepat-cepat aku buka sampul dan aku temui beberapa keping not lima puluh yang agak tebal di dalamnya.


“Banyaknya kak...” aku mengira dengan laju. Jika tidak silap, ada lebih kurang seribu ringgit di situ.


“Kan dah kata...gaji campur hadiah birthday...tak nak ke? Kalau tak nak, bagi balik –“


“Nak-nak...wahhhhh..rezeki jangan ditolak! Tapi, eh, chop...selalunya, kalau dapat gaji awal ni...maknanya nak kena berenti kerja...kan?”


Kak Syamtergelak.


“Abang Zamil nak balik dah...Sabtu ni...” bisiknya, kemudiannya mengangguk apabila melihatakan riak mukaku yang seakan tidak percaya.


Setahu aku,abang Zamil hanya akan pulang pada hari Jumaat depan.


“Kerja dah siap. So dia malas nak stay. Dia sambung buat report kat sini je.”


Aku tersenyum mendengarkan penerangan kak Syam.


“Akak dah beli tiket Lisa Ahad ni.” Beritahunya lagi.


Senyumku pun semakin lebar. Kerinduan yang menggebu terhadap mama, abah serta ahli keluarga yang lain dan juga Hakimi, membuatkan aku seakan ingin terbang ke sana malam ini juga.


Ah, Hakimi, sedang buat apakah dia? Setiap hari pemuda itu pasti tidak lupa untuk menghubungi. Entah berapalah agaknya bil telefonnya bulan ini?


“Esok teman akak kejap, boleh?” Ingatan terhadap Hakimi putus apabila Kak Syam menepuk pehaku.


“Kenapa? Nak amik parcel ke?”


Soalku kembali, sedia maklum tentang kedatangan bungkusan sebulan sekali daripada ahli keluarga Kak Syam yang berada di Kelantan. Barang yang dihantar selalunya bahan-bahan masakan yang sukar didapati di Kuching.


Setelah memberi persetujuan dan menetapkan waktu, kak Syam beransur ke bilik. Aku menyambung tontonan dengan perasaan tidak sabar menanti Ahad.



Previous: Bab 60
Next: Bab 62

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.