Home Novel Cinta Cerita Cinta Dua Manusia
Bab 45

...1999...

 

Masa berlalu bagaikan tidak terasa. Sedar-sedar sudah tiga bulan lebih aku dan Hakimi menjalankan latihan praktikal di syarikat ini. Ini maknanya masih hanya berbaki dalam lebih kurang dua bulan sahaja lagi sebelum aku dan Hakimi kembali ke universiti untuk menghabiskan semester terakhir kami.


Hubungan persahabatan yang terjalin antara aku dan Putri semakin erat sehinggakan Hakimi kadangkala meluahkan rasa tidak puas hatinya kerana kerap merasa tersisih apabila aku dan Putri mula berbual.


Hubungan aku dan Hakimi pula masih seperti dahulu cuma sejak berlakunya peristiwa di rumahnya hari itu, semacam ada sesuatu yang mengikat kami tetapi kami tidak pernah berbincang atau memperkatakan tentangnya lagi. Malah, ungkapan-ungkapan yang terluah ketika di bilik Hakimi tempoh hari pun bagai tiada perlanjutan. Namun begitu aku membiarkan sahaja kerana padaku yang penting aku tahu dan Hakimi juga tahu. Selebihnya daripada itu sudah tidak lagi penting.

           

Petang Khamis,pulang dari makan tengah hari, aku, Hakimi dan Putri dihambat keriuhan kelompok kakitangan yang berkumpul menghadap papan kenyataan. Tidak mahu ketinggalan,Putri menarik tanganku menyertai kumpulan tersebut, meninggalkan Hakimi tergeleng sendiri.

            

“Kenapa ni? Apa cerita best?” Tanya Putri kepada Nurul yang berada di bahagian depan sekali.

            

“Best tak best jugak la...cerita pasal Encik Zakuan...”


Adren menghalakan telunjuknya ke arah sekeping kertas dan serentak itu juga mataku menyorot artikel dari keratan surat khabar yang tertampal di bahagian tengah papan kenyataan tersebut.

 


DADAH – LIMA DITAHAN UNTUK MEMBANTUSIASATAN

Kuala Lumpur – Lima orang lelaki telahditahan bagi membantu siasatan polis dan salah seorang daripadanya dikenalisebagai Zakuan Idris, 30, yang bertugas di salah sebuah syarikat...

 

            

Ayat-ayat seterusnya tidak lagi kubaca. Perlahan-lahan aku menarik diri dan berundur kembali ke tempatku. Hakimi hanya memandang tingkahku dengan dahi yang berkerut.

            

“Kenapa?” soalnya ringkas.


Aku hanya jungkit bahu sebagi jawapan tetapi wajahku yang mendung membuatkan dia bingkas mencari Putri yang masih leka menghadap papan.

            

Sendirian di meja, aku mengampu dagu dengan kedua belah tangan, dalam diam kembali teringat peristiwa di mana malam aku keluar makan dengan Zakuan beberapa bulan yang lepas.

Lima orang ditahan kerana dadah – gambaran Zakuan, Kiran dan tiga orang lagi temannya - satu demi satu imbasannya bersusun dan berputar dalam kepalaku. Ini agaknya ‘barang’ yang dimaksudkan oleh Zakuan. Aku memicit dahi, agak terganggu dengan ingatan-ingatan itu.

            

“Lisa, ok ke?” Satu sentuhan lembut jatuh ke atas bahuku. Aku mendongak dan wajah Hakimi yang sedang tersenyum memenuhi ruang pandangku, sekaligus membuatkan segala kenangan pahit bersama Zakuan terhambat pergi.

            

“Padan muka!”


Tiba-tiba Putri muncul dan menghempas punggungnya ke kerusi kosong di sisiku.


“He deserved it! Jahat sangat...puas hati!”


Aku dan Hakimi berpandangan antara satu sama lain, kemudiannya tertawa melihatkan telatah Putri yang agak emosional.

            

Sesungguhnya berita tersebut sedikit sebanyak membuatkan aku merasa lega walaupun pada mulanya sedikit terganggu. Mungkin ini yang terbaik untuk Zakuan. Aku amat berharap agar selepas ini,seandainya dia tidak disabitkan bersalah, Zakuan akan insaf. Kalaupun dia bersalah, aku harap hukuman yang bakal diterima akan menyedarkannya.

            

Sedang kami masih leka membincangkan tentang kes penahanan Zakuan, telefon bimbitku bergetar minta diangkat.Perkataan ‘Home Sweet Home’ tertera pada skrin. Nombor rumah, eh, pelik! Sepanjang aku berpraktikal di sini, tidak pernah lagi aku menerima panggilan dari rumah pada waktu bekerja melainkan aku sendiri yang membuat panggilan. Setelah memberi salam, telingaku terus disapa suara abang Zafri yang kedengaran agak cemas dan kelam-kabut.

            

“Ma jatuh dalam bilik air...” ayat singkatnya membuatkan aku sedikit terjerit dan ini menyebabkan Hakimi dan Putri yang leka membelek contoh katalog, tertoleh. Aku terkesan riak risau pada muka Hakimi.

            

“Teruk ke? Macam mana boleh jatuh? Abah mana?”


Tertahan-tahanaku bertanya. Waktu itu airmataku sudah bertakung di tubir mata. Pasti abah dan abang Zafri tidak tentu arah di rumah apatah lagi dengan ketiadaan kak Zara yang mengikuti rombongan fesyen ke Melaka manakala Zairy pula sedang mengikuti program sekolah di Gunung Ledang.


Hakimi berkalih lebih dekat denganku manakala Putri pula memegang tanganku.

            

“Jatuh waktu nak ambil air sembahyang tadi. Bengkak juga, tak boleh gerak. Abah dah telefon doktor. Mmmm... Lisa tak boleh balik ke?”


“Umm...balik?” Aku layang sekilas pandang ke arah Putri seakan memohon izin.


“Pergilah...” seperti memahami, Putri membalas sambil menepuk lembut hujung lenganku.


“Ok, lagi setengah jam Lisa sampai...” janjiku kemudiannya mematikan talian.


Sambil mengemas tas tangan, airmataku tidak berhenti mengalir. Begitulah, selagi aku tidak melihat sendiri keadaan mama, selagi itulah kerisauan ini tidak akan pergi. Nasib baiklah petang ini Puan Alia tidak masuk ke pejabat kerana terpaksa menghadiri perjumpaan dengan pelanggan di Cyberjaya.


“Akim hantar Lisa balik, ya? Boleh tak, Putri?”


“Pergilah...tapi...umm...kalau Putri nak ikut sekali boleh tak, Lisa?” Dengan pandangan tidak percaya aku merenung wajah Putri yang terkerut-kerut menantikan jawapan. Perlahan aku ukir senyuman, tanda setuju.

 

Seperti yang aku janjikan, setengah jam kemudiannya, Kembara Hakimi sudah berdecit berhenti di hadapan pagar rumah diikuti dengan kereta merah menyala milik Putri di bahagian belakangnya.


Tanpa menunggu lama, aku melompat turun dan bergegas masuk ke rumah, membiarkan Hakimi dan Putri pandai-pandai sendiri. Lagipun, Hakimi bukannya orang lain di rumah ini.


Abah menyambut aku di muka pintu dengan muka yang tenang.


“Ma ada kat atas. Tengah berehat...” bicara abah aku sambut dengan senyum nipis.


Ketika di tangga menuju ke bilik, aku berpapasan dengan abang Zafri yang ketika itu hendak turun. Di tangannya ada sebiji gelas kosong.


“Ma tengah rehat. Tergeliat sikit je. Doktor dah bagi ubat.”


Hatiku sedikit lega mendengarkan penerangan ringkas tersebut tetapi aku tetap ingin melihat keadaan mama dengan mataku sendiri.


Di bilik, aku lihat mama bersandar di kepala katil. Kaki sebelah kanannya berbalut dengan bandage sehingga ke paras betis. Melihatkan aku menjenguk dari celah daun pintu yang separuh terkuak, mama menjatuhkan buku yang sedang dibacanya dan menggamitku. Aku cepat-cepat menghampiri mama dan duduk di sisi katilnya.


“Macam mana boleh jatuh ni, ma?” Tanyaku sambil mengusap kakinya. Mama cuma tersenyum.


“Tak kerja ke? Baru pukul berapa ni?” Aku jawab soalan mama dengan cebikan, tidak puas hati kerana dia mengabaikan soalanku. “Iyelah...iyelah... Mama tergelincir tadi...sikit aje.”


“Dah banyak kali dah Lisa suruh ma tukar selipar tu. Bunganya dah tak adapun...sebab tu tergelincir...” keluhanku mama sambut dengan tawa halus. Geram aku jadinya.


“Iyelah...nanti Lisa belikan mama selipar baru, ok? Balik naik apa tadi?” Serta-merta aku teringat pada Hakimi dan Putri yang tadinya aku tinggalkan terkontang-kontang di luar rumah.


“Eh, kejap ye,ma? Lisa nak kenalkan ma dengan kawan Lisa yang Putri tu. Hakimi pun ada sekali.”


Sememangnya aku selalu bercerita dengan mama mengenai Putri sejak dari hari pertama kami berkenalan dan mama menjadi pendengarku yang teramat baik.


Mama jarang memberikan komentar mengenai cerita-cerita burukku mengenai Putri pada hari-hari awal perkenalan aku dan Putri cuma mama kerap mengingatkanku supaya tidak menghakimi orang melalui luaran. Dan kata-kata mama memang ada benarnya. Kebenaran itu jugalah yang mengakrabkan aku dengan Putri.


Aku berlari ke tangga, mencari kelibat Hakimi dan Putri di ruang tamu tetapi yang aku temui hanyalah Putri sedang berbual dengan abang Zafri di sofa utama. Mungkin Hakimi sedang berborak dengan abah di bangku taman seperti kebiasaanya.


“Putri!” Launganku membuatkan Putri berpaling. “Jom, naik jumpa mama!”


Putri seperti berkata sesuatu kepada abang Zafri sebelum bingkas bangun menapak ke tangga. Abang Zafri menonong rapat di belakang Putri.


“Nak pergi mana?” Soalku dengan kening terangkat kepada abang Zafri. Tersengih-sengih dia mendengarkan soalanku. Ini menimbulkan perasaan pelik dalam diriku. “Kenapa?”


“Kenapa apa? Orang nak naiklah, tengok mama...” balasnya kemudiannya tersengih lagi apabila Putri memandang ke arahnya.


“Kan tadi dah tengok!” Sergahku, tidak puas hati dengan sikapnya yang memang berlainan.“Akim mana? Panggilkan Akim, please...” aku lihat dia menggaru kepala. Tetapi apabila Putri tersenyum melihatkan gelagatnya, dia terburu-buru juga pergi. Aku meruntun tangan Putri ke atas.


“Kelakarlahabang Lisa tu...” komen Putri mengenai abang Zafri kubalas dengan gelak kecil.


“Entah...selalunya tak pulak dia macam tu. Mama yang jatuh, urat dia pulak yang putus.”


Cerita mengenai abang Zafri tamat serentak apabila aku menolak pintu bilik. Senyum mama menyambut langkah kami berdua. Putri sepantas itu juga menggapai tangan mama dan menciumnya. Aku lihat mama menyentuh kepala Putri, lama, kemudiannya memandangku dan tersenyum. Aku tidak pasti dengan makna senyuman mama tetapi hatiku tidak semena-mena menjadi tersentuh melihatkan adegan tersebut.

            

Putri yang peramah sememangnya cepat mendapat perhatian mama. Kami bertiga berborak bagaikan anak-beranak. Aku faham perasaan Putri yang berjauhan daripada maminya. Biarlah dia melepaskan rindu, lagipun apa salahnya dia berkongsi kasih sayang mama denganku.

            

“Assalamualaikum...” perbualan kami bertiga tehenti disapa salam Hakimi dari muka pintu. Abang Zafri pula berdiri di belakangnya, masih dengan senyum yang sama seperti tadi. Hakimi masuk ke bilik dan menyalami mama. Sekejap sahaja kami semua kembali tenggelam dalam borak.

            

“Makan malam di sini saja la ya,Putri... Hakimi?”


Pelawaan mama yang agak mengejut membuatkan kami berempat – aku, Hakimi, Putri dan abangZafri bertukar pandang – masing-masing dengan ekspresi yang tersendiri. “Alah...sekarang ni pun dah pukul berapa...”Aku menunggu jawapan daripada mulut Hakimi dan Putri.

            

“Putri kena beritahu babah dulu...” lambat-lambat Putri memberikan keputusannya.

            

“Akim call bonda dulu, beritahu yang Akim makan kat sini malam ni...” dan mamalah yang paling lebar senyumannya setelah mendengarkan jawapan-jawapan itu.

            

Memandangkan kaki mama terseliuh,maka, makan malam kali ini terpaksa disediakan oleh aku. Mujurlah Putri ada untuk membantu dan yang paling mengagumkan, Putri lebih pandai memasak daripadaku. Setelah meneliti apa yang ada di dalam peti ais, kami berdua membuat keputusan untuk meyediakan sup ayam, kailan goreng belacan, ikan selar goreng dan sambal tumis ikan bilis – ini wajib kerana aku tahu yang Hakimi memang gemarkan sambal tumis.

            

Selesai menunaikan solat Maghrib,aku turun mencari Putri. Ketika itu, abah dan mama masih di bilik, mungkin sedang bersolat. Cuma Hakimi sahaja bersendirian di ruang tamu membaca majalah.Perlahan-lahan aku mendekatinya.

            

“Mana Putri?”


Hakimi yangs edang khusyuk membaca, terdongak. Kemudiannya dia meletakkan telunjuknya ke mulut, isyarat menyuruh aku supaya jangan membuat bising. Aku mengerutkan dahi,tidak faham sehinggalah mataku mengikut hujung jari Hakimi.

            

Dibangku taman, aku lihat Putri dan abang Zafri sedang rancak berbual dan bergelak ketawa. Aku tidak dapat mendengar apa yang dibualkan oleh mereka tetapi aku dapat lihat ada semacam kemesraan yang berputik antara mereka berdua. Tiba-tiba ada segaris senyuman singgah di bibirku. Mungkinkah?

            

“Fikir apa tu?” Soalan Hakimi membuatkan aku kembali pada diri. Sambil menghela nafas, aku menggeleng dan melabuhkan punggung ke atas sofa. “Ada sesetengah manusia memang senang menunjukkan perasaan mereka...”

            

Sejenak aku merenung wajah Hakimi,dalam diam memikirkan kata-kata yang baru sahaja diucapkannya itu.

            

“Ada sesetengah lagi lebih suka memendam dan membiarkan perasaan itu menunjukkan dirinya sendiri...”

            

Aku menatap mata Hakimi dalam-dalam. Apa maksud kata-kata itu? Setelah beberapa saat mendiamkan diri, Hakimi meletakkan tangan kanannya ke dada dan menyambung;


“...sama adakita tunjuk atau pendam, yang penting, kita tahu bentuk perasaan tersebut...” belum sempat aku bertanya, Hakimi menghulurkan sebuah majalah kepadaku di mana pada salah satu daripada mukasuratnya disekang dengan ibu jari. Apabila diselak, aku temukan sebuah kuiz dengan tajuk besar di situ.

 

ANDA BERDUA; KAWAN BAIK ATAU KEKASIH;

BAGAIMANA MENENTUKANNYA?

 

Mukadimah kepada kuiz tersebut adalah kata-kata yang baru sahaja diucapkan oleh Hakimi sebentar tadi. Aku tidak tahu mengapa, aku sering merasa keliru apabila bersama lelaki ini. Dia meluahkan tetapi seperti tidak. Dia menyampaikan tetapi mesejnya tidak pernah berjaya kuterima. Dan seperti sekarang, sekali lagi Hakimi membuatkan aku tertanya-tanya, adakah apa yang dituturkannya sebentar tadi benar-benar dimaksudkan; maksudku, mungkinkah dirujuk kepada hubungan kami ataupun adakah mungkin dia hanya sekadar membaca semula? Haiiii...memang keliru aku dibuatnya!

             

“Eh, nak hidang makanan sekarang ke?” Entah bila masanya, Putri sudah ada bersama kami di ruang tamu.

            

Aku bingkas, meninggalkan majalah yang dihulurkan oleh Hakimi tadi di atas meja dalam keadaan bertutup dan tidak bertanda. Di luar dugaanku, aku lihat riak wajah Hakimi bertukar warna. Tetapi aku tidak sempat menelah kerana Putri sudah melenggang ke dapur. Adakah dia benar-benar mahu aku membaca dan mencuba kuiz tersebut? Aku tidak tahu!

            

“Alamak!”


Khalayanku putus dek jeritan Putri. Aku lihat dia sedang memegang periuk elektrik sambil menepuk dahi.


“Kita lupa masak nasi!” 
Previous: Bab 44
Next: Bab 46

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.